2 Jun 2010

Syed Sobri Sudah Temui Pemimpin PAS - Azizan

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Syed Sobri Syed Hashim bertemu dengan beberapa pemimpin Pas negeri di Kuala Nerang, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, Syed Sobri yang disebut-sebut akan keluar parti dan menyertai Pas, menerima jemputan perwakilan Pas yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi untuk menghadiri satu majlis kenduri dan dialog anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Padang Terap.

Menurutnya, antara topik utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu lebih menjurus isu tanah di daerah berkenaan dan juga perihal aduan rakyat.

Beliau bagaimanapun menyatakan, tiada perbincangan menjurus kepada hasrat Syed Sobri untuk keluar daripada UMNO dan menyertai Pas.

“Hingga setakat ini, kami masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Syed Sobri dan sekiranya beliau benar-benar berniat hendak masuk Pas, beliau kena mohon dan tunggu hingga bulan depan untuk Jawatankuasa Pas Negeri mengesahkan permohonannya.

“Hendak menyertai Pas bukan seperti makan tosai, waktu hendak makan, dalam tempoh lima minit dah siap terhidang,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Bersih dan Indah Peringkat Negeri di Dataran Darul Aman di sini semalam.

Azizan juga menafikan beliau atau mana-mana pemimpin Pas negeri pernah mengadakan perjumpaan dengan Syed Sobri secara senyap-senyap bagi membincangkan hasrat ADUN Kuala Nerang itu menyertai Pas. Namun katanya, pintu Pas sentiasa terbuka luas untuk beliau masuk, jika benar-benar berhasrat mahu menyertai parti itu.

“Kita tiada halangan (hasrat Syed Sobri sertai Pas). Cuma kita kena tunggu keputusan muktamad daripadanya sendiri. Tak guna kita canang seluruh kampung sekiranya ADUN yang terlibat tidak memberi apa-apa keputusan lagi,” katanya.

Sementara itu, Ir Phahrolrazi ketika ditemui mengesahkan menemui Syed Sobri pada majlis dialog anjuran PTG di Kuala Nerang dan menjelaskan, pihaknya sengaja tidak memanggil media untuk membuat liputan bagi menjaga imej ADUN Kuala Nerang yang sudi menghadiri program anjuran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, hubungan Syed Sobri dengan pemimpin Pas Kedah sememangnya mesra, bagaimanapun menjelaskan pertemuan itu tidak menyentuh langsung isu keluar UMNO dan masuk Pas.

“Sebagaimana Menteri Besar cakap, kita tidak pernah bincang apa-apa (mengenai isu sertai Pas) dengannya,” katanya. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dulu semasa YB Munir Zakaria jadi ADUN Kuala Nerang, dia juga hadir dlm program anjuran kerajaan negeri yang dihadiri oleh MB Syed Razak. Bezanya cuma ia tidak dijemput berlainan dengan Syed Sobri.

Syed Sobri bekas CEO GLC Kedah. Dia pegang jawatan ini semasa Kedah di bawah BN. Boleh baca laporan audit negara mengenai prestasi syarikat berkenaan.

ADUN bekerja untuk rakyat kerana rakyat yang pilih mereka. Tidak patut timbul soal keluar parti masuk parti.