Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka. Hud: 113
10 Apr 2008
Keadaan TG Hj Abdul Hadi Stabil
9 Apr 2008
BN Cemburu Keakraban Pakatan Rakyat
“Jika renggang bermakna BN boleh menang lagi maka tindakan merapatkan Pakatan Rakyat (PR) perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan rakyat daripada terus dihimpit penderitaan dan kezaliman termasuk kenaikan harga barangan dan petroleum,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu pagi tadi di Pejabat Ketua Menteri di aras 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dalam merangka jalinan muhibbah untuk menghindarkan percakaran perkauman di Malaysia.
Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan ‘Majlis Silatulrahim Antara Agama’ bagi merealisasikan situasi sekarang kerana rakyat melihat perkembangan baik untuk melahirkan pendekatan antara kaum.
Ini kerana, setiap pendekatan PAS ada persamaan yang boleh digerakkan bersama kerajaan negeri selain bertindak merancang sebagai hala tuju.
Sementara itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya menegaskan, Malaysia memerlukan satu gagasan di bawah Pakatan Rakyat bagi mengimbangkan kesedaran rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.
Sekarang ini tidak timbul lagi ketakutan orang Islam mengundi DAP atau bukan Islam mengundi PAS.
Atas rasa kepentingan penyatuan berada dalam satu gagasan, PAS tetap berpendapat ia amat wajar diadakan bagi menghadapi BN yang semakin rapuh.
“Kunjungan hormat saya pada hari ini juga inginkan satu pendekatan bersama bagi menyelamatkan rakyat sekaligus membawa rakyat ke satu tahap yang membanggakan, ” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.
Turut serta bersama rombongan kunjung hormat pagi tadi ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman; Setiausaha PAS Negeri, Fazhil Kemi dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Halim Saleh.
Rosol Tidak Dipilih Sebagai Exco
Sepuluh anggota exco kerajaan negeri Terengganu - termasuk tujuh muka baru - dijangka mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah pagi esok.Tujuh muka baru itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr Abdul Rahman Mokhtar, Rozi Mamat (Telemong), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan), Ashaari Idris (Langkap), Datuk Za'abar Mohd Adib (Rantau Abang) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir).
6 Apr 2008
Pekerjaan Menteri Selepas Tidak Dilantik
Okeh jom kita bergelak ketawa sebelum memulakan hari di pagi jumaat yang indah ini. Kredit sebanyak 4lori diberikan kepada forumer cari iaitu Zainuddin Maiddin yang kreatif gila menghasilkan gambar ini... hehehe peace!!!jangan marah2 kita gurau2!
1) Dato Sri Jamaluddin Jarjis dilihat kehulu-kehilir di pasar borong pekan Rompin, dilaporkan dia dilihat membuat "deal" dengan Ah Chong iaitu seorang Tokey ikan terkenal di pekan rompin. Segala teka-teki terdedah apabila dia dilihat menjual ikan dengan rakan baiknya Rammasami Karuppiah!!!
2)Sementara itu, situasi berbeza pula di Kedah, Bekas Menteri Besar iaitu Mahdzir Khalid dilihat bersama kerbau kesayangannya dilihat sedang membajak sawah di tanah pusaka milik keluarganya.
3) Datuk Idris Jusoh pula dilihat sedang menjalankan business Keropok lekor di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu selepas percubaannya menderhaka kepada Sultan tidak berjaya. Dia bersama 22 Adun yg turut menderhaka sedang dalam perancangan untuk membangunkan sebuah kilang Keropok lekor di belakang rumah Idris untuk diproses dan dieksport ke luar negara dipatentkan sebagai "Keropok Lekor Hadhari"
4) Di Kuala Selangor pula Dr Khir Toyo menghadapi dilemma bersama penyapu, dia dilihat berpakaian seragam tukang sapu Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Mungkinkah dia mendapat karier baru sebgaai tukang sapu Majlis Perbandaran? Terdengar juga gosip awam yang mengatakan Khir Toyo akan berpindah ke Jawa untuk menyelamatkan industri tempe yg dikatakan sedikit bermasalah di Indonesia.
5)Sementara itu di Putrajaya Datuk Tengku Adnan dilihat menebar roti canai di Restoran Pelita Nasi Kandar. Dengan aksi2 tebaran yang penuh dengan skill, dia meungkin sedang berlatih untuk melayakkan diri ke pertandingan roti canai peringkat antarabangsa di India hujung tahun ini.
6) Sementara itu perkara menarik terjadi di Bachok Kelantan, apabila seseorang yg disebut-sebut bakal Menteri Besar, Datuk Dr Awang Adik Hussain dilihat menjalankan perniagaan tradisional warisan keluarganya iaitu khidmat mengurut...owh servis tukang urut wanita xde ke?Datuk??
7) Di R&R Juru Pulau Pinang orang ramai terserempak dengan satu muka yg familiar iaitu Dr Koh Tsu Konn sedang beniaga buah sukun goreng tepung dengan harga RM1 untuk dua keping. DIpercayai resepi rahsia tepung goreng adalah warisan keluarganya.
8) Rapidah Aziz pula membuka kedai Runcit, setelah kawalan terhadap AP yang dikuasainya sebelum ini telah dirampas oleh orang lain.
9) Sementara itu di Tol Jelapang Ipoh, dilihat (arggghhhh korang letak la ayat korang sendiri kat sini, maleh aku nak taip pepanjang).....wakakakakakak Cittt pppooooooorarrraaaahhhhhhh Mr. Sammy.
4 Apr 2008
UMNO Kian Hancur Dan Dalam Darurat
Ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kelantan, Semasa Merasmikan Mesyuarat Khas UMNO Bahagian Gua Musang, Di Balai Rakyat, Bukit Cekati, Gua Musang Pada Hari Jumaat 4hb April, 2008, bersamaan 27hb Rabiulawal, 1429 Jam 10.00 pagiKita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah Izin-Nya, kita semua dapat bertemu di perjumpaan ini pada ketika kita sedang menghadapi pengalaman yang sangat pahit dan membimbangkan kita semua, iaitu pengalaman buruk yang dilalui oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) yang baru lepas.
Sejak tertubuhnya UMNO pada 11 Mei, 1946, parti kebangsaan Melayu ini tidak pernah tercabar begitu hebat – dan teruk – seperti yang berlaku padanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 itu. UMNO lahir dari semangat perjuangan kebangsaan menentang muslihat dan gagasan British untuk menghapuskan kedaulatan bangsa Melayu, negeri Melayu dan raja Melayu di tanah air mereka sendiri. Kita berjaya menumpaskan gagasan penjajah itu dan meneruskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan hanya dengan bersenjatakan semangat cinta kepada bangsa, agama, budaya dan tanah air. Itulah agenda kebangsaan Melayu waktu itu dan itulah sumber kekuatan yang telah menyatukan bangsa Melayu sehingga kita akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan tanpa terpaksa berperang kerana pihak British menyedari bahawa bangsa Melayu waktu itu mempunyai kekuatan sejarah dan warisan yang kuat, dan sukar ditentang.
2. Kekuatan UMNO itu terbukti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pertama yang diadakan dalam tahun 1955. Parti Perikatan yang diterajui oleh UMNO dengan dukungan rakan-rakan dari MCA dan MIC mencapai kemenangan yang cemerlang. Daripada 52 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan (sekarang Parlimen) yang ditandingi, Perikatan memenangi 51 kerusi dan menguasai lebih 2/3 atau hampir 95% kerusi Majlis Perundangan Persekutuan. Yang penting kita ingatkan diri kita semula ialah, kerusi UMNO melebihi 2/3 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan dengan memenangi 33 kerusi. Ini bererti bahawa kuasa politik Melayu pada waktu itu cukup kuat dan itulah salah satu asas ketuanan bangsa Melayu.
3. Malangnya kita tidak bertahan dan tidak mampu memperkukuhkan kedudukan itu dalam pilihan-pilihan raya berikutnya. Empat puluh tahun kemudian, iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dalam tahun ini, UMNO jatuh tarafnya sebagai parti yang terkuat dan yang didukung oleh majoriti orang Melayu tiba-tiba jatuh menjadi parti yang kecil perwakilannya dalam Parlimen padahal parti ini adalah parti yang terbesar di negara ini, mempunyai 191 Bahagian di seluruh Malaysia dan jumlah anggotanya melebihi 3 juta orang. UMNO cuma berjaya memenangi 78 buah kerusi Parlimen, menurun sebanyak 32 buah kerusi dari jumlah 110 buah kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-11.
4. Yang memeranjatkan kita ialah, parti baru, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi 31 kerusi Parlimen. Dalam tahun 2004 parti ini cuma mempunyai seorang ahli Parlimen. Daripada 31 ahli parlimen PKR itu, 18 ialah orang Melayu. PAS memenangi 23 kerusi. Dalam tahun 2004 parti ini mempunyai 6 orang ahli Parlimen sahaja. Akibatnya, BN kehilangan kuasa majoriti 2/3 majoriti dalam Parlimen.
5. Dua perkembangan lain yang tidak disangka-sangka oleh UMNO (tetapi mungkin tidak memeranjatkan orang lain) ialah pertama, jatuhnya empat buah negeri – Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang - ke tangan parti Pakatan Rakyat, iaitu gabungan parti PAS-PKR-DAP. PAS di Kelantan menjadi bertambah kuat. Dan kedua, kalahnya banyak calon MCA, MIC dan Gerakan di tangan calon DAP dan PKR.
6. Itu petanda bahawa BN dan UMNO yang telah memerintah negara ini dengan tidak putus-putus sejak Merdeka atau sejak tahun 1955 tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia dari semua kaum. Berdasarkan statistik tentang kadar jumlah undi popular seluruh rakyat Malaysia, didapati bahawa hanya 48% sahaja daripada pengundi seluruh negara yang menyokong (mengundi) BN, manakala jumlah undi popular seluruh negara yang menyokong parti-parti lawan ialah 52%. Jadi, mesej atau isyarat pengundi agak terang dan jelas: Mereka mahukan perubahan kerajaan. Mereka mahukan kerajaan yang lebih cekap, telus, bersih, beramanah, adil dan pro-rakyat tanpa mengira kaum.
7. Beberapa perkembangan yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 itu diadakan, memperkuatkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap keupayaan dan komitmen kerajaan BN untuk memerintah negara ini dengan cekap, bersih, amanah dan adil, untuk menyelesaikan masalah-masalah asas ekonomi, sosial, perumahan dan pendidikan rakyat miskin, untuk menghapuskan rasuah yang semakin menjadi-jadi di kalangan ‘orang atasan’ dan yang berkuasa, termasuk dari kalangan wakil rakyat sendiri. Kita sebut satu kes sahaja, iaitu kes yang berkaitan dengan ‘rakaman video Lingam’ yang didedahkan kepada Suruhanjaya yang dilantik untuk mendengar kes ini. Segala cerita yang disampaikan kepada Suruhanjaya kes ini memperlihatkan kepada rakyat betapa korap dan lemahnya sistem pelantikan dan cara membuat keputusan mahkamah. Bayangkan, seorang peguam bela dalam kes tertentu boleh menulis keputusan (‘judgement’) mahkamah dan hakim yang berkenaan hanya membaca keputusan yang telah disediakan oleh peguam itu. Bayangkan juga, para tauke atau tauke judi boleh ‘campur tangan’ dalam soal pelantikan hakim.
8 Kes seperti ini tidak sahaja mengaibkan darjat hakim – hakim bangsa Melayu beragama Islam pula – tetapi ia dengan jelas memusnahkan kredibiliti kerajaan BN yang nampaknya membiarkan perkara-perkara yang buruk dan dahsyat itu berlaku terhadap sistem kehakiman negara. Orang akan takut untuk menghadapi mahkamah yang dikendalikan oleh hakim yang boleh dibeli.
9. Ada beberapa kes lain – ada yang masih belum selesai, iaitu masih dalam proses pembicaraan – yang juga tidak kurang besar pengaruhnya terhadap sentimen dan pola pemilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Tidak usah saya sebutkan kes-kes itu – saudara sekalian yang membaca surat khabar tentu mengetahuinya.
Apakah Respons Kita Terhadap Kemerosotan Kuasa Politik UMNO Ini?
10. Sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan BN mengalami ‘malapetaka’ politik yang dahsyat itu, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti untuk membincangkan sebab-sebab mengapa ‘malapetaka’ itu berlaku pada UMNO dan BN. Tidak ada usaha untuk mengajak para perwakilan UMNO dari semua peringkat – peringkat Bahagian dan Cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, secara kritis tetapi tenang. Matang dan rasional, tidak beremosi, dari hati ke hati sesama anggota parti sendiri, membincangkan ‘masalah rumah’ sendiri ini, dan mencari jalan yang baik dan benar dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan menghindari berlakunya kejadian yang lebih buruk lagi baik sekarang mahu pun dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
11. Kita mendengar bermacam-macam reaksi, pandangan dan keluhan, kritik dan tuduh menuduh dari orang-orang perseorangan UMNO, yang paling banyak ialah dari beberapa orang pemimpin dan menteri UMNO. Ada yang mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak kalah, kita masih menang; ada yang berkata, ‘BN akan bangkit semula untuk menebus kekalahannya’; ada yang menyalahkan orang Melayu yang memilih parti lain, dan berkata orang Melayu itu ‘tidak mengenang jasa’ (tidak tahu saya ‘jasa siapa dan apa’); ada yang menyalahkan generasi muda Melayu kerana kononnya mereka ‘tidak faham perjuangan UMNO’ atau kerana mereka tidak mendapat berita, maklumat dan cerita yang sebenar tentang kerajaan, UMNO dan BN yang disiarkan dalam surat khabar arus perdana, tetapi membacanya dari blog-blog ‘anti kerajaan’ dan ‘anti UMNO’ dalam Internet.
12. Jadi, nampaknya, kita masih mengekalkan fiil dan budaya lama, fiil tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik. Kita mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan. Para pemimpin parti – walaupun tidak semuanya – cuba menutup suara rakyat akar umbi UMNO, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka. Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi UMNO tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh UMNO sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani dengan sebaik-baiknya – mereka diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan. Apakah mereka tidak sedar bahawa yang menjadi punca besar kelemahan UMNO yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi UMNO tetapi ialah kelemahan kepimpinan UMNO, ini termasuk para menteri UMNO, yang setengah-setengahnya tidak mempunyai rekod peribadi, moral dan budaya yang baik. Merekalah yang tidak mahu UMNO berubah; merekalah yang mahu kepimpinan UMNO yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.
13. Masalah UMNO bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli UMNO. UMNO bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’. UMNO ialah parti politik kebangsaan Melayu. Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti ‘Tanah Air’. Apabila UMNO tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat UMNO akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akanditinggalkan oleh bangsa Melayu.
14. Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota UMNO sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya.
(Tiga Perubahan Besar Yang Harus Berlaku dalam UMNO)
15. Anggaplah masalah yang kita hadapi itu sebagai darurat UMNO. Untuk menangani sesuatu darurat kita perlu bertindak segera sebelum darurat itu merebak dan merosakkan seluruh asas tamadun dan perjuangan UMNO yang telah dibina sejak tahun 1946. Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan UMNO yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup UMNO selama 60 tahun, untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan UMNO selama ini dan memikirkan visi baru UMNO untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Rakyat hari ini tidak sama lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas. Harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka. UMNO perlu terus relevan dengan cita-cita, harapan dan tuntutan mereka.
16. Saya hendak menyentuh tiga perkara pokok yang saya anggap menjadi punca kelemahan UMNO, terutama mulai tahun 1980-an sehingga akhirnya menyebabkan UMNO (dan BN) nyaris-nyaris terlungkup dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
Pertama: Musnahnya Demokrasi dalam UMNO.
17. Ini bermula apabila Perlembagaan UMNO dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada Bahagian UMNO. Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 Bahagian daripada jumlah 191 Bahagian UMNO. Tujuannya kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain. Saya tidak fikir anggota UMNO yang tahu diri dan berbudaya dengan sesuka hati sahaja akan mencabar presiden UMNO, lebih-lebih lagi jikalau Presiden itu diketahui oleh semua anggota parti sebagai pemimpin yang baik, cekap, bijak, adil, bersih dan tegas. Sebelum kuota itu diperkenalkan UMNO pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja. Ini ‘peraturan’ yang munasabah dan tidak terlalu ‘undemocratic’.
18. Parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri, bagi saya, ini adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa. Parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik. Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti. Akibatnya parti menjadi beku. Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik. Orang lebih taat kepada pemimpin daripada kepada parti dan perjuangan parti. Rasuah politik akan dan memang sedang berlaku dalam parti sebagai cara untuk membeli undi atau untuk mengekalkan kedudukan pemimpin yang lemah. Maka lahirlah banyak ‘pak turut’ dan ‘tukang ampu’ dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.
19. Inilah keadaan yang berlaku dalam UMNO hingga sekarang. Setiap kali menjelang pilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden Parti, atau Timbalan Presiden, Ketua Wanita, atau Ketua Pemuda tidak ditandingi. Sebenarnya mereka tidak berhak berbuat demikian. Memilih pemimpin parti dari peringkat Presiden hingga ke peringkat pemimpin akar umbi adalah hak anggota parti.
20. Jadi, untuk menyelamatkan UMNO dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam UMNO. Saya mengesyorkan dua perubahan: Pertama, kuota yang ada itu dihapuskan dan kedua, parti hendaklah mengawal kerajaan.
21. Ahli UMNO yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh lebih berkuasa dari parti. Partilah yang seharusnya mengawal, memantau dan menilai prestasi mereka. Jika mereka menjalankan dasar yang bertentangan dengan dasar parti, mereka boleh dipersoalkan oleh Majlis Tertinggi UMNO. Logik cadangan ini mudah dan jelas: Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-Menteri dari UMNO tidak akan memegang jawatan itu sekiranya mereka tidak lebih dahulu dipilih oleh perwakilan UMNO sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti dan oleh rakyat sebagai ahli Parlimen. Kalau P.M yang juga Presiden UMNO menggubal dan melaksanakan dasar yang boleh menjahanamkan bahasa Melayu dan agama Islam, maka dia mesti ditegur dan didisiplinkan oleh parti. UMNO perlu mewujudkan mekanisme yang sesuai dan cekap untuk melaksanakan sistem ‘parti mengawal kerajaan’ ini.
Kedua, Dasar dan Visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.
22. Dasar dan visi UMNO yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan Alif, Ba, Ta, seperti yang saya sebutkan tadi, tetap dipertahankan tetapi dalam soal untuk memajukan keadaan hidup ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, UMNO hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum. Kita mahu UMNO menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan ‘visi tradisionalnya’: iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan. Dasar dan perjuangan parti UMNO ini tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.
23. Imej UMNO selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat kita bahagikan kepada tiga jenis: Pertama, imejnya kepada orang Melayu ialah: UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala. UMNO dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin. Ini memarahkan orang Melayu. Di samping ini orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen UMNO untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu. Institusi Raja-Raja Melayu ialah institusi yang tertua di Tanah Melayu dengan usianya melebihi 700 tahun dan institusi inilah yang menjadi salah satu penyelamat tamadun Melayu walaupun kita dicabar oleh tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan British. Negeri Melayu dan kedaulatan Melayu kekal sampai sekarang kerana adanya institusi ini sebagai penyelamat bangsa. Imej kedua ialah imej UMNO di mata orang bukan Melayu, iaitu: mereka menganggap UMNO ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain; UMNO dianggotai oleh orang Melayu yang ‘fanatik Melayu’, suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain, entah apalah sebabnya. Imej UMNO yang ketiga ialah imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’ di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korap, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum. Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu.
24. UMNO mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. UMNO mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, kita lihat ada orang dari kaum India dan kaum Cina, misalnya, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS di kawasan kuat UMNO. Mengapa? Apakah kerana mereka sudah dipukau atau di-Islamkan oleh orang PAS? Tidak. Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada UMNO terhadap kaum bukan Islam. Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin UMNO Kelantan.
25. Inilah cabaran yang dihadapi oleh UMNO hari ini. UMNO terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum. UMNO terpaksa menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.
Ketiga: perangai dan kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan
26. Kita perhatikan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12, kelakuan beberapa calon UMNO tidak beradab. Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada. Seorang calon Parlimen UMNO memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit. Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu. Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon Parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di K.L memaki hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Aziz, MB Kelantan. Bahkan seluruh jentera UMNO digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam.
27. Saya faham, PAS ialah parti lawan UMNO tetapi bukan itulah caranya orang Melayu-Islam cuba mengalahkan pihak lawan sesama bangsa dan sesama agama. Kita adalah bangsa yang berbudaya, beragama Islam, beradab. Orang Melayu – bahkan orang bukan Melayu dan bukan Islam pun – meluat dan menyampah dengan fiil dan kelakuan sombong bongkak itu. Kita tidak diajarkan cara bagaimana hendak memikat hati pihak lawan. Kita seolah-olah menggunakan budaya dan taktik samseng. Akhirnya, kita kalah – kalah lebih teruk daripada dalam tahun 2004, bukan kerana dasar UMNO tidak baik tetapi kerana orang UMNO itu yang tidak baik, dan merekalah yang merosakkan imej parti.
28. Saya rasa kelakuan yang semakin biadab itu timbul daripada beberapa sebab, antaranya dapat kita sebut: (a) kerana terlalu yakin pada kekuatan parti – dan tidak nampak apakah kelemahannya – lalu orang-orang seperti itu berasa megah, berani bercakap besar dan memberi tahu pengundi ‘Aku akan menjadi Menteri Besar’ atau akan menjadi menteri jika dipilih; (b) ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme sudah menjadi alat politik UMNO untuk memperkayakan orang-orang tertentu dalam UMNO untuk kepentingan kepimpinan, tidak untuk kepentingan rakyat dan anggota akar umbi UMNO. Jiwa dan roh Melayu orang UMNO mulai digantikan dengan ‘rohperut’ . Wang menjadi alat permainan politik dan kuasa dalam UMNO.
29. Jadi, untuk menyelamatkan UMNO, kita kena buang segala anggota UMNO di atas itu yang jahat, yang korap, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana. Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya. Orang ini tidak layak diangkat oleh UMNO untuk menjadi pemimpin mereka. Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai ‘roh atau semangat Melayu’ yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat. Mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu.
30. Mungkin banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan oleh UMNO yang menjadi punca kelemahan UMNO. Kita tidak boleh menyerahkan semua perkara ini kepada beberapa orang pemimpin sahaja untuk memikirkannya. Mereka boleh jadi tidak mempunyai ‘feed-back’ yang cukup, yang benar, yang ikhlas dari bawah, dari anggota akar umbi UMNO, untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku dalam UMNO yang menyebabkan parti nyaris-nyaris tersungkur dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.
31. Inilah sebabnya mengapa saya menggesa supaya Perhimpunan Agung Khas itu diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan. Kita tidak mahu nanti perwakilan yang datang ke persidangan pemilihan itu datang seperti fiil lama, tidak mengetahui apakah kelemahan dan masalah UMNO, lalu mereka memilih atau disuruh memilih calon-calon yang sama, yang lemah untuk memimpin parti.
32. Kalau begitu gayanya, saya khuatir kita akan mengalami malapetaka yang lebih buruk lagi.
3 Apr 2008
BN Telah Mula Anaktirikan Kerajaan Yang Dikuasai Pakatan Rakyat
Kerajaan Pusat hari ini telah mula mengambil langkah menganak-irikan kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat apabila Kementerian Pelancongan mengambil keputusan membatalkan kesemua Perjanjian persafahaman (MOU) yang telah ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri yang dikuasai pembangkang tersebut.Menteri berkenaan Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan itu diambil kononnya kementerian tersebut bimbang strategi dan pelaksanaan pelancongan negara tidak dapat diterima oleh kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.
Rakyat negara ini MENGUTUK KERAS tindakan menteri berkenaan yang berfikiran sempit serta kolot, yang masih menggunakan pendekatan penganiayaan dan kezaliman sepertimana yang dilakukan oleh pihak kerajaan pusat di dalam menyekat peruntukan pembangunan kepada negeri Kelantan sebelum ini.
Adalah menjadi tanggungjawab kementerian-kementerian di peringkat persekutuan untuk menyalurkan pembangunan kepada negeri-negeri di Malaysia ini TANPA MENGIRA samada ianya diperintah oleh kerajan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.
Pemerhati politik melihat tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Pelanconan berkenaan adala sebagai tindakan "membalas dendam" kerana kekalahan Barisan Nasional di lima negeri berkenaa di samping kegagala mereka untuk mendapatkan majoriti 2/3 di Parlimen.
"Nampaknya kekalahan yang mereka alami tidak lansung membuka mata mereka untuk tidak berlaku zalim sebaliknya terus menerus melakukan penganiayaan dan paksaan kepada rakyat supaya menyokong mereka," bantah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.
"Dengan sikap mereka itu, rakyat akan bertambah benci kepada Barisan Nasional dan kita yakin tinakan mereka itu akan mempercepatkan lagi kemusnahan dan kehancuran BN," tegasnya.
31 Mac 2008
Senarai portfolio anggota Exco Perak diumumkan
Bernama petang ini melaporkan bahawa pejabat Menteri Besar Perak hari ini mengumumkan senarai portfolio 10 anggota Exco kerajaan campuran negeri yang mengangkat sumpah jawatan Sabtu lepas dan portfolio yang dipegang Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin. Menteri Besar bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.
1. Ngeh Koo Ham (Adun Sitiawan): Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.
2. Nga Kor Ming (Pantai Remis): Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.
3. A. Sivanesan (Sungkai): Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.
4. Seah Leong Peng (Pasir Bedamar): Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan.
5. Chen Fook Chye (Keranji): Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.
6. Su Keong Siong (Pasir Pinji): Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi.
7. Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.
8. Tai Sing Ng (Kuala Sepetang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Penerangan.
9.Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering): Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
10. Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau): Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.
30 Mac 2008
Cawangan MIC Dibubarkan, Bekas Ahlinya Serta Kelab Penyokong PAS
PAS terus diterima oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini terutama daripada masyarakat India apabila akhbar TheStar melaporkan cawangan MIC Kampung Jebong MIC di kawasan Simpang Taiping telah dengan rasmi dibubarkan apabila 110 ahlinya keluar dari parti berkenaan untuk menjadi ahli "Kelab Penyokong PAS" (PAS Supporters Club).Bekas Pengerusi Cawangan MIC berkenaan M. Muninathan, dengan ahli jawatankuasanya, menyerahkan borang permohonan kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang Roslan Shaharom malam tadi. (Gambar hiasan)
Roslan berkata kebajikan bekas ahli-ahli MIC berkenaan dan masyarakat India akan diberikan pehatian.
"Kami akan mengambil berat terhadap kebajikan kaum India kerana sebarang masalah yang menyentuh kaum India juga akan memberikan kesan masyarakat kaum lain," tambah beliau.
Di dalam PRU yang lalu, Roslan bin Shaharum dari PAS buat kali pertamanya berjaya di Bukit Gantang, Perak dengan menewaskan Bendahari Umno Malaysia (calon BN) iaitu Abdul Azim bin Mohd Zabidi dan calon Bebas Mohganan A/l P.Manikam dengan majoriti 1,566 undi. Calon PAS, Roslan memperolehi 20,015 undi manakala Calon BN memperolehi 18,449 undi dan calon Bebas hilang deposit memperoleh 872 undi.
Roslan berkata beliau amat terhutang budi dengan komuniti India di Taiping kerana diapati 95% daripada pengundi India di dalam Parlimen Bukit Gantang telah mengundi beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat di sini mempunyai sebab untuk merasa gembira kerana dua daripada 3 kerusi dewan undangan negeri di dalam parlimen Bukit Gantang dimenangi oleh Barisan Rakyat, dan kedua-dua ADUNnya -- Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Tai Sing Ng (Kuala Sepetang) -- telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri (exco) di dalam kerajaan baru Perak dibawah Menteri Besarnya Mohd Nizar Jamaluddin.
Samy Vellu Akan Lakukan Apa Yang Hindraf Telah Lakukan
29 Mac 2008
Lebih 10, 000 Sambut Kepulangan Agong di Terengganu
28 Mac 2008
Pertandingan 3 Penjuru Presiden UMNO
Dengan pengumuman Presiden UMNO bahawa UMNO akan mengadakan pemilihan agung 16-20 Disember dan juga kenyataannya bahawa beliau "tidak akan lari" sekiranya dicabar bagi perebutan jawatan presiden pada pemilihan UMNO telah menimbulkan pelbagai riaksi pemimpin UMNO peringkat bahagian.Yang jelas dan nyata ialah jawatan Presiden UMNO pasti dicabar pada pemilihan kali ini. Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan kesediaan untuk menerajui dan merawat UMNO bagi memastikan parti itu tidak hilang kekuasaan dan Melayu terus dibela, satu isyarat jelas bahawa beliau sedia ntuk bertanding jawatan nombor 1 di dalam UMNO.
Pada 1987, Tengku Razaleigh mencabar Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr. Mahathir Mohamad tetapi tewas dengan 43 undi.
Dan tentulah yang paling resah dengan berita tersebut bukanlah Presiden UMNO yang ada kini iaitu Abdulah Ahmad Badawi, tetapi yang resah gelisah ialah timbalannya iaitu Mohd Najib Abdul Razak.
Ini kerana dengan penyertaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan Presiden UMNO akan menghakiskan peluang Najib sebagai pengganti Perdana Menteri negara kerana jika Abdullah tewas, kedudukan Najib akan menjadi goyang malah kerusi TPM yang ada kini pun boleh terlepas. Sudah pastilah Tengku Razaleigh yang akan merampas mahkota Perdana Menteri yang selama ini diidam-idamkan oleh Najib.
Justeru itu peluang yang ada bagi Najib sekarang ialah turut serta di dalam pertandingan merebut jawatan Presiden - satu keadaan dimana pertandingan tiga penjuru bakal dapat disaksikan.
Abdullah telah diketahui sebenarnya telah mempnyai calon penggantinya - bukan Najib. Tetapi Muhyiddin Mohd Yassin - seorang Naib Presiden UMNO yang telah menyuarakan dengan tegas bahawa beliau bersetuju pertandingan dibenarkan pada pemilihan kali ini sekalipun ada suara dari pimpinan parti supaya jawatan tertentu seperti Presiden tidak dipertandingkan. Dan Muhyidin kini diberikan jawatan di sebuah kementerian yang penting di dalam kabinet.
Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, keadaan UMNO hari ini sebenarnya sudah cukup mantap selepas pengumuman Kabinet baru Selasa lepas.
"Niat merawat Tengku Razaleigh (Ku Li) baik. Tetapi jangan sampai hendak melawan Perdana Menteri (Presiden) UMNO pula.
Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menyifatkan kesediaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pemilihan parti akan datang, sebagai tidak sesuai.
Sambil melahirkan rasa tidak setujunya terhadap hasrat Tengku Razaleigh itu, beliau berkata semua pihak telah menyatakan sokongan penuh kepada pucuk pimpinan bagi merapatkan barisan dan menaikkan semula parti serta memberi semangat kepada ahli-ahli.
Zulhasnan turut memberi sokongan sebulat suara UMNO WP kepada Pak Lah.
Namun ketiga-tiganya - Muhammad Mohd Taib, Hishamuddin dan Zulhasnan dimalukan oleh keputusan MT yang mahukan jawatan-jawatan itu dibuka untuk dipertandingkan.
Dan episod seterusnya akan menyaksikan pertandingan hebat di dalam UMNO dimana akan berlaku pertandingan 3 penjuru untuk jawatan Presiden - Abdullah, Ku Li dan Najib dan Muhyiddin pula di barisan pertama untuk Timbalan Presiden.
Dan yang jelas terkulai layu perencanaan Tun Mahathir untuk mempastikan Najib menjadi Perdana Menteri!
27 Mac 2008
Pak Lah Kecundang, MT UMNO Sokong Ahmad Said
Rakyat Terengganu sebenarnya kini begitu marah dengan Perdana Menteri yang cuba untuk campur-tangan di dalam urusan hal-hal negeri Terengganu dengan menonjolkan calon pilihannya iaitu beka MB, Idri Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu.
Malah sebelum daripada ini daripada kenyataan Rosol Wahid sendiri, adalah jelas Pak Lah merupakan DALANG utama yang mendesak supaya ADUN-ADUN Terenganu memberikan sokongan kepada Idris Jusoh sebagai Menteri Besar untuk "melawan" calon pilihan pihak Istana, malah di dalam keadaan tertentu dilihat cuba bertindak DERHAKA kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong yang juga Sultan Terengganu
Berikut ialah kenyataan Rosol seperti dilaporkan oleh pihak akhbar:
"Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosol Wahid berkata, semua ADUN BN Terengganu bersedia menerima apa sahaja arahan Abdullah sebagai penyelesaian kepada kemelut politik itu. Katanya, buat masa ini pendirian mereka masih sama iaitu menyokong pelantikan Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu sebagai Menteri Besar. Rosol menolak desas-desus yang mengatakan terdapat dalam kalangan 23 ADUN yang berdiri di belakang Idris telah beralih menyokong Ahmad yang dilantik oleh istana.
“Kita tunggu arahan daripada presiden. Apa saja yang presiden minta... apa yang dibuat sekarang pun (sokong Idris) adalah atas arahan presiden."
"Negerinya sendiri Pulau Pinang tak boleh dijaganya, dia hendak jaga dan control negeri orang lain", bentak seorang ahli veteran UMNO yang kelihatan begitu marah dngan tindakan Pak Lah berkenaan.
Pada hari semalam Pak Lah berkata bahawa ada pihak yang cub mengambil kesempatan dari krisis tersebut, namun masyarakat Terenganu rata-rata menolak tuduhan Pak Lah tersebut.
"Yang berkepentingan ialah Perdana Menteri sendiri dan menantunya. Semua orang sudah tahu hal ini. Lebih menghinakan rakyat Terengganu ialah penglibaan Patrick Tan (Patrick Badawi) yang telah memungah kekayaan yang menjadi milik rakyat Terengganu hasil daripada rencana jahat Pak Lah- Idris Jusoh," tegas seorang penduduk di kuala Terengganu.
MT UMNO terima Ahmad Said Sebagai MB Terengganu
Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini memutuskan menerima pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.Demikin dilaporkan akhbar Utusan Online pada pukul 7.36 ptg tadi. Berita tersebut turut dilaporkan oleh Malaysiakini. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Mesyuarat juga memutuskan Pemilihan UMNO tidak akan ditangguhkan, demikian keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang bermesyuarat di PWTC di sini petang ini.
Laporan penuh malasiakini
Majlis Tertinggi Umno sepenuhnya menyokong pelantikan menteri besar baru Terengganu Datuk Ahmad Said, kata seorang anggota majlis itu.
"Tiada seorang pun (ahli MT) yang bantah," katanya kepada Malaysiakini.
Susulan itu, presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan bekas menteri besar Datuk Idris Jusoh menerima pelantikan yang dibuat oleh pihak istana.
Idris, sebagai ketua perhubungan Umno negeri, dan dua lagi ahli MT dari negeri itu turut hadir.
Ketua bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar, dan ketua Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, antara tokoh Umno negeri yang menolak Idris.
Mesyuarat itu, yang diadakan di ibu pejabat Umno mulai pukul 3 petang, berlangsung lebih tiga jam.
Abdullah juga mengumumkan Ahmad sebagai menteri besar dalam sidang medianya selepas mesyuarat itu.
Beliau juga mengumumkan Umno akan mengadakan pemilihan agung 16-20 Disember.
Pertandingan peringkat cawangan dan bahagian bermula 17 Julai, katanya.
Agong Pulang ke T'ganu Sabtu Ini. MAMPAT Minta Rakyat Pasang RIBEN KUNING
Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Terengganu akan berangkat pulang pagi Sabtu ini. Kepulangan baginda menjadi tumpuan ekoran tercetusnya krisis pelantikan menteri besar Terengganu.Baginda dijadual tiba jam 10 pagi dan akan disambut secara besar-besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud di Seberang Takir.
Sambutan tersebut akan dianjurkan oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai mewakili rakyat negeri Terengganu.
Jurucakapnya, Fariz Musa berkata, kira-kira 10,000 orang dijangka berkumpul di lapangan tersebut sebagai tanda taat setia dan sokongan mereka kepada baginda sultan.
Sementara itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) pula akan melancarkan Kelab Penyokong Tuanku pada jam 5 petang ini di Masjid Terapung di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
Jurucakapnya berkata, ia akan dilancarkan oleh imam masjid negara.
Di majlis tersebut juga, pelekat kereta menyokong tuanku, akan diedarkan kepada orang ramai.
MAMPAT turut menyeru kepada semua Rakyat Malaysia khususnya Warga Terengganu samada di dalam negeri Terengganu mahupun di luar Terengganu untuk mengikat RIBEN di kenderaan lain bermula dari hari ini sehingga isu Kedaulatan Sultan Terengganu selesai.Riben bolehlah di ikat di mana-mana bahagian yang bersesuaian pada kenderaan tetapi pastikan riben yang digunakan mestilah berwarna KUNING iaitu warna Diraja.
MAMPAT akan melancarkan "pengikatan riben " pada hari Khamis, 27 Mac 2008. Oleh itu MAMPAT telah menyeru kepada semua Rakyat Malaysia yang sayangkan Tuanku As-Sultan untuk bersama MAMPAT mengikat Riben di kenderaan masing-masing.
Pada jam 8 malam ini pula, katanya, sembahyang hajat akan diadakan di masjid tersebut untuk memohon pelindungan untuk Tuanku dan anakanda baginda.
Terengganu dilanda krisis pelantikan menteri besar apabila pihak istana memilih wakil rakyat Kijal, Datuk Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.
