2 Jun 2010

PM Jepun Letak Jawatan, PM Malaysia Bila Lagi?

Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama meletakkan jawatan hari ini, kurang sembilan bulan selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara Jepun.

Hatoyama, 62 yang menamatkan setengah abad penguasaan parti konservatif di Jepun, hujung Ogos lalu mengumumkan peletakan jawatannya itu dalam sidang khas Parlimen.

Jutawan dan berasal dari keluarga berpengaruh yang menerima jolokan "Keluarga Kennedy Jepun" itu meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Demokratik Jepun (DPJ).

"Saya akan meletakkan jawatan" katanya sambil menitis air mata.

“Pentadbiran kerajaan akan berjalan dan ia tidak memberi kesan terhadap sokongan yang diberikan orang awam," kata Hatoyama, yang hanya akan meninggalkan jawatan itu selepas penggantinya dipilih nanti.

DPJ dijangka mengundi untuk memilih ketua yang baru, Jumaat ini.

Menteri Kewangan, Naoto Kan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, disebut-sebut sebagai pengganti Hatoyama.

Spekulasi tersebar beberapa hari lalu bahawa Hatoyama akan berundur selepas menerima tekanan berikutan melakukan hubungan baik dengan Amerika Syarikat khususnya berhubung pertikaian isu pangkalan udara tentera marin Amerika Syarikat di Pulau Okinawa.

Sebelum itu beliau berjanji akan mengalihkan pangkalan itu bagi menamatkan kesulitan penduduk yang mengadu mengenai pencemaran serta kadar jenayah yang tinggi tetapi menukar fikiran selepas itu. -FMT

Ulasan GB

Itulah tindakan terhormat (letak jawatan) seorang PM apabila beliau dikatakan ada melakukan hubungan baik dengan Amerika Syarikat.

Tetapi di Malaysia, PM yang bernama Mohd Najib Tun RAzak tidak lansung berfikir untuk melakukan sedemikian sekalipun telah dikaitkan dengan pelbagai isu seperti rasuah Scorpene, lesen judi dan hubungan baik dengan APC O, sebuah syarikat Yahudi.

Namun, hukum alam akan terus berlaku, sekalipun Najib enggan meletak jawatan secara terhormat,namun Tuhan akan memaksanya meletakkan jawatan juga akhirnya nanti. Ingatlah bagaimana Pak Lah terpaksa berundur sekalipun beliau amat ingin menghabiskan tempoh jatawannya sebanyak 2 penggal - namun ia tidak diizinkan Tuhan.

Syed Sobri Sudah Temui Pemimpin PAS - Azizan

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Syed Sobri Syed Hashim bertemu dengan beberapa pemimpin Pas negeri di Kuala Nerang, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, Syed Sobri yang disebut-sebut akan keluar parti dan menyertai Pas, menerima jemputan perwakilan Pas yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi untuk menghadiri satu majlis kenduri dan dialog anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Padang Terap.

Menurutnya, antara topik utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu lebih menjurus isu tanah di daerah berkenaan dan juga perihal aduan rakyat.

Beliau bagaimanapun menyatakan, tiada perbincangan menjurus kepada hasrat Syed Sobri untuk keluar daripada UMNO dan menyertai Pas.

“Hingga setakat ini, kami masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Syed Sobri dan sekiranya beliau benar-benar berniat hendak masuk Pas, beliau kena mohon dan tunggu hingga bulan depan untuk Jawatankuasa Pas Negeri mengesahkan permohonannya.

“Hendak menyertai Pas bukan seperti makan tosai, waktu hendak makan, dalam tempoh lima minit dah siap terhidang,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Bersih dan Indah Peringkat Negeri di Dataran Darul Aman di sini semalam.

Azizan juga menafikan beliau atau mana-mana pemimpin Pas negeri pernah mengadakan perjumpaan dengan Syed Sobri secara senyap-senyap bagi membincangkan hasrat ADUN Kuala Nerang itu menyertai Pas. Namun katanya, pintu Pas sentiasa terbuka luas untuk beliau masuk, jika benar-benar berhasrat mahu menyertai parti itu.

“Kita tiada halangan (hasrat Syed Sobri sertai Pas). Cuma kita kena tunggu keputusan muktamad daripadanya sendiri. Tak guna kita canang seluruh kampung sekiranya ADUN yang terlibat tidak memberi apa-apa keputusan lagi,” katanya.

Sementara itu, Ir Phahrolrazi ketika ditemui mengesahkan menemui Syed Sobri pada majlis dialog anjuran PTG di Kuala Nerang dan menjelaskan, pihaknya sengaja tidak memanggil media untuk membuat liputan bagi menjaga imej ADUN Kuala Nerang yang sudi menghadiri program anjuran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, hubungan Syed Sobri dengan pemimpin Pas Kedah sememangnya mesra, bagaimanapun menjelaskan pertemuan itu tidak menyentuh langsung isu keluar UMNO dan masuk Pas.

“Sebagaimana Menteri Besar cakap, kita tidak pernah bincang apa-apa (mengenai isu sertai Pas) dengannya,” katanya. -SH

Manikavasagam Sendiri Mengikat Tangannya

MP Kapar: ‘Tangan terikat, tapi saya hadap Selcat pagi ini’

Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam akhirnya memutuskan untuk menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) pagi ini walaupun mendakwa ‘tangannya terikat’ dengan implikasi perundangan bakal dihadapinya dari pelbagai sudut.

“Saya memang dalam dilema sekarang.... saya baru sahaja bercakap dengan peguam saya dan 80 hingga 90 peratus saya sudah memutuskan untuk pergi.

“Saya akan pergi menemui Selcat tetapi saya tidak boleh mendedahkan maklumat kepada Selcat dengan mendalam,” kata beliau ketika dihubungi 7.30 pagi tadi.

Notis telah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Negeri Selangor Mohamad Yasid Bidin untuk memanggil Manikavasagam menghadiri sesi pendengaran awam berhubung kes itu pukul 10 pagi ini.

Wakil rakyat tidak membuat keputusan sehingga malam tadi sama ada perlu menghadapi Selcat ataupun sebaliknya dengan merujuk kepada amalan Parlimen dan batasan di bawah undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau saya tak pergi ke Selcat pun masalah, kalau pergi pun bermasalah... saya dalam situasi dilema,” kata beliau dengan cuba menenangkan dirinya dengan menambah, “saya akan pergi dan hanya menyerahkan beberapa dokumen asas, yang saya telah beri kepada polis sebelum ini.”

“Saya akan menjelaskan kepada Selcat masalah yang saya hadapi, masalah yang saksi-saksi saya hadapi... mereka terima ugutan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Manikavasagam berkata, beliau juga telah meminta Selcat agar menulis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi meminta kebenaran membolehkannya memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

“Hari ini peguam saya akan menulis kepada Speaker dan kemudian kepada SPRM mengenai kehadiran saya di Selcat,” katanya lagi.

Tindakan susulan akan bergantung kepada respons kepada surat-surat itu, katanya.

Peguam yang mewakili wakil rakyat itu, N. Surendran mengesahkan kepada The Malaysian Insider malam tadi bahawa Manikavasagam tidak akan menghadiri sesi pendengaran Selcat hari ini, yang dijadual untuk bersidang menyiasat dakwaan amalan rasuah dalam perniagaan pasir anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Surendran berkata anak guamnya itu terikat dengan implikasi undang-undang dan amalan Parlimen.

Dalam surat yang dihantar kepada Selcat semalam, beliau berkata, dengan merujuk Amalan Parlimen Erskin May, seorang Ahli Parlimen tidak boleh dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Selcat.

Pada minggu lalu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Selcat tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa sesiapa tanpa kebenaran Peguam Negara.

Teng yang juga Pengerusi Selcat berkata, mengikut Seksyen 3 Enakmen Penghinaan Dewan 2008, Manikavasagam menghina DUN jika beliau gagal menghadiri sesi itu atau memberi kenyataan atau menyediakan dokumen yang diperlukan.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dipenjara maksimum 12 bulan atau denda RM5,000, tetapi hukuman itu bergantung atas kelulusan Peguam Negara.

Katanya Mohamad Yasid memetik seksyen itu dalam saman notisnya sebagai peringatan kepada Manikavasagam.

Teng berkata beliau akan mempengerusikan sesi pendengaran awam itu yang diadakan oleh Selcat selama tiga hari mulai hari ini.

Jawatankuasa itu hanya akan mencadangkan bentuk tindakannya jika ia membabitkan kakitangan kerajaan negeri kerana kes itu dilihat dari perspektif pentadbiran, katanya.

Teng berkata terpulang kepada SPRM atau polis untuk membuat siasatan susulan dengan apa terjadi dalam sesi itu.

Ulasan GB

Rujuk ulasan GB sebelum ini di Isu Pasir: Manickavasagam Terperangkap Sendiri.

1 Jun 2010

Tersalah Bawa Kunci Kondominium?

Salah kunci, itu alasan yang diberikan oleh polis atas kegagalannya membuka sebuah kondominium untuk pemeriksaan mahkamah sebagaimana yang dikehendaki oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kondominium di Desa Damansara itu adalah penting untuk peguam Anwar membuktikan pertuduhan liwat terhadap beliau telah direka cipta sekali lagi dan tidak disokong dengan bukti.

Perbicaraan ditunda kepada Khamis dengan pendakwaraya menyoal pakar-pakar yang memeriksa pengadu Saiful Bukhari Azlan dan mendapati tidak ada bukti tusukan menunjukkan Saiful mangsa liwat.

Hakim Mohamad Zabidin Md Diah, pasukan pendakwaraya dan pasukan peguam bela melawat kondominium ini diiringi oleh polis.

Namun mereka terkejut apabila dimaklumkan oleh pasukan polis bahawa mereka tersalah membawa kunci.

Pemeriksaan unit berkenaan adalah penting untuk membuktikan Anwar sedang mempengerusikan sebuah mesyuarat di unit berkenaan ketika pengadu Saiful mendakwa beliau kononnya diliwat di sebuah unit kondominium berasingan.

"Saya bagi tahu tadi bahawa dia salah kunci jadi mereka berikan polis kunci salah jadi kita tak dapat tempat yang dituju ujar Anwar.

"Kami tiba ke kondo awal tapi malangnya kunci kondo 52 yang dikatakan tempat mesyuarat itu tidak ada" ujar peguam Anwar, Sankara Nair.

Sankara juga memberitahu pemberita perbicaraan ditunda kepada Khamis.

Ini bagi membolehkan pakar perubatan dari Australia mengikuti keterangan daripada doktor yang memeriksa Saiful. Pakar berkenaan mendapati tidak ada tusukan menunjukkan Saiful mangsa liwat sebagaimana yang didakwanya.

Kehadiran pakar Australia akan membantu pasukan peguam Anwar untuk menelah keterangan yang bakal diberikan oleh pakar-pakar perubatan yang akan disoal oleh ketua pendakwaraya Yusuf Zainal Abidin.

"Esok tidak ada prosiding sebab kita buat persiapan untuk dan rancangan untuk mendengar bukti daripada pakar HKL pada hari khamis, dan lagipun pakar kami tak ada, dia akan sampai jam 7 pagi hari khamis” tambah Anwar lagi. -TVS

Ulasan GB

Tersalah bawa kunci atau sengaja salah bawa kunci?

Isu Pasir: Manickavasagam Terperangkap Sendiri.

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Shah Alam esok.

"Saya benar-benar berada dalam dilema. Mana satu saya hendak pergi?," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today, hari ini.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan saya jika saya membocorkan rahsia, saya akan ditangkap. Seksyen 29 Akta SPRM menyebut saya boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kalau saya tidak pergi Selcat saya boleh dikenakan hukuman setahun penjara atau dikenakan hukuman denda RM5,000," terang beliau.

Manikavasagam sepatutnya memberi penerangan kepada Selcat, esok, berhubung isu pendedahan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mike berkata, jika beliau tidak pergi ke Selcat orang ramai akan menganggapnya sebagai penakut.

Ujarnya, "saya tidak takut, saya tidak gentar. Tetapi kedua-dua akta dalam SPRM dan Selcat menyebabkan saya berada dalam dilema dan serba salah. Tengoklah…saya masih berbincang dengan peguam saya."

Bulan lalu, Mike membuat pendedahan mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat pasir milik kerajaan negeri Selangor itu. -FMT

Ulasan GB

Akhirnya YB Manickavasagam terperangkap sendiri.

Beliau yang membuat heboh terlebih dahulu isu berkenaan sekalipun kita memang sangat bersetuju isu pasir itu dibongkar. Namun kaedah Mike yang menyerang MB Selangor secara terbuka adalah satu langkah bebal seorang YB PR.

Jika ianya tidak dihebohkan tetapi sebaliknya dilapor terus kepada Kerajaan Negeri, maka Mike hanya bertanggungjawab mendedahkan maklumat yang ada padanya kepada SELCAT, tanpa perlu campurtangan SPRM yang umum mengetahui SPRM adalah kuda tunggangan UMNO BN yang digunakan sepenuhnya untuk merampas Selangor dari PR.

Mike beritahu kami semua sekarang, aduan PR yang manakan SPRM pernah ambil tindakan secara serius? Mike lupakah isu Khir Toyo yang dipendam sekian lama? Mike lupakan isu Teoh Beng Hock yang kini tak habis lagi proses inkues dijalankan dan Mike hendak disoal sampai pagikah di bangunan SPRM nanti supaya nasib Teoh Beng Hock menimpa Mike pula? Tak cukupkah dengan peringatan dari samseng-samseng pasir yang telah menyimbah cat merah keatas kereta dan rumah Mike? Sudahkah polis menangkap mereka? Silap gaya Mike yang ditangkap nanti di atas tuduhan yang direka-reka kerana dikatakan ada parang ditemui di dalam kereta kamu.

Apabila kami menyatakan ianya tak perlu dihebohkan bukan bererti kami menyokong penyangak pasir berkenaan, tetapi dengan cara Mike menghebohkannya, pihak lawan boleh memanipulasikan kes berkenaan untuk menunjukkan kononnya PR lemah dan terlibat di dalm isu berkenaan sedangkan hasrat Mike adalah baik, untuk mendedahkan isu pasir yang sebenarnya telah belarutan semenjak zaman BN menguasai Selangor lagi.

Kini, anda yang terperangkap. Cari penyakit sendiri kerana anda memang perlu belajar lagi untuk berpolitik secara matang dan bergerak serta bekerja sebagai satu pasukan.

Syed Sobri Berdepan Dengan Masalah Kewangan?

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim meminta para media memberi sedikit masa untuk beliau memberi keputusan mengenai jawatan beliau di dalam Umno Kedah mahupun sebagai Adun Kuala Nerang.

Menurutnya, keadaan tertekan menjadikan beliau sukar untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung khabar angin menyatakan beliau akan meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

"Saya tidak boleh memberi sebarang komen atau kenyataan kerana melibatkan banyak pihak termasuklah jawatan saya sebagai Adun Kuala Nerang.

"Harap semua media dapat memberi masa untuk saya menyatakan pendirian tetap saya dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi wartawan Free Malaysia Today hari ini.

Syed Sobri tetap menegaskan tidak akan memberi sebarang kenyataan dalam masa terdekat ini sehinggalah mencapai satu keputusan terbaik untuk mengemukakan kepada umum.

PAS sentiasa alu-alukan Syed Sobri

Sementara itu, Speaker Negeri Kedah yang juga ahli jawatankuasa PAS Kedah, Datuk Abdul Isa Ismail menyatakan PAS sentiasa mengalu-alukan penyertaan ahli baru dan jika benar mana-mana Adun atau pun ahli parti Barisan Nasional (BN) ingin menyertai PAS, ia dapat menyatukan lebih ramai lagi umat.

"Jika benar Adun Kuala Nerang ingin menyertai PAS, dia perlulah mengemukakan surat secara terbuka kepada jawatankuasa PAS, barulah sah beliau benar ingin bersama kami.

"PAS sentiasa mengalu-alukan kemasukan ahli baru sama ada Adun mahupun umat Islam yang lain bagi bersama-sama membentuk kebenaran melalui pegangan agama untuk negara," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Tambah beliau, keputusan sepenuhnya sama ada penyertaan Adun Kuala Nerang diterima atau pun tidak, beliau menyatakan keputusan tersebut akan dibuat oleh jawatankuasa tertinggi PAS.

Syed Sobri sejak akhir-akhir ini sentiasa dijejaki wakil-wakil media untuk mendapatkan pengesahan daripadanya tentang ura-ura beliau akan membuat pengumuman untuk meninggalkan BN menyertai PAS hari ini.

Kesahihan semakin memuncak kerana Syed Sobri dikatakan begitu kecewa dengan Umno, berikutan disisihkan dan sudah tidak mempercayai perjuangan Umno yang hilang hala tuju itu.

Jika beliau menyertai PAS maka kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui oleh PAS akan bertambah kukuh. Dengan kemasukan Syed Sobri, PR akan mempunyai 21 Adun berbanding BN 12. -FMT

Ulasan GB

Untuk tujuan rekod, GB lampirkan dua berita bertarikh 13 Nov 2008 dan 16 Nov 2008 dari MSTAR


ADUN Kuala Nerang muflis, kemungkinan pilihan raya kecil?

Kedah kemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil, yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12, berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim muflis. `

Timbalan Pendaftar Najwa Che Mat telah mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis 3 November lalu.

Syed Sobri dikatakan gagal menjelaskan hutang bank berjumlah RM100,000.

Bagaimanapun Syed Sobri telah mengemukakan rayuan dan permohonannya akan didengar pada 1 Disember ini.

Beliau enggan mengulas apa-apa mengenainya.Sumber-sumber Barisan Nasional (BN) pula memberitahu kes tersebut telah diselesaikan bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

Pada 8 Mac lalu, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan kelebihan 805 undi.
Syed Sobri memperoleh 7,856 undi.Speaker Dewan Undangan Negeri, Dr. Abdul Isa Ismail telah mengemukakan surat makluman mengenainya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika dihubungi The Star di Indonesia mengesahkan ada dimaklumkan perkara tersebut dan ia sedang diteliti.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, adalah baik jika perkara tersebut diselesaikan.

"Kita tidak perlu membazirkan wang dengan mengadakan pilihan raya. Kita boleh fokus kepada soal pembangunan negeri," katanya.


ADUN Kuala Nerang bebas muflis, tiada pilihan raya kecil

KUALA NERANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim berkata, beliau sudah menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengesahkan spekulasi pilihan raya kecil tidak timbul lagi kerana isu itu “kini hanya bersifat akademik kerana sudah ada penyelesaian.”

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya difahamkan soal muflis sudah selesai kerana kedua-dua pihak yang terbabit iaitu Syed Sobri dan bank telah mencari jalan penyelesaian.

“Jadi soal pilihan raya kecil tidak timbul lagi,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Beliau mengakui SPR ada dimaklumkan tentang status muflis ADUN itu sebelum ini.

“Tetapi kini sudah selesai,” kata beliau kepada mStar Online.

Syed Sobri yang dipetik Bernama berkata, peguam beliau telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah 3 November lepas yang mengisytiharkan dirinya muflis.

“Perintah dari mahkamah pun belum dikeluarkan,” kata beliau, yang juga Naib Ketua Umno Padang Terap, kepada pemberita pada majlis khatan perdana anjuran Kelab Kebajikan dan Sosial Kakitangan Hospital Kuala Nerang dan Adun Kuala Nerang di sini, semalam.

Khamis lalu, media melaporkan Kedah berkemungkinan menyaksikan pilihan raya kecil berikutan keputusan mahkamah mengisytiharkan ADUN Kuala Nerang itu muflis.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi.


Israel Tidak Peduli Bantahan Dunia, Terus Tawan 480 Aktivis

Israel dilaporkan menahan 480 aktivis pro-Palestin yang ditawan komandonya dalam flotila kebebasan yang membawa misi bantuan ke Semananjung Gaza, semalam.

Menurut AFP yang memetik laporan radio awam Israel, pihak berkuasa negara itu juga akan melepaskan 48 tahanan yang lain.

Mereka yang ditawan itu kini diletakkan dalam penjara Ashdod di selatan Israel.

Sementara 48 yang akan dibebaskan kini dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada 12 rakyat Malaysia yang ditawan semalam itu antara yang dibebaskan ataupun dihumban ke penjara Israel. -erapakatan



Undi Tidak Percaya Kepada Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberi tempoh 48 jam untuk bertindak segera membentang pelan bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang ditawan oleh rejim Zionis.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, parti itu juga menuntut dalam tempoh 48 jam berkenaan Najib perlu memanggil sidang khas parlimen membincangkan isu serangan Israel ke atas flotila kebebasan yang menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza.

"(Selain itu), dalam tempoh tidak lebih dari 48 jam kerajaan hendaklah menamatkan kontrak dengan syarikat perunding antarabangsa yang merupakan proksi kepentingan politik Israel dan Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan Rakyat, juga katanya menuntut kerajaan menghentikan dengan segera sebarang urusan perdagangan yang rasmi atau tidak rasmi dengan Israel.

Beliau juga kecewa dengan Najib yang hanya mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan serangan itu Israel hanya pada tengah malam semalam.

"Kenyataan itu hanya dibuat selepas didesak oleh pelbagai pihak yang mengangap kerajaan terlalu lembab dan takut untuk membuat kenyataan mengecam perbuatan lanun laut rejim Israel," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kelembapan perdana menteri itu, katanya, dilihat seperti menunggu apa nasihat dari Apco Worlwide untuk kerajaan bertindak tanpa menjejas kerja firma Yahudi itu yang diamanahkan oleh kerajaan untuk memulihkan kepercayaan Amerika terhadap kerajaan Malaysia.

"Tindakan rejim Israel tersebut adalah berpunca dari sikap lunak dan pak turut dasar luar kerajaan-kerajaan di dunia termasuk Malaysia yang menyumbang kepada tindakan kejam Israel.

"Perbuatan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib yang begitu mesra Amerika dan Zionis mesti dikecam oleh seluruh rakyat Malaysia," kata beliau. -mk

Ulasan GB

Ringkas saja, kelembapan Najib dengan keengganan untuk memutuskan hubungan dengan APCO perlu diajar dengan diberikan undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen.


Tiada Alasan Pertahan Judi Bola. Tidak Timbul PR Ambil Kesempatan.

Pembangkang menganggap tiada alasan atau hujah kepada mana-mana pihak untuk mempertahankan isu pemberian lesen judi di negara ini.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, selain dilarang dalam semua agama, banyak negara dan pertubuhan tidak bersetuju menjadikan judi sebagai industri besar.

“Negara maju pun bantah lesen judi diberi peluang lebih besar dan banyak perkara yang boleh berlaku seperti ah long dan sebagainya, selain timbul ketegangan rumah tangga yang juga berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan Islam sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Dalam masa sama, beliau kesal dengan kenyataan Setiausaha UMNO Bahagian Besut, Dr A Rahman Mokhtar bahawa pembangkang cuba mengambil kesempatan terhadap isu pemberian lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan Berjaya.

Beliau berkata, kenyataan tersebut dilihat cuba mempertahankan tindakan pemimpin mereka yang mengambil langkah sedemikian.

Sebaliknya, Syed Azman menegaskan bahawa Pakatan Rakyat (PR) terutama Pas konsisten dalam mencegah kemungkaran, lebih-lebih lagi judi adalah sebahagian yang dilarang agama.

“PR berada dalam keadaan cukup baik dan tidak timbul sebarang isu bahawa kita cuba mengambil kesempatan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi teguran kepada kerajaan dan ini bukan politik, tetapi melibatkan hukum-hakam. Kita turut bersetuju dengan kenyatan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyeru supaya perkara itu ditarik balik,” katanya.

Selain itu, Syed Azman berkata, pemimpin UMNO yang menganggap bahawa lesen judi tersebut dikhususkan kepada bukan Islam sebagai penghinaan kepada golongan berkenaan kerana agama mereka turut tidak menggalakkan penganutnya berjudi. -SH

31 Mei 2010

Intifada Diistiharkan. UMNO Masih Berpelukan Dengan APCO

Serang Konvoi Bantuan Kemanusiaan, KEADILAN Desak Kerajaan Batal Kontrak APCO

KEADILAN hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel yang menyerang konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa (Freedom Flotilla) ke Gaza yang mengakibatkan 16 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Ketua Penerangan Latheefa Koya berkata serangan kejam itu terhadap sebuah daripada enam kapal yang membawa bekalan perubatan, makanan, bahan binaan dan lain-lain keperluan asas menuju Gaza.

"Pembunuhan terhadap aktivis konvoi bantuan itu merupakan satu tindakan yang kejam dan salah sama sekali.

"Tiada justifikasi di bawah undang-undang antarabangsa yang membolehkan rejim zionis itu bertindak sedemikian," kesalnya.

Tambahnya, konvoi kapal tersebut turut membawa Ahli Parlimen dari Eropah, pemegang Nobel Peace Prize, wanita dan beratus-ratus aktivis keamanan.

"KEADILAN menyeru dunia mengutuk dan mengambil tindakan terhadap rejim zionis itu dan mendesak kerajaan membatalkan kontrak APCO dengan segera," tegas Latheefa lagi.


Mesyuarat tergempar, Hamas isytihar 'intifada'

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan perkumpulan 22 negara Arab terhadap apa yang disifatkan "tindakan keganasan" Israel terhadap kapal misi bantuan antarabangsa ke Gaza.

"Setiausaha Agung Liga Arab sudah memanggil mesyuarat tergempar peringkat wakil bagi membincangkan jenayah kejam tentera Israel terhadap orang awam tidak bersenjata yang menyebabkan ramai terbunuh dan cedera.

"Liga Arab mengutuk tindakan keganasan itu," menurut kenyataan pertubuhan itu yang dipetik oleh Reuters.

Sementara itu, AFP pula melaporkan Hamas hari ini menyeru rakyat Arab dan umat Islam supaya 'berhimpun' di kedutaan-kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah serangan maut rejim itu terhadap kapal-kapal yang membawa bekalan bantuan ke Semenanjung Gaza.

“Kami menyeru semua rakyat Arab dan umat Islam supaya berkumpul di kedutaan-kedutaan rejim Zionis itu di seluruh dunia,” kata jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri sambil menggunakan perkataan Arab 'intifada'.

Perdana Menteri Hamas Ismail Haniya di Gaza mengecam 'serangan' berkenaan dan turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melindungi aktivis yang mengikuti misi penghantaran bekalan bantuan itu.


Karpal : Najib, Ezam Boleh Didakwa Tidak Membuat Laporan Polis

Perbicaraan kes Fitnah 2 Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bersambung semula pagi ini.

Peguambela, Karpal Singh sekali lagi memohon bagi membekalkan pihaknya dengan senarai saksi.

Perbicaraan dimulakan Karpal dengan memberitahu pihaknya telah menghubungi pemilik kondominium di mana penuduh yang juga saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa tempat dia diliwat tetapi gagal menghubunginya.

"Kami perlukan bantuan daripada pihak pendakwaan. Saya pasti dia (pemilik kondo) itu juga akan dipanggil (sebagai seorang saksi).”

Namun Peguam Cara II Negara yang juga ketua pendakwa, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memaklumkan mahkamah bahawa beliau hanya mengetahui berhubung permohonan senarai saksi pendakwaan telah dibuat hari ini.

Perbicaraan pagi ini ditangguhkan sebentar selepas sesi soal balas (cross examine) diadakan di antara Karpal terhadap Saiful.

Berikutan itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memanggil peguam ke dalam kamar untuk mengadakan perbincangan.

Dalam perbincangan itu, Karpal memohon kepada hakim untuk pergi ke kondominium itu yang terletak di Bukit Damansara di mana lokasi Saiful dakwa diliwat Anwar. Permohonan itu bertujuan bagi membuat pemeriksaan alibi.

Sebelum itu, prosiding soal balas masih lagi berkaitan laporan perubatan ke atas Saiful.

Saiful menceritakan bahawa ayahnya bercerai dengan ibunya semasa dia berada dalam darjah satu.

Karpal kemudian bertanya mengenai adik perempuan Saiful iaitu Saidati yang dikatakan mengikut seorang lelaki dan berkahwin di Thailand.

Beliau kemudiannya menyemak semula keterangan awal Saiful mengenai perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rodwan Mohd Yusof (ketika itu pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang sekarang ini Ketua Polis Melaka) dan bekas olahgarawati negara, Mumtaz Jaafar yang merupakan sahabat akrab isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Karpal kemudian bertanyakan kepada Saiful sama ada Najib, Mumtaz, Rodwan, Ezam ada membuat laporan polis berhubung dakwaannya yang dia diliwat oleh Anwar.

Saiful memberikan jawapan bahawa dia tidak tahu.

Kemudian berlaku pertikaman lidah di antara Karpal dan Mohd Yusof sebaik Karpal berhujah Perdana Menteri dan yang lain boleh diheret ke mahkamah kerana tidak membuat laporan polis berhubung dakwaan Saiful diliwat.

"Di bawah Seksyen 13, Kanun Prosedur Jenayah adalah satu prosedur bagi seseorang untuk membuat laporan polis. Jika ini tidak dilakukan, ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 202, Kanun Keseksaan,” jelas Karpal. -SK

ADUN BN Bakal Letak Jawatan Atau Lompat Parti

Sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim akan mengosongkan kerusi (meletak jawatan ADUN) atau melompat parti, akan diketahui selewat-lewatnya petang ini.

Ini kerana, Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu dijangka akan membuat pengumuman pada hari ini, seperti apa yang beliau janjikan sebelum ini.

Ketika dihubungi petang semalam, Syed Sobri mengingatkan wartawan supaya menunggu pengumuman yang akan dibuat.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa lagi sekarang. Makin banyak saya bercakap, semakin jadi kelam kabut. Tunggulah pengumuman yang akan saya buat,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan sudah dibuat, Syed Sobri berkata, segala-galanya akan terjawab.

Agak aneh apabila Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ketika ditanya sama ada beliau sudah mendapatkan penjelasan Syed Sobri berhubung isu itu, berkata beliau masih tidak dapat menghubungi wakil rakyat berkenaan.

Ketua Pembangkang DUN Kedah yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula meminta semua pihak bersabar dan menunggu kenyataan Syed Sobri sendiri.

“Buat masa ini, elok saya diam daripada membuat kenyataan berhubung khabar angin Syed Sobri akan letak jawatan. Kita tunggu esok (hari ini) sahaja,” katanya.

Menurut sumber terdekat wakil rakyat itu, Syed Sobri diyakini akan keluar daripada Barisan Nasional dan menyertai Pas kerana tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti itu.

“Ada beberapa perkara yang perlu dibereskan dahulu sebelum Syed Sobri membuat pengumuman itu. Biasalah, perlu melalui beberapa proses seperti menghantar borang keahlian sebelum dipersetujui Jawatankuasa Pas Negeri, dan perlu menepati syarat-syarat ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Syed Sobri akan melepaskan jawatannya sebagai ADUN, sumber itu memberitahu, ia belum pasti.

“Sama ada beliau akan melepaskan kerusi yang disandang, atau membawa sekali kerusi bersama-samanya dalam Pas, masih samar,” katanya.

Sekiranya Syed Sobri membuat keputusan menyertai Pas, tindakannya itu akan meningkatkan kerusi Pakatan Rakyat (PR) dalam DUN Kedah kepada 21 sekali gus mengurangkan kerusi BN daripada 13 kepada 12. Bebas diwakili dua ADUN.

Ini bukan kali pertama ADUN Kuala Nerang itu dikaitkan dengan isu letak jawatan. Pada awal 2009, beliau pernah berada dalam situasi yang sama sehingga Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kenyataan mengumumkan Syed Sobri tidak akan melepaskan jawatan setelah mereka berbincang hati ke hati pada 28 April 2009. Pada 3 November 2008, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengisytiharkan Syed Sobri muflis berikutan kegagalan wakil rakyat itu menjelaskan hutang RM150,000. Namun pada 15 November tahun yang sama, Syed Sobri mengumumkan telahpun menjelaskan hutang berkenaan dan peguamnya telah pun mengesahkan beliau tidak lagi diisytiharkan muflis. -SH



Kemungkinan BN hilang satu lagi DUN

by:SHAMSUL MUNIR SAFINI

ALOR SETAR-Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO/BN negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim ingin meletakkan jawatan dalam parti sebelum melepaskan kerusinya itu.

Menurut beliau, Syed Sobri tidak akan melakukan perkara sedemikian kerana belia merupakan seorang ahli UMNO yang mempunyai pertimbangan yang tinggi terhadap parti.

“Beliau tidak boleh mengecewakan pimpinan parti dengan mengambil tindakan seperti itu.

“Kesemua ahli UMNO bersama-sama membina parti dan saya yakin beliau tidak akan dengan mudah meletak jawatan dan melepaskan kerusi itu,” katanya.

Beliau menambah, beliau masih belum mendapat tahu perkara terbabit secara terperinci dan masih dalam usaha untuk berhubung dengan beliau.

Menurutnya, beliau akan berjumpa Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shafie Afdal bagi membincangkan perkara ini, dan akan meneliti secara terperinci tentang perkara ini.

Beliau menambah, Syed gagal dihubungi dan kini dia berada di Kuala Lumpur namun tidak mengetahui urusan beliau di sana.

Semalam, sebuah akhbar arus perdana menyiarkan bahawa kerusi tersebut mungkin dikosongkan oleh Syed Sobri setelah dipercayai beliau tidak dapat meneruskan tanggungjawab sebagai ADUN berkenaan masalah tertentu.

Sementara itu, Speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail ketika dihubungi Sinar Harian menyataka sehingga hari ini tidak menerima sebarang surat perletakan jawatan dari beliau(Syed Sobri).

“Saya masih belum menerima sebarang surat, dan tidak tahu menahu perkara ini,” ujar Abdul Isa lagi.

Pada 3 November yang lalu, Mahkamah tinggi Alor Setar mengisytiharkan Syed Sobri muflis berikutan saman dari pihak bank setelah gagal membayar hutang tertunggak melebihi RM150,000.

Beliau kemudian memberi kenyataan bahawa hutang tersebut telah diselesaikan dan telah memfailkan rayuan berkenaan keputusan muflis tersebut.

Khairy Gagal Ketepikan Saman Fitnah RM100juta DSAI

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini, gagal dalam permohonannya untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan ketua pembangkang itu.

Penghakiman ingkar itu dikenakan ke atas Khairy pada 4 Disember 2008, selepas beliau gagal memasukkan kehadiran dalam kes itu selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Khairy memfailkan permohonannya pada 20 Februari 2009 lalu untuk mengenepikan perintah itu.

Mengumumkan penghakimannya di kamarnya, penolong pendaftar Mahkamah Sivil Kuala Lumpur, Nazri Yahya juga mengarahkan Khairy untuk membayar kos.

Anwar, 63, menfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 kerana dakwaan Khairy pada ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah mengucapkan dan telah menyebabkan penerbitan di laman sesawang termasuk Malaysiakini.com. satu rakaman klip video bersama sebuah artikel bertajuk "Anwar and kin no threat".

Anwar mendakwa rakaman klip video itu dalam Malaysiakini mengandungi kata-kata fitnah yang diucapkan oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada atau sekitar 20 Feb 2008.

Beliau berkata kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud beliau terlibat dengan aktiviti berlawanan dengan Islam, tidak mempunyai akhlak mulia dan tidak sesuai memegang jawatan politik atau mana-mana jawatan.

Beliau memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, teruk, teladan, kos dan relif-relif lain oleh mahkamah. -mk

GAS Beri Tempoh Seminggu Kepada Samy Vellu

Samy Turun!" Kira-kira 3,000 orang menghadiri majlis pelancaran Gerakan Anti Samy (GAS) semalam, mendesak agar Presiden MIC yang memegang jawatan untuk 31 tahun ini berundur dalam tempoh seminggu.

Penggerak GAS, V.Mugilan berkata, biarpun wujud sabotaj untuk mengurangkan bilangan orang yang hadir, namun "yang penting itu semangat, bukan bilangan orang". Beliau mendakwa bahawa aktiviti pada hari Ahad ini berjaya, malah telah menjangkau matlamat gerakan ini.

Majlis Perlancaran GAS dijadualkan bermula pada jam 2 petang, di Putra World Trade Centre (PWTC) semalam, tetapi dibatalkan sewaannya kepada GAS tiga hari yang lalu. GAS akhirnya mengadakan majlis ini di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC).

Penganjur menangguhkan permulaan majlis lantaran kelewatan mereka yang hadir, sehingga jam 3 petang. Kira-kira 3,000 orang hadir pada hari semalam, termasuk ahli MIC yang tidak berpuas hati dengan Samy Vellu yang masih enggan melepaskan tampuk pimpinan kepada pewarisnya, dan mereka yang prihatin terhadap keadaan Maju Institute of Education Development (MIED).

Antara yang hadir termasuklah V. Govindaraju, bekas ahli parlimen Pelabuhan Klang-MIC yang pernah menjawat Naib Presiden MIC. V. Govindaraju juga "penasihat" di sebalik GAS.

Penceramah menuduh Samy berbohong

Sebagai penceramah pertama, V. Govindaraju meminta maaf kepada semua orang, apabila mengakui bahawa dirinya yang menbawa Samy Vellu untuk masuk ke MIC. V. Govindaraju menuduh Samy berbohong dalam hal "tarikh hari jadi"-nya.

Selain V. Govindaraju, K.P. Samy yang turut dipecat Samy Vellu, mengumumkan data pungutan yuran parti untuk membuktikan bahawa Samy Vellu berbohong kepada orang awam kerana mendakwa MIC mempunyai enam juta orang ahli.

Menurut maklumat dalam parti, MIC telah memungut jumlah yuran keahlian sebanyak RM615,550 pada tahun 2009. Jika dibahagikan RM1.50 setiap orang, maka akan didapati bahawa ahli yang membayar yuran hanyalah kira-kira 410,000 orang. Malah, dalam belanjawan parti tahun 2010, daripada yuran yang dianggarkan, jumlah penambahan ahli baru, kesemuanya tidak melebihi 500,000 orang.

Namun demikian, K.P. Samy enggan mendedahkan sumber pemberi maklumat ini, cuma memaklumkan bahawa dirinya memperolehi maklumat ini dua minggu yang lalu dari pusat.

Ketika berucap, K.P.Samy menuding jari kepada Samy Vellu sebagai punca yang memecah-belahkan komuniti India, yang kini menyertai PPP, Gerakan malah PKR dari Pakatan Rakyat. Beliau menyeru agar Samy Velly berundur untuk menyelamatkan MIC dan menyatu-padukan orang India di Malaysia.

Pukul gambar Samy dengan kasut

Biarpun lokasi ditukar, tetapi kehadiran tetap melebihi 2,500 orang. Malah, seorang warga emas berumur 70-an yang berjalan dengan tongkat, gagal menahan kemarahan yang meruap, lalu menyarung tongkatnya dengan kasut, dan memukul ke arah gambar Samy Vellu pada poster besar. Tindakan ini menggemparkan orang ramai.

V.Mugilan menjelaskan bahawa mereka tidak bersetuju dengan perbuatan sedemikian, malah meminta maaf kepada Samy Vellu dalam sidang media yang diadakan kemudiannya. Namun, beliau menambah, penguasaan Syarikat Maika Holding Berhad oleh Samy Vellu mencetus kemarahan warga emas tersebut, yang memikirkan masa depan generasi yang akan datang.

Seorang ahli MIC, Rohn Rajen berkata, beliau menolak jadual perletakan jawatan yang ditentukan oleh Samy Vellu sendiri. Beliau menuntut agar Samy Vellu berundur dengan segera, "Saya tidak tahu siapakah orang yang sesuai untuk menjadi pemimpin, tetapi apa yang pasti, orang itu bukan Samy Vellu!"

Kata-katanya disahut dengan laungan agar Samy Vellu berundur.

Mugilan bersumpah

Anak Samy Vellu, S.Vell Paari yang pernah menuduh bahawa UMNO adalah dalang di sebalik GAS, telah memohon maaf lantaran kenyataan tersebut. Bagaimanapun, Mugilan tetap bersumpah dengan Tirukural (kitab Hindu) bahawa gerakan ini tidak didalangi mana-mana kuasa atau individu yang lain.

Pada masa yang sama, beliau berkata, terdapat orang yang sanggup membelanjakan RM 5 juta untuk menggangu kelancaran aktiviti ini, dengan cara-cara termasuk mengugut dan menakut-nakutkan orang yang berniat hadir. Malah, aktiviti ini dikatakan akan dikacau oleh samseng, dan tiada polis hadir untuk mengawal ketenteraman, bertujuan untuk menambah keresahan orang yang ingin datang.

Malah, RM 5000 dibayar kepada pemandu bas yang bakal membawa penumpang dari Johor, Pulau Pinang, Kedah dan sebagainya, bahkan ada yang dibayar terus kepada mereka yang berniat hadir, menurut Mugilan.

Mugilan menjangkakan kehadiran semalam mencecah 15,000 orang, tetapi dewan ini hanya dapat menampung 5,000 kerusi, dan hanya separuh daripadanya diisi, mengikut pengamatan wartawan. Beliau menjangkakan kehadiran melebihi 20,000 orang seandainya tiada sabotaj.

Had tempoh 7 hari

Mugilan adalah Timbalan Ketua Pemuda MIC yang dipecat oleh Samy Vellu, berikutan gesaannya agar Samy berundur pada 19 Mei 2010. Sebelum ini, Mugilan ialah calon cadangan yang terhangat untuk MIC-BN dalam PRK Hulu Selangor, namun akhirnya terpaksa memberi laluan kepada P.Kamalanathan.

Isu ini dipercayai punca perbalahan antara Mugilan dengan Samy Vellu. Mugilan mengehadkan tempoh 7 hari agar Samy berundur secara sendiri, dan beliau akan mengumumkan formula GAS untuk menggulingkan Samy Vellu sekiranya Samy enggan berbuat demikian. "Samy adalah beban BN dan kerajaan, kalau beliau tidak berundur, BN pula yang akan diheret."

Di samping itu, Setiausaha Agung MIC S. Murugesan yang menyokong GAS telah dipecat pada petang, semalam. -MR

Ezam, Pelacur Senator Yang Tak Lengkap Tarbiyah

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menyifatkan Senator Mohamad Ezam Mohd Noor, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai orang yang “tidak lengkap tarbiyah.”

Ahli Parlimen Gombak ini melabelkan Ezam “tidak habis menjalani tarbiyah” dengan merujuk kepada tempoh menjadi setiausaha politik kepada Anwar, ketika itu memegang jawatan menteri kewangan, cuma dua tahun.

Itu sebabnya beliau tidak mempunyai idealisme yang kuat bagi mempertahankan PKR, kata Azmin.

Ezam baru sebulan dilantik oleh Umno-BN sebagai anggota Dewan Negara.

Beliau menyertai Umno pada 2008, dua tahun selepas meninggalkan PKR.

Azmin berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Kongres Nasional Keenam PKR di sini petang ini.

Dalam ucapannya Azmin tidak menyebut nama Ezam secara langsung, yang merupakan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan.

Sebaliknya beliau menyentuh isu lompat parti yang ditimbulkan oleh perwakilan dalam sesi perbahasan.

Azmin mendakwa, Anwar ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pernah ditawarkan ganjaran sebagai balasan tidak menekankan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam jawatan kerajaan dan parti.

Ketika itu Anwar juga merupakan timbalan presiden Umno.

“Jangan dengar senator yang melacurkan dirinya, saya tahu sebagai setiausaha sulit dia (Anwar) ketika itu, hampir setiap perkara, (bekas menteri kewangan) Datuk (kini Tun) Daim Zainuddin akan menghubungi saya untuk menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan (Allahyarham) Peguam Negara Datuk Mohtar Abdullah untuk membincangkan strategi Dr Mahathir untuk ketepikan jawatan kerajaan dan parti, tetapi memberikan imbuhan dan pulangan yang cukup besar asalkan tidak sentuh Dr Mahathir dalam jawatan parti dan kerajaan.

“Tetapi insan yang bernama Anwar bin Ibrahim menolak semua sogokan Dr Mahathir untuk mempertahankan rakyat dan prinsip,” kata Azmin dengan berkata, “siapa pelacur senator ini? saya tak sebut.”

Bagaimanapun kedengaran perwakilan menyahut dengan berkata, “Ezam.”

Beliau seterusnya berkata, “baru berkhidmat tidak lebih dua tahun, tetapi mengaku dia adalah anak didik Anwar Ibrahim,” katanya.

“Proses tarbiyah (pun) tak habis... yang paling lama (berkhidmat) ialah Khalid Jaafar, yang berkhidmat selama 13 tahun, Dr Mansor Othman (kini Timbalan Ketua Menteri I), dan sudah tentulah (saya) dari Gombak,” kata Azmin yang juga bekas setiausaha politik Anwar.

Azmin menambah, ini menunjukkan beliau, Khalid dan Mansor telah melalui proses tarbiyah yang sempurna dan lengkap serta tidak kehilangan idelisme perjuangan.

“Tetapi kalau satu tahun, nak berlagak macam... bila kita bertempur, ini yang lari ke luar negara kerana tidak berani berdepan dengan kezaliman Umno dan BN.

“Hari ini dapat senator, tak mengapa. Lihat Senator Dr Syed Husin (Ali), ada kualiti, ada prinsip, ada idealisme, dia tetap bersama dengan mempertahankan idealisme,” katanya.

Azmin berkata, Pakatan Rakyat mahu kuasa yang diberikan oleh rakyat diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan bagi melakukan agenda reformasi termasuk pembaharuan ekonomi.

“Pada 1995, saya masih ingat Anwar melontarkan idea ketika membentangkan belanjawan, tentang pesanan tujuh tahun yang subur dan akan diikuti dengan tujuh tahu yang gersang.

“(Bagaimanapun) Dr Mahathir tidak berani dan tidak bersedia untuk melakukan reformasi ekonomi kerana mempertahankan kronisme dan nepotisme sehingga berlaku krisis ekonomi.

“Dr Mahathir dengan mudah menyalahkan (George) Soros dan IMF (Dana Kewangan Antarabangsa).

“Tidak mahu mengaku bahawa kegagalan kepimpinan, tidak mahu melakukan reformasi ekonomi.

“Akhirnya bila berlaku pertembungan, pejuang (Anwar) kita disumbat dalam penjara, bukan kerana (bekas pemandu Anwar) Azizan Abu Bakar,” katanya.

Dalam ucapannya, Azmin juga berkata, beliau mengharapkan satu dokumen ekonomi Pakatan Rakyat yang jelas dirangka walaupun agenda ekonomi baru telah diutarakan sebelum ini.

Beliau juga mencadangkan agar pegawai-pegawai kerajaan negeri turut menghadiri setiap kali PKR mengadakan kongres tahunan.

“Saya hendak usulkan setiap kali kongres parti bersidang, mesti diwajibkan ketua agensi kerajaan khsusunya pegawai UPEN hadir bersama.

“Walaupun ia melibatkan kongres parti politik, tetapi ia juga menyentuh soal dasar (kerajaan negeri).

“Kita adalah pemimpin akar umbi yang membincangkan, harus ada pegawai-pegawai kerajaan dengar, pulang serta laksanakan keputusan yang diputuskan oleh kongres,” katanya. -TMI