27 Mac 2008

Agong Pulang ke T'ganu Sabtu Ini. MAMPAT Minta Rakyat Pasang RIBEN KUNING

Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Terengganu akan berangkat pulang pagi Sabtu ini. Kepulangan baginda menjadi tumpuan ekoran tercetusnya krisis pelantikan menteri besar Terengganu.

Baginda dijadual tiba jam 10 pagi dan akan disambut secara besar-besaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud di Seberang Takir.

Sambutan tersebut akan dianjurkan oleh sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai mewakili rakyat negeri Terengganu.

Jurucakapnya, Fariz Musa berkata, kira-kira 10,000 orang dijangka berkumpul di lapangan tersebut sebagai tanda taat setia dan sokongan mereka kepada baginda sultan.

Sementara itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) pula akan melancarkan Kelab Penyokong Tuanku pada jam 5 petang ini di Masjid Terapung di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Jurucakapnya berkata, ia akan dilancarkan oleh imam masjid negara.

Di majlis tersebut juga, pelekat kereta menyokong tuanku, akan diedarkan kepada orang ramai.

MAMPAT turut menyeru kepada semua Rakyat Malaysia khususnya Warga Terengganu samada di dalam negeri Terengganu mahupun di luar Terengganu untuk mengikat RIBEN di kenderaan lain bermula dari hari ini sehingga isu Kedaulatan Sultan Terengganu selesai.

Riben bolehlah di ikat di mana-mana bahagian yang bersesuaian pada kenderaan tetapi pastikan riben yang digunakan mestilah berwarna KUNING iaitu warna Diraja.

MAMPAT akan melancarkan "pengikatan riben " pada hari Khamis, 27 Mac 2008. Oleh itu MAMPAT telah menyeru kepada semua Rakyat Malaysia yang sayangkan Tuanku As-Sultan untuk bersama MAMPAT mengikat Riben di kenderaan masing-masing.

Pada jam 8 malam ini pula, katanya, sembahyang hajat akan diadakan di masjid tersebut untuk memohon pelindungan untuk Tuanku dan anakanda baginda.


Terengganu dilanda krisis pelantikan menteri besar apabila pihak istana memilih wakil rakyat Kijal, Datuk Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

2 ulasan:

Hasbullah Pit berkata...

Negeri aku takde Sultan....

Tanpa Nama berkata...

Budibicara Tuanku (My Boss): Mutlak atau Terhad?
Alhamdulillah, kemelut perlantikan MB Trengganu `dikira selesai’. Walaupun Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa kuasa perlantikan MB adalah prerogatif (semata-mata hak) Baginda Sultan di negeri-negeri masing-masing, namun ada pihak-pihak yang berpendapat bahawa budibicara (discretion) Baginda Sultan adalah terhad ataupun bersyarat. Perlembagaan Persekutuan menggunakan istilah seperti `pada budibicaranya’ (in his discretion) dan `pada pendapat/ fikiran/ timbangan’ (in his opinion). Istilah serupa juga digunakan dalam perlembagaan negeri Trengganu sebagai contoh. Pun begitu, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Baginda Sultan dalam melantik MB boleh mengenepikan peruntukkan-peruntukkan negeri jika difikirkan perlu. Maka adalah tidak tepat sama sekali, pada pendapat saya, pendapat-pendapat yang mengatakan bahawa budibicara Baginda Sultan melantik MB adalah budibicara yang bersyarat/ terhad (fettered discretion). Keputusan Baginda hendaklah dikira muktamad dan bukan sesuatu yang mana-mana pihak terkilan mempunyai hak untuk merayu.

Budibicara mutlak (unfettered discretion) bukan sesuatu yang asing dan juga bukan sesuatu yang ditolak oleh sistem undang-undang negara ini. Bahkan, Peguam Negara sendiri memiliki budibicara mutlak sepertimana yang diputuskan oleh Mahkamah Federal antara lainnya seperti dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim berkait dengan tafsiran Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan perihal budibicara Peguam Negara dalam hal-hal pendakwaan orang yang kena tuduh. Walaupun Peguam Negara perlu membuat keputusan dengan berhemah, keputusannya samada berhemah atau sebaliknya adalah isu yang berlainan. Mungkin apa yang berhemah pada seorang bukan semestinya pada fikirannya. Apakah beliau mesti membelakangkan apa yang beliau sendiri fikirkan `berhemah’ hanya kerana orang lain berpendapat sebaliknya? Dalam hal ini keputusan Baginda Sultan adalah prerogatif (semata-mata hak) Baginda Sultan sendiri, dan terpulanglah pada fikiran/ timbangan Baginda Sultan untuk memutuskan dengan berhemah. Samada keputusan yang dibuat itu berhemah atau sebaliknya adalah isu berlainan dan adalah pendapat masing-masing.

Begitu juga, walaupun orang yang dilantik Baginda Sultan sebagai MB boleh `digugurkan' melalui undi tidak percaya oleh Majlis Undangan Negeri, ianya adalah isu berbeza dan tidak berkait dengan kuasa lantikan Baginda Sultan. Walaupun isu undi tidak percaya boleh digunakan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, adalah tidak tepat bahawa MB Trengganu boleh dengan mudah dikenakan dengan undi tidak percaya sepertimana setengah-setengah pengulas-pengulas mengatakan `jatuh seperti nangka masak' yang membawa maksud bahawa MB yang dilantik harus meletakkan jawatan ekoran undi tak percaya tersebut. Dalam hal ini, undi tak percaya tidak boleh digunakan secara mala fide atau sewenang-wenangnya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kerana MB di lantikan oleh Baginda Sultan sendiri. Dalam melantik MB, Baginda Sultan bukan sahaja perlu menimbangkan bahawa orang yang dilantik itu memperoleh sokongan majoriti, tetapi perlu juga mengambil kira perkara-perkara (sulit dan umum) lain agar MB yang dilantik dapat membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran kepada negeri yang dibawah naungan Baginda Sultan. Baginda Sultan mempunyai kedudukan yang baik untuk menilai siapa yang paling berwibawa untuk Baginda menyerahkan amanat pentadbiran agar negeri yang dibawah naungannya makmur, aman dan sejahtera. Dengan demikian, budibicara Baginda Sultan adalah sesuatu yang mutlak dan bukan bersifat bersyarat. Seterusnya, adalah sesuatu yang `kelakar’ untuk mengusulkan undi tidak percaya pada sidang pertama mahupun kedua atau ketiga Dewan Undang Negeri sedangkan belum ada lagi bukti bahawa MB yang dilantik itu gagal melaksanakan tugas yang sepatut dipikulnya. Perlu diberikan masa yang munasabah bagi MB menjalankan tugasnya dahulu sebelum apa-apa tindakan untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya. Kerana tidak, Baginda Sultan masih berkuasa menolak perletakkan jawatannya atau melantiknya semula kejawatan MB. Maka undi tidak percaya hendaklah disertai dahulu dengan keterangan bahawa MB ternyata tidak cekap dalam hal pentadbiran negeri itu. Usul tidak percaya bukan sesuatu yang boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana Baginda Sultan sendiri yang melantiknya. Secara implikasi, perkenan Baginda Sultan untuk perletakkan jawatannya adalah relevan.

Raja berpelembaggan bermaksud tidak lain melainkan bahawa Raja menduduki tempat teratas dalam pemerintahan, dan mana-mana tindakan untuk menghadkan kedudukan ini atau budibicara Baginda Sultan sebenarnya bercanggah dengan tujuan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Perlembagaan tidak boleh dilihat secara literal tanpa melihat secara menyeluruh kuasa-kuasa dan kedudukan Sultan-Sultan di Malaysia. Seseorang Sultan dianggap berdaulat. Dalam institusi kesultanan Melayu, Sultan menduduki tempat tertinggi dalam pemerintahan dan pentadbiran di negeri masing-masing dan ini jelas sebagaimana perkataan seperti `Polis Di Raja Malaysia’, Tentera Di Raja Malaysia, Kastam DiRaja Malaysia dan banyak lagi. Sultan juga adalah tunggak menyatupadukan rakyat, mengamankan dan memakmurkan negeri, berkuasa dalam segala hal ehwal dalam negeri, agama Islam, peperangan dan hubungan luar negeri. Rakyat mengikut dan menjalankan titah raja dan taat setia sejajar dengan rukun negara Malaysia. Sultan mempunyai cop mohor yang menandakan lambang kuasa dan pengesahan. Perkataan `perkenan’ Agung atau Sultan dengan sendirinya membawa maksud bahawa terpulanglah pada Agung dan Sultan-Sultan Negeri-Negeri samada mahu atau tidak perkenankan nasihat atau cadangan-cadangan yang dikemukakan. Dalam hal ini, perkataan-perkataan `Daulat Tuanku’ `istana’, `patik’ dan `Tuanku’ (my boss) itu sendiri perlu difahami dan dihayati maksud sebenarnya.

Malahan Sultan-Sultan Malaysia tidak boleh disamakan dengan mana-mana Rajapun di dunia ini termasuk United Kingdom. DiMalaysia, bukan satu tetapi terdapat sembilan Sultan, dan seorang yang DiPertuan Agung secara bergilir-gilir dikalangan mereka. Kedudukan Raja-Raja diMalaysia amatlah unik. Raja-Raja di Malaysia selepas merdeka dari pemerintahan inggeris bukan lagi sekadar `pengecop’ sepertimana semasa penjajahan Inggeris dimana Sultan-Sultan perlu bertindak atas nasihat (shall act on the advice) Residen British yang merupakan wakil kepada Raja DiEngland. Berbanding Residen British, MB adalah orang lantikan Sultan dan berkhidmat untuk dan dibawah Sultan. Tentunya orang yang Baginda Sultan akan lantik sebagai MB wajarlah pada fikiran/timbangan Baginda Sultan dikalangan orang yang mendapat kepercayaan Baginda Sultan bagi tujuan pentadbiran negeri yang dibawah naungannya. Untuk mengatakan bahawa Baginda Sultan terikat dengan nasihat mana-mana orang atau MB yang Baginda Sultan mempunyai prerogative melantik, pada pendapat saya memang tidak sejajar dengan perkara-perkara seperti `Daulat Tuanku’, `Istana’ dan `perkenannya’. Dengan demikian, keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyokong sepenuhnya pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru adalah sesuatu yang amat di alu- alukan dan teladan yang baik kepada Melayu dan bukan Melayu di Malaysia .

Prof Madya Dr Abdul Rani Bin Kamarudin
Pensyarah Undang2 UIAM