9 Apr 2008

BN Cemburu Keakraban Pakatan Rakyat


GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata isu perkauman sengaja dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi merenggangkan komponen Pakatan Rakyat khususnya antara DAP dan PAS.

“Jika renggang bermakna BN boleh menang lagi maka tindakan merapatkan Pakatan Rakyat (PR) perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan rakyat daripada terus dihimpit penderitaan dan kezaliman termasuk kenaikan harga barangan dan petroleum,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu pagi tadi di Pejabat Ketua Menteri di aras 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dalam merangka jalinan muhibbah untuk menghindarkan percakaran perkauman di Malaysia.

Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan ‘Majlis Silatulrahim Antara Agama’ bagi merealisasikan situasi sekarang kerana rakyat melihat perkembangan baik untuk melahirkan pendekatan antara kaum.

Ini kerana, setiap pendekatan PAS ada persamaan yang boleh digerakkan bersama kerajaan negeri selain bertindak merancang sebagai hala tuju.

Sementara itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya menegaskan, Malaysia memerlukan satu gagasan di bawah Pakatan Rakyat bagi mengimbangkan kesedaran rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

Sekarang ini tidak timbul lagi ketakutan orang Islam mengundi DAP atau bukan Islam mengundi PAS.

Atas rasa kepentingan penyatuan berada dalam satu gagasan, PAS tetap berpendapat ia amat wajar diadakan bagi menghadapi BN yang semakin rapuh.

“Kunjungan hormat saya pada hari ini juga inginkan satu pendekatan bersama bagi menyelamatkan rakyat sekaligus membawa rakyat ke satu tahap yang membanggakan, ” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.

Turut serta bersama rombongan kunjung hormat pagi tadi ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman; Setiausaha PAS Negeri, Fazhil Kemi dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Halim Saleh.

Tiada ulasan: