8 Ogo 2011

Keangkuhan Dan Kekayaan Najib Akan Turut Tersungkur Lebur

Malaysia terus rasa kesan global, nilai Bursa ‘terhakis’ RM31 bilion lagi

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Pasaran saham di Malaysia terus merudum dengan nilai dianggarkan RM31 bilion ‘terhakis’ dari Bursa Malaysia ekoran kebimbangan yang dirasai di peringkat global ekonomi, susulan krisis kredit Amerika Syarikat.

Ekoran trend jualan saham yang diakibatkan oleh penurunan taraf oleh Standard and Poor ke atas kredit Amerika Syarikad dan Eropah, pasaran saham Kuala Lumpur terhakis nilai sehingga RM65 bilion sejak Isnin lalu.

Pemegang-pemegang saham yang rugi mengatasi mereka yang membuat untung – 1,051 berbanding 67 hari ini, manakala indeks Emas menurun 2.39 peratus sehingga 10,227.95 mata, paling rendah dalam lima bulan.

Tanda aras FBMKLCI ditutup 1,496.99, menurun 1.8 peratus, juga paling rendah dalam lima bulan.

Malaysia berhadapan dengan perkembangan ketika spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13 dalam waktu terdekat berterusan.

Ketua firma penyelidikan OSK Chris Eng berkata, meskipun ada kemungkinan kecil pemulihan pada hari-hari mendatang, pasaran tidak mungkin akan meningkat ke paras yang direkodkan bulan lalu dan akan kekal mudah meruap.

“Kami menurunkan gred pasaran hari ini dengan fikiran bahawa penggal pertengahan tidak kelihatan begitu baik, khususnya selepas S&P (Standard and Poor) menurunkan gred (penarafan kredit jangka panjang AS).

“Jelas bahawa pelabur-pelabur mula lebih melihat ke atas saham-saham defensif (alternatif),” kata beliau yang turut mengesyorkan saham-saham dalam bidang kesihatan, media dan kepenggunaan untuk diberi perhatian.

Eng menambah, sementara pasaran memperlihatkan respons positif sebelah tengah hari tadi ekoran laporan bahawa European Central Bank membeli bon-bon Itali dan Sepanyol, pihaknya tidak optimis keadaan itu akan berkekalan.

“Apa yang mereka lakukan sekarang belum mencukupi,” kata beliau.

Nilai pasaran kira-kira RM26 bilion telah terhakis dari Bursa Malaysia Jumaat lalu selepas para pelabur mengambil mesej daripada apa yang disaksikan di Wall Street, yang paling buruk sejak keruntuhan Lehman Brothers pada 2008.

Pasaran-pasaran rantau Asia terus merosot hari ini sejak Standard and Poor menurunkan taraf kredit AS buat kali pertama Jumaat lalu.

Pasaran Nikkei menurun 2.2 peratus untuk ditutup 9,097.56 mata selepas ia turun serendah paras 9057.29 manakala Topix pula jatuh 2.3 peratus untuk ditutup 782.86.

Indeks Hang Seng Hong Kong menurun lebih empat peratus untuk mencecah paras paling rendah tahun ini. Indeks Shanghai menurun lebih daripada tiga peratus.

Indeks pasaran Singapura pula jatuh 3.39 peratus, Indonesia (1.82 peratus) dan Thailand (0.99 peratus).

Menurut laporan Reuters, nilai pasaran dunia terhakis AS$2.7 trillion (RM8.13 trillion) minggu lalu.

Dalam laporan terdahulu, bank pelaburan Goldman Sachs juga mengkaji semula pertubuhan ekonomi Malaysia ekoran perkembangan ekonomi semasa.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka berhadapan lebih banyak tekanan ekoran langkah Goldman Sachs menurunkan anggaran pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini dan 2012.

Goldman Sachs mengkaji semula anggaran pertumbuhan ekonomi kepada lima peratus berbanding 5.4 peratus tahun ini manakala bagi tahun depan ia menetapkan 5.2 peratus berbanding 5.6 peratus yang dianggarkan sebelum ini. -TMI

Ulasan GB

Najib yang angkuh dan boros dengan kekayaannya kini akan terus berdepan dan berlawan dengan kekuasaan dan kekayaan Allah s.w.t.

Sebelum ini GB menyatakan bahawa:

Demikian sebenarnya kaedah yang digunakan Najib melalui agen-agennya untuk membeli beberapa Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat. Betapa dasyatnya manusia bernama Najib ini yang mana kita telah tahu kejatuhan kerajaan PR negeri Perak adalah akibat dari pembelian wakil-wakil rakyat PR entah berapa juta nilainya. Dikuti dengan beberapa siri lompatan ahli parlimen dan ADUN PR samada menjadi wakil bebas atau pun menyertai BN pun dengan habuan wang ringgit.

Namun, Allah tidak pernah lalai dan tidak pernah tidur. Segala kejahatan dan kebatilan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bersama-sama sekutu-sekutunya seperti polis, SPR, SPRM, Peguam Negara, Pendakwa Raya, Hakim-hakim, agensi-agensi kerajaan seperti ROS yang melengah-lengahkan pendaftaran Pakatan Rakyat, akan pasti mendapat hukuman daripada Allah s.w.t.

Allah akan tetap membantu pihak yang dizalimi oleh mereka sekalipun mereka tidak pernah mahu mengakui kezaliman yang mereka lakukan.

Pemerintahan Najib adalah kemuncak terhadap segala kebobrokan pemerintahan UMNO BN di negara ini bermula dari dari cara beliau naik untuk menjawat jawatan Perdana Menteri sehingalah ke hari ini, bagaimana beliau sanggup "melakukan apa saja" untuk mempertahankan kuasanya sekalipun dengan kaedah keji dan di luar batas undang-undang apatah lagi hukum agama.

Beliau menggunakan kaedah Abu Lahab dan Qarun, menggunakan harta kekayaan untuk mempertahankan kuasanya.

Kisah Najib dan pemerintah-pemerintah zalim UMNO BN sebelumnya seperti Mahathir dan Abdullah Badawi, telah pun berlaku di zaman silam. Ia hanya satu perulangan sejarah dengan pertukaran watak-watak sahaja.

Firman Allah:

“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan.Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar. Yang di lehernya ada tali dari sabut.” (QS. Al Lahab: 1-5)

“Dan (juga) Qarun, Fir’aun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi, mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang-orang yang akan lepas (dari kehancuran itu).

Maka masing-masing (mereka itu) Kami siksa disebabkan dosanya, maka diantara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu, kerikil dan diantara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan diantara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan diantara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (al-`Ankabut: 39-40)

Mereka boleh terus cuba untuk pertahan lagi kebatilan yang mereka bawa dengan kekayaan yang mereka ada, namun kita akan tetap berjuang dan berdoa semuga Allah memberikan balasan yang setimpal di atas segala dosa mereka terhadap kita.

Dengan tegas kita tegak berdiri menyatakan: Kami ada Tuhan untuk kami berlindung dan bermohon, agar Allah mencabut kekuasaan dan menghukum kamu-kamu semua, dan menyerahkan hak kekuasaan kepada mereka yang beriman dan berlaku adil.

Jangan Biarkan BN Tenggelamkan Isu Pilihanraya Bersih Dengan Isu Gereja

Isu Jais tenggelamkan warga asing daftar pemilih

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Isu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan Gereja Methodist Damansara Utama telah menenggelamkan isu yang cukup merbahaya kepada negara iaitu isu MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR.

“Setakat hari ini jawapan yang diberikan oleh SPR diketawakan oleh orang pekak dan buta. Manakala media perdana BN cuba menimbus isu pendaftaran ini,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, PAS telah membuat keputusan untuk bertemu secara langsung dengan pihak Jais dan juga gereja Methodist untuk mendapat gambaran sebenar.

“Negara kita ada undang-undang, siapa yang bersalah akan dihukum. Media bukan gelanggang untuk menyelesaikan perkara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Pemimpin umno dan NGO umno macam dilanda histeria mengenai isu itu, kononnya merekalah pembela agama.

Tegasnya, PAS istiqamah menentang isu murtad di negara ini.

Soalnya, di mana suara Umno dan Utusan ketika isu Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin dan lain lagi yang keluar agama Islam
.

Tambahnya, sejarah telah mencatatkan berlaku penangkapan ISA terhadap pemimpin pemuda PAS dalam operasi Lallang 1987 kerana isu kristianisasi.

“Tahniahlah kepada pemimpin Umno dan media Umno kerana baru sedar bahayanya murtad.

“Kita harapkan janganlah kerana politik semata-mata. Samalah ketika isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam, Umno menjadi juara
,” ujarnya.

Tetapi, katanya dalam masa yang sama menentang hukum Allah dan menyekat ajaran Allah diajar di dalam surau dan masjid.

“Pelik juga Umno, nama Allah dipertahan, hukum Allah dia lawan,” ujarnya lagi.

Tanya beliau lagi, kenapa Umno diam membisu apabila ahli MCA hendak saman kerajaan Kelantan kerana isu pengharaman judi.

“Sepatutnya kalau Umno pejuang Islam kena nasihatlah rakan sejawat mereka. Sudah 54 tahun berkawan pun Umno tidak boleh dakwah, bahawa judi itu bahaya pada masyarakat,” katanya. -HD

Ulasan GB

Apabila GB meminta supaya PAS Pusat memfokuskan kepada isu pembersihan pilihanraya dan menyerahkan isu gereja kepada PAS Negeri untuk menyelesaikannya, ada yang salahfaham dan salah tafsir mengenai ulasan GB. Petikan:

Keseluruhan isu serbuan gereja oleh JAIS ini. Sepatutnya PAS Pusat tidak perlu untuk "campurtangan" kerana menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah “masalah negeri.”.

Jika ia "masalah negeri", maka bukankah elok hanya PAS Negeri Selangor sahaja yang menguruskan dengan memberikan kepercayaan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor dan barisan kepimpinannya yang baru untuk menyelesaikannya?

PAS sudah sepatutnya mendelegasikan kepercayaan dan amanah kepada peringkat negeri, dan PAS Pusat sepatutnya juga lebih memfokuskan isu sekurang-kurangnya bertaraf nasional. Isu pembersihan proses pilihanraya masih belum selesai misalnya. Bukankah itu lebih aula untuk difokuskan oleh PAS Pusat buat masa ini?


JAIS yang serbu gereja, bukan PAS yang serbu. Cuma ada "seorang" pemimpin PAS Selangor yang awal-awal membuat kenyataan menyokong tindakan JAIS tersebut di atas alasan ada bukti usaha untuk memurtadkan umat Islam sekalipun bukti itu sendiri belum sahih kebenarannya.

Sebenarnya apa yang cuba GB ketengahkan ialah sama seperti yang disuarakan oleh Ustadz Idris Ahmad di atas dan seperti kenyataan Presiden PAS sendiri di awal sidang medianya semalam iaitu ada dinyatakan (tiada dlm laporan bertulis) bahawa "kita tahu isu gereja itu sengaja diadakan oleh BN untuk menutup isu pilihanraya bersih."

Dan jangan salahfaham, bukan kita tidak pentingkan akidah, malah PAS lebih depan di dalam isu tersebut seperti yang diutarakan oleh Ustadz Idris di atas, UMNO yang selama ini membiarkan kemurtadan berlaku secara berleluasa, maka UMNOlah yang perlu memikulnya. UMNO hanya menggunakan isu itu untuk melengah-lengahkan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan yang akhirnya mereka menikam kita dari belakang apabila kita beralih paksi perjuangan. UMNO tidak perlu mengajar PAS bagaimana untuk memperjuangkan aqidah kerana keseluruhan perjuangan PAS adalah perjuangan yang bertunjangkan akidah Islam.

Kita tidak mahu mengikut rentak-tari UMNO. Perjuangan mereka yang tidak bertunjangkan akidah sebaliknya memperjuangan "kebangsaan sempit".

Kita tidak mahu diperbodohkan sedemikian rupa sehingga kemudiannya isu pembersihan pilihanraya ditenggelamkan dengan hiruk-pikuk isu gereja. Dan di dalam keadaan sedemikian mereka memanggil pilihanraya.

Kita tidak mahu kehilangan fokus. Kita tidak boleh lari dari tumpuan demi kebenaran, keadilan, kemenangan dan kejayaan.


TELADAN: Kemalangan Sedarkan Awi Rafael Dari ‘Hanyut’

Petaling Jaya: Sejak terlibat dengan kemalangan jalan raya pada Rabu lalu, penyanyi Awi Rafael tidak putus bersyukur dan berjanji untuk lebih menumpukan kepada ibadat harian.

Penyanyi lagu Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta ini yakin Allah masih menyayangi dirinya dan memberikan peluang untuk dia berubah ke jalan yang baik agar tidak terus hanyut dengan populariti yang diraih.

“Saya akui bila mendapat terlalu banyak perhatian, kadangkala kita lupa siapa kita di sisi Allah. Saya bersyukur kerana Allah memberikan petunjuk lebih awal untuk saya berubah. Jadi, saya perlu perbetulkan solat dan banyakkan amalan ibadat.

“Sebelum ini, mungkin saya terlalu peramah dengan semua orang dan bersikap acuh tak acuh dengan solat,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di majlis berbuka puasa Muzik FM di Hotel Pearl International, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Malah, Awi juga semakin rajin mengerjakan solat terawih dengan rakan-rakannya pada bulan Ramadan ini.

Paling penting, dia bersyukur kerana dirinya selamat dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Persekutuan itu pada sekitar pukul 5 petang selepas menjalani sesi fotografi dengan sebuah majalan hiburan di Shah Alam.

“Saya rasa bersyukur dan terperanjat dengan insiden itu serta sempat mengucap istighfar. Kereta jenis Triton yang saya naiki remuk teruk akibat melanggar pokok.

“Nasib baik saya tidak mengalami kecederaan teruk melainkan luka sedikit di dahi. Waktu itu, saya memakai baju Melayu dan songkok. Jadi, songkok itu telah menyelamatkan kepala saya yang terhantuk di cermin tingkap
.

“Selepas terlibat dengan kemalangan itu, terus saya ke klinik dan merawat luka di dahi. Tengkuk saya juga masih berasa kebas selepas kemalangan itu tetapi setakat ini doktor mengesahkan tiada apa-apa kecederaan dalaman,” jelasnya lagi.

Tambahnya, sewaktu keretanya berpusing sebanyak tiga kali sebelum melanggar pokok dan turut melanggar beberapa buah kenderaan di situ turut mengingatkan Awi kepada ibu dan bapanya yang tinggal berjauhan daripadanya.

Setelah ibu dan bapanya berpisah lapan tahun lalu, ibunya menetap di Pontian, Johor manakala bapanya berada di Indonesia. -mstar


Penyanyi Awi Rafael Accident Teruk Di Lebuhraya Federal

KL, 4 OGOS 2011: Apa yang menimpa penyanyi Awi Rafael ni, betul-betul mengejutkan Murai Batu. Dengan tidak semena-mena dia terlibat pula dengan kemalangan yang teruk, petang semalam.

Kemalangan tersebut berlaku di Lebuhraya Federal iaitu berhampiran dengan jejantas ala San Francisco yang menghubungkan kawasan Sunway dengan Kelana Jaya.

Masa tu, Awi Rafael baru saja pulang daripada menjayakan satu sesi fotografi dengan sebuah majalah hiburan di Shah Alam dan baju Melayu masih lagi dipakainya bersama samping dan songkok.

Entah macam mana, kereta pacuan 4 roda yang dipandunya terbabas sehingga menyebabkan pintu di bahagian tempat duduk pemandu jadi remuk. Mujurlah, tidak ada apa-apa yang berlaku pada Awi Rafael.

Kalau ada pun setakat terhantuk biasa. Tapi, disebabkan kejadian itu, Murai Batu dengar, Awi Rafael masih lagi dalam keadaan terkejutlah. Yelah, kalau sesiapa pun yang ada kat tempat Awi Rafael pun, mestilah jadi trauma.

Lagipun, kemalangan yang dialaminya tu memang teruk. Korang tengok sendirilah gambarnya. Silap-silap haribulan, memang boleh meragut nyawanya. Tapi, Tuhan masih sayangkan lagi Awi Rafael.

Lagipun, mungkin inilah dugaan Tuhan pada bulan ramadan yang penuh keberkatan ini ya. Kita kena selalu beringat padanya. Yang sedihnya tu, Murai Batu dapat tahu, kereta pacuan roda yang digunakannya itu masih baru dan bukanlah miliknya. -murai.com.my


Ulasan GB

Semuga menjadi iktibar / teladan kepada yang lain-lain juga agar jangan sampai "ditegur" Allah dengan cara sedemikian atau keadaan lebih buruk lagi. Muga semua umat Islam dilimpahi rahmat dan hidayahNya di sepanjang jalan kehidupan.


Khir Toyo Belum Boleh Beraya Sakan Tahun Ini - Diarah bela Diri Kes Rasuah

Kes rasuah: Dr Khir Toyo diarah bela diri

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bagi membela dirinya berhubung kes rasuah pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie ke atas Khir.

Beliau kemudian menetapkan 26 hingga 30 September ini untuk pembelaan yang dijangka mengemukakan sembilan saksi.

Dr Mohd Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Haryoni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5
juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohd Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohd Khir, yang menjawat jawatan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Dalam prosiding hari ini barisan pendakwaan dan pembelaan masing-masing diketuai Abdul Wahab Mohamad dan M Athimulan.

Seramai 25 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan pada perbicaraan itu.

Shamsuddin (kanan) pula dilepas dan dibebas daripada tuduhan bersubahat dengan Dr Mohd Khir berhubung pertuduhan itu pada 6 Jun lepas dan seterusnya menjadi saksi pendakwaan kedua dalam perbicaraan kes.

Dalam penghakimannya, Mohtaruddin berkata elemen berkenaan ialah tertuduh adalah penjawat awam pada hari kejadian, tertuduh membeli hartanah daripada Shamsuddin dengan harga belian dikatakan tidak mencukupi dan tertuduh mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi beliau sebagai penjawat awam pada hari kejadian. -mk


Istana Ala Bali : Khir Diarah Bela Diri

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bagi membela dirinya berhubung kes rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie ke atas Khir.

Mokhtaruddin kemudiannya menetapkan perbicaraan pada 26 hingga 30 September ini.

Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir yang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi. -tvsnews



BERS✔H 2.0 : Mahfuz & Salahuddin Fail Saman KPN, Tiga Lain

Dua Naib Presiden PAS Saman IGP, Tiga lain

Dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar hari ini memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, kerajaan Malaysia dan dua lagi pegawai polis ekoran tindakan pihak berkuasa menahan mereka ketika hari perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini melalui Tetuan Faiz Fadzil & Co pada pukul 10.30 pagi tadi.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Inspektor Mohd Zaid Madzizat dan Ketua Polis Daerah Brickfields.

Menurut Mahfuz (gambar), pihaknya menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada semua defendan berikutan tangkapan yang didakwa beliau menjatuhkan imej sebagai seorang wakil rakyat.

Tindakan saman itu dibuat ekoran penahanan kedua-dua mereka pada 9 Julai lalu yang disifatkan tidak sah.

Kedua-dua mereka memfailkan saman secara berasingan.

“Hari ini kita telah memfailkan saman malu berikutan tangkapan salah pada Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu di KL Sentral, tangkapan itu bertentangan dengan perintah mahkamah dan undang-undang negara.

“KL Sentral bukan tempat larangan, kami tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, kami juga tidak dinyatakan mengapa kami ditahan dan polis juga tidak mengambil apa-apa keterangan kami sepanjang ditahan di Balai Polis Jinjang,” kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata tindakan pihak berkuasa menahan mereka berdua adalah satu perkara yang memalukan.

“Tangkapan ini memberi gambaran yang salah tentang kami. Oleh itu, kami menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

“Selain itu, kami juga mahu faedah pada kadar lapan peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif atau perintah yang difikirkan perlu oleh mahkamah,” katanya.

Tambah Mahfuz, jumlah saman akan dibincangkan dengan peguam mereka Zulhazmi Shariff tapi secara berseloroh berkata “tidak kurang daripada RM1 juta.”

Sementara itu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tindakan mereka adalah satu peringatan kepada pihak berkuasa agar bertindak mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Ini sebagai satu peringatan dan pengajaran kepada mereka yang terlibat, lain kali mereka perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Mereka juga telah membuat satu laporan polis pada 11 Julai.

Pada 9 Julai lalu, Mahfuz dan Salahuddin telah ditahan di KL Sentral pada pukul 11.50 pagi sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Mereka dibebaskan kira-kira pukul 9.30 malam dan sepanjang tempoh penahanan mereka juga tidak dibenarkan untuk menghubungi sesiapa termasuk peguam.

Pada Himpunan Bersih 2.0 itu hampir 1,700 orang ditahan termasuk pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Bersih 2.0 menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
-TMI Foto: FMT

[Video] Prof Dr Ariffin Omar Sertai DAP

Tokoh akademik dan pakar sejarah budaya Prof Dr Ariffin Omar hari ini mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP sekali gus meneruskan perjuangan menentang politik perkauman dan menggalakkan hubungan erat antara kaum.

Beliau menyertai DAP atas keyakinan bahawa parti itu bukan sahaja ditegakkan atas dasar berbilang kaum tetapi juga mengamalkan politik yang menolak perkauman.

"Pemilihan parti ini bagi saya ialah kerana ia tidak mementingkan kaum sebaliknya berorientasikan kaum dan mewakili semua kaum"katanya.

“Selama lebih 30 tahun saya aktif dalam gerakan hak asasi manusia serta menentang korupsi dan salah guna kuasa serta menggalakkan amalan demokrasi,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Ariffin, 62, adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur.

Beliau yang dilahir dan dibesarkan di Pulau Pinang bersekolah di St Xavier’s Institution, sebelum ke Universiti Sains Malaysia untuk memperolehi ijazah sarjana muda (B.A.).

Beliau melanjutkan pengajian tinggi di Singapore University dengan memperolehi ijazah sarjana (M.A.). Setelah mengajar di USM, beliau memasuki Australian National University untuk memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) pada 1991.

Beliau terkenal sebagai salah seorang pengasas gerakan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara Aliran pada 1977.

Karya beliau yang terkenal serta menjadi rujukan kolej dan universiti antarabangsa ialah Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy and Community 1945 – 1950 terbitan Oxford University Press, 1993.

Beliau juga adalah pengarang buku Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu: Runtuhnya Kerajaan-Kerajaan Melayu Sumatera Timur pada Tahun 1946 (2001, USM Press) yang memaparkan kajian tentang kejatuhan pemerintahan diraja di Sumatra Timur pada 1946, dan buku Bumiputra Policies: Dynamics and Dilemmas (2004, Kajian Malaysia) mengenai masalah negara yang berlaku akibat kerajaan mengenepikan keadilan sosial di Malaysia.

Dr Ariffin yang juga seorang Fulbright Fellow di University of Utah, Amerika Syarikat, kini sedang menulis buku mengenai hubungan antara kaum dan kebebasan beragama di Malaysia.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari. -tvsnews



Ustaz Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz : Pilih Masjid, Tinggalkan Gereja

Ketika menghadiri forum perdana di Hotel De Palma Ampang, penulis tertarik untuk mengetahui kisah lanjut tentang seorang ahli panel yang merupakan bekas paderi Kristian di Sabah.

Alhamdulillah, penulis dapat merungkai perjalanan yang ditempuhi oleh beliau sehingga hatinya kini berpihak kepada Islam. Bagaimana dulu beliau yang pernah memurtadkan 200 orang Islam kini berjaya mengislamkan hampir 2000 orang dari pelbagai kaum.

Ustaz Mohd Farhan bin Abdullah Al-Hafiz dahulunya dibesarkan di dalam suasana agama Kristian dan bersekolah Kristian selama lapan tahun. Beliau juga dilatih menjadi Mubaligh Kristian dan mendapat didikan awal dari ayahnya sendiri yang merupakan Ketua Gereja dari Gerakan Penginjilan Sidang Injil Borneo. Semasa menganut agama Kristian, beliau seorang yang sangat taat kepada agama warisan itu dan merupakan pengikut yang fanatik.

Ketika itu, beliau juga mengkaji perbandingan antara Kitab Injil dan Al-Quran. Beliau banyak menelaah tulisan-tulisan Al-Marhum Syeikh Ahmad Deedat yang merupakan pendakwah terhebat di dunia dan pernah berdebat dengan para paderi dari pelbagai tempat di pelosok dunia. Akhirnya dengan kuasa Allah yang tiada tolok bandingnya, mata hati beliau telah terbuka untuk melihat keindahan dan kebenaran agama Islam.

Konsep 'Triniti' Cabar Keyakinan

Menurut pendakwah bebas ini atau nama Kristiannya Pastor Yohanes, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan beliau hilang keyakinan terhadap agama Kristian. Paling utama ialah mengenai konsep 'triniti'. Dalam konsep yang dipegang oleh orang Kristian ini, mereka mempercayai bahawa Tuhan itu adalah Allah. Namun, Tuhan itu adalah gabungan daripada tiga iaitu bapa, anak dan roh kudus. Mereka juga yakin Nabi Isa yang digelar Jesus sebagai Tuhan mereka kerana baginda ialah anak Tuhan.

Bagaimapun, ketika mengkaji al-Quran selama enam tahun, Ustaz Farhan bertemu firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud, "Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Maidah: 17)

Kebesaran kalam Allah itu akhirnya telah membuka pintu hati Ustaz Farhan untuk memeluk agama Islam. Justeru, pada tanggal 26 Februari 1990, beliau telah melafazkan dua kalimah syahadah dan rasmilah menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Bagaimanapun, ternyata bukan mudah pengislaman beliau diterima oleh keluarga. Beliau telah dihalau dari rumah dan dibuang oleh keluarga.

Cabaran Setelah Bergelar Muslim

Namun, sebelum beliau melangkah kaki meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang, beliau sempat memeluk ibu bapa dan adik-beradiknya sambil berkata, "Ayah, ibu, maafkan saya. Sungguhpun ayah ibu halau dan benci dengan saya, serta tidak mengakui saya sebagai anak, tetapi saya tidak jadikan Islam yang saya pilih sebagai pemisah hubungan antara seorang anak dengan ibu bapanya". Selepas itu, beliau sentiasa berdoa di dalam solat hajat supaya dibukakan pintu hati keluarganya memeluk agama suci ini.

Menjadi seorang Muallaf tidak membataskan dirinya untuk berusaha mendalami Islam dan mengkhatam al-Quran. Pengajian beliau bermula di Pusat Latihan Dakwah Keningau, PERKIM Petaling Jaya dan pelbagai institusi pengajian Islam. Beliau juga telah berjaya mengkhatam al-Quran pada penghujung tahun 1998.

Benarlah Allah pasti membantu hamba-Nya yang bersabar dan redha dengan ujian-Nya. Akhirnya ayah dan ibu serta adik-beradiknya memeluk Islam. Malah, setahun selepas itu, 30 keluarga terdekat juga telah berjaya diislamkan oleh beliau. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan bergiat aktif dalam memberi ceramah dan forum kepada para pelajar Malaysia tentang kepentingan dan kewajipan berdakwah setelah kembali ke Malaysia.

Perjuangan Dakwah

Sekembalinya beliau ke tanah air, beliau mula berjuang demi agama yang tercinta. Beliau memberi ceramah berkenaan "Murtad dan Kenapa Saya Memeluk Islam" ke seluruh negara. Disamping itu, beliau turut mengadakan kuliah-kuliah bulanan di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Ada kalanya beliau dijemput memberi ceramah di Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Usaha dakwah seorang pejuang yang cekal ini diperhebat lagi dengan tertubuhnya dua pusat tahfiz iaitu Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (ATAQWA) dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari (PPTQB). Dua pertubuhan ini adalah kerjasama bersama rakan-rakan seperjuangan beliau di Mesir. Beliau juga mengasaskan "Program Dakwah Bergerak" bagi misi dakwah Islamiyah di Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai persoalan mengapa masih ada orang bukan Islam yang tidak tertarik dengan Islam sedangkan Islam itu terang-terangan sebuah agama yang indah dan lengkap untuk dijadikan panduan kehidupan, Ustaz Farhan berkata, "Halangan utama yang membuatkan orang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam apabila orang Islam sendiri tidak menunjukkan imej dan contoh teladan yang baik. Ramai umat Islam yang tidak beramal dengan ajaran Islam dan terlibat dengan gejala sosial dan maksiat kerana jahil dalam ilmu agama."

Justeru, jelas beliau lagi, umat Islam haruslah segera kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ia dapat dilakukan dengan cara beramal dengan Islam, menghayati ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan menyebarkannya. Kewajipan berdakwah pula adalah perlu bagi melahirkan ummah yang bersatu dan berpegang teguh pada tali Allah SWT. Maka, pihak kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing mengembalikan jati diri, sahsiah, akhlak dan imej umat Islam sejati.

Betapa besarnya perjuangan yang beliau lakukan demi menegakkan syariat Allah di muka bumi. Kita sebagai seorang Muslim yang memang Islam sejak dilahirkan lagi seharusnya mempunyai semangat jihad dan cintakan agama yang lebih tinggi! di akhir kata, beliau menyeru agar seluruh umat Islam sama-sama menjaga nikmat iman dan Islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat agar tidak terkeluar dari Islam baik dari sudut perbuatan, ucapan dan tingkah laku. -iluvislam


Bapa cincang lumat sejadah

TAMAN CENDANA – Usaha Pusat Aduan Rakyat (PAR) mengundang khusus seorang penceramah yang dahulunya merupakan mubaligh Kristian bertujuan berkongsi pengalaman dengan saudara baru.

Timbalan Penyelia PAR Permas, Kelana Bakri berkata, kebolehan Muhammad Farhan Abdullah Al-Hafiz, 43, menghafaz 30 juzuk Al-Quran selama dua tahun lapan bulan sangat dikagumi.

Menurutnya, anak kepada ketua paderi dari Kota Belud, Sabah itu akhirnya mendapat hidayah daripada Allah SWT selepas berhujah dan berdebat dengan ulama ke-10 dari Semenanjung.

“Kecintaannya kepada Islam begitu mendalam walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarga sehingga pernah terjadi peristiwa bapanya mencincang lumat sejadah dan membalingnya ke muka selepas melihat Muhammad Farhan solat.

“Muhammad Farhan pernah ditembak bapanya, tetapi tersasar dan sempat ditepis ibunya kerana terlalu marah dengan tindakannya ingin keluar daripada rumah,” katanya ketika merasmikan bilik serba guna, di sini.

Kelana berkata, bagaimanapun selepas tujuh tahun Muhammad Farhan merantau ke Mesir, beliau berjaya mengislamkan ahli keluarganya.

Menurutnya, pengalaman berharga itu ingin dikongsi khusus kepada saudara baru supaya tidak berhenti mencari ilmu dalam mengenal Islam.

“Kita mahu bilik serba guna yang dibina khas dapat menjadi pusat pengajian fardu ain dan al-Quran kepada saudara baru dan penduduk setempat.

“Bilik serba guna ini juga akan dibuka untuk pusat tuisyen kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kadar bayaran serendah RM5,” katanya. -SH


PAS Tak Bincang Hal Hassan Ali Kekal Exco

Hadi: Hasan Ali akan kekal Exco, isu gereja masalah negeri

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Ekoran kontroversi membabitkan serbuan ke atas sebuah gereja Rabu lalu, PAS menegaskan parti Islam itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beliau akan kekal di jawatan itu.

Hasan merupakan pengerusi yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam.

Selain itu tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah “masalah negeri.”

“Ia masalah negeri, kita juga sebahagian daripada negeri, kita tidak terima teori kemungkinan (masalah dengan Hasan)... kemungkian dah banyak, ada juga kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggantikan (Datuk Seri) Najib (Razak).

“Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.

Hasan juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Dalam mesyuarat itu, Hasan telah memberikan penjelasan berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu.

Pada kejadian malam Rabu itu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Namun Hasan mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan.

Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Khalid memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.

Hasan dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, beliau sanggup dipecat demi mempertahankan Islam. -TMI

Ulasan GB

GB rasa ada semacam laporan yang tidak tepat di dalam berita TMI di atas.

Pertama, Ustadz Hadi menyatakan "Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat," dirumuskan oleh wartawan TMI di dalam tajuk sebagai : Hasan akan terus jadi exco.

Sedangkan hakikatnya hal tersebut iaitu hal samada Hasan akan terus jadi exco ataupun tidak, isu itu sebenarnya tidak dibincangkan dalam mesyuarat.

Kerana kuasa perlantikan exco adalah hak prerogatif Menteri Besar Selangor sekalipun dari aspek mesyuwarah, PAS mungkin boleh mencadangkan calonnya.

Kedua ialah mengenai keseluruhan isu serbuan gereja oleh JAIS ini. Sepatutnya PAS Pusat tidak perlu untuk "campurtangan" kerana menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah “masalah negeri.”.

Jika ia "masalah negeri", maka bukankah elok hanya PAS Negeri Selangor sahaja yang menguruskan dengan memberikan kepercayaan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor dan barisan kepimpinannya yang baru untuk menyelesaikannya?

PAS sudah sepatutnya mendelegasikan kepercayaan dan amanah kepada peringkat negeri, dan PAS Pusat sepatutnya juga lebih memfokuskan isu sekurang-kurangnya bertaraf nasional. Isu pembersihan proses pilihanraya masih belum selesai misalnya. Bukankah itu lebih aula untuk difokuskan oleh PAS Pusat buat masa ini?


[Bergambar] Tragedi Tanah Runtuh: 7 Maut, 2 Terselamat Tapi Parah

Cameron Highlands: Tujuh penduduk Orang Asli terbunuh, manakala dua cedera apabila lima rumah di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, ditimbus tanah runtuh dalam kejadian hujan lebat, kira-kira 5.45 petang semalam.

Dalam kejadian itu, tiga daripada lima rumah terbabit tertimbus menyebabkan nasib semua penghuninya belum diketahui.

Sehingga tengah malam tadi, sumber mengesahkan mangsa maut ialah empat wanita dan tiga lelaki.

Ketua Polis daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut bersama dua yang cedera dibawa ke Hospital Hajah Kalsom, Tanah Rata, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, kira-kira 10 malam tadi.

Mangsa yang pertama dikeluarkan dari tempat kejadian jam 6.30 petang manakala dua yang cedera dikenali Bah Anjang Besar Alang, 39, dan remaja perempuan, Strry Priry, 15.

Katanya, pasukan penyelamat termasuk polis, anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan unit anjing pengesan dihantar ke tempat kejadian.

Sehingga ini, katanya, penghuni dua rumah yang terkena runtuhan itu sudah diselamatkan dan dibawa ke tempat lebih selamat.

Sumber berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada runtuhan lereng bukit yang ditarah bagi membangunkan projek perumahan berdekatan tempat kejadian. -hm







Sudah Sampai Waktunya Rejim BN Ditukarkan!

A.Samad: Sudah tiba waktunya untuk "regime change"

"Sudah tiba waktunya kita adakan regim change. Kita sudah memberi masa kepada orang yang memerintah sekarang ini 54 tahun. Dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu."

Demikianlah kata-kata daripada Sasterawan Negara, A.Samad Said kepada anak-anak muda, ketika merasmikan pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, petang tadi.

Beliau menyebut, antara hal yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda adalah "merubah" - dan "regim change" itu hanya menjadi "mungkin" di tangan-tangan anak muda.

A. Samad Said, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad mengakui bahawa dirinya "gemar mendengar daripada mereka yang oppose". "Saya langsung tak gemar dengar mereka yang sokong. Sokong tu maksudnya, sokong kerajaan."

Kata-katanya disambut dengan tepukan dan sorakan oleh kira-kira 70 orang hadirin.

Pak Samad yang sudah hampir setahun tidak membaca akhbar mainstream, menjelaskan mengapa dirinya memilih media alternatif, "Saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar mainstream."

"Saya mendapati bahawasanya, tanpa media alternatif, akhbar mainstream akan menjadi gangster," dakwa Pak Samad, yang mendakwa gambaran yang dipaparkan dalam media mainstream, hanya "hitam-putih", dengan "Yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang, yang tidak memerintah sentiasa salah."

Beliau melihat media alternatif lebih sesuai untuk anak-anak muda, yang akan menjelajah ke ceruk-ceruk untuk memperjelaskan apa yang sedang berlaku kepada rakyat.

Fathi Aris Omar: Media alternatif perlukan sokongan kewangan

Sebelum ini, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengakui bahawa media alternatif berdepan dengan masalah di mana sebarannya lebih terbatas kepada kawasan bandar, sementara penduduk kampung masih bergantung kepada media cetak dan elektronik sebagai sumber maklumat.

Fathi Aris Omar (gambar kiri) juga berkata, media alternatif berdepan dengan masalah kewangan, di mana ramai peniaga yang masih tidak yakin bahawa iklan di ruang internet mampu membawa pulangan. Lebih-lebih lagi, di Malaysia, sebahagian iklan dikaitkan dengan syarikat GLC (Syarikat Kaitan Kerajaan), yang berkepentingan bersama parti pemerintah. Justeru itu, media alternatif memerlukan bukan sahaja sokongan dari segi audiens, tetapi juga sumber kewangan daripada pembaca, sama ada dalam bentuk langganan atau lain-lain.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

7 Ogo 2011

PAS Akan Jumpa Jais & Gereja Dulu - Hadi

PAS hari ini mengambil pendirian untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kotroversi terbaru.

Jelas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pertemuan dengan kedua-dua agensi itu akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk mengungkai situasi sebenar yang berlaku ekoran tindakan Jais menyerbu majlis makan malam muhibah di gereja itu.

“Kita bincang isu Selangor dan buat keputusan untuk terus ke medan yang mana kalau kita lihat ia sengaja dijadikan isu oleh Barisan Nasional (BN) untuk tutup isu Himpunan Bersih 2.0.

“PAS akan bertemu dengan Jais dan gereja secara terus untuk mendapatkan penjelasan dan selesaikan masalah ini,”katanya selepas pada sidang media di sini.

Beliau terlebih dahulu mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat.

Tambah Hadi, Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali telah memberikan penjelasan berhubung dakwaan program anjuran Harapan Komuniti bertujuan untuk memurtadkan umat Islam.

Hasan, sebelum ini mempertahankan tindakan Jais melakukan serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Rabu lalu dengan alasan pihaknya telah dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” diselitkan, mendakwa ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.

“Hasan Ali telah memberikan penjelasan dan beliau bersetuju dengan cadangan kita (untuk adakan pertemuan dengan Jais dan gereja).

“Bila (maklumat daripada) media tak cukup kita perlu turun ke medan... tidak timbul masalah bukt,i sebab itu kita akan jumpa terus dengan kedua-dua pihak,” kata Hadi.

Tambah Ahli Parlimen Marang ini, PAS terpaksa mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama sebagai langkah selamat selain dapat memberi keadilan kepada semua pihak termasuk Hasan.

Surat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Jais dan gereja akan dihantar esok melalui Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

“Kita mahu dapatkan penjelasan kedua-dua pihak, mesti daripada orang yang berkenaan daripada pihak Jais dan gereja sendiri... laporan media tak cukup.

“Hasan Ali sudah jelaskan dan beliau juga dapat laporan itu setelah (serbuan) berlaku, sebab itu kita mahu dapatkan gambaran (sebenar) daripada kedua-dua pihak,” katanya Hadi.

Walaupun diasakan dengan pelbagai soalan berhubung tindakan Jais itu, Hadi bagaimanapun menekankan pihaknya mahu mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak terlebih dahulu.

“Kita akan bertemu dengan kedua-dua pihak, pendirian ini sama... jadi tidak timbul sokong siapa yang penting penjelasan dulu, bagaimana dibuat, siapa yang bertindak... dah jumpa baru kita tahu.

“Kita perlukan penjelasan secara langsung, bukan daripada media,” katanya.

Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Tambah Hadi: “Semua perkara akan jelas selepas berjumpa dengan pihak gereja.”

Ekoran kontroversi itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.

Beliau berkata langkah itu akan diambil sebaik sahaja menerima laporan Jais, yang turut akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor. -TMI



Ulasan GB

Kita harap ia TIDAK TERLALU LEWAT sebelum isunya berjaya dimanipulasi dan dieksploitasikan musuh.

Sekarang pun dah wujud tanda-tanda besar ianya telah dimanipulasikan sedemikian rupa oleh media massa arus perdana.

Nak Dapatkan RM100-RM200 Pun Banyak Karenahnya Sedang Gaji Pegawai Agama Pun Begitu Tinggi...

Ke mana perginya wang zakat kita?'

ULASAN Saya belum ingin mengulas tentang serbuan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan serbuan' itu.

Cumanya, sepertimana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah.

Saya ingin menyentuh tentang orang Islam yang hadir di majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka.

Difahamkan bahawa orang Islam yang hadir, terutama ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal.

Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa 'jatuh hati' dan 'terhutang budi'. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;

1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta 'sedekah' kepada orang lain?

2. Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri.

Untuk mendapatkan RM100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih.

Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!

4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat.

Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

5. Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu.

Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa.

Janganlah jika kita gagal membantu – sedangkan kita mampu - kita menyalahkan orang lain yang membantu.

6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan.

Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim?

Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?

Maka, banyak persoalan perlu masyarakat Muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita! -mk


Ulasan GB

Baru sebentar tadi GB sudah ulas di SINI. Petikan:

Jika tuan-tuan dan puan-puan mengalami nasib serupanya dan tiada tempat lain untuk mengadu, di saat itu ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan mengapa tidak dibolehkan untuk menerimanya? Sementelah lagi TIADA AKAD menerima bantuan MESTI masuk Kristian.

Mungkin dikhuatiri TERHUTANG BUDI, itu mungkin, TETAPI, sekali lagi GB bertanya siapa yang berdosa? Mana umat Islam, mana gerakan dakwah, mana ISMA, mana ABIM, mana UMNO, mana Baitul-Mal, mana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mana Berita Harian, mana Utusan, mana harakahdaily, mana UG, mana Hassan Ali, mana JAINS dan JAIS, mana sekalian yang berlagak hero nak pertahankan aqidah umat Islam? Apa yang kamu telah lakukan dan sumbangkan terhadap saudaramu yang menderita itu?

Apa yang nak dijawab di depan Tuhan nanti?

Mengapa Cemburu Orang Lain Beri Bantuan Kepada Umat Islam?

Asri: Bukan haram umat Islam terima bantuan agama lain

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan “bukan sesuatu haram” jika umat Islam menerima bantuan daripada mana-mana penganut agama lain termasuk Kristian sekiranya terpaksa berbuat demikian.

Bekas mufti Perlis berkata sikap umat Islam yang enggan menghulurkan bantuan sesama mereka menyebabkan ramai golongan miskin terpaksa bergantung kepada orang bukan Islam.

“Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak Muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

“Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu,” kata beliau sambil menambah, mana-mana bantuan dibenarkan selagi mengikut peraturan dan undang-undang.

Tegas Asri, beliau difahamkan umat Islam yang hadir dalam satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu adalah untuk mendapatkan bantuan yang gagal dilaksanakan agensi agama Islam melalui pemberian zakat.

Jelas beliau, kemungkinan umat Islam yang hadir itu “terpengaruh” dengan agama Kristan disebabkan sikap baik penganutnya membantu mereka.

“Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin.

“Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’,” katanya.

Asri berkata demikian sebagai respons terhadap laporan dua akhbar berbahasa Malaysia hari ini yang mengatakan pihak gereja menawarkan wang tunai, makanan dan tempat tinggal kepada umat Islam.

Akhbar Berita Harian edisi semalam di bawah tajuk “Sogok wang gadai akidah” melaporkan ada pihak yang berselindung disebalik pertubuhan amal dengan menawarkan pelbagai bantuan kepada umat Islam seterusnya meminta mereka keluar daripada agama itu

Selain itu, akhbar tabloid Harian Metro juga mengatakan perkara sama di bawah tajuk di muka depan “Kami diberi Bible versi Melayu.”

Akhbar itu mendakwa penganut Kristian menggunakan “pendekatan lembut” untuk menarik umat Islam.

Kontroversi ini berlaku selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama.

Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Tambah Asri, semua pihak tidak sepatutnya menyalahkan penganut Kristian yang menghulurkan bantuan, sebaliknya persoalan itu ditanya kepada diri sendiri.

Jelas beliau, sekiranya wang zakat digunakan secara telus mustahil umat Islam perlu meminta bantuan daripada penganut agama lain.

“Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain? Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM100 hingga RM200 pun, begitu banyak kerenahnya.

“Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak? Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan mualaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan daripada umat Islam khususnya zakat?”
soalnya.

Justeru Asri meminta supaya tidak bersangka buruk kepada pihak yang bersedia menghulurkan bantuan kepada umat Islam.

“Janganlah jika kita gagal membantu sedangkan kita mampu tapi kita menyalahkan orang lain yang membantu. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik.

“Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?,” katanya. -TMI


Nur tiada pilihan

SEREMBAN: “Saya tiada pilihan melainkan menerima bantuan makanan dan wang daripada pihak gereja,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Nur, 40, yang mendakwa sering mendapat cemuhan segelintir pihak kerana mendapat bantuan daripada gereja untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia kini tidak dapat bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit, terutama asma, kencing manis, darah tinggi dan buasir.

“Saya sedar tidak sepatutnya menerima bantuan daripada gereja, namun saya terdesak kerana memikirkan hidup anak yang mahu bersekolah dan makan. Oleh itu, saya terpaksa mengambil bantuan itu,” katanya ketika ditemui di rumah di Ampangan, di sini, semalam.

Nur yang pernah bekerja sebagai pembantu akaun mendakwa, dia terpaksa berhenti kerana masalah penyakit itu dan pernah beberapa kali pergi ke jabatan berkaitan, namun dicemuh umpama peminta sedekah.

“Saya sedih kerana pihak berkenaan yang sepatutnya membantu enggan melayan saya, sebaliknya saya ditolak ke sana sini hanya kerana bantuan berjumlah RM70.


“Yang membuatkan saya sedih adalah ketika mengenangkan nasib anak yang kadangkala tidak makan, malah yuran tuisyen dan sekolah mereka juga sudah lama tertunggak,” katanya yang reda dengan keadaan itu.

Menceritakan bagaimana dia berjumpa seorang pendakwah gereja, Nur mendakwa, dia disapa oleh wanita berkenaan April tahun lalu ketika dia kesedihan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan tidak berjaya.

“Dia (pendakwah gereja) kemudian menyarankan saya mendapatkan bantuan gereja milik mereka iaitu barang makanan berserta wang tunai.

“Saya tiada pilihan, malah hampir setahun saya menerima bantuan itu. Pihak gereja yang lebih inisiatif untuk tampil membantu nasib wanita seperti saya,” katanya.

Dakwanya, setiap bulan pihak gereja membawa keperluan harian ke rumahnya, malah selalu menghubunginya untuk bertanyakan jika mempunyai masalah lain.

“Saya dan anak turut ditawarkan untuk tinggal di asrama mereka, malah mereka berjanji untuk membantu menyelesaikan yuran tuisyen dan sekolah anak.

“Namun, sampai bila saya dan anak harus mengharapkan bantuan pihak gereja, sedangkan saya beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada sinar di penghujung hidupnya dan anaknya untuk mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu.

“Jika mampu bekerja, saya akan cuba menyara hidup ini, namun Allah masih sayangkan kami apabila saya diuji dengan pelbagai ujian hidup,” katanya.-hm



Ulasan GB

GB bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA tersebut.

Ia terbukti di dalam kes yang dilampirkan iaitu seorang ibu yang sedang menderita pelbagai penyakit, terpaksa menyara anak seramai empat orang dan disisihkan oleh masyarakat Islam sendiri. Apatah lagi permohonannya untuk mendapatkan dari kerajaan/Baitul-Mal ditolak. Sekarang siapa yang berdosa?

Jika tuan-tuan dan puan-puan mengalami nasib serupanya dan tiada tempat lain untuk mengadu, di saat itu ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan mengapa tidak dibolehkan untuk menerimanya? Sementelah lagi TIADA AKAD menerima bantuan MESTI masuk Kristian.

Mungkin dikhuatiri TERHUTANG BUDI, itu mungkin, TETAPI, sekali lagi GB bertanya siapa yang berdosa? Mana umat Islam, mana gerakan dakwah, mana ISMA, mana ABIM, mana UMNO, mana Baitul-Mal, mana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mana Berita Harian, mana Utusan, mana harakahdaily, mana UG, mana Hassan Ali, mana JAINS dan JAIS, mana sekalian yang berlagak hero nak pertahankan aqidah umat Islam? Apa yang kamu telah lakukan dan sumbangkan terhadap saudaramu yang menderita itu?

Apa yang nak dijawab di depan Tuhan nanti?

Rancangan Jahat UMNO-SPR: 17,000 Pengundi Bertindan Di Selangor

Semangat Bersih 2.0 tidak terhenti pada 9 Julai. Ia akan terus disemarakkan sehingga lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum kepada Yang DiPertuan Agong dipenuhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini yang ditegaskan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan (gambar) yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor. Ikuti butiran lanjut mengenai perkara ini sebagaimana dinyatakan dalam wawancara Editor Harakah, DATO' TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan NYZA AYOB pada 28 Julai lalu.

Momentum Bersih 2.0 akan mati jika PAS tidak "memanaskannya" dalam bentuk pelbagai aktiviti di semua peringkat. Bagaimana PAS dapat mobilisasi perkara ini?

MOHD SANY HAMZAN: Mungkin saya boleh tekankan di peringkat Jabatan Pilihan Raya dan Lajnah Mobilisasi dan Demokrasi Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Di peringkat PAS Selangor, kita minta di semua Pusat Khidmat Masyarakat, Adun atau Penyelaras Dun, Ahli Majlis serta penjawat awam di Selangor sekiranya ingin mengedarkan kad ucapan Hari Raya, lapan tuntutan Bersih itu dimasukkan dalam kad ucapan tersebut.
Begitu juga sekiranya pihak berkenaan menyediakan sampul duit raya. Lapan tuntutan Bersih itu mesti dicetak di sampul duit raya tersebut. Selain itu kita juga berharap risalah berkenaan tuntutan tersebut diedarkan di masjid-masjid dan surau di Selangor. Ia boleh dimanfaatkan di bulan Ramadan ini kerana ramai mengunjungi masjid dan surau sepanjang bulan ini.

Tentang kempen "Kuningkan Sabtu". Kenapa tidak Pemuda PAS sahaja yang mempelopori kempen ini dengan memperkenalkan pelbagai program pada setiap Sabtu?

Memang kami ada mengeluarkan arahan kepada Pemuda PAS di setiap negeri dan kawasan. Sebenarnya Pemuda PAS di negeri dan kawasan cuba untuk melaksanakan program untuk menghidupkan Bersih ini. Cuma kita nampak sekarang ini Umno dan BN menggunakan polis untuk memerangi momentum Bersih ini. Apabila ada kalangan Pemuda PAS atau Pakatan Rakyat memakai baju Bersih, mereka akan dicekup. Kita tidak tahu sebenarnya apa yang menyebabkan polis bertindak demikian.

Apakah yang menyebabkan mereka takut dengan baju kuning dan lapan tuntutan kita itu? Tuntutan kita adalah tuntutan munasabah. Kita bukan hendak merusuh atau melakukan revolusi atau ingin menumbangkan kerajaan dengan mengadakan demonstrasi di jalan raya. Lapan tuntutan seperti celup dakwat, tempoh berkempen 100 hari dan akses kepada media merupakan tuntutan yang kita kira munasabah.

Tetapi apabila kita hendak menghidupkan 'Kuningkan Sabtu', BN menggunakan polis untuk menghalang setiap program yang kita lakukan. Walau bagaimanapun, kita tetap akan teruskan dengan pelbagai program pada setiap Sabtu tetapi dengan program-program seperti yang kita nyatakan di atas sempena Ramadan ini. Kita juga boleh menyatakan sokongan kita dengan menyemarakkan 'semangat kuning' ini dengan mengenakan tema kuning pada Aidilfitri nanti. Itu sebagai tanda sokongan yang penuh simbolik.

Apa langkah Pemuda PAS untuk menyedarkan masyarakat di luar bandar khususnya di kalangan orang Melayu yang tidak mendapat maklumat benar tentang Bersih 2.0 ini?

Kita juga meminta Pemuda PAS dan Jawatankuasa PAS kawasan mempergiatkan aktiviti memberi penerangan kepada masyarakat mengenai apa yang kita tuntut kepada SPR pada 9 Julai lalu supaya dapat dijelaskan kepada masyarakat luar bandar. Saya kira masyarakat luar bandar dan pinggir bandar yang mempunyai akses kepada media dan internet mungkin sudah mengetahui dan memahami tentang lapan tuntutan Bersih ini.

Mungkin masalah tentang memahami perkara ini timbul di kalangan masyarakat luar bandar. Kami akan menerbitkan poster dan kalendar 2012 yang menerangkan mengenai lapan tuntutan Bersih ini. Kami juga telah mengeluarkan arahan kepada PAS kawasan menjual kalendar Bersih ini dengan harga yang amat murah. Dan kita minta kalendar ini dibingkaikan dan ditampal di rumah masing-masing. Maknanya setiap rumah ahli atau penyokong PAS ini mesti mempunyai poster dan kalendar Bersih dan digantung di tempat yang menjadi tumpuan tetamu. Sekurang-kurangnya tetamu yang datang itu, jika dia belum memahami atau langsung tidak mengetahui apa itu tuntutan Bersih, akan bertanya kepada tuan rumah.

Ini cara untuk menterjemahkan Bersih?

Lapan tuntutan ini sebenarnya boleh diterjemahkan. Selain itu kita juga meminta kerjasama Lajnah Penerangan dan Lajnah Tarbiah supaya semua ustaz-ustaz menggunakan sedikit waktu apabila memberi tazkirah atau kuliah agama tentang mengapa perlunya untuk mengembalikan pilihan raya yang adil, bebas dan saksama dalam sistem demokrasi di negara ini.

Di peringkat Pemuda PAS Pusat, Lajnah IT sedang menyiapkan cakera padat (CD) yang akan kita edarkan kepada 1.2 juta warga kota yang akan balik bercuti sempena hari raya nanti. Itu antara perancangan kita bagi mobilisasi kelangsungan aktiviti Bersih 2.0 ini. Kita tidak mahu ia mati pada 9 Julai.

Ramai yang beranggapan tuntutan Bersih 2.0 ini hanya untuk kepentingan politik. Bagaimana Pemuda PAS hendak menangkis dakwaan ini?

Ini bukan politik. Kami kira tuntutan Bersih 2.0 ini bukan hanya melibatkan golongan pembangkang. Sebagaimana yang kita lihat pada Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah turut menyokong tuntutan Bersih 2.0. Dalam ceramah-ceramah kita yang menyentuh mengenai Bersih 2.0 ini, kita sanggup kalah seribu tahun lagi selagi sistem pilihan raya kita tidak adil.

Selepas Debat 'Apa Selepas 9 Julai?', tidak nampak ada banyak diskusi dianjur tentang Bersih seperti forum dan seminar. Kenapa kesuraman ini berlaku?

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat, melalui jabatan pilihan raya, kita telah mengumpul data-data dan bukti pertindihan seorang pengundi yang boleh mengundi dua kawasan parlimen. Ia melibatkan perkara-perkara teknikal. Sebab itu saya tidak mahu menguarkannya dahulu. Baru-baru ini sewaktu kami membuat laporan polis mengenai perkara ini, kita cuma mendedahkan empat dan lima nama sahaja. Kami dapati kad pengenalan lama dia betul tapi my kad dia empat angka terakhir diubah. Sebagai contoh dalam kad pengenalan asal namanya Mohd tapi dalam mykad diubah kepada Muhd. Yang perempuan pula contohnya ejaan Binti ditukar kepada Bt. Jadi dia boleh mengundi di lokasi yang berbeza.

Bagaimana ini boleh terjadi? Sedangkan pengerusi SPR mengatakan data ini sudah dibersihkan...

Insya-Allah perkara ini kami akan dedahkan secara besar-besaran. Di Selangor, kami dapat dedahkan hampir 17,000 pengundi yang bertindan yang dapat mengundi di kawasan parlimen yang berbeza dalam satu-satu pilihan raya. Jabatan Pilihan Raya di setiap PAS negeri juga tengah mengumpulkan bukti. Pada 4 Ogos nanti bertempat di Hotel De Palma, Ampang, kita akan mengadakan forum bagi menjawab semula jawapan diberikan SPR dalam Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru- baru ini. Kita akan menjawab semula segala jawapan yang diberikan SPR berdasarkan buku yang diedarkan badan tersebut. Kita juga akan menjawab segala persoalan kenapa relevan lapan tuntutan tersebut.

Kelantan Tiada Ancaman Penyebaran Kristian

Kota Bharu - Kerajaan Negeri mengesahkan tiada ancaman berhubung penyebaran agama Kristian di kalangan masyarakat Islam di Kelantan setakat ini dan jika ada laporan rasmi pihaknya akan segera menjalankan siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima laporan rasmi mengenai perkara itu dan jika ada tindakan susulan pasti dilakukan.

“Secara rasminya tiada laporan diterima dan jika ada Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan menyiasat kesahihannya sebelum tindakan lanjut diambil.

“Setakat ini Kelantan tiada lagi ancaman nyata berkaitan penyebaran agama itu dan Kerajaan Negeri tidak menerima mana-mana laporan rasmi terdapatnya usaha murtadkan masyarakat Islam di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai wujudnya penyebaran agama itu secara halus di kalangan masyarakat Islam khususnya golongan ibu tunggal, mualaf dan miskin di beberapa negeri tanpa disedari.

Menurutnya, pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (JHEAIK) sentiasa bersedia menjalankan siasatan jika menerima laporan rasmi mengenai kewujudan perkara itu.

Katanya, pemantauan terhadap gereja-gereja pula hanya boleh dilakukan selepas adanya laporan rasmi diterima dan pihaknya tiada hak untuk memasukinya sesuka hati.

Mohamad Amar berkata, penuntut UiTM, Mohamad Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19 yang cuba keluar Islam pada 24 April lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pula bukan berlaku di Kelantan tetapi di Terengganu.

“Pelajar berasal dari Kelantan itu sudah insaf dan kini dibawah pengawasan JHEAIK selama enam bulan selepas diperintah menjalani beberapa hukuman,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pendekatan termasuk program keagamaan berterusan dilaksanakan pihaknya dalam usaha mengelak perkara seumpama itu berlaku seperti meningkatkan usaha dakwah di seluruh negeri.

Sebagai contoh, katanya, program bulan sembahyang, bertadarus, kewujudan unit halaqat dan sebagainya dilakukan demi mendekati umat Islam dan memberi kefahaman mendalam kepada masyarakat mengenai agama Islam.

Mohamad Amar berkata, pihaknya turut menyalurkan peruntukan kepada Yayasan Islam Kelantan dan menambah peruntukan kepada guru-guru agama supaya dapat melaksanakan dakwah lebih berkesan di Kelantan. -SH


‘Banyak usaha pujuk umat Islam murtad’

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata banyak usaha dilakukan pihak tertentu untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam di negara ini, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa agama Islam termasuk pimpinan tertinggi bagi menyekat aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan bukan saja ramai umat Islam memeluk Kristian, malah ada yang memeluk agama Hindu dan agama lain terutama saudara baru seperti India Muslim.

“Apabila saya dedahkan laporan Persatuan Paderi Malaysia yang mengisytiharkan lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian pada 2008, tiada tindakan diambil, malah kata saya itu didustakan.

“Hakikatnya banyak (murtad), bukan sekadar masuk Kristian tapi Hindu pun ramai, saya tahu banyak usaha dibuat bukan Islam untuk pengaruhi Islam, malah ada mengakui poketnya sentiasa ada RM30,000 hingga RM50,000 bagi mempengaruhi umat Islam memasuki agama mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Siri Bicara Agung Panggung Dakwah di sini, semalam.

Majlis itu dilancarkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali.

Harussani berkata, antara strategi diguna gereja mempengaruhi umat Islam termasuk mengadakan aktiviti memberi makanan seperti di sekitar masjid pada waktu solat Jumaat dan Maghrib selain mengedar risalah agama ke rumah dan memberi wang kepada pelajar.

“Pernah terjadi sekumpulan pemimpin dari Subang Jaya termasuk bergelar Datuk berjumpa saya untuk memberitahu ada gereja sebarkan agama pada pelajar, beri duit dan bible dan perkara terbabit dilaporkan pada polis, tapi tiada tindakan. Saya juga hubungi pihak berkuasa, tapi jawapannya, kami nak buat macam mana,” katanya.

Beliau yang kesal dengan sikap itu, meminta pimpinan tertinggi membanteras aktiviti berkenaan daripada menjadi serius selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. -BM