5 Jul 2009

MANEK URAI : Ada Staf Kerajaan Tak Dibenarkan Keluar Mengundi

Terdapat segelintir majikan termasuk jabatan kerajaan yang tidak membenarkan pekerja mereka membuang undi pada pilihan raya Dewan Undangan (DUN)Negeri Manek Urai 14 Julai ini, demikian kata Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun.

Menurutnya,jika perkara tersebut berlaku, beliau menjangkakan peratus keluar pengundi akan turun mendadak kerana jumlah pengundi Manek Urai yang berada di luar kawasan melebihi 1000 orang.

“Oleh itu saya menyeru kepada badan berkanun dan jabatan kerajaan melepaskan (pekerja)untuk membuang undi, ia merupakan akta kesalahan pilihan raya seksyen 25 kerana tidak membenarkan pekerja keluar mengundi,” katanya ketika mengadakan sidang media di Markas Induk Pas, di sini , hari ini.

Abdul Fatah berkata, beliau mempunyai bukti bahawa terdapat majikan telah memberi amaran kepada pekerjanya supaya tidak meninggalkan tugasan pada hari tersebut serta menggalakkan agar tidak membuang undi.

Oleh yang demikian katanya,adalah perlu Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) memainkan peranan dengan mengeluarkan kenyataan bagi menyekat tindakan majikan yang melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut.

“Saya percaya ada antara majikan yang tidak sedar ada akta yang mana majikan yang menghalang pekerjanya untuk membuang undi boleh didenda, itu adalah penting untuk diterangkan (oleh SPR).

“(Bagaimanapun) bagi pihak Pas, kita telah berusaha supaya pengundi di luar kawasan turun mengundi, untuk tujuan itu Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah membuat perjumpaan di Kuala Lumpur supaya mereka menggunakan kuasa yang ada untuk mengundi,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai proses penamaan calon hari ini, Abdul Fatah menjangkakan tidak kurang 10,000 penyokong dah ahli Pas yang akan berhimpun di sekolah Menegah Yahya Petra 1 untuk memberi sokongan kepada calonnya, Mohd Fauzi Abdullah.

Beliau turut menasihatkan kepada penyokong Pas agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sesuai dengan konsep ketimuran yang ada pada rakyat Kelantan khususnya penduduk Manek Urai.

Menjawab persoalan mengenai poster Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih belum kelihatan di kawasan Manek Urai, Abdul Fatah menjelaskan pihaknya telah menaikkan poster tersebut di kawasan pendalaman yang lebih dekat kepada pengundi.

“Ini tiada kaitan dengan soal perpecahan,buktinya Presiden dan Mursyidul Am akan turun mengiringi calon esok (hari ini) soal gambar adalah kecil, kita naikkan poster tersebut berperingkat dan tumpuan buat masa ini kepada kawasan pendalaman, itu adalah strategi Pas, mungkin selepas ini kita akan menumpukan di kawasan awam,” katanya.

Isu Ke Manek Urai : DAP Kedah Masih Komponen PR - MB Kedah

Menteri Besar Kedah, Dato Seri Azizan Abdul Razak hari ini menyatakan DAP Kedah masih lagi merupakan rakan komponen Pakatan Rakyat di Kedah sekalipun ADUN tunggal DAP, Lim Guan Aik telah mengumumkan menjadi ahli bebas.

"Saya yakin dia (Lim Guan Aik) tidak keluar walaupun diberi makluman di dalam media, pada saya, beliau masih lagi rakan saya, masih di dalam Pakatan Rakyat kecuali saya menerima surat rasmi dari PAS Pusat atau sekurang-kurangnya dari Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu saya tiada lagi DAP di dalam (kerajaan negeri) Kedah," tegas Dato Seri Azizan.

Beliau menyatakan demikian selepas pertemuan dengan Ketua de facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini

Lee dilaporkan sebelum ini telah bertindak menjadi ahli bebas pada 3 Julai lalu selepas Majlis Bandaraya meruntuhkan bangunan penyembelihan khinzir di Alor Star pada 1 Julai. DAP telah menarik diri dari Pakatan Rakyat sebaik sahaja usaha mereka untuk menahan bangunan tersebut dari dirobohkan oleh MBAS gagal.

Dato Seri Anwar menganggap masalah perobohan bangunan pusat penyembelihan khinzir di Kedah sebagai selesai dan menyatakan bahawa pihak kerajaan negeri Kedah telah bertindak dengan mengikut peraturan sewaktu merobohkan bangunan berkenaan.

Di dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Pejabat Daerah Pendang menolak cadangan pembinaan tapak penyembelihan babi di Kampung Cina di sini kerana didapati tidak sesuai dan mendapat bantahan penduduk.

Pegawai Daerah Pendang, Abdul Shukor Abdul Ghani berkata keputusan itu dibuat selepas kajian dilakukan oleh jabatan terlibat yang melawat kampung itu baru-baru ini.

"Hasilnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebulat suara mendapati lokasi itu tidak sesuai kerana dekat rumah penduduk dan akan mencemarkan kawasan berkenaan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima meorandum bantahan daripada Pengerusi Belia 4B daerah Pendang Ramli Abu Bakar, Abdul Shukor berkata pembinaan tapak penyembelihan dalam jarak 100 meter dari rumah penduduk juga tidak memenuhi syarat zon penampan sepanjang 500 meter yang disyaratkan JAS.

Selain itu, pemilik tanah yang bersetuju menyewakan tanah mereka bagi pembinaan premis juga telah pun menarik balik persetujuan itu kerana mengambil kira kepentingan penduduk.

Sebelum itu, lebih 100 penduduk Kampung China berarak dari Bangunan Umno Pendang menuju Pejabat Daerah Pendang bagi membantah pembinaan tapak penyembelihan babi di kampung mereka.

Seorang penduduk, Edin Chok Edin Proot, 52, berkata bantahan dibuat disebabkan tapak penyembelihan itu terletak berdekatan dengan Watt Siam tempat penduduk kaum Siam beribadat.

Katanya sekiranya tempat penyembelihan babi dibina di kampung mereka, lebih 800 penduduk akan berhadapan kesan pencemaran yang teruk dan menjejaskan kehidupan mereka.

"Kami menolak cadangan pembinaan di kawasan ini dan berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula serta mencari kawasan lain," katanya.


MANEK URAI : MENJELANG PENAMAAN CALON ESOK

Menjelang sehari sebelum hari penamaan calon, Manek Urai semakin menjadi tumpuan apabila pertandingan antara dua parti major di negara ini, PAS dan Umno-BN bakal merakamkan sebuah lagi sejarah dalam landskap politik semasa.

Semakin hari, semakin ramai polis dan tentera berkampung di Manek Urai kononnya untuk menjaga keamanan dan mengelakkan sebarang insiden pergaduhan antara penyokong PAS dan Umno menjelang hari penamaan calon.

Dalam tinjauan yang dibuat, kelihatan 'perkampungan Martek PDRM' telah pun didirikan di Laloh dan semakin banyak pondok-pondok polis dibina di sekitar Manek Urai.

Di sebalik perang poster dan bendera yang semakin rancak di kiri kanan jalan, kenderaan polis seperti trak, kereta dan motorsikal juga semakin bertali arus dilihat di sepanjang jalan raya menuju ke Kota Bahru.

Bilik-bilik gerakan kedua-dua belah pihak juga semakin banyak dan aktif menjalankan mesyuarat tidak kira pagi atau petang.

MANEK URAI : Fauzi Dekat Di Hati Rakyat

Calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah yang akan mewakili parti itu bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan sudah "bebas" daripada kejutan sambil yakin mampu mengekalkan kerusi itu minggu depan.

"Awalnya saya memang terkejut dipilih calon kerana saya tak sangka, tapi sekarang saya sudah sesuaikan diri selepas menemui penduduk sejak beberapa hari lalu," kata beliau yang dihubungi.

Fauzi diumumkan akan mewakili PAS pada 26 Jun lalu.

Fauzi yang disifatkan sebagai 'pemalu' dan mengelak liputan media sejak diumumkan sebagai calon.

Dalam temu bual ringkas diaturkan sekretariat pilihan raya PAS baru-baru ini, Fauzi berkata, beliau mahu meneruskan prestasi penyandang jawatan itu yang disifatkannya sebagai "selalu mendampingi dan dekat dengan penduduk tempatan."

"Pengundi di sini mahu wakil rakyat mereka bersama mereka, wakil rakyat yang mendampingi mereka... saya akan cuba lakukan apa telah diamalkan oleh Allahyarham Ismail," katanya apabila ditanya isu yang bakal dominasi pilihan raya kecil ini.

Katanya, beliau hanya mengadakan pertemuan dari rumah ke rumah untuk mengumpul sokongan.

"Kami belum adakan ceramah besar dan ceramah perdana... lebih kepada kunjungan rumah ke rumah," katanya mengenai strategi kempen beliau.

Mengenai majoriti, Fauzi berkata, berdasarkan kerjasama yang dibentuk beliau yakin akan keputusan lebih baik kali ini.

Penamaan calon pilihan raya kecil ini diadakan esok dan jika ada pertandingan, pengundian dijadual 14 Julai. Fauzi, 50, yang merupakan pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai, juga adalah Bendahari PAS kawasan Kuala Krai.

Selain itu Fauzi juga merupakan Pengerusi Majlis Tindakan DUN (NTD) Guchil, yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai.

Pilihan raya kecil ini diadakan selepas penyandangnya, Ismail dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menewaskan calon BN, Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Fauzi juga Anggota Majlis Daerah Kuala Krai.

Sebelum ini, Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Manik Urai, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pemilihan Fauzi dibuat peringkat akar umbi dan mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi PAS negeri dan Pusat. - MSTAR


TGNA Gesa Pengundi Di Perantauan Manek Urai Pulang

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz menggesa pengundi Manek Urai agar pulang mengundi pada 14 Julai ini – dengan apa cara sekalipun – untuk memberi kemenangan kepada PAS.

“Kena balik, tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki,” katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Tok Guru Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menasihatkan Umno supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup.

“Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat… Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat.

“Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala,” katanya ketika memberikan amanatnya kepada Perantau Manek Urai di Ibu Kota malam tadi.

Turut hadir di majlis tesebut termasuk Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Husam Musa dan Abdul Patah Mahmood; Bendahari PAS pusat, Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai; Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim; dan calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah. - jiwokelate


MANEK URAI : Pentas Terakhir Buat UMNO/BN

Esok merupakan hari penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai (N-41), Kuala Krai, Kelantan. kalau apa yang dirancangkan tak berubah, PAS akan menampilkan Fauzi Abdulllah sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat manakala UMNgOk pula akan menampilkan Tuan Aziz sebagai calon mereka mewakili Barisan Nasional.

Itu kalau ikut perancangan awal, tak tau la pulak kalau-kalau ada perubahan disaat-saat akhir di pihak UMNgOk, kalau di pihak PAS rasanya dah tetap dan insya-Alllah tak kan berubah seperti yang dirancangkan.

Macam yang dah kita tahu, sebelum ni kita dah berdepan dengan 6 Pilihanraya Kecil iaitu, Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai dan juga Penanti dimana UMNgOk hanya mampu menang 1 sahaja dari 6 Pilihanraya Kecil yang diadakan (Penanti UMNgOk dikira kalah TKO sebab tak berani bertanding).

Kali ni UMNgOK sekali lagi terpaksa berdepan dengan kuasa rakyat dan kali ni lokasinya ialah di kubu terkuat PAS semenjak 5 penggal yang lalu.

Ada yang mengatakan bahawa ini adalah ujian terakhir buat UMNgOk selepas kekalahan berturut-turut dalam 6 PRK yang diadakan sebelum ini dan ini juga adalah 1 lagi dugaan buat Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan "Suaminya" Rosmah Mansor.

Dengar khabarnya Najib tak akan datang untuk berkempen bagi pihak UMNgOk/Barisan Nasiyonal di Manek Urai dengan alasan "sudah tradisi UMNgOk Presiden tidak turun padang untuk mana-mana kempen Pilihanraya Kecil dan urusan tersebut diserahkan kepada Timbalan sahaja"

Itu cakap orang UMNgOk yang aku jumpa... aku tak nak komen banyak-banyak sebab aku rasa ada betulnya jugak kenyataan tu dan yang aku paham dalam UMNgOk ni, Presiden tak payah turun, yang penting duit turun... kalau duit tak turun, ahli UMNgOk akan turunkan UMNgOk..! hahaha...!!!

Jadi pada aku, ujian terakhir untuk UMNgOk bukan sekadar menang atau kalah dalam PRK kali ni, tapi lebih kepada banyak mana duit nak turun dalam PRK ni sebagai habuan ahli-ahli UMNgOk di Kelantan...

Kalau banyak duit yang turun, maka ahli-ahli UMNgOk Kelantan akan mengekalkan sokongan mereka kepada UMNgOk dalam PRU-13 tapi kalau duit tak banyak turun atau tak turun langsung dalam PRK kali ni maka... PRU-13 nanti ahli-ahli UMNgOk tak kan segan silu untuk beralih arah kepada Pakatan Rakyat...

Alasan mereka ialah...

Kalau macam ni baik kami sokong Pakatan Rakyat, walaupun duit tak dapat, tapi tanggung jawab tu ada, sokong UMNgOK pulak, dah la tak dapat duit, tanggung jawab lagi la hancur..!

Tau nak mentekedarah rete rakyat je..! - perisikrakyat

MANEK URAI : Melambai Pulang Anak Kelantan Di Perantauan

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu menjadikan kemenangan di Manek Urai sebagai satu arus yang membawa gelombang untuk menumbangkan BN yang menguasai kerajaan persekutuan.

"Kita mahu hantar mesej bahawa rakyat sudah tidak mahu menerima BN. Dan BN Harus bersiap sedia keluar daripada Putrajaya.

"Dan Manek Urai adalah sebahagian daripada strategi untuk menaikkan gelombang kebangkitan rakyat itu," kata Husam.


Beliau menegaskan demikian dalam satu majlis "Amanat Tok Guru untuk Anak Manek Urai" di sebuah hotel di ibunegara malam tadi.

Majlis tersebut - anjuran Persatuan Anak Kelantan di perantauan (Perakan) dengan kerjasama urusetia penerangan Kerajaan Kelantan - dihadiri kira-kira 400 pengundi Manek Urai dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdapat 867 anak Kelantan daripada Manek Urai yang tinggal sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan turut mengingatkan agar rakyat negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

'Ujian Kepimpinan Nik Aziz'

Katanya, ini kerana mengundi merupakan satu kewajipan untuk meneruskan pemerintahan Islam di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Serambi Mekah".

"Sebagaimana difardukan solat, begitulah kewajipan mengukuhkan kerajaan Islam Kelantan agar gagasan Islam tidak pupus dan lupus tidak kira dalam pilihanaraya kecil atau pilihanraya umum," katanya.

Turut hadir di majlis tesebut termasuk Bendahari PAS pusat, Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai; Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood; Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim; dan calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat menyifatkan pilihanraya kecil ini juga sebagai satu ujian Allah untuk menguji kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Umno cuba untuk memperlekehkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah yang tidak dilihat mempunyai sijil kelulusan yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya kata Husam, pengundi di Manek Urai mementingkan calon yang mempunyai tingkah laku yang baik dan melihat perangai calon yang bertanding.

"Mereka mahu calon seperti (Allahyarham) Pak Su Wei (Ismail), iaitu orang yang boleh dilihat (dalam masyarakat), tak kunci pintu rumah dan mudah mesra dengan rakyat. Berkhidmat untuk rakyat tidak perlu sijil tapi komitmen," katanya.

Jelas Isu Royalti Minyak

Menurut Husam lagi, PAS Kelantan akan menjelaskan isu royalti minyak kepada pengundi sebagai satu isu yang akan menjadi strategi kempen di Manek Urai.

Pihaknya akan menaikan poster besar berhubung isu tersebut, sebagai isyarat "harapan rakyat Kelantan terhadap tuntutan royalti" tersebut.

Mengulas mengenai lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang mengunjungi Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS bulan lalu, Husam berkata: "Lee kata parti PAS kuat disebabkan anak-anak muda dan orang yang berpelajaran menyokong perjuangan PAS."

Menurut Husam lagi, dasar keadilan untuk semua kaum, yang menjadi dasar parti, menyebabkan PAS diterima oleh semua kaum.

Dengan keadilan tersebut, tambah Husam, Lee menganggap, Kelantan akan berbuat baik dengan negara berjiran dengan Malaysia dan negara serantau.

"Ini kerana dasar PAS adalah Islam yang diterima umum. Kalau Kelantan boleh diiktiraf oleh negara luar, kita maju setapak lagi," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa PAS akan mencapai kemenangan di Manek Urai.

Manakala Nik Aziz pula, ketika berucap di majlis itu, menggesa pengundi Manek Urai agar pulang mengundi pada 14 Julai ini - dengan apa cara sekalipun - untuk memberi kemenangan kepada PAS.

Islam Sebagai Cara Hidup

"Kena balik, tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki," katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan menasihatkan Umno supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup.

"Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat... Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat.

"Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala," katanya.

Sementara itu Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood berkata kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 adalah kerana anak Kelantan di perantauan menelefon ibu bapa dan keluarganya di kampung supaya mengundi PAS.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berharap agar pengundi Manek Urai di luar mengambil langkah yang sama dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"MU (Manek Urai) adalah langkah awal untuk memenangi piliharaya umum yang ke-13 dan (seterusnya) Pakatan Rakyat dapat menerajui kerajaan persekutuan," katanya.

Manakala calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi turut memeriahkan perrtemuan dengan berucap selama lima minit untuk memperkenal dirinya.

Beliau juga meminta agar pengundi di luar Kelantan, dapat pulang ke kampung untuk memberi sokongan kepada parti PAS dan seterusnya mengekal kerusi tersebut.




Telefon Dgn Obama : Najib Altantuya Tidak Dedahkan Perbualan Sebenar

Pada minggu lepas, media arus perdana heboh dengan berita Presiden Amerika, Barrack Obama telah menelefon Perdana Menteri Malaysia Mohd Najib Razak.

Laporan Bernama yang dipetik dari blog www.1Malaysia.com.my menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempelawa Presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk berkunjung ke Malaysia.

Perdana Menteri dilaporkan telah memanjangkan jemputan itu semasa perbualan telefon beliau dengan Obama pada Jumaat malam.

... Najib dan Obama berbual melalui telefon selama lebih kurang 20 minit dari jam 9.12 Jumaat lalu.

“Saya menerangkan kepada beliau Malaysia berkongsi titik persamaan penting dengan Amerika Syarikat. Kita sama-sama percaya kepada ideal dan prinsip demokrasi termasuk kebertanggungjawaban dan ketelusan.

“Saya juga bercakap mengenai usaha memperkenalkan konsep 1Malaysia dan bagaimana rasa kebersamaan dan kekitaan akan membantu Malaysia melangkah ke hadapan dengan matlamat yang sama,” katanya. ...

Ternyata berita tersebut hanya mewar-warkan konsep 1Malaysia. Dilaporkan semasa Najib mendapat panggilan telefon berkenaan beliau telah bercakap panjang mengenai konsep 1Malaysia.

NAMUN Laporan berita akhbar Korea Herald pula menyatakan

Philip Goldberg, the U.S. coordinator for the implementation of a U.N. Security Council resolution that punishes North Korea for its May 25 nuclear test, is scheduled to arrive in Malaysia on Sunday.

The visit comes after the White House said late last month that U.S. President Barack Obama discussed North Korea and financial regulations with Malaysia's Prime Minister Najib Razakon by phone.


Akhbar tersebut melaporkan negara Malaysia menjadi tempat Korea Utara berurus-niaga senjata dengan negara Myanmar dan hal ini menjadi perbualan telefon di antara Obama dan Najib tetapi TIDAK dilaporkan oleh blog 1Malaysia dan media arus perdana.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR telah membuat kenyataan media berhubung isu tersebut dan memandang serius dakwaan dari Korea Selatan itu yang mengaitkan bank di Malaysia digunakan untuk transaksi pembayaran penjualan senjata dari Korea Utara ke Myanmar.

Tambah membimbangkan apabila rombongan khas perlaksanaan resolusi 1874 dipatuhi yang diketuai Phillip Goldberg, dijadualkan ke Malaysia, bertujuan memastikan negara ini mematuhi perlaksanaan resolusi tersebut.

Menurut kenyataan akhbar itu, Dato’ Seri Najib sewajarnya menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat disamping melahirkan kebimbangan sekiranya terbukti tuduhan bank di Malaysia terbabit di dalam transaksi penjualan senjata oleh Korea Utara, negara ini akan dikenakan tindakan keras oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sepertimana yang nyaris dikenakan apabila syarikat Scomi Precision Engineering dikatakan terlibat di dalam menghasilkan komponen senjata nuklear.


Isu Ke Manek Urai : Emas Di Kedah, MB Arah Tutup Kuari Jika Benar

Kerajaan negeri akan mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menutup kawasan kuari di Kampung Jelutung, dekat Pendang jika pihak berkuasa mengesahkan logam kuning berkilauan yang ditemui penduduk di situ adalah emas.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata beliau sudah mengarahkan PTG serta Jabatan Mineral dan Geosains menjalankan kajian ke atas logam berkilau yang ditemui dan didakwa emas oleh penduduk sejak Rabu lalu.

"Bahagian teknikal di jabatan itu akan menentukan terlebih dulu sama ada logam berkenaan adalah emas atau bahan lain yang menyerupai emas.

"Hasil kajian itu mereka juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri mengenai langkah yang perlu diambil selepas itu.

"Jika ia mengandungi emas, PTG akan mengawal kawasan berkenaan supaya logam berkenaan tidak boleh dilombong sesuka hati kerana ia adalah hasil kerajaan negeri berdasarkan Enakmen Mineral.

"Kerajaan juga tidak mahu kegiatan mencari emas itu berleluasa sehingga tidak terkawal seperti apa yang terjadi di Lubuk Mandi, Terengganu kerana ia akan mengancam keselamatan orang ramai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin menyampaikan tauliah Pegawai Kadet Siswa Diploma 2009 di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas, di sini.

Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai Kampung Jelutung, Pendang yang gempar apabila beratus-ratus penduduk sekitar menyerbu sebuah tapak kuari seluas satu hektar di kampung itu berikutan penemuan sejenis logam dipercayai emas sejak Rabu lalu.

Seorang penduduk, Yaakub Yunus, 68, dilaporkan berkata selepas mendapatkan pengesahan di sebuah kedai emas di Tanah Merah, di sini bahawa logam yang ditemui pada batu di situ adalah emas, dia terus ke tapak kuari itu untuk mendapatkan batu terbabit.

Berikutan itu, penduduk menggunakan pelbagai peralatan, termasuk cangkul dan penukul untuk memecahkan batu yang mengandungi emas di situ.

Azizan berkata, setakat ini kerajaan masih belum dapat memastikan sama ada kawasan sekitar tapak kuari itu mengandungi deposit emas yang boleh dikomersialkan.

Katanya, jika logam itu disahkan emas dan ia mempunyai deposit yang tinggi serta boleh dilombong secara komersial, kerajaan negeri bersedia memanfaatkan sumber galian itu supaya memberi hasil kepada negeri ini. -BH

4 Jul 2009

Isu Ke Manek Urai : Numestro Diberi Amaran Keras

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberi amaran akan memberhentikan projek pembangunan di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, di sini, jika pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, terus mengancam untuk merobohkan rumah dan enggan membayar pampasan kepada penduduk di situ.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa jangan kerana mereka memikirkan mereka sebuah syarikat BN, mereka boleh melakukan apa sahaja kepada penduduk Kg Pala dengan ugutan untuk membawa jentolak untuk merobohkan rumah-rumah penduduk di Kg. Pala.

"Jangan cuba untuk uji kesabaran kerajaan negeri. Saya tidak teragak-agak untuk memberhentikan projek pembangunan itu," katanya sambil menjelaskan kerajaan negeri bersedia menanggung risiko membayar ganti rugi kepada pemaju jika terpaksa membatalkan projek itu.

Apa yang berlaku menurut Lim ialah salahfaham penduduk yang berpendapat kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah terseut. Apa yang belaku ialah kerajaan negeri juga terikat untuk mematuhi keputusan mahkamah.

Lim berkata walaupun beliau bersimpati dengan nasib penduduk berkenaan yang diarahkan keluar dari kawasan itu, namun kos untuk mengambil alih semula tanah itu adalah terlalu tinggi memandangkan status tanah itu adalah pegangan bebas dan telah diluluskan untuk tujuan pembangunan.

Dalam keadaan tersepit antara tuntutan penduduk dan perintah undang-undang, beliau kemudiannya mengambil jalan tengah dengan meminta kerajaan persekutuan untuk mengambil balik tanah itu daripada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan membayar pampasan kepada pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Masalah yang berlaku ialah syarikat yang diliki oleh orang-orang BN ini tidak mengendahkan rayuan penduduk kampung dan masih terus cuba menjalankan projek mereka dengan enggan untuk membayar pampasan kepada penduduk.

Lim berkata selain menjaga kepentingan 23 keluarga itu, kerajaan negeri juga perlu melihat keperluan 1.5 juta penduduk negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka.

"Dalam aspek ini, Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa tanah itu milik koperasi dan pemaju. Suka tak suka, kena akur terhadap keputusan undang-undang sungguhpun penduduk itu telah tinggal lama di sana," katanya dan menurutnya kerajaan negeri sebelum ini telah berusaha dengan campur tangan politik bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama di situ.

Lim menasihatkan pemaju supaya membayar pampasan kepada penduduk terlibat iaitu RM200,000 bagi setiap keluarga seperti yang dipersetujui sebelumnya dan meminta penduduk menerima bayaran itu kerana perintah mahkamah dalam isu itu adalah jelas.

Ketika ditanya tindakan pemaju yang dikatakan tidak mahu membayar pampasan dan penduduk yang tetap berdegil tidak mahu keluar dari kampung itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan arahan menghalang pemaju daripada memulakan kerja pembinaan di tapak itu tetapi tindakan itu akan memberikan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri.

"Apa lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri? Hanya dua cara itu sahaja dan seperti penduduk Kampung Buah Pala, kerajaan negeri juga menjadi mangsa dalam kes ini kerana bukan kita yang mulakan isu itu. Jadi, jangan salahkan kerajaan negeri," katanya.

Ditanya mengapa beliau enggan menemui penduduk kampung itu, Lim berkata: "Saya bersedia bertemu dengan penduduk... saya tidak ada masalah untuk berjumpa mereka tetapi setakat ini dua timbalan saya (Timbalan Ketua Menteri I (Mansor Othman)dan Timbalan Ketua Menteri II (P.Ramasamy)) telah berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik.

"Jadi saya tidak mahu orang mempersoalkan kebolehan mereka," katanya.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan penduduk di kampung itu supaya berpindah.



Isu Ke Manek Urai : Tergugat, UMNO Guna Budaya Gangster

Pemuda UMNO Bukit Katil menggunakan budaya gangsterisme bagi menakut-nakutkan masyarakat dalam memastikan kedudukan Barisan Nasional terjamin.

Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka Kamaruddin Sedik berkata, budaya berkenaan dilakukan apabila mereka merasa tergugat dengan sambutan orang ramai terhadap Pakatan.

Katanya, apa yang lebih mengejutkan Pemuda UMNO menggunakan budaya berkenaan kepada Wakil Rakyat Pembangkang sehingga mendatangkan kecederaan.

"Isunya sekarang UMNO rasa tergugat dengan keadaan di Melaka, masalah dihadapi Ali Rustam dan mereka cuba menakut-nakutkan orang dengan wujudkan budaya gangster seperti saya lalui semasa hantar memo kepada Ali Rustam, diserang 40 Pemuda.

"Kawasan yang 'panas' hanya di kawasan Bukit Katil iaitu kawasan Ali Rustam dan Bahagian lain tiada masalah," Katanya ketika mengulas menenai kejadian tindakan ganas Ketua Pemuda UMNO Bukit Katil dan 40 pengikutnya menyerang dan memecahkan peralatan milik Pas dan DAP kelmarin.

Katanya, Pemuda UMNO tidak seharusnya mengambil tindakan membelakangkan undang-undang perlu berani mengambil langkah yang sama membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencari pengundi baru.

"Kalau mereka tidak berpuas hati, dalam demokrasi sepatutnya dia juga berlumba-lumba lakukan daftar keahlian atau daftar pemilih. Dia boleh buka meja tetapi masalahnya orang dia tidak bergerak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Melaka Tey Kok Kiew berkata, sebelum kejadian berkenaan terdapat cubaan dari pihak berkenaan yang meminta SPR menghalang langkah yang dibuat DAP dan PAS.

"Sebelum ini saya diberitahu pegawai SPR kita buat di pasar malam ada orang tidak puas hati, Meraka minta SPR halang kami,"katanya.

Katanya, UMNO berasa tergugat kerana kejayan DAP mendapatkan lebih 1000 pendaftar baru dalam tempoh sebulan dan menyedari tren belia kini yang menolak pendekatan BN yang tidak lagi relevan.

"DAP termasuk saya adalah penolong pendaftar secara sah yang dilantik SPR. Tujuan kami adalah ikhlas pergi ke pasar malam untuk membantu rakyat," katanya.

Kelmarin, Pemuda UMNO Bukit Katil bertindak ganas dengan membawa cota menyerang anggota PAS dan DAp yang membuka kaunter pendaftaran pemilih baru di sebuah pasar malam sehingga mencederakan seorang wakil rakyat. -TVA



MANEK URAI : Konvoi Bermotor Anak Muda Sokong PAS

Pagi tadi telah berlangsungnya program konvoi bermotor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang dihadir hampir golongan besarnya adalah dikalangan anak muda.

Hampir lebih 300 pemuda menyertai program tersebut. Setiap Unit Peti Undi(UPU) telah menghantar seramai 30 orang peserta yang usianya mencecah 21 tahun ke atas dan mereka termasuk dari kelab kereta nasional, motosikal klasik dan motosikal berkuasa tinggi.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau percaya dan yakin bahawa golongan muda hanya mahukan PAS dan Pakatan Rakyat mengembalikan kegemilangan negara setelah dihancurkan oleh BN dengan pelbagai penyelewengan.

Tambah beliau lagi, dengan melihat kehadiran anak muda yang begitu ramai pada pagi tadi, ini menunjukkan bahawa golongan beliau lebih yakin dengan kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.

"Walaupun BN menyembunyikan segala kepincangan yang berlaku namun rakyat terutamanya golongan belia mudah menghidu kerana teknologi maklumat sekarang semakin canggih," katanya.

Konvoi bermotor tersebut melalui Kampung Peria, Sungai Sok, Chuchuh Puteri, Lata Rek, Laloh dan berakhir di Manek Urai.

Turut hadir di program tersebut adalah calon PAS DUN Manek Urai iaitu Saudara Fauzi Abdullah. - prkn41


Anak Beranak Musa Hassan Berkampung Di Manek Urai?

Manek Urai kini menjadi tumpuan bukan sahaja oleh ahli-ahli politik, tetapi turut mendapat tempat di hati artis tanahair. Diberitakan seorang pelakon sudah agak veteren anak kepada tokoh agama Dato' Haji Hassan Azahari (seorang hakim Tilawah Al-Quran, Guru Al-Quran dan popular dengan siri Muqaddam di TV sewaktu ketika dahulu) dan beradik pula dengan Ketua Polis Negara, dan bekas YB Umno Datuk Fuad Hassan, beliau adalah Jalaluddin Hassan.

Aktor yang sering berlakon membawa watak lelaki romantis dan kadangkala berwatak miang ini di dalam kesibukannya sebagai pelakon sempat hadir ke Manek Urai. Paling menarik, beliau pernah memegang watak `pondan' atau `bapok' dalam sebuah filem. Jangan tanya apakah hukumnya berlagak seperti pondan kerana beliau pasti tahu jawapannya, maklumlah anak seorang guru agama terkenal.

Jalaluddin Hassan dilihat berada di satu majlis ceramah oleh Ibrahim Katak Pasir Mas bertempat di Kg Laloh. Sebagai satu keluarga dengan Datuk Fuad Hassan yang juga penceramah import dari Selangor, Jalaluddin Hassan sudah tentu akan menggunakan `glamour'nya sebagai pelakon untuk menarik undi masyarakat di Manek Urai untuk menyokong Umno.

Sayang sekali, beliau salah tempat dan Kelantan bukan tempat untuk artis menonjolkan `glamour'. Kelantan hanya terbuka untuk artis yang sanggup berhijrah dan berlapang dada dengan Islam. Kelantan bukan untuk artis mengampu pemimpin kerajaan.

Kehadiran beberapa artis yang lebih terkenal dari aktor veteren tersebut ke bumi Kelantan kesemuanya akur dengan Islam yang dibawa oleh Pas di bawah Tuan Guru Nik Aziz. Penyanyi seperti Amy Search dan juga Siti Nurhaliza jauh popular dari Jalaluddin Hassan dan mereka akur serta hormati kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz.

Di Manek Urai rakyat berkesempatan untuk mengenali atau `berkenalan' dengan ahli keluarga Dato' Hassan Azahari. Kehadiran Datuk Fuad Hassan ahli politik veteren dari Umno Selangor, Jalaluddin Hassan juga pelakon veteren turut hadir.

Tidak mustahil nanti rakyat di Manek Urai akan berpeluang melihat Dato' Musa Hassan Ketua Polis Negara berkunjung ke Manek Urai. Ini adalah kerana anak-anak buah Musa Hassan telah pun berkampong di Manek Urai sejak beberapa minggu yang lalu. Betapa hebat persediaan mereka di Manek Urai.

Saya sarankan untuk menarik lebih ramai lagi rakyat di Manek Urai hadir dalam ceramah Umno, apa kata jika diadakan satu pementasan drama di Manek Urai dan dilakonkan oleh Jalaluddin Hassan sebagai pelakon utamanya.

Tajuk drama terpulang kepada Umno untuk memikirkannya, jika tajuk drama tersebut adalah `tragedi pembunuhan Al-Tantuya', saya rasa mungkin akan dapat sambutan hebat. Jika tidak mahu tajuk berkenaan, Umno mungkin boleh memberi tajuk lain seperti `Hikayat Sang Katak'. Tentu Pak Berahim dari Pasir Mas bersetuju dengan tajuk tersebut. Asal jangan bawa watak `pondan' sudah lah. -wfauzdin

NIZAR ZAMBRY - Zambry Umpan ADUN PR Setelah Gagal Tawan Rakyat

Setelah gagal menangani bantahan rakyat Perak terhadap rampasan kuasa di negeri itu, Menteri Besar Zambry kadir dari UMNO kini menggunakan taktik baru meraih sokongan orang ramai.

Beliau cuba pula untuk mengumpan kerjasama Pakatan Rakyat dengan menawarkan adun mereka pelbagai jawatan namun usaha itu gagal.

Zambry melantik 4 adun daripada gagasan pakatan itu sebagai ahli jawatankuasa kerajaan negeri Perak bersabit urusan Dewan Undangan Negeri.

Namun pemimpin UMNO itu sekali lagi membelakangkan perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri dalam menawarkan jawatan itu kepada empat adun berkenaan.

"Pakatan Rakyat Menyoalkan Secara Rasmi tentang lantikan itu dibuat tidak sah, dan tidak sebarang asas undang-undang. Lantikan ini juga secara paksaan dan tidak sebarang setuju dari adun-adun keempat-empatnya." Kata Nga Kor Ming.

Zambry melantik Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim bin Abdullah dari PAS ditawarkan sebagai Ahli Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Negeri Perak. Manakala Adun Pokok Asam, Yee Sue Kai dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang, Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Tiow pula diberi jawatan Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri Perak serta Adun Changkat Jong, Haji Mohd Anuar Sudin dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri perak.

Keempat- empat mereka menolak perlantikan itu kerana tidak ada sebaran usul bersabit perkara berkenaan dibentangkan pada sidang DUN 7 Mei lalu.

Malah sidang itu dipergunakan oleh UMNO untuk mengarahkan polis bertindak secara kekerasan untuk menyingkir speaker V.Sivakumar bagi membolehkan Zambry melantik calon sendiri untuk menggantikan Sivakumar.

Usaha terbaru Zambry membeli sokongan daripada adun Pakatan Rakyat hanya mencerminkan keadaan terdesak UMNO- BN Perak dalam berdepan dengan bantahan lantang rakyat yang mahu DUN dibubarkan supaya pilihanraya negeri diadakan semula. -TVA


ISU MANEK URAI : Mahathir Dakwa Najib Perkenalkan Liberalisasi Untuk Jadi Popular

Tun Mahathir Mohamad membidas Perdana Menteri Najib Razak atas langkahnya membuka ruang semakin luas untuk pelabur asing mengambil kepentingan dalam ekonomi negara.

Mahathir berkata langkah-langkah yang diumumkan oleh Najib hanya bertujuan untuk meraih populariti dan tidak akan membantu kaum Melayu, Cina atau pun India.

Antara yang diumumkan oleh Najib ialah pemansuhan beberapa syarat untuk melindungi kepentingan bumiputera dan kaum lain dalam sektor-sektor utama termasuk pelaburan asing.

Syarikat- syarikat yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur tidak lagi perlu memperuntukan 30 peratus saham kepada Bumiputera sebagaimana yang ditetapkan sebelum Najib mengambil alih kerajaan Barisan Nasional April lalu.

“Saya berpendapat segala langkah itu lebih bertujuan untuk menjadi popular,” kata Mahathir merujuk kepada langkah-langkah Najib meliberalisasikan ekonomi untuk menarik pelaburan asing.”Saya tak tahu sama ada langkah-langkah ini akan membantu eknomi, sebab hakikatnya ekonomi Malaysia telah berkembang sejak kemerdekaan,” tambah mantan Perdana Menteri itu.

“Ekonomi kurang rancak sekarang, tetapi ini adalah kerana faktor persekitaran luaran, bukannya kerana perkara-perkara didalam negara,” Mahathir berkata.

Mahathir berkata Najib harus berwaspada terhadap pelabur asing yang mahukan kawalan sepenuh ke atas syarikat-syarikat pengurusan dana kerana “mereka tidak ada sebarang nilai kesetiaan kepada negara.”

“Mereka berada di negara ini untuk membuat untung. Apabila mereka tidak dapat berbuat demikian, mereka meninggalkan negara ini dan kita menanggung kesannya,” kata Mahathir.

Ketika menangani krisis ekonomi Asia pada tahun 1997-98, Mahathir mengekalkan dasar-dasar ekuti dan peruntukan saham bumiputera dan enggan membuka secara bebas sektor-sektor utama seperti perbankan kepada pelabur asing.

Beliau telah berpaut kepada prinsip bahawa Malaysia memerlukan pelaburan asing untuk merancakan pertumbuhan ekonomi negara, Namun pada masa sama Mahathir lantang menekankan keperluan melindungi peniaga bumiputera dan industri tempatkan daripada menjadi mangsa pengambil alihan syarikat-syarikat antarabangsa.

Mahathir sebelum ini telah mengelar Najib sebagai lemah dan pengecut apabila beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Abdullah Badawi.

Kritikan terbaru secara terbuka Mahathir mencerminkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak, khususnya akar umbi UMNO terhadap mainan politik Najib bersabit hak keistimewaan kaum bumiputera, semata-mata untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu. -sk