Ikatan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) mencadangkan satu pilihan raya baru yang bersih, adil dan telus dapat diadakan segera dalam tempoh 60 hari dari tarikh keputusan pilihan raya yang lalu, supaya sebuah kerajaan negeri baru dapat diterima semua demi kepentingan rakyat.
Menurut Setiausahanya, Suhaimie Embong jika kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru tidak berjaya diselesaikan, Perantau menggesa supaya diadakan semula pilihan raya bagi memuktamadkan keputusan sebenar yang lebih diyakini semua.
"Ia adalah suatu cadangan untuk memulihkan kembali suasana politik di Terengganu, kerana ia adalah satu-satunya negeri yang masih belum mempunyai Menteri Besar.
"Ini amat memalukan dan kami sangat kesal dengan keadaan sekarang ini akibat pergolakan dalaman politik di Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu ujarnya, Perantau menaruh harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN agar mengutamakan kepentingan rakyat Terengganu dengan menamakan calon Menteri Besar baru yang dapat diterima oleh Sultan Terengganu demi memelihara martabat dan kedaulatan kesultanan Negeri sebagai payung kepada rakyat bernaung.
Menyentuh mengenai isu tersebut yang turut mendapat campur tangan daripada peguam negara, Suhaimi menegaskan tindakan tersebut adalah wajar serta menggambarkan sikap sebenar beliau yang tidak menghormati penasihat undang-undang negeri itu.
"Kami kesal dengan kenyataan Peguam Negara, Dato� Abdul Gani Patail yang mencampuri urusan negeri Terengganu dengan mengatakan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak berhak campor tangan dalam urusan perlantikan Menteri Besar," katanya.
Hal tersebut adalah kerana Perantau yakin pihak istana telah menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang tubuh negeri Terengganu dan semua pihak hendaklah akur peruntukan kuasa yang diberikan.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa pengalaman pergolakan politik yang berlaku di Perlis dan Perak selepas pilihanraya umum ke-12 baru-baru ini adalah pengajaran kepada semua pihak bahawa institusi kesultanan kekal relevan sebagai formula kepada penyelesaian kekalutan politik yang berlaku di setiap negeri..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan