5 Mei 2010

3 MP, ADUN Pakatan Dibebaskan Drp Tuduhan Serta Perhimpunan Haram

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk dua ahli parlimen dan seorang ADUN Pakatan Rakyat daripada tuduhan menyertai satu perhimpunan haram di Parlimen pada tahun 2007.

Mereka ialah ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, 53; ahli parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, 54, dan ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, 63.

Tujuh lagi yang turut dilepas dan dibebaskan ialah ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, 40, dan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd, 49; Ang Hiok Gak, 53; Mohammad Sabri Sapiai, 44; Hashim Awang, 41; Azira Ariffin, 36, dan Mohd Badilah Muda, 35.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di jalan susur keluar bangunan Parlimen pukul 11 pagi 11 Disember, 2007.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama yang membawa hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anslem Charles Fernandis gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, Fathiyah berkata 13 saksi memberi keterangan bahawa ada orang awam berada di susur keluar tetapi tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang menunjukkan wujudnya satu perhimpunan. - Bernama -Gambar:BH

Ahmedinejad: Iran Tak Ada Keluarkan Senjata Nuklear

New York: Republik Islam Iran menguasai perdebatan pada hari pembukaan persidangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membincangkan cara menghentikan percambahan senjata nuklear.

Tetapi di sebalik tabir, negara-negara anggota Majlis Keselamatan PBB sedang berbincang cara untuk menghukum Iran kerana melanggar arahan mereka supaya mengehadkan aktiviti nuklear yang boleh digunakan untuk membuat bom.

Presiden Iran Mahmoud Ahmedinejad menggunakan platform PBB sebagai satu-satunya ketua negara untuk berucap pada persidangan Perjanjian Anti-Percambahan Nuklear (NPT) untuk mengutuk hasrat Majlis Keselamatan untuk mengenakan sekatan terhadap negaranya.

Berucap di podium dewan perhimpunan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton menuduh Iran "melanggar peraturan" NPT kerana mensyaki Iran melaksanakan program pengkayaan uranium.

"Saya berharap kita boleh mencapai kata sepakat dalam Majlis Keselamatan mengenai langkah sekatan baru yang lebih ketat terhadap Iran," Clinton memberitahu para pemberita dengan menambah, "saya percaya hanya dengan cara ini, kita dapat menarik perhatian Iran."

Terdahulu, Ahmedinejad menolak tuduhan terhadap program nuklearnya dengan berkata, Washington tidak dapat tunjuk, walau hanya satu bukti, bahawa Iran sedang mengeluarkan senjata nuklear. Iran berkata ia mahu teknologi tersebut untuk menghasilkan kuasa nuklear.

Ketika presiden itu berucap, delegasi AS bertindak keluar dari dewan perhimpunan, disertai oleh beberapa delegasi dari Eropah, termasuk dari Perancis dan Britain manakala para pegawai peringkat rendah Iran mendengar Clinton berucap sehingga selesai.

Perdebatan di antara AS dan Iran ini menguasai suasana pada hari pertama persidangan selama sebulan itu untuk mencari jalan bagi memperbaiki NPT.

Perjanjian ini disemak semula setiap lima tahun pada mesyuarat melibatkan semua 189 negara anggota di dunia yang menandatangani NPT kecuali India, Pakistan, Israel dan Korea Utara. Empat negara ini sama ada telah mengesahkan atau dipercayai mempunyai senjata nuklear.

- AP

SPR Mahu MAFREL Jadi Sepertinya, Ikut Telunjuk UMNO BN

Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) tetap akan menghantar petugas untuk memerhati perjalanan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu kata Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh.

Mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang dipetik sebagai berkata Mafrel tidak diperlukan sebagai pemerhati di pilihan raya kecil Sibu dengan alasan kononnya SPR sudah melantik enam pasukan penguatkuasaan untuk tujuan itu.

Syed Ibrahim berkata dasar sama ada badan pemantau diperlukan atau tidak bukan menjadi persoalannya kerana Mafrel adalah badan yang bebas.

"Banyak lagi keraguan yang timbul seperti daftar pemilih, kempen, ceramah dan semua ini akan di pantau bagi memastikan proses pilihanraya berjalan secara telus dan adil,


"SPR sepatutnya memberi dan meraikan ruang demokrasi yang diisi Mafrel dan kita tidak perlu kebenaran daripada SPR kerana Mafrel adalah satu badan yang bebas,

"Walaupun tidak mempunyai sumber dana yang terhad, Mafrel akan tetap menghantar petugas untuk memantau keadaan daripada hari penamaan sehinggalah hari membuang undi," tegas Syed Ibrahim kepada Suara Keadilan.

SPR telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Sibu akan diadakan pada 8 Mei manakala hari pengundian pula pada 16 Mei. -SK


Najib Tabur Janji Di Sibu, Mafrel Tegur Sikap SPR

SHAH ALAM 4 MEI: Badan Pemantau Bebas Pilihan Raya (Mafrel) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menutup mata terhadap gelagat pimpinan kerajaan pemerintah yang menabur pelbagai janji peruntukan kepada pengundi Sibu.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata perbuatan menabur janji itu boleh ditafsir sebagai kempen pilihan raya dan tidak wajar berikutan proses penamaan belum pun bermula.

Beliau mengingatkan SPR, mereka perlu bebas bertindak mengikut lunas undang-undang tanpa perlu mematuhi telunjuk pimpinan Umno Barisan Nasional.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan puluhan ribu ringgit kepada rakyat sibu atas kapasitinya sebagai perdana menteri sedangkan ia tak ubah seperti kempen pilihan raya.

Sekalipun mendakwa peruntukan berkenaan dibuat mengikut jadual tetapi anehnya, janji berkenaan hanya dibuat menjelang pilihan raya kecil yang bakal bermula 8 mei ini.

“Pilihan raya Sibu tak lama, sudah tentulah ia menjurus kearah itu. Minta SPR ambil perhatian," katanya yang menyifatkan janji peruntukan Najib sebenarnya lebih cenderung kepada umpan kepada rakyat untuk mendapatkan undi mereka semata- mata.

“Kita tidak menafikan perkara itu boleh dilihat sebagai satu bentuk gula-gula sebab ia berlaku dalam tempoh dekat dengan pilihan raya kecil," katanya lagi.

Mafrel menyatakan tidak salah untuk Najib turun padang bertemu rakyat tetapi perdana menteri ini perlu telus dalam tindakannya dan tidak memanipulasikan lawatan untuk berkempen.

“Apa-apa usaha berunsur kempen sebelum waktu kempen tidak sepatutnya berlaku.

Bukan bermakna Najib tidak boleh jumpa rakyat tetapi bergantung kepada kenyataan yang dibuat, Adakah bersifat kempen atau tidak. Ini memerlukan pemantauan dari SPR,” katanya. -TVS


Ulasan GB

Semalam juga, Timbalan Pengerusi SPR menyatakan SPR tidak memerlukan MAFREL sebagai pemantau pilihanraya di Sibu.

Demikianlah SPR yang jelas menampakkan ia menjadi kuda tunggangan UMNO BN. Apabila MAFREL menjalankan tugasnya dengan amanah dengan membuat teguran terhadap sikap bisu dan berdiam diri SPR terhadap perbuatan salah laku pemimpin UMNO BN, terus saja SPR menamatkan pengiktirafannya terhadap MAFREL.

SPR hanya mahu MAFREL menjadi pak angguk, menjadi kuda tungangan UMNO BN seperti dirinya dan sebarang tindakan MAFREL yang boleh menjejaskan UMNO BN akan akan dilihat sebagai tidak menjalankan tanggungjawab.

SPR boleh saja mengambil sikap tidak mengiktirafkan peranan MAFREL, namun satu hari peranan SPR nanti tidak diiktiraf oleh rakyat apabila semakin hari semakin jelas mereka mengikut telunjuk pemimpin UMNO BN atau mereka sendiri memainkan peranan seolah-olah mereka komponen BN.

Brehem : Kita Ada Bukti Kukuh Siasat Skandal Scorpene

Peguam Perancis, Joseph Breham berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengerakkan siasatan keatas skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Beliau berkata isu utama yang mengundang syak sekitar perolehan kapal selam ini adalah pembayaran RM534.8 juta ringgit kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, sebagai upah kepada 'kerja-kerja sokongan'.

"Kita mempunyai laporan akaun Perimekar pada tahun 2001 dan 2002," kata Joseph Breham dalam satu temubual bersama portal Malaysiakini, dan menambah "bagaimanapun syarikat ini dengan tiba-tiba mendapat 114 juta euro dalam akaun bank mereka. Ini mengundang syak. Lebih-lebih lagi apabila pemegang saham utama syarikat ini adalah isteri kepada rakan karib Menteri Pertahanan pada masa itu,"

Joseph merujuk kepada isteri Abdul Razak Baginda, Maslinda.

"Jika kita lihat fakta bahawa Altantuya Shaariibuu dibunuh oleh pengiring Perdana Menteri, serta pemadaman rekod-rekod imigresen Altantuya ke negara ini, lantas menunjukkan ada pegawai tertinggi tertentu yang mahu menghilangkan bukti Altantuya berada di negara ini. -TVS


Kes kapal selam: Peguam Perancis tak takut ugutan

Peguam Perancis, Joseph Breham percaya akan wujudnya "tekanan dan ugutan" sepanjang usahanya menyiasat pembelian dua kapal selam buatan negaranya kepada Malaysia. Namun menurut Breham, beliau tidak gusar kerana tumpuan antarabangsa kepada kes berkenaan semacam memberikan perlindungan untuk beliau.

"Sebagai contoh, sekiranya berlaku sesuatu kepada saya di Malaysia, ia akan menarik perhatian media antarabangsa, tekanan politik dan sebagainya, ini akan menjadikan lebih produktif.

"Saya bukan penterjemah Mongolia. Sekiranya terdapat masalah, semua media berbahasa Perancis akan memaparkan tajuk seperti 'Peguam Perancis yang menyiasat dakwaan rasuah hilang di Malaysia'. Tiada siapa yang boleh terima perkara ini," kata Breham dalam satu wawancara baru-baru ini.

Breham dan dua lagi rakannya yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (Suaram) - sebuah NGO hak asasi manusia - memfailkan aduan di sebuah mahkamah di Paris berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene daripada firma pertahanan Perancis DCN.

Walaupun tujuan siasatan itu untuk mengenal-pasti sama ada berlaku perkara yang disangsikan berhubung penjualan kapal selam itu, namun ia juga secara tidak langsung merancakkkan kembali perbincangan terhadap pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Berikut adalah sedutan wawancara Malaysiakini dengan Joseph Breham:

Sila jelaskan kepada kami mengenai latar belakang anda dan bagaimana anda boleh terlibat dengan kegiatan hak asasi?

Joseph Breham: Saya peguam dari Perancis yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang jenayah antarabangsa dan hak asasi manusia. Saya juga merupakan pensyarah universiti dalam bidang undang-undang jenayah antarabangsa di Toulouse.

Saya mengajar tiga minggu setahun. Saya juga pakar dalam bidang kegiatan keganasan dan mengendalikan banyak kes yang berkaitan dengannya. Hakikatnya saya berkerja dengan kerajaan dalam bidang pencegahan penganas, melatih hakim dan pendakwa tentang terorisme termasuk menghormati hak asasi. Begitulah bagaimana saya boleh terlibat dengan kerja hak asasi manusia.

Saya amat tertarik dengan hak asasi manusia sejak saya dilahirkan pada 1978, dan sejak itu saya berusaha untuk memahaminya. Sebagai contoh (selepas) kejatuhan Tembuk Berlin, dunia menjadi semakin bercelaru dan timbul perkara baru yang tidak keruan, yang mana (ia adalah) keganasan dan keuntungan globalisasi.

Pekembangan baru ini menyebabkan banyak syarikat multi-nasional tidak menghormati apa sahaja bentuk peraturan. Mereka mempunyai kuasa bagi memaksa kerajaan mengikut telunjuk mereka. Mereka menjadi lebih korup dan kerajaan tidak boleh memaksa mereka (mematuhi) segala kewajipan. Itulah yang menyebabkan saya menceburi dalam kerja-kerja hak asasi.

Jelaskan kepada kami, pengalaman anda dalam mengedalikan kes berkaitan korupsi.

Joseph Breham: Kebanyakkan kes yang saya kendalikan lebih tertumpu kepada negara di benua Afrika. Setiap kes hak asasi yang berkait dengan syarikat multi-nasional juga dikaitkan dengan rasuah. Kami, di Sherpa (organisasi yang diwakilinya) pada mulanya tidak mengendalikan kes rasuah.

Tetapi sekiranya kami mahu lebih efisyen, kami perlu mendepani isu ini. 'Sherpa' bermaksud 'menolong rakyat di Selatan untuk menuntut keadilan'.

Saya mula bekerja di Sherpa pada 2006 dan baru-baru ini saya dilantik ahli lembaga pengarah. Ia ditubuhkan oleh William Bourdon, mantan setiausaha agung Pertubuhan Antarabangsa Hak Asasi Manusia (Fidh) pada 2001. Sejak Fidh tidak menyaman syarikat, lalu kami menubuhkan Sherpa. -mk


Karpal: Air Mani Mungkin Diletakkan Pihak Tertentu

Sampel air mani yang diperoleh dari dubur Saiful Bukhari Azlan berkemungkinan besar telah diletakkan pihak tertentu untuk menganiaya Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, tegas peguam Karpal Singh beberapa ketika sebelum Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar.

Ini kerana laporan dari tiga doktor kerajaan di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan bahawa tidak ada kesan tusukan pada dubur penuduh.

"Jika tiada tusukan, bagaimana mungkin adanya kesalahan?" soal Karpal di hadapan Hakim Besar Malaya Arifiin Zakaria, Hakim James Foong dan Hakim Mahkamah Rayuan Suriyadi Halim Omar.

"Kehadiran air mani seraya mencadangkan bahawa bukti ini telah diletakkan di situ. Logik akal mengatasi segala syak kerana para doktor sendiri mengesahkan tidak ada tusukan. Lantas, dari mana datangnya sperma ini?" tegas beliau.

Sebelum itu, Peguamcara II Mohd Yusof Zainal Abiden yang mengepalai pasukan pendakwaraya terhadap Anwar Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa calitan empat putik kapas membuktikan kehadiran air mani.

Yusof berkata penemuan spermatozoa pada putik kapas ini diperoleh dari calitan keatas dubur penuduh, seraya menunjukkan adanya perlakuan sodomi.

Selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak, panel tiga hakim di Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar Ibrahim menggugurkan pertuduhan fitnah liwat.

Hakim Besar Malaya Arifin Zakaria berkata hujah kedua-dua pihak sewajarnya dibuktikan dalam perbicaraan penuh. -TVS

4 Mei 2010

Menyanggah Kenyataan Ketua Polis Negara

Jangan pertikai tugas polis: Musa

SERDANG: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengingatkan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mempertikaikan tugas polis berikutan insiden seorang remaja Aminulrasyid Amzah yang mati akibat terkena tembakan polis pada Isnin lalu.

Beliau berkata, polis mempunyai tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara dalam membanteras jenayah.

"Apa yang mereka (NGO) nak cakap itu hak mereka dan tunggu sehingga siasatan kita selesai. Saya mahu menjalankan siasatan secara adil untuk mencari keadilan," katanya.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas melawat anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Sarjan Roslan Bachik, 49, di Hospital Serdang yang patah kaki kanan akibat dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya petang kemarin.

Beliau berkata, kes yang membabitkan anggota polis sehingga mengalami kecederaan atau kematian dalam menjalankan tugas tidak mendapat perhatian daripada NGO atau masyarakat.

"Sebagai contoh kes yang melibatkan seorang anggota trafik kita kelmarin sehingga patah kaki kanan, ini disebabkan oleh anak orang yang 'baik-baiklah' sehingga jadi macam ni," katanya.

Katanya, walaupun polis berjaya melaksanakan tugas dengan baik namun ia tidak pernah dipuji dan dihargai masyarakat.

"Jangan perlekehkan tugas polis kerana kita mempunyai tanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara.

"NGO yang campur tangan dalam tugas polis tidak prihatin dengan tugas kita melainkan pihak kerajaan yang mengambil berat terhadap anggota polis yang cedera atau maut dalam menjalankan tugas," katanya.

Musa berkata, kertas siasatan berhubung kes Aminulrasyid, 15, akan diserahkan semula kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat selepas siasatan kes tersebut lengkap.

Jumaat lalu, pihak Peguam Negara menyerahkan semula kertas siasatan itu dan mengarahkan polis melakukan siasatan lebih lanjut.

Semalam tiga saksi utama, Azamuddin Omar, 15, rakan kepada Allahyarham Aminulrasyid serta kakak dan abang iparnya iaitu Tuty Shaninza Anom Amzah, 36, dan Muzafar Mahali, 36, dipanggil semula untuk memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Dalam kejadian 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan yang dilepaskan polis yang mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer pada kadar kelajuan tinggi sebelum terbabas di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor.

Rakan remaja itu sempat melarikan diri. - Bernama

Ulasan GB

Itu kenyataan dari seorang bergelar Ketua Polis Negara!

Menunjukkan kepada kita KPN tersebut bertugas bukan demi untuk negara, tetapi untuk dipuji dan puja... selain mengumpulkan pangkat, harta dan nama!

Musa Hassan, dengar sini.

Tiap-tiap orang memilih bidang pekerjaan masing-masing dan setiap orang ada peranan dan sumbangannya kepada negara.

Anda memilih untuk bertugas sebagai anggota polis sepastinya anda mengetahui tentang risiko yang perlu ditanggung.

Anda buta? Selain polis ramai lagi yang bekerja demi untuk negara tetapi tidak merungut jika tidak mendapat pujian kerana itu adalah KEWAJIPAN yang perlu dilaksanakan. Apatah lagi sebagai penjawat awam, anda telah dibayar GAJI untuk perkhidmatan anda, malah polis dimanjakan dengan sedikit kelebihan apabila tatkala anda semua menikmati kenaikan gaji, penjawat awam lain terlopong dan ternganga luas mulutnya! Anda tahu itu?

PM mengumumkan kenaikan gaji untuk polis. Bukankah itu satu penghargaan? Dan PM menaikkan gaji bukan dari duit poketnya atau duit adiknya yang menjadi saudagar bank, tetapi dari duit cukai yang dibayar oleh rakyat.


Saya katakan lebih ramai di sana yang bukan anggota polis tetapi bekerja demi untuk kesejahteraan rakyat dan negara tanpa memperdulikan pujian dan pujaan sekalipun ada diantara mereka menyabung nyawa. Itu anggota tentera, pengawal keselamatan, wartawan, guru, kerani, posmen, malah nelayan di lautan, peladang dan petani di bendang, pemanjat tiang eletrik dan telefon, buruh kasar binaan malah setiap wargangara yang bekerja, ada risiko yang mereka tanggung dan kesemua mereka telah, sedang dan terus memberikan sumbangan terhadap negara.

Malah jangan terperanjat jika saya menyatakan para blogger juga ada peranan dan sumbangannya untuk kemajuan dan pembangunan negara. Jadi, apa besarnya kamu polis-polis sampai kamu tak boleh ditegur dan tak boleh disentuh lansung oleh rakyat dan NGO?

Justeru itu, kamu jangan pertikaikan hak orang lain untuk mengkritik kredibiliti polis yang jatuh merudum sejak kamu menjadi ketuanya. Kalau tak mahu dikritik dan ditegur, letak jawatan semua, jangan ambil gaji dari duit rakyat, ramai yang sedang menganggur sedang mencari pekerjaan yang boleh mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh kamu-kamu semua.

Mengambil kata-kata Ahmad Nisfu: kecik-kecik tak nak mampos, dah besar menyusahkan orang.


Kes Anwar: Mahkamah tolak laporan perubatan HKL

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengenepikan kes tuduhan liwat yang di hadapinya.

Ketika membuat keputusan itu hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria berkata "laporan perubatan bagi menyokong permohonan Anwar untuk menolak kes ini, hendaklah di baca secara keseluruhannya.

"Oleh itu ianya tidak dapat menyokong rayuan Anwar," kata Arifin yang mengetuai tiga panel hakim. Dua hakim lain yang duduk bersama beliau ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Fong Cheng Yuen, dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Surayadi Halim Omar.

Peguam bela yang mewakili Anwar terdiri daripada Karpal Singh, Datuk Param Cumaraswamy, Sankara Nair dan Wan Anwar Shadat manakala Peguam Cara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abidin mewakili Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini bermakna kes tuduhan liwat yang difailkan oleh Saiful terhadap Anwar di sambung semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mei depan.

Sebelum itu, Mohd Yusof dalam hujahnya, turut membantah bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa memutuskan kredibiliti pihak pendakwaan pada ketika ini.

Beliau menjelaskan, sebarang penghakiman mengenai kelemahan atas kredibiliti hanya boleh dibuat pada penghujung pendakwaan atau atas kes pembelaan.

“Ini bukan proses keadilan. Ia juga tidak hampir kepada kes bersifat ‘mala fide’ (berniat jahat)." kata beliau.

Karpal Singh pula membantah hujah Mohd Yusof bahawa pendakwaan ke atas Anwar berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Laporan tiga doktor pakar HKL

Menurut Karpal, melalui laporan perubatan daripada tiga doktor pakar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) jelas tidak wujud sebarang penetrasi (penetration) ke dalam dubur Saiful.

Karpal mendakwa sampel air mani yang diambil daripada badan Anwar telah dengan sengaja dipalitkan ke badan Saiful.

Sementara itu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ditemui di luar mahkamah melahirkan perasaan kecewa dengan keputusan mahkamah tersebut.

"Keputusan hakim berupa dua baris perkataan sahaja. Saya sungguh tidak puas hati dan merasa sungguh kecewa. Tetapi saya sudah menjangkakan keputusan tersebut," kata beliau.

Namun beliau berkata, "kita akan tunggu untuk perbicaraan sepenuhnya kemudian."

Ditanya mengenai Anwar, Wan Azizah berkata, "Anwar berada di luar negeri dan tidak dapat hadir."

Sankara Nair, seorang lagi peguam Anwar, turut melahirkan rasa kecewa kerana hujah yang dikemukakan oleh pihak peguam bela sangat kukuh, tidak berlaku penetrasi.

Beliau berkata, "saya kecewa dengan keputusan mahkamah ini. Hakim kata hujah ini tidak mencukupi sedangkan isu penting di sini adakah wujud penetrasi.

Sankara menjelaskan, "permohonan kita amat kukuh dan sahih melalui laporan perubatan daripada tiga pakar perubatan yang mengesahkan tidak berlaku penetrasi" katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan seterusnya Karpal menyatakan bahawa tiada permohonan lain akan dikemukakan sebaliknya akan meneruskan soal balas terhadap pengadu, Saiful.

"Ini merupakan peringkat akhir dan kami tidak akan membuat apa-apa permohonan lain. Kami akan meneruskan soal balas terhadap Saiful minggu depan," kata Karpal. -FMT

Kerajaan Tubuhkan Pemantau Siasatan, Bukan Suruhanjaya. Tipu Rakyat Lagi

Kerajaan hari ini mengumumkan pembentukanjawatankuasa khas bagi memantau siasatan polis berhubung kematian remaja 14 tahun yang ditembak mati polis 26 April lalu, bukan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kes tersebut sperti yang diminta oleh keluarga Aminul-rasyid.

Beberapa figur yang agak hebat disenaraikan termasuklah bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar yang merupakan di antara lapan orang yang dilantik bagi menganggotainya.

Mereka yang lain adalah bekas pesuruhjaya Suhakam Dr Denison Jayasooria, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim, peguam Muhammad Shafee Abdullah, ketua pegawai eksekutif ASLI Dr Michael Yeoh dan naib canselor UiTM Prof Abdul Halim Sidek.

Panel berkenaan akan diketuai oleh timbalan menteri dalam negeri, Datuk Abu Seman Yusop (gambar) dan dibantu oleh timbalan ketua setiausaha kementeriannya, Datuk Ahmad Fuad Aziz.

Abu Seman memberitahu pemberita minggu lalu bahawa jawatankuasa khas itu tidak boleh menjalankan siasatannya sendiri tetapi hanya boleh memantau siasatan yang dijalankan oleh polis bagi memastikan ia berjalan dengan telus dan adil kepada semua pihak.

Ulasan GB

Kalau setakat nak pantau, lebih baik tak perlu tubuh apa-apa. Pemantau yang tidak ada kuasa apa-apa. Sekadar pemerhati, sekadar pencelah sekali-sekala.

Laporan akhirnya akan disediakan oleh polis jugak. Semasa laporan dibuat, tiada pemantauan, justeru laporan itu belum lagi boleh dianggap adil, telus dan berwibawa.

Nak tipu rakyat dan nak bodohkan rakyat lagi.

Husam Minta Najib Jelaskan Fakta Sebenar

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mendedahkan butiran mengenai keputusan kabinet melepaskan kedaulatan Malaysia yang mengandungi dua blok telaga minyak kepada Brunei.

Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebelum ini rakyat hanya mengetahui hal berkenaan melalui sebuah syarikat yang menguruskan operasi di medan minyak tersebut, Murpy Oil selepas konsesinya terbatal akibat penyerahan yang dibuat oleh kerajaan.

“Perdana Menteri sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskan kepada umum sampai hari ini,” katanya ketika dipetik surat yang dihantar kepada Perdana Menteri semalam.

Kontroversi berhubung dua blok minyak itu timbul apabila Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis lalu, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan mendakwa keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira US$100 bilion (RM320 bilion). Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Badawi, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Dalam pada itu, Husam yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri berkata, terdapat banyak keraguan yang timbul di sebalik pendedahan yang dibuat oleh syarikat minyak tersebut.

“Seperti disebut dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah ‘overlapping area’(kawasan bertindih). Jika ia kawasan bertindih bagaimana lain seperti kawasan :JDA, (Kawasan Pembangunan Bersama): dan CCA (Kawasan Aturan Komersial), mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya.

“Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh 40 tahun?” katanya.

Dalam masa yang sama, Husam turut mempersoalkan adakah penyembunyian fakta ini ada kaitan semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri di waktu itu dan seluruh kabinet menerima keputusan ini walaupun ia merugikan negara. -SH


Wisma Putra: Kawasan kaya minyak milik Brunei

Brunei mempunyai kedaulatan ke atas dua kawasan yang kaya dengan minyak mengikut peruntukan Konvensyen Undang-undang laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 dan kawasan berkenaan akan dibangunkan secara usahasama dengan Malaysia.

Sehubungan itu, menurut kenyataan media Kementerian Luar Negeri, hari ini, 'penyerahan' dua blok kawasan petroleum oleh Malaysia kepada Brunei menerusi “Pertukaran Surat” adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Konsesi minyak blok L dan M Malaysia bertindan dengan blok J dan K Brunei yang diiktiraf menerusi 'Pertukaran Surat' sebagai kawasan maritim Brunei dan negara itu mempunyai hak atas kedaulatannya mengikut UNCLOS.

"Penamatan kontrak perkongsian pengeluaran membabitkan Blok L dan M, yang diberikan oleh Petronas kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan Murphy Oil pada 2003, adalah selaras dengan pewujudan CAA seperti yang ditetapkan dalam Pertukaran Surat," kata kenyataan itu.

Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada Mac tahun lalu itu juga dikatakan telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik.

Menurut Wisma Putra lagi, ia juga membawa lembaran baru dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Satu daripada elemen penting dalam perjanjian yang ditandatangani oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada 16 Mac, 2009, adalah memuktamadkan penyempadanan kawasan maritim antara Malaysia dan Brunei,” katanya.

Selain itu, perjanjian itu berjaya menyelesaikan pewujudan Kawasan Aturan Komersial (CAA) bagi minyak dan gas, memuktamadkan modaliti bagi pembatasan sempadan darat antara Malaysia dan Brunei, dan hak laluan maritim yang tidak boleh dicabuli bagi warganegara dan penduduk Malaysia menyeberangi zon maritim Brunei.

Kontroversi berhubung dua blok minyak itu timbul apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis lalu, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan mendakwa keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira US$100 bilion (RM320 bilion).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Abdullah, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Menurut kenyataan Wisma Putra, kandungan “Pertukaran Surat” itu mendapat kelulusan Kabinet, dan malah kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara berkenaan.

“Pertukaran Surat” antara Malaysia dan Brunei itu juga dikatakan telah berjaya menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik. -mk




Kembalikan Integriti PDRM

Kematian adik Aminulrasyid Amzah yang baru sahaja berumur 14 tahun akibat ditembak oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memilukan hati ramai pihak.

Namun kesedihan orang awam sudah pasti tidak akan dapat menandingi kesedihan yang dialami oleh ibu dan keluarga kepada arwah Aminulrasyid Amzah yang sehingga kini masih lagi tersentak dengan kejadian yang ngeri dan menyayat hati itu.

Jika ahli keluarga kita yang menjadi mangsa kejadian seperti ini, sudah pasti kita akan turut merasakan kesedihan yang sama. Persoalannya ialah, apakah kita mahu menunggu sehingga anggota keluarga kita menjadi mangsa untuk mula melakukan sesuatu?

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan menjadi sangat defensif bila dikemukan persoalan mengenai kes ini sehinggakan beliau mengeluarkan kenyataan yang “kebudak-budakan” seperti, “Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak.

“Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya.”

Ramai pihak yang terkejut bagaimana kenyataan sebegini boleh keluar dari mulut seorang KPN. Sebagai seorang ketua kepada PDRM, beliau seharusnya lebih berjiwa besar dan memahami kemarahan orang awam terhadap kes seumpama ini.

Satu lagi yang Musa perlu faham ialah kes seumpama ini melangkaui perbezaan politik yang ada di negara ini. Lihatlah bagaimana ahli-ahli politik daripada kedua-dua kerajaan dan pembangkang yang mengecam kejadian ini.


Sudah pasti apabila berlakunya kes seumpama ini, ramai yang akan marah apatah lagi mangsa adalah seorang remaja yang baru sahaja berumur 14 tahun!

Bukankah lebih banyak cara yang boleh dilakukan untuk menghentikan kenderaan yang dipandu oleh anak muda tersebut selain daripada menembaknya di kepala?

Beliau seharusnya bersyukur oleh kerana orang-orang di Malaysia majoritinya masih bertindak secara rasional dan menunggu siasatan dijalankan terhadap kes ini tanpa melakukan tindakan diluar batasan undang-undang.

Respon Menteri Dalam Negeri

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut memarahi orang awam yang bising mengenai isu ini. Beliau meminta rakyat supaya berlaku adil terhadap anggota PDRM.

Apakah ketidakadilan rakyat terhadap PDRM? Lupakah beliau bahawa walaupun telah benyak kejadian kematian rakyat ditangan anggota PDRM, rakyat masih terus membayar pelbagai cukai agar kerajaan boleh membayar gaji anggota PDRM.

Tambahan lagi rakyat sedikitpun tidak melakukan apa-apa apabila baru-baru ini kerajaan menggunakan wang cukai yang dibayar oleh mereka untuk kenaikan gaji anggota PDRM. Tidak adilkah lagi rakyat kepada PDRM? Bagaimanakah pula dengan keadilan kepada rakyat yang diberikan oleh PDRM?

Seperti biasa, apabila berlaku kejadian seumpama ini, Menteri Dalam Negeri akan memberikan jawapan yang “standard”.

“Satu panel memantau siasatan polis terhadap kes itu akan dibuat, saya beri jaminan lantikan itu nanti akan pertimbangkan mereka yang benar-benar bebas, kita simpati terhadap apa yang berlaku, dalam masa yang sama ianya perlulah melalui proses keadilan,” kata Hishamuddin selepas merasmikan mesyuarat serentak 30 cawangan Umno bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat Raub pada 2 Mei lalu.

Berapa lamakah lagi rakyat perlu menanti agar panel yang bakal atau telah ditubuhkan ini untuk menyelesaikan kes ini? Apakah keluarga adik Aminulrasyid Amzah dan rakyat Malaysia perlu menanti selama bertahun-tahun barulah kes ini dapat diselesaikan?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa siasatan terhadap kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah akan dilakukan secara terbuka dan “no cover up”. Lega hati rakyat mendengar jaminan perdana menteri itu. Akan tetapi bukankah perdana menteri turut memberikan jaminan yang sama apabila Teoh Beng Hock terbunuh dahulu? Sehingga kini kes Teoh Beng Hock masih belum selesai.

Kes-kes seperti ini akan terus berterusan jika masalah pokoknya tidak diselesaikan. Suka atau tidak, integriti PDRM sebagai pasukan yang seharusnya menjaga keselamatan awam perlu dikembalikan.

Salah satu cara yang paling baik untuk menggembalikan kepercayaan rakyat terhadap anggota PDRM ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis atau dalam bahasa inggerisnya di panggil Independent Police Complaint and Misconduct Commission (IPCMC).

Penubuhan IPCMC adalah cadangan daripada Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang mana salah seorang anggotanya adalah Tun Hanif Omar yang juga bekas KPN. Suruhanjaya ini telah dilantik sendiri oleh kerajaan Malaysia sewaktu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.

Apa kebaikan IPCMC?

IPCMC adalah badan yang berperanan sebagai sebuah badan bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. Dengan adanya badan seperti IPCMC, anggota-anggota polis tidak boleh lagi bertindak sewenang-wenangnya kerana ada sebuah badan yang mengawasi mereka.

Selain daripada itu, mereka juga akan dikenakan hukuman jika melakukan kesilapan. IPCMC akan membantu PDRM untuk menggembalikan kepercayaan orang awam terhadap institusi tersebut yang semakin hari semakin hilang wibawanya akibat daripada pelbagai kes-kes sumpama kes pembunuhan adik Aminulrasyid Amzah ini.

Kerajaan harus serius untuk membantu menggembalikan integriti PDRM dengan menubuhkan IPCMC. PDRM juga tidak harus melihat badan seperti IPCMC sebagai ancaman kepada mereka sebaliknya IPCMC boleh dijadikan sebagai salah satu sebab kepada anggota-anggota PDRM untuk bekerja dengan lebih baik.

Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar, exco-exco, ahli parlimen dan adun itu sendiri dipantau oleh rakyat dan “ujian penilaian” akan diberikan kepada mereka pada musim pilihanraya.

Jadi apa masalahnya dengan IPCMC untuk mengawasi PDRM? -Amin Iskandar

Khalid Yang Mana Cakap Tanpa Bukti?

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya membawa mana-mana saksi dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah yang masih belum disoalsiasat oleh polis ke hadapan sekiranya benar beliau mengetahui masih ada yang belum diambil keterangan.

Ini kerana kata Khalid Abu Bakar, kenyataan ahli parlimen Pas itu sangat tidak bertanggungjawab seandainya beliau membuat dakwaan tanpa disertakan dengan bukti.

"Saya ingin menyatakan di sini sejelas-jelasnya, jika benarlah apa yang dia kata iaitu masih terdapat saksi yang belum diambil keterangannya oleh polis, sila bawa saksi itu ke balai polis dengan segera... jangan sedap cakap tanpa bukti," katanya hari ini.

Kata ketua polis itu lagi, Khalid Samad boleh menelefonnya pada bila-bila masa dan adalah menjadi kerja polis untuk mencatatkan kenyataan saksi bukan kerja Pas.

Tambah beliau lagi, setakat yang diketahuinya, semua saksi yang melihat kejadian itu telah direkodkan kenyataan mereka dan Khalid Samad tidak seharusnya berasa sangsi dengan pihak polis.

"Yang saya tahu orang saya telah pun mengumpulkan semua maklumat dan kenyataan daripada saksi-saksi dan kita tidak ada sebarang sebab untuk menyembunyikan apa juga fakta dan maklumat tetapi jika ahli Yang Berhormat dari Shah Alam kata beliau tahu masih ada saksi yang belum direkodkan kenyataan mereka, sila bawa saksi itu kepada saya, tidak ada apa yang perlu ditakutkan," katanya lagi.

Setakat ini 20 orang saksi telah direkodkan kenyataan mereka berhubung insiden itu.

Aminulrasyid Amzah seorang murid tingkatan tiga meninggal dunia selepas dia terkena tembakan polis yang mengejarnya sejauh 6 kilometer pada lewat tengah malam Isnin lalu selepas dia dilihat memandu dengan laju dan secara berbahaya di Seksyen 11 Shah Alam.

Dan Khalid Samad telah mempertikaikan yang polis tidak mengambil keterangan saksi sepenuhnya dalam mengendalikan siasatan tersebut. -Mstar


Rakan Aminulrasyid pertikai versi polis

Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.

“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.

“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.

“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.

“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.

“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.

“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.

Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.

“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, peguam N. Surendran dan juga ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid. -TMI



Ulasan GB

Siapa yang sebenarnya "sedap cakap tanpa bukti"? Khalid Samadkah atau Khalid Abu Bakar?

Siapa yang sebelum ini menyatakan Aminulrasyid "mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis berkenaan" dan siapa yang menyatakan munkin "Aminulrasyid seorang penjenayah" jika bukan Ketua Polis Selangor sendiri?

Sudahkah KPN Selangor itu mempunyai bukti sahih Aminulrasyid mengundurkan keretanya untuk merempuh anggota polis berkenaan sedangkan keterangan saksi iaitu penumpang yang juga rakan Aminulrasyid yang ditembak mati oleh polis menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis?

KPN Selangor ini, sudah banyak "track record"nya yang cuba menipu rakyat dengan pelbagai kenyataan untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anggota bawahannya. Kes Kugan, kes Teoh Beng Hock dan seumpamanya adalah contoh yang kita dapat saksikan Khalid Abu Bakar ini sangat-sangat mencurigakan dan tidak bertanggungjawab malah perlu disiasat dan dipecat segera dari jawatannya.

3 Mei 2010

Noh Omar Hina TGNA Dan Rakyat Kelantan

Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar menyifatkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) sebagai “bodoh” sambil mencabar beliau agar menggunakan masjid-masjid di Kelantan untuk tujuan berpolitik.

“Ada tak panduan yang diberikan oleh kerajaan negeri mengenainya. Kalau ada, tak payahlah ada undang-undang.

“Nak berkempen, nak baca khutbah, tak kisahlah sebab tiada halangan.

“Dia Menteri Besar, buatlah undang-undangnya sendiri dengan sesuka hati,” kata beliau selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Kelab Golf Perkhidmatan Awan hari ini.

Malahan, beliau mendakwa sesiapa yang mempertikaikan isu ini seperti Nik Aziz merupakan perbuatan tidak menghormati Sultan Selangor.

“Jangan nak bawa perangai atau stail orang Kelantan datang ke Selangor.

“Kita ada undang-undang sendiri, ada Sultan sendiri... jadi perbuatan PAS seperti tidak menghormati Sultan,” kata beliau sambil menambah, sebagai orang Melayu tidak menghormati Sultan Selangor.

Noh berkata tindakan Nik Aziz adalah tidak menghormati undang-undang negeri lain.

“Dia tolak politik sebagai ‘bodoh’, dia dua kali ganda lebih bodoh sebab dia Menteri Besar. Andai kata Sultan Kelantan mengeluarkan peraturan sedemikian, adakah dia (Nik Aziz) akan patuh atau tidak?

“Kalau tak suka, pergi ke negeri yang rasa masjid boleh jadi tempat politik, dipersilakan. Usah datang ke Selangor. Jangan nak hina undang-undang orang Selangor,” kata beliau.

Khamis lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin menjelaskan baginda melarang masjid digunakan sebagai pentas politik demi menjaga kesucian dan kehormanian tempat beribadat.

Nik Aziz dilaporkan berkata beliau menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan hendak datang nak berceramah dalam masjid, datanglah berceramah.

“Orang Islam di Selangor faham agama. Kalau Nik Aziz tidak datang ceramah di Selangor, pegangan Islam orang Selangor tak kurang hebat juga darinya.

“Kita juga ada ulama-ulama kita sendiri.

“Janganlah ingat Nik Aziz saja yang beragama hebat sebab janggutnya lebih panjang dari ulama Selangor.

“Kalau nak politik, politiklah, jangan nak menghina undang-undang orang,” katanya. -TMI

Malaysia Ditangga Corot Indeks Kebebasan Media

Media di Malaysia masih lagi tidak bergerak bebas dan berada dalam cengkaman kerajaan Umno-Barisan Nasional seperti mana yang terbukti oleh kajian Freedom House yang meletakkan Malaysia pada tangga ke-141 dari 196 buah negara.

Kedudukan Malaysia itu di bawah kategori 32 peratus negara yang tidak mempunyai media yang bebas dalam menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat.

Menurut kajian tersebut, Malaysia berkongsi tempat dengan dua negara Afrika, Algeria dan Zambia.

Di rantau Asia Pasifik pula kedudukan Malaysia masih ketinggalan di belakang negara terdekat seperti Filipina pada berada pada tangga ke-97, Indonesia - 107, Thailand - 124 dan Kemboja - 134.

Filipina, Indonesia dan Thailand diletakkan sebagai negara yang mengamalkan media sebahagian bebas.

Ketika mengulas kedudukan Malaysia yang menghampakan ini, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata selain kajian mengenai kebebasan media di negara ini ia juga menjadi kayu pengukur kepada pentadbiran sistem demokrasi.

"Kedudukan yang lemah ini membuktikan kegagalan kerajaan Umno-BN mengamalkan sistem demokrasi sihat walaupun berkokok kepada dunia luar bahawa negara ini bebas, telus dan adil.

"Kalau dibandingkan era pentadbiran Pak Lah dan Najib, pentadbiran najib diloihat lebih mencengkam kebebasan media dam amalan demokrasi negara. Setiap pengamal terpaksa menurut telunjuk kerajaan dan agensi kerajaan juga terikat dengan arahan yang bersifat 'draconian'," kata Yusmadi.

Yusmadi berkata kerajaan perlu sedar dan mengambil langkah yang sesuai bagi memperbaiki imej serta persepsi buruk masyarakat antarabangsa terhadap kebebasan media di negara ini.

Manakala sepuluh negara yang mengamalkan media paling bebas ialah Finland, Iceland, Norway, Sweden, Denmark, Belgium, Luxembourg, Andorra, Switzerland dan Liechtenstein.

Sempena Hari kebebasan Media Antarabangsa yang disambut setiap 3 Mei, Freedom House yang merupakan pejuang kebebasan demokrasi antarbangsa telah mengeluarkan senarai kedudukan negara bagi mengenalpasti negara yang mengamalkan kebebasan bermedia. -SK

Sampai Bila Polis Hendak Menipu Rakyat?

Polis acapkali akan menggunakan alasan "menyelamatkan diri" di dalam kes-kes tembak mati mereka yang dikatakan sebagai "penjenayah" sekalipun tembakan kepada orang awam yang tidak berdosa.

Inilah yang berlaku terhadap kes Aminul-Rasyid Amzah dan kes Norizan Salleh.

Polis bersiap sedia mereka-reka cerita yang bukan-bukan bagi menjustifikasikan tembakan mereka dan ia akan disahkan pula oleh mereka yang berpangkat tinggi yang kemudiannya akan membuat kenyataan media bagi membohongi rakyat.

Mengimbau kembali kes Suwandi dan Azman yang ditembak di Kuala Terengganu, anehnya Suwandi dan Azman yang diheret ke mahkamah sedangkan polis yang menembak lepas bebas.

Dalam banyak kes yang jika dibawa ke mahkamah pula, dengan sistem kehakiman Malaysia yang korup seperti yang dibuktikan di dalam kes corect, correct, correct, polis akan menang dan rakyat yang menjadi mangsa mati katak tanpa terbela.

Kemudiannya, akan segera pula disahkan oleh menteri-menteri termasuk menteri menyatakan kes itu masih dalam siasatan.

Persoalannya sampai bila polis hendak dibiarkan bersikap demikian? Apakan perlu ada anak menteri yang nanti mati ditembak baru negara terkejut dan akan membuat perubahan untuk memberhentikan penipuan dan pembohongan polis itu?

Baca kisah pembohongan polis yang diceritakan sendiri oleh saksi utama kejadian kes kematian Aminuul-Rasyid kerana ditembak dengan kejam oleh anggota polis.


Saksi nafi Aminulrasyid cuba rempuh polis

Penumpang yang juga rakan remaja 14 tahun yang ditembak mati oleh polis - Aminulrasyid Amzah menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis.

"Apabila ditembak, badannya terkulai di peha saya tetapi kakinya (Aminulrasyid) masih di accelerator yang menyebabkan kereta bergerak dan polis terus menembak,” katanya pada sidang media di rumah keluraga Aminulrasyid, hari ini.

Menceritakan kejadian Isnin lalu, Azamuddin Omar, 15 berkata, kereta berkenaan kemudian berlanggar dengan sebuah tembok dan polis terus menembak.

Azamuddin yang cedera pada bahagian lengan dan belakangnya juga mendakwa lima anggota polis kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah diri.

Pelajar tingkatan tiga itu masih ketakutan kini menjalani rawatan untuk trauma.

Bapa saudara kepada mangsa, Kamaruddin Hassan yang berada pada sidang media itu berkata pihaknya tidak mahu inkues berhubung pembunuhan itu seperti yang dicadangkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Kami mahu siasatan diraja kerana hanya itu sahaja cara bagi mendapatkan siasatan yang telus dan adil,” katanya.

Menurut peguam keluarga berkenaan, N Surendren, tidak perlu diadakan inkues kerana tidak ada pertikaian mengenai cara remaja itu meninggal dunia.

Kamaruddin juga membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dilaporkan berkata pihaknya sedia mengundurkan polis jika orang ramai tidak lagi mahu mereka menguat-kuasakan undang-undang.

"Kami hormati polis tetapi mungkin ada yang diibaratkan sengai 'buah busuk' di kalangan mereka,” katanya.

Keluarga berkenaan juga merayu kepada semua pihak bagi menghentikan spekulasi dan membuat kenyataan yang boleh melukakan perasaan ibu Aminulrasyid.

Antara kenyataan itu, termasuk dakwaan bahawa dua remaja berkenaan adalah penjenayah dan keluarga mereka patut dipersalahkan kerana membiarkan budak-budak berkenaan memandu tanpa lesen pada waktu tengah malam.

“Ada juga ura-ura bahawa kakak mangsa akan juga didakwa kerana keretanya digunakan,” katanya lagi.


Jenayah Bertambah Teruk Jika Musa Terus Jadi KPN

Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan dengan segera berikutan kelemahan serta kegagalan beliau menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara terutama sekali apabila peningkatan kadar jenayah semakin berleluasa.

Tunku Abdul Aziz berkata desakan itu juga dibuat berhubung kenyataan Musa yang mengugut untuk menarik balik anggota polis daripada berkawal di jalan raya selepas insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam pada 26 April lalu.

Katanya, reaksi Musa itu sekaligus melambangkan sikapnya yang tidak boleh menerima kritikan orang lain apabila sesuatu isu berhubung keselamatan awam mahupun kelemahan institusi Polis DiRaja Malaysia dibangkitkan.

"Dia ni memang tak boleh terima kritikan langsung. Kalau kita buat apa-apa kritik, dia terus mengugut untuk menarik balik anggotanya daripada menjalankan tugas. Ini jelas menunjukkan bahawa dia seorang yang tak boleh menerima kritikan orang lain sedangkan tugas utama beliau adalah menjaga keselamatan negara. Dia ingat institusi polis dia yang punya," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini selepas sidang Dewan Negara.

Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz turut mengkritik peranan PDRM yang sebelum ini memaklumkan bahawa kadar jenayah di Malaysia berjaya diturunkan sedangkan hakikat sebenar berlaku sebaliknya.

"Apa yang dia cakapkan bahawa kadar jenayah telahpun menurun adalah tidak betul. Jika kita tengok masa sekarang di tempat dan kawasan yang kita tinggal baik di bandar mahupun di kampung jenayah semakin bertambah.

"Saya baru balik dari Tawau dan Tawau paling banyak berlaku jenayah di Malaysia dan sekarang banyak bandar dan kampung di Semenanjung dah jadi macam Tawau juga," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Polis Negara meletakkan jawatan dan posisinya digantikan oleh orang lain yang lebih layak.

"Dah nak bersara lagi enam bulan bagi jadi KPN, lepas itu apa dia (kementerian) buat sambung balik lagi setahun dua tahun, tak guna. Kita mahukan orang lain yang lebih bagus daripadanya. Kalau dia mudapun sekalipun kita tak peduli, sekurang-kurangnya bagi dia peluang dalam jangka lima tahun untuk merubah dan memperbaiki sistem polis yang sememangnya dah teruk.

"Kalau kita masih lagi mempertahankan KPN yang bersikap sebegini, saya ingat negara kita akan jadi lebih teruk daripada sekarang," katanya lagi.

Terdahulu bercakap dalam sidang media yang sama, Senator S Ramakrishnan menggesa PDRM mengemukakan satu sistem prosedur yang berkesan bagi menangani kes tembakan oleh anggota polis.

"Walaupun KPN telah bersetuju untuk menubuhkan satu inkues tetapi perkara ini mestilah dibincangkan juga memandangkan pada tahun 2008 juga 2009 ada kes yang langsung tidak disiasat.

"Berapa banyak kes orang awam mati ditembak polis sebelum ini dan sehingga sekarang kejadian seperti ini masih berterusan sehingga melibatkan remaja berusia 14 tahun.

"Ini bukan kejadian pertama kali berlaku. Sudah banyak kali dan sehingga sekarang tiada apa-apa siasatan. Ini menunjukkan polis tidak cekap. Sepatutnya sebaik sahaja selepas tembakan berlaku, siasatan segera hendaklah dijalankan," katanya.

Ramakrishnan bakal membentangkan usul tergempar berhubung kes kematian Aminulrasyid di Dewan Negara esok.

Menurutnya, tujuan usul berkenaan adalah bagi menyegerakan kes tersebut supaya disiasat secara profesional dan telus serta mendapat pembelaan yang sewajarnya. -SK