30 Jan 2009

Benar UMNO Sedang Menunggu Ajalnya

Setelah saranan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin supaya sayap-sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO dimansuhkan bagi membanteras gejala politik wang tidak diambil peduli, maka itu petanda UMNO sedang menuju kehancurannya.

Persis seorang doktor yang melakukan diagnosis terhadap seorang pesakit yang diserang diabetes mengetahui bahawa kaki dan tangan pesakit perlu dipotong sebelum penyakit itu terus menyerang seluruh badan pesakit tidak diindahkan oleh ahli keluarga pesakit, ertinya saat ajal pesakit berkenaan semakin hampir.

Jika saranan "sang doktor" itu diterima ada kemungkinan peluang untuk hidup sekalipun ringkas masih ada setidak-tidaknya menggunakan "kaki palsu" atau "bertongkat" untuk berjalan, tetapi pemimpin UMNO lebih rela menanggung derita untuk menerima hakikat bahawa "kematian" itu sudah seperti tidak dapat dielakkan dan hanya berserah kepada takdir tanpa perlu diikuti nasihat sang doktor berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib menolak saranan Pengerusi lembaga Disiplin UMNO berkenaan. Begitu juga sayap-sayapnya. Ketua Wanita UMNO tidak mempercayai politik wang itu adalah parasit yang bakal membunuh UMNO malah menganggap politik wang yang menimpa UMNO sekarang hanya sebagai seekor nyamuk:

"Marah nyamuk (kenapa) kelambu harus dibakar... hanya segelintir anggota Umno terlibat dalam gejala politik wang, jadi mengapa 'kelambu' yang berusia lebih 50 tahun menjadi tonggak kekuatan Umno mahu dibakar?"

Saranan doktor yang merawat pesakit nampaknya tidak dihormati lagi apabila saranannya untuk menyelamatkan pesakit tidak diindahkan, malah diperlekehkan daripada kepala keluarga sampailah kepada anak buahnya yang lain.

Oleh itu, seperti yang disuarakan sebelum ini oleh seorang calon Naib Presiden UMNO yang terkempas-kempis untuk mendapatkan pencalonan yang mencukupi bagi melayakkan beliau bertanding, Datuk Seri Abd Hamid Albar sendiri menyuarakan

"Umno mesti berubah sebelum rakyat mengeluarkan hukuman mati terhadapnya"

nampaknya sudah memperlihatkan tanda-tanda sememangnya UMNO sedang menunggu saat ajal untuk menyapanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam sahabat, apalah org UMNO ni, kelambu kalau dah berusia 3 tahun pun orang dah bakar, inikan pula yang dah berusia 50 tahun. Cuba bayangkan kalau dah 50 tahun pada kelambu tu? Pertamanya mesti dah buruk. keduanya mesti dak koyak rabak. Ketiranya tali pengikat kelambu mesti dah lapuk. Fikir2kan Lah. MNM4774