24 Mac 2010

Musa Hassan Bohong Ada Ijazah Undang-Undang?

Di ambang persaraan beliau daripada pasukan polis yang diceburinya lebih 30 tahun, satu laporan polis telah dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung dakwaan mengenai latar belakang pendidikannya semasa perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Damansara Utama pada pukul 2.30 petang tadi oleh Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Lee Hoy Sian serta penyokong parti KEADILAN.

Menurut Sivarasa, Musa menyatakan beliau mempunyai ijazah undang-undang tetapi memberitahu Mahkamah Sesyen pada 2009 beliau mempunyai diploma undang-undang dan kajian pengurusan.

Beliau mendedahkan maklumat itu semasa perbicaraan rasuah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff.

"Semasa kes perbicaraan Anwar pada tahun 1998 di mana Musa Hassan sebagai Pegawai Siasatan, beliau menyatakan di depan Hakim Augustine Paul dengan mengatakan beliau mempunyai ijazah apabila disoal oleh peguam Christopher Fernando.

"Tetapi semasa di Mahkamah Sesyen Sabah, Musa dalam prosiding kehakiman memberitahu beliau mempunyai diploma undang-undang dan kajian pengurusan,

"Ini bermakna Musa telah memberikan kenyataan palsu bahawa beliau mempunyai ijazah undang-undang ketika disoal balas dalam perbicaraan Anwar, tetapi pada hakikatnya beliau cuma mempunyai diploma undang-undang.

"Musa boleh disiasat di bawah seksyen 191 kanun keseksaan kerana memberi kenyataan palsu di dalam prosiding kehakiman", kata Sivarasa kepada Suara Keadilan. -SK

SPR Ikut Telunjuk Najib Tolak Pilihan Raya PBT

Suruhanjaya Pilihan Raya menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih Ahli Majlis.

Permohonan tersebut ditolak melalui surat yang difaks semalam kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng daripada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof .

Surat sepanjang sepuluh muka surat memberikan alasan bahawa semua peruntukan undang-undang telah dimansuhkan dan terhenti berkuatkuasa dengan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan kekesalan kerajaan negeri terhadap keputusan tersebut yang dibuat tanpa perbincangan bersama.

"Mengikut Seksyen 113(24) menyatakan jelas bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya dengan menggunakan Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang hari ini masih wujud dan tidak dimansuhkan lagi.

"Saya amat kesal kerana SPR membuat keputusan sebelum berbincang dengan kerajaan negeri, kegagalan SPR ini menunjukkan ia telah melanggar prinsip kebebasan dan berkecuali.

"Adakah keputusan ini dipengaruhi oleh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak bersetuju dengan cadangan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

"Ini mengambarkan SPR sebenarnya bukan badan bebas tetapi telah dipengaruhi dengan keputusan Najib untuk tidak membenarkan pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan,

"Oleh yang demikian kerajaan negeri akan bermesyuarat dan mengkaji kandungan surat tersebut sebelum mengambil tindakan yang selanjutnya", tegas Lim.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghantar surat bertarikh 4 Mac 2010 untuk memohon SPR menjalankan pilihan raya Kerajaan Tempatan bagi dua Majlis Perbandaran yang berdasarkan Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. -SK

Ulasan GB

Sandiwara SPR ini telah lama kita tahu. GB telah pun meramalkan bahawa SPR akan menolak syor yang dikemukakan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tersebut.

Di dalam tulisan terdahulu GB telah megulas:


SPR tak perlu berlakon atau bersandiwara dengan rakyat. Rakyat semua dah tahu bahawa SPR tidak akan menyetujui pilihanraya PBT. Mana rakyat tahu? PM, Najib sendiri sudah menolaknya.

Dan semua orang tahu sudah lama hilang kredibilitinya sebagai badan bebas dan profesional. Mana tahu, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sendiri yang dah lama di dalam SPR tahu mengapa rakyat sudah tidak yakin dan percaya peranan yang dimainkan oleh SPR.


Kalau Zahrain boleh gigit Anwar, Zahrain juga boleh gigit Najib - Ghapur

Ahli Parlimen (MP) Kalabakan, Ghapur Salleh menyifatkan MP Bayan Baru dari Pulau Pinang, Zahrain Hashim yang keluar meninggalkan PKR sebagai bodoh dan mungkin diberi ‘sejumlah wang tertentu’ sehingga sanggup menikam kembali bekas parti lamanya.

Ghapur turut mengkritik Zahrain yang hanya menamakan lapan MP dari Barisan Nasional yang diajak meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat (PR) menjelang 16 September 2008 tetapi pada masa yang sama menyembunyikan nama-nama yang lain.

Menurut Ghafur, kenyataan Zahrain itu sesuatu yang bodoh kerana jika PR ingin membentuk kerajaan baru pada 16 September 2008, gagasan itu memerlukan lebih dari 30 MP dari BN.

“Jadi kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, itu kenyataan bodoh-bodoh punya. Mahu tubuh kerajaan yang dianjurkan oleh pembangkang, mesti ada 30 orang (MP yang) mahu lompat.

Dia sebut beberapa orang sahaja yang lompat. Mana dia punya sekolah (2x),” katanya yang turut menerima tepukan gemuruh dari MP BN dan PR.

Berikut ialah transkrip menarik ucapan Ghapur Salleh di Dewan Rakyat.


“Ada isu yang baru, yang baru Datuk Speaker ialah berkenaan Berita Harian 19hb. Saya tidak pernah lompat parti (seperti mana yang dilaporkan Berita Harian).

Daripada saya masuk BN sampai sekarang tidak pernah lompat parti.

Kalau saya lompat sudah bererti saya sudah tidak ada kepercayaan kepada parti (BN).

Jadi kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen (MP) Bayan Baru, itu kenyataan bodoh-bodoh punya. Mahu tubuh kerajaan dianjurkan oleh pembangkang, mesti ada 30 orang mahu lompat.

Dia sebut beberapa orang sahaja yang lompat. Mana dia punya sekolah (menyebut perkataan ini sebanyak dua kali).

Dalam (akhbar) Utusan Anwar umpan dia kata. Ini tuduhan betul lapan, termasuk Tengku Razaliegh (MP Gua Musang) kena umpan (untuk melompat parti menyertai pembangkang). Termasuk saya kena umpan.

Saya sudah katakan saya tidak pernah jumpa tidak pernah dipujuk dan tidak pun pergi Taiwan. Tidak ada pergi Taiwan saya.

Bererti saya bukanlah golongan yang dipujuk untuk lompat.

Jadi ini bererti umpan yang dibagi kepada rakan mungkin tidak cukup jadi tidak jadi lompat.

Umpan yang di bagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, itu sebab dia lompat ( meninggalkan PKR - Dewan Rakyat bergemuruh dengan sorakan).

Saya mahu dia MP Bayan Baru ini tarik balik bahawa saya tidak lompat dan dia akan namakan semua (MP) yang mahu lompat. Kenapa pilih -pilih, pilih-pilih.

Mungkin dia (Zahrain Hashim) lompat ada yang dia minta dari kerajaan Pulau Pinang tak dapat (Dewan ketawa).

(Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu punca Zahrain keluar PKR kerana gagal mendapat projek tertentu di negeri itu)

Dia tak dapat hingga dia gelar orang Komunis (MP Bagan merangkap Adun Air Putih di Pulau Pinang, Lim Guan Eng).

Bolehkah saya dalam dewan (rakyat) ini tunjuk satu orang di antara kita ini komunis? boleh? ( MP dalam dewan mencelah kata tak boleh…tak boleh…)

Ini salah dari segi peraturan. Mana boleh duduk dalam Dewan Rakyat, Dewan (Undangan) Negeri seorang Komunis.

Ini saya tidak tahu yang dia kata. Dua tahun (Zahrain) dalam PKR, 16 September dua kali (tahun 2008 dan tahun 2009), dia tidak fikirkah? dua tahun baru dia lompat (keluar PKR). mengapa tidak lompat awal-awal?

Umno jangan terima Zahrain, kata Ghapur

Sekarang (Zahrain) sudah jadi bebas, kocek pun mungkin sudah penuh (Dewan riuh dengan tepukan MP) dan sekarang mahu diterima masuk Umno.

Tolong Umno, jangan terima orang seperti ini (menyebut perkataan ini sebanyak dua kali).

Kalau dia boleh gigit (Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketua dia, dia boleh gigit ketua kita juga (Presiden Umno, Najib Razak).

Ini yang sebenarnya Datuk Speaker, reporter berpuluh reporter termasuk (wartawan dari) Newspaper (berbahasa) Cina telefon saya.

Ini ada kenyataan begini-begini, saya bilang (kata) tunggu, saya akan luahkan di parlimen. Kerana ini secara Official saya mahu jawab dan saya mahu Bayan Baru ini tarik balik dan saya mahu dia minta maaf kepada saya.

Dia ada di sini atau tiada tetapi saya mahu (Dewan kata dia ada…ada… ada…). Mungkin sekarang sudah gemuk (sambil menunjukkan badan seorang yang gemuk), sudah kenyang jadi macam-macam tohmahan (yang diucapkan oleh Zahrain terhadap orang lain).

Saya minta maaf sahaja. Kalau orang seperti ini (Zahrain Hashim) masuk Umno, mungkin Orang Umno sendiri yang akan keluar.

(ketika ini Zahrain berdiri dengan muka merah padam untuk mencelah namun tidak diberi laluan oleh Ghapur kerana kesuntukan masa)

Soalnya kenapa waktu itu dia tidak keluar.

Saya tahu habuan yang dibagi mungkin (Dewan terus bergema dengan sorakan dan ketawa Ahli Parlimen).

Pada mulanya saya tidak mahu sentuh ini, tapi apabila saya dibabit, bukan saya kata tidak boleh, you babit saya tapi babitkanlah semua yang ada, yang pergi Taiwan, semua disenaraikan. Tak apalah.

Zahrain tidak baca Surat Khabar ?

Mungkin ini Bayan Baru tak baca Newspaper. Berapa orang pergi Taiwan, saya tidak pergi.

Kita mahu dan kita minta Berita Harian, TV1, TV3, (Astro) Awani, keluarkan kenyataan saya ini dengan penuh seperti mana Bayan Baru dapat liputan (Dewan riuh sekali lagi).

Kalau tidak (laporkan ucapan penuh Ghapur Salleh), ini sekongkol jugak.

Ini saya minta sebab semua (media pro Umno/BN termasuklah) Berita Harian pun penuh muka (laporan penuh di muka hadapan akhbar itu). -erapakatan

Kenyang Makan Hasil Judi, Umno-BN Lulus 60 Cabutan Judi Bagi 2010

Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gagal mengawal pengeluaran lesen judi dan memberi kelulusan 60 cabutan khas "Special Draw" untuk tahun 2010.

Pada sidang media yang diadakan di perkarangan lobi Parlimen Ahli Parlimen Rasah Loke Siew Fook menjelas tindakan kerajaan memberi kelulusan kepada cabutan khas itu selain satu strategi untuk menambah hasil cukai negara boleh juga mendatangkan masalah sosial serta mengalakkan rakyat untuk terus berjudi.

"Kerajaan sepatutnya membatalkan kelulusan yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat perjudian bagi cabutan khas. Apa yang saya nak maklumkan di sini Kerajaan secara tidak sedar telah mengambil wang rakyat melalui cabutan khas itu," kata Loke.

Loke merujuk kepada pertanyaan lisan yang meminta Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak menjelaskan jumlah cukai dan duti yang dikutip oleh kerajaan melalui kelulusan cabutan khas itu.

"Dari jawapan bertulis yang diberikan kerajaan telah bersetuju membenarkan enam operator ramalan yang dilesenkan oleh kerajaan iaitu Sports Toto, Magnum Corporation, Pan Malaysian Pools (PMP), Sandakan Turf Club (STC), Diriwan Corporation dan Sarawak Turf dan Ekuestrian Club (STEC) bagi mengadakan cabutan khas sebanyak dua puluh hari cabutan khas secara serentak.

"Jumlah hasil yang dikutip oleh Kerajaan daripada cabutan khas tahun 2010 sehingga 16 Februari berjumlah RM21 juta," jelas beliau kepada media.

Beliau berkata kerajaan juga menggunakan khidmat operator nombor ramalan secara sistem pesanan ringkas (SMS) dengan jumlah kutipan cukai sebanyak RM1.2 bilion.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan tindakan segera perlu diambil dengan membatalkan kelulusan yang telah diberikan.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan dengan membatalkan kelulusan yang telah diberikan, selain itu satu memorandum akan diberikan kepada Perdana Menteri meminta penjelasan dan pendirian kerajaan berhubung isu ini. Dalam memorandum itu kita akan dapatkan tandatangan kesemua Ahli Parlimen bagi menyatakan pendirian mereka mengenai masalah tersebut," kata Dr Dzulkefly.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail pula menyokong desakan tersebut dan menyifatkan kelulusan yang diberikan itu sebagai jalan singkat kerajaan untuk mengumpul sumber kewangan negara yang semakin susut.

"Kelihatan tindakan kerajaan membenarkan lebih banyak cabutan ini kerana tekanan mencari sumber kewangan. Lebih banyak kelulusan yang diberikan maka lebih banyak wang masuk ke dalam akaun kerajaan, tetapi impak kelulusan itu kerajaan tidak pernah fikir atau ambil berat. Kita juga harap kerajaan mengawal kelulusan lesen judi jika ada permohonan baru dan semak semula penyambungan kontrak syarikat-syarikat yang sedia ada.

"Kesan yang akan timbul adalah masalah sosial dan wang dalam poket rakyat diambil oleh kerajaan dengan secara senyap. Dengan memorandum yang kita akan berikan Pakatan Rakyat berharap Menteri Kewangan dapat memberi jawapan dalam pengulungan hujahnya minggu depan," kata beliau. - sk



Peminjam TEKUN Hadapi Risiko Disenaraihitamkan

Peminjam Gagal Lunas Pinjaman Tekun Nasional Akan Disenarai Hitam

KUALA LUMPUR: Peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional akan disenarai hitamkan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata organisasi berkenaan sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara untuk menyenaraikan peminjam engkar di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

"Kaedah pembiayaan yang dikeluarkan Tekun Nasional adalah mudah iaitu tanpa penjamin dan cagaran, sebilangan usahawan gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual," katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Mohd Hayati ingin tahu jumlah hutang Tekun Nasional yang belum dijelaskan dan antara usaha yang dilakukan untuk mengambil balik hutang tersebut.

Noh berkata 198,739 pembiayaan yang bernilai RM1.47 bilion dikeluarkan kepada 159,587 usahawan bumiputera di seluruh negara sehingga 28 Februari lepas.

"Daripada jumlah itu 17 peratus iaitu 33,149 pinjaman dengan nilai tunggakan RM133.27 juta masih belum dijelaskan oleh peminjam," katanya.

Beliau berkata untuk meningkatkan kutipan bayaran balik, Tekun Nasional mengambil beberapa tindakan antaranya dengan mengeluarkan surat rayuan yang juga dikenali sebagai "Surat Menangis" kepada peminjam tegar yang mempunyai tunggakan tinggi.

"Sekiranya masih gagal, surat peringatan dari Jabatan Undang-undang Tekun Nasional akan dikeluarkan untuk tindakan undang-undang diambil," katanya.

Noh berkata sehingga kini, Tekun Nasional melantik enam syarikat guaman di seluruh negara dan surat-surat tuntutan sudah mula dikeluarkan kepada usahawan yang berkenaan.

"Ops Kutip juga dilancarkan di seluruh negara di samping menawarkan insentif bayaran balik seperti pengurangan caj perkhidmatan dan rebat penyelesaian awal. Selain itu, Tekun Nasional turut memperketatkan syarat-syarat pinjaman, bagi menawarkan pinjaman hanya kepada usahawan tulen sahaja," katanya.

Noh juga menafikan dakwaan Mohd Hayati dalam soalan tambahan bahawa kebanyakkan peminjam Tekun Nasional adalah terdiri daripada penyokong atau anggota Umno.

"Bolehkah sesiapa buktikan daripada 159,587 usahawan yang diberikan pinjaman itu, tidak ada seorang pun daripada anggota PAS?" tanya Noh.

Ulasan GB

Dengan keputusan kerajaan untuk senaraihitamkan peminjam TEKUN, bererti akan lebih ramai usahawan tidak lagi berminat untuk membuat pinjaman melalui TEKUN.

TEKUN dilihat sebagai badan yang tidak profesyenal, hanya memberi pinjaman kemudian memungut hutang. Apabila hutang gagal dibayar hendak disenarai hitamkan.

Ia tidak melihat kepada masalah yang dihadapi usahawan yang membuat pinjaman berkenaan. Soal ekonomi negara yang muram, soal pemasaran yang sukar, soal saingan yang mencabar, soal projek yang tidak berjaya, soal kenaikan kos bahan mentah dan seumpamanya tidak diambil perhatian.

Justeru itu, TEKUN menjadi pengganti kepada along-along malah dasyat seseorang usahawan akan menghadapi risiko disenaraihitamkan, yang tidak dilakukan along.

Perbaiki urusan pemberian pinjaman TEKUN. Bukan bertindak melulu untuk membangkrapkan usahawan.

Rumah Chegubard Diserang Bom Petrol

Setelah membuat dakwaan bahawa pendedahan Zahrain adalah usaha Najib untuk membunuh kerjaya politik mereka yang tak sehaluan dengannya semalam, rumah ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard, di Seremban menjadi sasaran serangan bom petrol awal pagi ini — dipercayai perbuatan bermotifkan politik.

Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan kerosakan teruk kecuali kesan kebakaran di lantai dan dinding luar rumah teresnya yang terletak di Taman Chedang, Seremban, demikian lapor Malaysian Insider.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Rembau berkata beliau sedar rumahnya dibaling dengan botol bom petrol kira-kira 1.30 pagi.

“Kira-kira 1.30 pagi tadi saya terdengar bunyi kaca pecah dan apabila saya dari keluar rumah, saya nampak api di luar rumah dan secara kebetulan jiran saya menggunakan air dari paip luar rumah untuk memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi awal pagi.

Turut berada di rumah ketika kejadian ialah isteri dan dua anaknya.

Ini kali pertama rumahnya dibaling dengan bom petrol, kata beliau.

Keretanya juga mengalami kesan kebakaran tetapi tidak rosak teruk.

“Saya tidak pasti apa punca tindakan pihak yang membaling bom petrol ke atas rumah saya kecuali saya percaya ini dilakukan oleh musuh-musuh politik saya,” kata beliau yang lazimnya lantang menyuarakan isu berkaitan kepimpinan peringkat negeri dan juga pusat.

Bekas calon pilihan raya umum ke-12 bagi kerusi Parlimen Rembau ini membuat laporan polis kira-kira 3 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat diberikan jiran saya, mereka ada lihat dua orang yang menaiki motosikal membaling bom petrol ini,” katanya.

Chegubard sebelum ini juga telah menghasilkan sebuah buku bertajuk "Di Sebalik Misteri Pembunuhan Altantuya" yang mengaitkan Najib dan Rosmah di dalam pembunuhan Altantuya, seorang warga Mongolia.


Saifuddin Dakwa Seorang Pejuang Melayu Tulen Ada Saham Judi

Walaupun ia sebenarnya dilesenkan parti pemerintah, Pakatan Rakyat hari ini mempelawa Umno untuk duduk semeja bagi membincangkan masalah judi yang semakin berlebih-lebihan di negara ini.

Malah, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan Rakyat sedia bersama-sama dengan Umno menghasilkan memorandum bersama, khususnya dengan Pemuda Umno bagi menangani masalah berkenaan.

Bercakap pada sesi perbahasan Dewan Rakyat, beliau turut mempersoal kesahihan dakwaan Ahli Parlimen Bebas, Ibrahim Ali diberi lesen perjudian Ascot Sports untuk tempoh 20 tahun, melibatkan lumba kuda, bola sepak dan sebagainya.

Secara tegas, beliau menyifatkan perjudian tidak membawa sebarang manfaat, malah hasil judi juga tidak membawa sebarang keberkatan, khususnya kepada umat Islam.

Mengikut taksiran Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 1983), perjudian adalah permainan berasaskan nasib atau kepandaian dan nasib bagi pertaruhan wang atau barang ganti wang.

Ironinya, isu judi bukan dibawa Ahli Parlimen Umno sebaliknya dibangkitkan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke dari DAP yang mencelah perbahasan Saifuddin sebelum mengajukan soalan kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Sehubungan itu, Saifuddin mempelawa Umno supaya berlapang dada dan duduk semeja serta membuat memorandum bagi membuat keputusan tegas mengenai aktiviti perjudian di negara ini. -TVS


Saifuddin: 'Pejuang Melayu tulen ada saham judi'

Ahli parlimen Machang Saifuddin Nasution memohon kerajaan menjelaskan kelulusan lesen judi yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dikuasai Tan Sri Vincent Tan.

Berucap ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini, Saifuddin (kiri) turut mengaitkan MP Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali yang didakwa turut mempunyai saham dalam syarikat berkenaan.

"Pasir Mas, pejuang tulen pun ada saham juga, itulah wajah sebenar pejuang Melayu. Untuk itu kita minta kementerian kewangan jelaskan perkara berkenaan," dakwanya lagi.

Tambahnya, syarikat yang dinamakan Ascot Sports itu diberikan ruang sehingga 20 tahun untuk menjalankan perniagaan pertaruhan.

Jelasnya, perniagaan itu membabitkan pertaruhan untuk lumba kuda, bola sepak dan sukan-sukan lain.

"Syarikat ini membayar yuran operasi sebanyak 20 juta kepada kerajaan dalam urusniaga sebesar RM1bilion.

"Sudah tentulah lesen ini diberikan oleh menteri kewangan, saya difahamkan menteri kewangan dan perdana menteri sebelum Abdullah Badawi mengambil alih kuasa.

"Menteri kewangan ini adalah presiden Umno, Umno ialah parti agama bangsa dan negara," katanya lagi.

Tambahnya, maklumat tersebut diperolehinya melalui buku tulisan Barry Wain berjudul Malaysian Maverick yang setakat ini masih dalam penilaian oleh kerajaan. - mk



Titi Tinggi: AMK Sudah Bersedia, Tunggu Lampu Hijau Untuk Pilihanraya Kecil

Lampu hijau. Itu sahaja yang diperlukan jentera nasional sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat untuk turun menggempur Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi, Perlis.

Dalam perkembangan terbaru di utara tanahair, Adun Titi Tinggi Yip Sun Onn meletakkan jawatan seraya mencetuskan kemungkinan pilihanraya kecil diadakan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengesahkan Adun MCA itu telah menyerahkan surat perletakan jawatan. BN dalam usaha memujuk Sun Onn untuk menarik balik keputusannya itu.

Mohd Isa dan Pengerusi MCA Perlis Datin Paduka Chew Mei Fun menegaskan perletakan jawatan ini masih belum muktamad, malah Speaker Perlis Yazid Mat juga dilaporkan enggan menyerahkan surat perletakan jawatan Titi Tinggi kepada Suruhanjaya Pilihanraya.

Sekiranya surat itu sampai ke pihak SPR, suruhanjaya itu terpaksa mengumumkan piliharnaya kecil di kerusi itu dalam masa 60 hari.

"Sekiranya pilihanraya kecil diumumkan di Titi Tinggi, Angkatan Muda Keadilan akan turun padang sebaik sahaja mendapat restu dari pucuk pimpinan parti," kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin.

Dalam PRU12 lalu, MCA menewaskan calon PKR, Keria Senawi, dan calon bebas Mohamad Razi dengan majoriti 1,814 undi. -TVS



Awang Selamat Biadab, PR Desak Utusan Malaysia Pohon Maaf Dari Sultan Selangor

Pakatan Rakyat mendesak Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh rakyat Malaysia berikutan sikap biadap mereka melalui satu penyiaran rencana.

Rencana melalui kolum Awang Selamat terbitan Kumpulan Utusan Malaysia, sebuah akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional mempertikai keputusan baginda yang membatal hasrat untuk merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shaari menggesakan rencana bertajuk 'Perkasa, Ibrahim dan Kedudukan Melayu' bertarikh 21 Mac itu mempertikai keputusan baginda, dihentikan kerana berbaur perkauman.

"Keputusan pembatalan itu bagi mengelakkan kontroversi dan manipulasi pihak tertentu. Kami ahli DUN Selangor PR membantah sikap biadap yang ditunjukkan oleh Awang Selamat dan Utusan.

“Jelas Awang Selamat cuba membayangkan tindakan beliau dan Dr Mahathir dalam mesyuarat pertama Perkasa lebih baik daripada keputusan Sultan Selangor yang membatalkan kehadiran baginda.

Amirudin juga memuji sikap dan keputusan Sultan Selangor serta menggesa semua pihak menghormati keputusan berkenaan yang disifatkannya bijak.

"Institusi Raja bukan sahaja mengetuai hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu tetapi menjadi payung dan ketua negeri terhadap simbol perpaduan,” katanya.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa Pakatan Rakyat dalam konvensyen pertama berikrar memperjuangkan institusi diraja, kedudukan bumiputera dan martabat bahasa Melayu, selaras dengan semangat keadilan dan kebebasan.

Amiruddin juga mempersoalkan di manakah Awang Selamat ketika bahasa Melayu diperlekeh, tanah rizab Melayu terhakis politikus Melayu yang merompak kekayaan negara demi kepentingan peribadi.

Pakatan Rakyat Selangor Pertahan Keputusan Sultan

SHAH ALAM, 23 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Selangor mahu membawa usul mengecam Kumpulan Utusan pada persidangan DUN yang bermula 12 April depan.

Ini ekoran tindakan akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan tulisan yang seolah-olah mempersoalkan keputusan Sultan Selangor membatalkan untuk merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada 27 Mac ini.

Penulis kolum, Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu menulis, "di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya-raya ketika raja-raja Melayu dicabar" yang dianggap biadap terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

ADUN Batu Caves Amirudin Shari berkata Sultan Selangor telah mengambil keputusan bijak bagi mengelakkan sebarang kontroversi membabitkan imej dan peribadi bagindase bagai ketua negeri Selangor.

"Keputusan pembatalan itu bagi mengelakkan kontroversi dan manipulasi pihak tertentu. Kami ahli DUN Selangor PR membantah sikap biadap yang ditunjukkan oleh Awang Selamat dan Utusan.

“Jelas Awang Selamat cuba membayangkan tindakan beliau dan Dr Mahathir dalam mesyuarat pertama Perkasa lebih baik daripada keputusan Sultan Selangor yang membatalkan kehadiran baginda," kata Amirudin pada sidang media di Bangunan SUK hari ini.

Tulisan Awang Selamat juga mempertahankan peranan Perkasa sebagai benteng kedaulatan institusi Raja Melayu.

"Di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya raya ketika Raja-Raja Melayu dicabar?" menurut tulisan itu lagi.

Walau bagaimanapun Amiruddin mengkritik Awang Selamat kerana berdian diri apabila bahasa Melayu dipermainkan, tanah rizab Melayu terhakis akibat kerakusan pimpinan Umno-Barisan Nasional. -SK




“Saya dedahkan 15 isu penyelewengan Felda walau ditahan ISA” - Mazlan Aliman

Dia kemungkinan berdepan dengan penahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Isa) berikutan pendedahan ke atas 15 isu penyelewengan Felda, tetapi pendiriannya dalam hal ini tetap tidak berganjak.

Ketika mengulas hal penahanannya sebelum ini, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, berkata penyelewengan itu beliau terima hasil aduan anak-anak Felda yang tertindas sebelum ini.

"Saya menerima banyak maklumat yang diberikan ramai pihak berhubung bagaimana penyelewengan berlaku. Saya ada 15 isu yang akan saya dedahkan satu persatu.

"Saya akan dedahkan walaupun saya mendapat maklumat bahawa saya dicadangkan untuk ditahan dibawah ISA," katanya dalam suatu acara anjuran Pas kawasan di Mengkarak, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, penahanannya yang terbaru ini bertujuan menakutkan beliau dan masyarakat peneroka untuk menghadiri acara yang dianjurkan sekali gus berusaha menutup kepincangan pengurusan Felda dan kerajaan (BN).

Mengulas hal itu, Mazlan menambah, terdapat banyak perkhabaran sebelum ini yang menunjukkan kerajaan akan melakukan tindakan agresif ke atasnya.

"Penahanan saya adalah untuk menakutkan masyarakat Felda untuk menjemput saya berceramah. Mereka berusaha menutup kepincangan yang dilakukan dalam pengurusan Felda termasuk penindasan terhadap masyarakat peneroka.

Bagaimanapun, katanya, selepas peristiwa yang berlaku di Felda Lembah Klau baru-baru ini, beliau menerima banyak sokongan masyarakat peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu penjelasan diberikan agar kehidupan mereka terbela.

"Selepas saya ditangkap, ramai peneroka khasnya generasi keduanya tak puas hati dan marahkan Felda. Malah, selepas itu makin ramai anak Felda yang mahu menyertai persatuannya kerana tahu inilah saja pentas yang boleh diharapkan bagi membela masa depan mereka," katanya. -erapakatan

Zaid : Kerajaan UMNO BN Pimpinan Najib Akan Tumbang Dalam PRU13

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak perlu risau dengan ahli-ahli yang berpaling tadah dan bertindak keluar parti kerana rentetan peristiwa ini akan memperkukuhkan lagi parti dan gagasan Pakatan Rakyat (PR).

"Saya percaya KEADILAN akan menjadi lebih mantap dengan pemergian mereka ini," kata Penyelaras PR Zaid Ibrahim dalam satu temubual dengan Free Malaysia Today, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada bekas ahli parlimen KEADILAN seperti Zahrain Mohamad Hashim, Tan Tee Beng, Mohsin Fazli dan Zulkifli Noordin yang kini menjadi wakil bebas di parlimen.

Zaid yang juga bekas menteri undang-undang berkata, "kita tidak perlu bimbang dengan mereka yang berpaling tadah dan saya fikir ia lebih baik bagi parti."

Ditanya sama ada beliau percaya beberapa lagi ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri dari parti KEADILAN akan meninggalkan parti seperti mana dakwaan sesetengah pihak beliau berkata, "Sepanjang yang saya tahu, setakat ini tidak ada. Isu ini sengaja dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional (BN) bagi mengucar-kacirkan Pakatan," terang beliau.

Mengenai serangan peribadi terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di parlimen baru-baru ini, beliau menjelaskan, "memang ini dirancang oleh mereka untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Kesungguhan media arus perdana yang pro-Umno-BN ini memainkan isu yang sama setiap hari menunjukkan mereka cuba mengalih perhatian rakyat dari isu-isu yang lebih kritikal.

Menurut beliau, kerajaan Umno-BN pimpinan Perdana Menteri Najib Razak ini tidak akan dapat bertahan lama dan akan tumbang pada pilihan raya yang akan datang.

"Saya yakin BN akan tumbang pada pilihan raya akan datang kerana rakyat sedar dan tahu tentang perangai buruk mereka, amalan rasuah yang parah dan pembohongan para pemimpinnya," ujar beliau.


Zaid berkata, dalam isu royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan misalnya, mereka berbohong kepada rakyat mengenai tiga batu nautikal sedangkan ianya tidak disebut dalam perjanjian di antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri.

Katanya, "mereka menggunakan wang Petronas untuk membina Putrajaya, menyelamatkan projek-projek kroni dan banyak lagi bentuk penyelewengan yang mereka lakukan.

"Berapa banyak wang Petronas yang mereka ambil dan salah gunakan, kita pun tidak tahu kerana tidak ada sistem perakaunan yang sempurna dan tidak telus," tambah beliau.

Baru-baru ini katanya, bekas perdana menteri Mahathir (Mohamad) mendakwa penggantinya Abdullah (Ahmad Badawi) telah menggunakan lebih RM250 juta wang Petronas untuk tujuan-tujuan tertentu, lebih banyak dari masa pentadbirannya (Mahathir).

"Semasa pentadbiran Mahathir sendiri berlakunya ketirisan dalam pengurusan kewangan yang melibatkan berbilion ringgit dan kita tidak tahu secara pasti berapakah jumlah sebenar yang terlibat," katanya.

Menurut beliau, ekonomi kita akan terus merundum jika mereka ini terus memerintah negara ini kerana ekonomi kita tidak lagi berdaya saing, pengaliran modal keluar lebih banyak dari aliran modal yang masuk ke negara ini.

Penglibatan sektor swasta semakin kurang untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan para pelabur serta usahawan tempatan lebih suka melabur di luar negara kerana hasil pulangan dan keuntungan yang lebih tinggi.

"Para pekerja kita tidak mahir, kurang produktiviti, tidak berinovatif, tidak kreatif dan tidak memberi nilai tambah dalam pekerjaan mereka," tambahnya. -FMT

23 Mac 2010

MP BN Bidas Zahrain : Gemuk Dan Kenyanglah Kamu Selepas Melompat!

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Ghafur Salleh mendakwa Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim semakin 'gemuk' dan 'kenyang' setelah beliau bertindak keluar KEADILAN dan menjadi anggota Bebas.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan setelah beliau membidas Zahrain di dalam Dewan kerana menamakan nya sebagai salah seorang antara lapan Ahli Parlimen yang mahu melompat menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008, Ghafur berkata zahrain telah berbohong.

"Saya tidak pernah lompat parti dan ini bererti Zahrain tidak menggunakan fakta yang betul.

"Media seperti Berita Harian, Utusan dan TV3 kata Anwar umpan saya, saya nak tanya siapa yang umpan siapa?,Saya minta Zahrain dedahkan semua 32 nama pemimpin wakil rakyat daripada Barisan Nasional yang ingin melompat.

"Apa yang boleh dikatakan di sini, Zahrain nampaknya sudah gemuk apabila sudah menjadi Ahli Bebas.Saya nak beritahu Zahrain, jangan dengar cerita orang buat masyarakat di tempat saya keliru dan saya mahu tanya kenapa sudah dua kali 16 September, baru kali ini buat keputusan. Tarikh tersebut sudah menjadi sejarah kenapa sekarang baru dipersoalkan," kata Ghafur kepada media.

Ghafur berkata Zahrain perlu menamakan semua nama Ahli Parlimen yang mahu melompat jika dakwaan beliau itu benar dan mempunyai asas.

Sebelum ini Zahrain mendedahkan nama lapan orang wakil rakyat Barisan Nasional semasa perbahasan titah menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong. -SK

Nazri Dikecam Kerana Hina Kaum Wanita Dengan Istilah Anak Betina

Wanita Pakatan Rakyat mengutuk sekeras-kerasnya ungkapan seksis yang dilaungkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat berlangsung semalam, Suara Keadilan dipetik.

Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali berkata penggunaan ungkapan 'anak betina' yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Wanita Pakatan dalam sidang Dewan berkenaan dianggap sebagai satu penghinaan kepada kaum wanita.

"Perkataan 'anak jantan' menerangkan keberanian golongan lelaki tetapi apabila ungkapan 'anak betina' ditujukan pada kami adalah sangat tidak wajar. Kami juga membantah kebiadaban beliau kerana penggunaan perkataan betina itu merujuk kepada binatang sedangkan tempat kami sebagai seorang wanita adalah terpuji dan perlu dihormati," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Merujuk kepada anutan seksisme, Dr Lo' Lo' berkata adalah berlawanan dengan Perlembagan Malaysia dan pengakuan negara dalam mendukung tuntutan untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita (CEDAW).

Ini kerana anutan seksisme membawa pemikiran bahawa satu gender adalah lebih inferior atau lemah dari yang lain.

Ia juga bermaksud mendriskiminasikan gender dan tidak mempedulikan perihal memelihara maruah dan martabat gender, lelaki atau wanita.

"Seksisme dalam Parlimen sering berulang kerana tiada pengharaman terhadap pengujaran dan kelakuan seksis dalam peraturan mesyuarat. Namun apa yang berlaku, Ahli-ahli Parlimen yang seksis yang sepatutnya dihukum bebas lepas begitu sahaja," ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Wanita Pakatan menyeru seluruh wanita Malaysia supaya menyenaraihitamkan Ahli Parlimen yang seksis dengan tidak akan memilih calon-calon ini dalam pilihan raya akan datang.

Sementara Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin melahirkan rasa kecewa beliau bilamana selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan masih terdapat di kalangan Ahli Parlimen lelaki yang gagal memahami konsep seksisme.

"Saya betul-betul kecewa kerana sehingga kini Ahli Parlimen lelaki masih tak dapat memahami isu keserataan gender dan meletakkan kaum wanita di tempat yang sepatutnya dengan memainkan ungkapan berunsur seksis," katanya.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pula menyarankan Speaker Dewan Rakyat untuk mengambil perhatian ke atas perlakuan sedemikian supaya tidak berulang pada masa akan datang.

"Speaker hendaklah bersikap tegas dengan menegur mana-mana Ahli Parlimen atau mengambil tindakan serius berhubung perkara ini."

Hadir sama dalam sidang media tersebut, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Chong Eng.

MP BN Semakin Kecut, Zahrain Dedahkan Bukan 8, Tapi 40 Yang Nak Melompat

Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim sekali lagi membuat kenyataan yang mengejutkan apabila mendakwa sebenarnya seramai 40 wakil rakyat Barisan Nasional yang mahu melompat menyertai Pakatan raklyat pada 16 September 2008 dan bukannya lapan seperti yang dikatakan beliau sebelum ini.

"Sebenarnya ada ramai lagi nama yang tidak saya sebutkan, saya cuma baru dedahkan lapan nama sahaja tapi sebenarnya ada 34 hingga 40 orang Ahli Parlimen BN.

"Ahli Parlimen Kalabakan pun rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sebenarnya saya keluar parti kerana parti ingin hadapkan saya ke Lembaga Displin, saya tersinggung kerana Anwar tak benarkan saya mengkritik kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Saya juga tidak akan dedahkan nama-nama Ahli Parlimen yang lain seperti yang dicabar oleh Ahli Parlimen Kalabakan.

"Saya terkejut kerana Kalabakan membuat serangan peribadi dan tidak memberikan saya laluan untuk menjawab di dalam Dewan dan saya terpaksa menjawab melalui sidang media ini," kata Zahrain pada sidang media di luar Dewan petang tadi.

Sebelum itu Ghafur mendakwa Zahrain membuat pembohongan dan meminta beliau menamakan Ahli Parlimen yang disebut akan melompat pada 16 September 2008.

Dalam sidang media yang ditemani Ahli Parlimen Kulim Zulkifli Noordin, beliau enggan mendedahkan nama yang disebut akan meninggalkan Barisan Nasional walaupun dicabar oleh Ahli Parlimen Kalabakan. -SK


Najib Akan Diseret Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

Sidang Dewan Rakyat semalam gempar apabila cubaan pemerintah menyelewengkan fakta bagi menafikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan dibongkar Pakatan Rakyat.

Semalam, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub mendedahkan bahawa Perdana Menteri Najib Abdul Razak cuba menutup penyaluran wang royalti kepada negeri Terengganu sebagai wang ehsan.

Salahuddin bangun dengan mengemukakan usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.

Dalam sidang media beliau berkata Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan dan jika tidak beliau boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Perdana Menteri pada sesi penggulungan November lalu didakwa telah menyelewengkan fakta berhubung hak Kelantan mendapat royalti atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan negeri, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

Beliau berhujah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969 sebenarnya telah pun dimansuhkan.

"Walaupun ordinan tersebut telah dimansuhkan kerajaan telah memperuntukan wang ihsan kepada negeri Terengganu dengan mengambil kira minyak di luar perairan negeri itu," kata Salahuddin.

"Meskipun peruntukan perundangan adalah jelas, kerajaan telah memperuntukan wang ehsan untuk negeri Terengganu dengan mengambilkira pengeluaran minyak di luar pesisir negeri tersebut.

"Dengan menggunakan perkataan wang ehsan, Perdana Menteri telah menyeleweng Dewan yang mulia kerana menurut satu surat yang ditulis oleh Petronas kepada Datuk Setiawangsa, Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Perbendaharaan Negeri Wisma Darul Iman Kuala Terengganu yang bertarikh 19 September 1978 menyatakan anggaran pembayaran wang royalti petroleum 1979.

"Begitu juga surat-surat daripada Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu selepas itu termasuklah kepada Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada tahun 1999 telah jelas menyatakan wang royalti.

"Bagi saya jelas Perdana Menteri telah menyelewengkan Dewan dan dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (12), saya memberi tempoh tujuh hari supaya Menteri membuat penjelasan", jelas beliau dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen.

Dalam pada itu, Speaker meminta tempoh seminggu untuk meneliti semua dokumen dan fakta dan Najib harus menjawab dalam masa tujuh hari dan jika tidak beliau boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan.