1 Okt 2009

Perak Era Zambry : Penduduk Terkejut Cukai Taksiran Naik Berganda

Penduduk Taman Silibin Ria, Ipoh, tersentak apabila menerima notis daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), berhubung kenaikan cukai taksiran tahunan di kawasan berkenaan.

Notis daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung kenaikan cukai tahunan berkenaan dan ianya nyata telah mengejutkan penduduk yang rata-ratanya baru sahaja mendiami kawasan berkenaan.

Berdasarkan kadar cukai terbaru ini, nilai cukai yang perlu dibayar oleh penduduk di sini adalah berjumlah RM576 berbanding RM112.80 pada masa lalu dan kenaikan sebanyak empat kali ganda ini dilihat terlalu tinggi selain turut menambahkan lagi bebanan kepada rakyat.

Keadaan ini turut meresahkan penduduk di kawasan perumahan tersebut dan menganggap kenaikan mendadak ini adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya, terutama ketika negara sedang dilanda kegawatan ekonomi selain kenaikan harga barangan asas yang sudah cukup meresahkan rakyat.

Sehubungan dengan itu, penduduk di kawasan ini telah mengemukakan bantahan kepada MBI terhadap kenaikan cukai taksiran tahunan sebagaimana diperuntukkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) baru-baru ini.

Difahamkan kenaikan yang begitu ketara tersebut adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya berikutan kenaikan harga barangan asas.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan baru-baru ini menyaksikan kawasan berkenaan adalah sebuah kawasan perumahan yang serba baru dan masih belum dihuni sepenuhnya dan menurut sumber, pada masa ini, dianggarkan hanya sebanyak 100 buah rumah di kawasan berkenaan telah didiami hingga kini.

Rata-rata penduduk yang ditemui, menyatakan tidak bersetuju dengan kenaikan cukai tersebut dan mahukan agar cukai ini dikekalkan pada aras sedia ada demi

Pesara, Toon Hoon Toon, 67, berkata, kenaikan cukai ini menimbulkan tanda tanya penduduk di kawasan berkenaan yang rata-ratanya baru sahaja mendiami kawasan tersebut.

Katanya, kadar cukai yang naik sehingga empat kali ganda berbanding kadar terdahulu adalah agak membebankan dan berharap pihak MBI dapat bertolak ansur demi kebaikan semua pihak.

“Kawasan ini masih baru didiami dan kebanyakan penghuninya adalah dari golongan yang berpendapatan sederhana.

“Perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan ini juga masih belum beroperasi sepenuhnya di kawasan ini dan kenaikan cukai taksiran ini adalah tidak munasabah sama sekali,” katanya.

Penyelia Percetakan di Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Raj Singh, 52 bersetuju dengan kenyataan Hoon Toon dan menganggap kenaikan ini tidak sewajarnya dilaksanakan.

Menurut Raj, kenaikan ini agak membebankan berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu pada hari ini.

“Perkara seperti ini mampu membangkitkan kemarahan rakyat terutamanya terhadap kenaikan yang boleh dianggap sebagai tidak munasabah ini. Kerajaan perlu bijak memenangi hati rakyat dan penurunan semula kadar cukai berkenaan diyakini mampu meredakan sedikit kemarahan mereka (rakyat),” katanya.

Pekerja kilang, Chew Yee Chun, 32 pula menyuarakan kehairanannya berikutan kawasan perumahan di Taman One Pertama, berhampiran Taman Silibin Ria yang dilaporkan membayar cukai taksiran dengan lebih murah berbanding harga sebuah rumah di kawasan berkenaan yang lebih mahal berbanding dengan kediaman di Taman Silibin Ria.

Katanya, kakitangan di sebuah kilang berhampiran berkata, perbezaan kadar bayaran ini mungkin boleh dipersoalkan kelak, kerana persoalan agak besar pada hari ini adalah berhubung kenaikan kadar cukai yang dikenakan.

“Perbezaan ini adalah agak ketara dan kami harap agar pihak berkenaan dapat memberi penjelasan terhadap persoalan ini,” katanya.

Pesara, Chong Fook Weng, 64, pula berkata, kenaikan cukai ini ini juga adalah tidak patut berlaku kepada rumah yang baru siap dibina kerana nilai rumah berkenaan masih belum ada berbanding rumah lama yang memiliki nilai harta yang tinggi.

Katanya, jumlah cukai yang dikenakan pada kali ini adalah agak tinggi dan kebanyakan penduduk di kawasan ini tidak berkemampuan untuk menjelaskannya.

“Berdasarkan perkara tersebut, kenaikan cukai ini dilihat sebagai tidak adil dan kami masyarakat di sini mendesak agar cukai ini dikekalkan pada kadar harga yang sewajarnya seperti sekarang,” katanya.

Juruteknik, M Gopalan, 38, pula berpendapat berkata, bahawa sebagai sebuah kawasan yang masih boleh dikategorikan sebagai kawasan luar bandar, sewajarnyalah kawasan berkenaan dikenakan kadar cukai yang rendah.

Gopalan turut mengharapkan agar kadar cukai ini dapat dikekalkan berdasarkan kepada kadar terdahulu agar tidak terlalu membebankan rakyat.

“Kadar cukai sebelum agak melegakan kerana ianya masih lagi mengikut perbelanjaan harian saya. Saya sememangnya berharap agar kadar cukai ini akan kembali kepada paras yang sedemikian, katanya.

Operator kilang percetakan, Sim Sau Wan, 35, berkata, kadar cukai ini adalah terlalu tinggi dan berharap ianya dapat diselaraskan semula bagi menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, dia kini terpaksa membelanjakan lebih RM2,000 sebulan bagi menyara kehidupannya.

Sau Wan yang bekerja sebagai, adalah operator di sebuah kilang percetakan berhampiran dan pendapatan bulanannya agak stabil.

“Saya berkongsi membeli rumah ini dengan orang adik beradik selain turut membayar ansuran bulanan selama 15 tahun dengan bayaran RM1,400 sebulan, tidak termasuk lagi bayaran cukai berjumlah RM576 yang perlu dijelaskan.

“Kenaikan cukai ini agak mengejutkan saya dan berharap agar cukai ini akan kembali pada kadar cukai terdahulu,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media ringkas yang diadakan di Taman Silibin Ria kelmarin, Timbalan Pengerusi PSM Malaysia, M Sarasvathy berkata, pihak penduduk di kawasan berkenaan telah mengeluarkan satu surat bantahan kepada Datuk Bandar Ipoh bagi memaklumkan perkara tersebut.

Menurutnya, MBI telah pun datang dan melawat kawasan ini serta melihat sendiri keadaan di sini, baru-baru ini.

MBI juga menyatakan mereka akan menyerahkan surat rasmi hari ini (semalam) bagi mempelawa penduduk hadir untuk berbincang lebih lanjut.

“Saya mewakili pihak penduduk di sini amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh berhemah demi kebaikan bersama,” katanya.

Nizar Atau Zambry MB Perak Diketahui 5 Nov

Pertikaian berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah dijangka didengar di Mahkamah Persekutuan pada 5 November.

Leong Cheok Keng, seorang daripada peguam Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Bernama, firma itu telah menerima sepucuk surat bertarikh 3 September yang disakskan dari Pendaftar Mahkamah Persekutuan, di Putrajaya memaklumkan mereka bahawa mahkamah itu telah menetapkan tarikh itu untuk mendengar rayuan Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 9 Julai, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Mohammad Nizar untuk rayuan selepas responden, Zambry melalui peguam belanya Datuk Cecil Abraham dan pencelah, Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail tidak membantah berhubung permohonan itu.

Pertikaian bagi jawatan Menteri Besar Perak, bermula selepas tiga anggota dewan undangan negeri meninggalkan pakatan pembangkang DAP- PKR-PAS, dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudian memfailkan semakan kehakiman menuntut writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk tunjuk sebab berhubung atas asas apa atau hak beliau (Zambry) adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, tetapi keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Mohammad Nizar atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan Sultan, dan sebaik seorang Menteri Besar dilantik, beliau dan Ahli Majlis Mesyuaratnya hanya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Mahkamah Rayuan pula memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah, adalah betul dalam melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Artikel 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, selepas berpuas hati Zambry mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri Perak.

Peguam bela Sulaiman Abdullah adalah peguam utama bagi Mohammad Nizar. - Bernama

Era Najib Altantuya : 75 Mati Gempa Sumatera

Sekurang- kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat Rabu malam.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital.

"Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, Rabu malam.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada pukul 5.16 petang.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang dari sini ke Padang esok untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh.




















Era Najib Altantuya : Isa Liabiliti Kepada UMNO

Apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendapatnya bahawa bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad tidak harus dijadikan calon mewakili Barisan Nasional di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, maka bermulalah masalah bagi gabungan parti itu.

Ini kerana jika Barisan memilih juga Isa, maka rakyat Malaysia yang masih banyak menyokong Dr Mahathir akan memandang serong terhadap gabungan parti itu. Nasihat Dr Mahathir telah tidak didengar oleh Barisan sedangkan beliau tentu lebih mengetahui dan mahir dalam percaturan politik daripada pucuk pimpinan Barisan hari ini.

Tetapi jika Barisan mendengar nasihat Dr Mahathir, maka cakap-cakap politik yang timbul ialah, siapakah yang menjadi pemimpin Barisan, bekas presiden Umno itu atau Presiden Umno sekarang? Jadi apapun Barisan putuskan, ia tetap menjadi masalah dari segi pilihan calon itu.

Namun begitu, jika fokusnya adalah untuk memenangi pilihan raya kecil itu, maka pertimbangan bebas harus dibuat untuk memilih sama ada Isa ataupun bukan. Jika risikan undi mendapati bahawa Isa mampu memberi kemenangan kepada Barisan, maka wajar bekas Menteri Besar itu dipilih sebagai calon. Perkara lain ditolak tepi dahulu.

Dalam kempen, bolehlah berhujah bahawa Isa telah pun dihukum dari segi politik wang, maka tidak ada sebab mengapa beliau tidak diberi peluang untuk dicalonkan. Banyak lagi kes dalam politik, di mana salah laku pemimpin, termasuk di kalangan pembangkang yang kedudukan politiknya dipulihkan. Bagi orang Umno, dan Melayu umumnya sebarang tindakan yang dikenakan ke atas Isa bukanlah dilihat sebagai berpunca daripada salah laku, tetapi lebih kepada permainan politik.

Lagipun soal politik wang yang kelihatan serius dan dibimbangi akan melunturkan jati diri Umno dan Barisan, tetapi ada pula pihak yang melihat bahawa keseluruhan cara berpolitik di negara ini, yang dibentuk oleh Umno sejak negara ini mencapai kemerdekaan tidak akan terlepas dari politik wang. Walaupun mungkin ada cara-cara yang boleh mengawalnya, tetapi dari segi asas dan struktur, serta penerimaan pelaku-pelaku politik, maka apa yang dilakukan oleh Isa dan seumpamanya tidak pula dipandang sebagai suatu yang melanggar etika.

Keadaan inilah yang menjadi masalah kepada Pakatan Rakyat dalam cara berpolitik. Sungguh sukar untuk melepaskan diri daripada politik wang walaupun baru sedikit atau hanya bayang-bayang turut menjadi satu cabaran bagi parti-parti Pakatan. Corak politik wang selah-olah diterima oleh orang ramai dan mengubah budaya politik amat sukar bagi Pakatan Rakyat sendiri, apatah lagi Barisan.

Maka dalam hal Isa dan Bagan Pinang, ada kebenaran seperti apa yang disuarakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Dengan meletakkan Isa sebagai calon, mungkin Barisan boleh menang. Tetapi menurut Lim, Barisan akan menang pertempuran dan bukannya peperangan.

Apa yang dimaksudkan ialah mungkin dengan meletakkan Isa sebagai calon, maka Barisan boleh menang di Bagan Pinang, tetapi kesannya ialah gabungan parti itu akan mengalami cabaran terhadap kewibawaannya bagi pilihan raya umum akan datang hingga menyebabkan ia boleh kalah.

Tetapi pandangan Lim ini boleh diterima jika masyarakat Malaysia pada umumnya sememangnya mempunyai pendirian menolak politik wang secara tegas. Di sinilah cabarannya. Andai kata sebilangan besar masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum melihat politik wang sebagai sesuatu yang lumrah dan dapat diterima, maka Barisan akan terus dapat memegang kuasa. Sebaliknya pihak Pakatan pula yang terpaksa menurut jejak Barisan.

Tetapi jika rakyat Malaysia secara umum boleh menerima politik wang dalam konteks berlembut dengan gejala rasuah serta korupsi, maka malang bagi negara ini. Walaupun cuba hendak dibolehkan supaya masyarakat boleh beroperasi lebih-lebih lagi di negara-negara membangun, tetapi pandangan umum melihat bahawa korupsi baik terutama dalam politik akan menjahanamkan negara. Di sinilah Dr Mahathir amat tegas menolaknya walaupun beliau sendiri tidak berupaya menghapuskan semasa ada kuasa dahulu.

Tetapi jika kedua-dua pihak, Barisan dan Pakatan komited untuk membanteras korupsi, rasuah dan politik wang, maka kedua-dua wajar tegas menolaknya. Barisan, dengan tidak perlu teragak-agak menerima saranan Dr Mahathir terus menolak Isa. Walaupun kemungkinan jentera Barisan lumpuh di Bagan Pinang dan adanya risiko kalah, tetapi mempertahankan prinsip menolak politik wang adalah satu asas yang mulia untuk dipegang, tidak kiralah sama ada rakyat Malaysia boleh menerima atau tidak.

Di pihak Pakatan pula, mereka mesti sentiasa berhujah menolak politik wang. Tindakan seumpama ini akan memaksa Barisan mencari calon bersih. Sekaligus Pakatan juga akan berusaha untuk mendapatkan calon yang juga sepadan dengan apa yang diajukan oleh Barisan. Tetapi dalam hal menolak politik wang, ia bukan soal kemenangan mana-mana calon atau parti. Apa yang penting adalah kemenangan negara dan rakyat Malaysia untuk berpegang kepada prinsip menolak politik wang.

Lebih-lebih lagi parti yang akan mewakili Pakatan adalah PAS. Perjuangan yang lebih besar bagi PAS bukan semata-mata untuk memenangj pilihan raya hatta melalui pilihan raya kecil Bagan Pinang tetapi pegangan kepada etika menolak rasuah dan politik wang supaya tidak turut merayap ke dalam organisasi itu.

Pegangan menoloak korupsi bukan saja untuk memelihara imej Pakatan dan PAS tetapi nama Islam itu sendiri. Ini kerana di mana-mana PAS berada atau bertanding untuk pilihan raya, ia membawa panji-panji Islam, dan sudah tentu amanah ini adalah lebih besar. - Zamri Omar

30 Sep 2009

Najib Altantuya Taja Makkal Sakthi, Samy Velu Terkedu

Parti Makkal Sakthi Malaysia yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan bukan sahaja mendapat sokongan moral Najib Razak malah juga menerima habuan kewangan lumayan daripada Perdana Menteri, menurut beberapa pihak yang rapat dengan kepemimpinan parti itu.

Menurut aktivis Gerakan Tindakan Hak Asasi Hindu atau Hindraf, M. Murugan, Makkal Sakthi dikatakan mengikat perjanjian untuk menerima lebih RM30juta daripada tabung Barisan Nasional untuk melengkapkan dirinya sebagai parti pilihan kaum India, menggantikan MIC.

Beliau mendakwa wang pendahuluan sebanyak RM8 juta telah pun diserahkan kepada salah seorang pemimpin utama Makkal Sakthi semasa pilihan raya kecil Bukit Selambau 7 April lalu.

"Saya difahamkan jumlah itu hanya sebahagian daripada RM30 juta yang dijanjikan oleh Najib kepada Makkal Sakthi untuk menarik kembali sokongan pengundi India kepada BN," Murugan memberitahu Suara Keadilan.

Beliau yang pernah ditahan polis semasa perhimpunan Hindraf di Kuala Lumpur 25 November 2007 mendakwa kemungkinan besar baki sebanyak RM22 juta akan dibayar secara tunai kepada Makkal Sakthi apabila Najib merasmikan parti itu 10 Oktober depan.

"Kita tahu latar belakang pemimpin-pemimpin Parti Makkal Sakthi Malaysia. Mereka dipecat daripada Hindraf dan sejurus dipecat terus bersengkongkol dengan pemimpin BN," kata Murugan yang mengenali rapat barisan pemimpin parti baru itu.

Pemerhati politik terkejut apabila Pendaftar Pertubuhan mengambil masa hanya dua minggu untuk meluluskan penubuhan Makkal Sakthi. Proses kelulusan untuk parti-parti lain lazimnya mengambil masa bertahun-tahun, contohnya Parti Sosialis Malaysia yang dipimpin oleh beberapa aktivis masyarakat.

Kelulusan segera yang diperolehi Makkal Sakthi adalah petanda jelas Najib mencari sekutu baru untuk meraih kembali sokongan kaum India yang berhijrah kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum tahun lalu.

Najib sudah pun mula memulau Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu pada majlis-majlis perjumpaannya dengan kaum India dan kini lebih mengaitkan dirinya kepada Makkal Sakthi.

Murugan menyifatkan parti itu sebagai "alat terbaru BN untuk mendapat sokongan kaum India."

"Pengundi bukan bodoh dan sedar jika MIC gagal memperjuangkan nasib kaum India untuk 50 tahun, sebuah parti yang baru ditubuhkan dengan kelulusan khas Perdana Menteri tetap akan menemui jalan buntu selagi ia melaksanakan agenda Umno," kata beliau.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang, G. Ponusamy berkata penubuhan parti yang dipelopori oleh bekas penyelaras kebangsaan Hindraf, R.S. Thanenthiran adalah sebahagian perancangan jahat Najib dan BN untuk memecah-belahkan kaum India.

"Najib tahu sekiranya kaum India berpecah dan diwakili oleh banyak parti politik maka orang India akan lemah dan senang dipergunakan. Ini seperti penjajah Inggeris yang mengamalkan dasar "divide and rule" atau pecah dan perintah.

"Walau bagaimanapun saya yakin masyarakat India yang majoritinya kini menyokong Pakatan Rakyat sudah lama sedar permainan BN dan tidak senang termakan dengan helah politik seperti ini," kata beliau.

"Akhirnya yang untung ialah segelintir pemimpin India yang menjual maruah mereka kepada BN untuk keuntungan peribadi sementara kaum India terus terpinggir dan diabaikan," jelas Ponusamy.

Menurut Naib Ketua Cabang Keadilan Kuantan itu, Najib bukan sahaja membiayai Makkal Sakthi malah terbabit dalam penubuhan Parti Hak Asasi Manusia yang juga bertujuan untuk menarik sokongan kaum India. Parti itu kini dalam proses mendapat kelulusan.

"Saya mendapat maklumat bahawa permohonon parti itu kini berada di atas meja Perdana Menteri untuk mendapat kelulusan peribadi beliau.

"Ini jelas menunjukkan kedua-dua parti ini hanya menjadi instrumen politik Umno dan BN setelah mereka berjaya menghancurkan MIC.

Parti Hak Asasi Manusia diterajui oleh salah seorang pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar yang bertindak sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Parti Hak Asasi Manusia.

Parti yang bertapak di Semenanjung itu bercadang untuk bertanding di 53 kerusi pada pilihan raya umum ke 13 yang tentunya memerlukan belanja besar yang boleh ditanggung oleh kepimpinan Barisan Nasional.

Era Najib Altantuya : Kemelut MCA, MIC Karamkan BN

Telahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Barisan Nasional (BN) bakal mengikuti jejak Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun dilihat semakin menjadi kenyataan apabila parti komponen utama yang membentuk BN dilanda kemelut yang berpanjangan.

Bermula dengan kesukaran tidak dapat menerima tsunami politik 2008 satu persatu parti komponen ini dilanda masalah yang tidak berkesudahan.

Semua masalah-masalah ini adalah cerminan kepada perpecahan yang sebenarnya berlaku di dalam BN itu sendiri. Dr Mahathir berpendapat Umno dan BN mungkin akan mengalami nasib sama seperti Parti LDP Jepun yang ditolak rakyat negara itu.

Beliau berkata, situasi politik yang berlaku dalam Umno dan BN dilihat seakan-akan mengikut jejak langkah negara Jepun dan tidak mustahil pilihan raya akan datang, fenomena yang sama turut berlaku.

Menurutnya, parti-parti yang berjuang dan mencapai kemerdekaan di beberapa negara lain, telah hilang begitu saja seolah-olah rakyat di negara itu tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli ‘perjuangan dan pengorbanan’ parti-parti itu dan pemimpinnya," katanya yang dipetik dalam blognya.

Krisis MCA semakin parah

MCA kini bergelut dalam krisis dalaman yang meruncing dan menentukan jatuh bangun parti tersebut. Walaupun usianya telah menjangkau 60 tahun, namun kemelut organisasi yang melanda kini masih lagi gagal diselesaikan dengan baik.

Kesan dari krisis dalaman MCA meyaksikan Datuk Chua Jui Meng menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Kini Datuk Chua Soi Lek berdepan dengan usaha terancang menamatkan karier politik beliau secara total dalam MCA.

Persoalannya di sini, adakah dengan situasi yang berlaku terhadap tokoh MCA yang berasal dari Johor ini akan menyebabkan berlaku pola perubahan politik di kalangan pengundi Cina di Johor dan memungkinkan Johor akan beralih kepada Pakatan Rakyat?

Sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa MCA supaya menyelesaikan segera masalah dalamannya sebelum ia menjadi isu besar kepada BN.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasuition Ismail, ketika mengulas perkara ini menyifatkan kemungkinan itu wujud. Namun Pakatan Rakyat tidak harus bergantung kepada situasi ini sahaja, sebaliknya harus menggerakkan usaha bersepadu dan membina kekuatan untuk menang.

“Situasi percakaran MCA sekarang ibarat yang menang jadi abu yang kalah jadi arang. Kita tidak melihat dua aktor yang bertembung dalam politik dalaman MCA ini sebagai signifikan dalam usaha mereka memulihkan semula sokongan masyarakat Cina kepada BN dan juga MCA. Ini dapat dilihat apabila tujuh daripada lapan pilihan raya kecil, pengundi Cina tidak memihak kepada BN,” katanya.

Beliau menambah, “Malah yang mengejutkan, apabila Presiden MCA diserang bertubi-tubi berhubung Skandal PKFZ, tiada seorang pun menteri membela Ong Tee Keat. Ini menunjukkan pertembungan ini bukan sahaja berlaku dalam MCA malah ianya berlaku krisis dalaman di dalam BN.”

Pertembungan Tee Keat selaku Presiden MCA dan juga “mantan” Timbalan Presiden MCA, Soi Lek mengheret MCA untuk megadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mencari jalan penyelesaian.

Isu ini memuncak apabila Presiden menggunakan Jawatankuasa Disiplin Parti MCA memecat Soi Lek pada 27 Ogos lalu atas alasan mencalar imej parti menerusi skandal DVD seks.

Tindakan ini mencabar pilihan akar umbi yang mengangkat Soi Lek secara demokrasi dalam parti. Penyokong Soi Lek menyifatkan tindakan pemecatan ini tidak wajar dan diibaratkan “menyebat mayat”.

Menurut Ahli Parlimen Gopeng yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat , Lee Boon Chye beliau berkomentar bahawa isu ini sebenarnya cukup besar untuk memberikan impak kepada pengundi Cina terutama di negeri yang di perintah oleh BN.

Beliau cukup yakin dengan kemelut ini pengundi Cina di beberapa negeri selatan akan beralih angin selepas penolakan Soi Lek ini.

“Respon masyarakat Cina jelas menunjukkan bahawa mereka melihat isu perebutan jawatan ini bukanlah isu orang Cina. Masyarakat Cina jelas kecewa dengan MCA yang mana ketika negara sibuk bergelut dengan H1N1, tetapi MCA sibuk berebut jawatan!” katanya.

Samy Vellu liabiliti BN

Mengekalkan dirinya sebagai manusia paling lama berkuasa dalam sejarah politik negara barangkali adalah satu kebanggaan kepada Datuk Seri S Samy Vellu. Tetapi hakikatnya ia adalah liabiliti kepada BN yang semakin terhakis kuasa politiknya.

Sokongan terbuka Mahathir terhadap bekas timbalan Samy Vellu dalam MIC, Datuk S Subramaniam yang sekian kali merebut jawatan nombor dua parti terbesar kaum India itu mengundang kemarahan yang bukan kepalang kepada MIC.

Kalungan selipar yang dicadangkan untuk Mahathir menerima reaksi yang tidak menyenangkan pelbagai pihak. Lantas para pemimpin Umno menyalak membela Mahathir yang dihina itu.

Episod cabar mencabar dan permohonan maaf akhirnya tamat apabila Mahathir bersuara bahawa beliau lebih terluka dengan kutukan ahli Umno terhadapnya sewaktu Tun Abdullah Badawi berkuasa dahulu.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, perbalahan dalam MIC adalah parah dan tidak dapat dibendung lagi.

"Bukan setakat masalah dalaman tetapi ia turut melibatkan campurtangan parti induk BN itu sendiri iaitu Umno, perkara ini dapat dilihat apabila akhbar rasmi parti itu Utusan Malaysia begitu agresif menghentam Samy Vellu. Ini memperlihatkan kerjasama dikalangan BN sudah semakin rapuh," katanya.

Kemenangan pasukan presiden yang didakwa Samy Vellu ternyata tidak menghilangkan arus yang terus meletakkan Samy adalah individu yang menjadi liabiliti kepada parti.

Keputusan ini mengukuhkan lagi kedudukan Samy Vellu, yang menang tanpa bertanding bagi kerusi Presiden, jawatan yang disandangnya sejak 1979.

Walaubagaimanapun, kemenangan calon pilihan Samy Vellu ini tidak bermakna seluruh masyarakat India di negara ini menyokong Presiden MIC terbabit.

Keputusan pilihan raya umum lalu dan beberapa perkembangan selepas itu menunjukkan sebahagian besar masyarakat India lebih cenderung untuk bersama pembangkang.

Bukan rahsia lagi bahawa antara faktor MIC semakin kehilangan pengaruhnya di kalangan masyarakat India ialah kerana Samy Vellu sendiri.

Hakikat ini bukan saja diakui pemimpin BN, malah di kalangan pemimpin MIC sendiri, tetapi takut untuk bersuara secara terbuka.

Sehinggakan Najib Razak ketika merasmikan perhimpunan agung itu didakwa menyindir Samy Vellu secara umum.

Beliau mengingatkan pemimpin parti komponen supaya menjadi popular di kalangan rakyat untuk memastikan BN terus relevan pada mata rakyat.

“Tiada guna jadi popular di kalangan ahli parti saja, tetapi tidak popular di kalangan rakyat. Jika mahu terus relevan, saya ingatkan kepada Umno, MCA, MIC dan komponen BN bahawa pertimbangan bergantung kepada sejauh mana kita popular di kalangan rakyat, bukan di kalangan ahli parti saja.

Pun begitu, Samy Vellu yang terkenal dengan sikap keras kepalanya menyangkal dakwaan bosnya itu apabila mendakwa punca masyarakat India tidak menyokong BN kerana kerajaan mengabaikan mereka, bukan kerana beliau tidak popular.

“Ramai menyalahkan saya, kata rakyat menyampah dengan saya, tetapi mereka sebenarnya tidak sukakan BN, bukan saya. Saya bercakap terus terang kerana saya tidak takut pada sesiapa,” katanya.

Nada keangkuhan Samy Vellu ini tenyata tidak disenangi pimpinan BN, tekanan terus diberikan kepada Samy Vellu sehinggakan membawa kepada isu peralihan kuasanya ini ke meja rundingan peringkat Perdana Menteri.

Itulah keistimewaan Samy Vellu barangkali, walaupun rakyat sudah menunjukkan jalan persaraan terhadap kerjaya politiknya tetapi beliau masih tidak akur.

Barangkali kekalahan total BN dalam pilihan raya umum yang akan datang adalah keadah terbaik menguburkan politik beliau. Bagaimanapun semua ini akan terjadi dengan restu perwakilan MIC yang kelihatan sangat taksub dengan ketokohannya.

Era Najib Altantuya : Parti Makkal Sakhti Ulang Telatah MIC ?

Kemunculan Parti Makkal Sakthi di persada politik negara membuktikan MIC hilang sokongan rakyat tapi parti baru itu juga dikhuatiri mengulangi 'telatah' jika menyertai komponen Barisan Nasional (BN), menurut bekas Naib Presiden MIC Datuk S S Subramaniam.

"Ini kerana pemimpin Makkal Sakthi juga akan mengejar kedudukan dan projek daripada BN dan mengabaikan kepentingan rakyat," kata Subramaniam.

Persetujuan Najib Razak merasmikan parti baru itu jelas menunjukkan BN terdesak mencari pasangan baru bagi meraih sokongan masyarakat India yang kian menjauhi gabungan itu.

Subramaniam mengganggap tindakan Najib merasmikan Makkal Sakthi adalah semata-mata mahu meraih sokongan kaum India, sekali gus mengelak mereka daripada mengundi Pakatan Rakyat.

"Najib sedar yang BN tidak boleh bergantung kepada MIC sedangkan BN memerlukan undi bukan Melayu termasuk kaum India," tambah beliau.

Subramaniam berkata MIC khususnya Datuk Seri S Samy Vellu pasti cuba menghalang Maakal Sakthi dari menyertai BN sebagaimana yang dilakukannya terhadap Barisan Progresif India (IPF).

"Tapi, kaum India tidak boleh berharap kepada Maakal Sakthi kerana parti itu juga mungkin mengulangi telatah MIC yang gila kuasa dan mengamal pendekatan politik jawatan. Mungkin, sebab itu mereka mahu masuk BN.

"Dalam BN, ada satu jawatan Kabinet diperuntuk kepada parti komponen. Mungkin itu yang mereka kejar. Tapi, hanya pemimpin atasan saja yang dapat jawatan sedangkan nasib orang bawah belum tentu terbela.

"Tidak boleh ada unsur kepentingan individu. Kita mahu orang yang jujur mengetuai perjuangan kaum India tapi ia tidak semestinya berasaskan pendekatan perkauman dan saya lihat hanya KEADILAN menjadi platform terbaik," katanya.

Maakal Sakthi diumumkan penubuhannya Mei lalu, diterajui bekas penyelaras kebangsaan Hindraf, R S Thanenthiran dan pelancarannya dijadualkan pada 10 Oktober ini. -TVA

Era Najib Altantuya : Kerajaan Hina Tentera

Cara persaraan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Abd Aziz Zainal yang memecah tradisi tanpa sebarang penghormatan yang sesuai dengan kedudukkannya menimbulkan pelbagai tanggapan rakyat terhadap cara kerajaan Barisan Nasional(BN) melayan ketua institusi keselamatan negara.

Jeneral Tan Sri Abd Aziz Zainal boleh disifatkan sebagai "undur senyap senyap" , iaitu bersara tanpa apa-apa penghormatan tentera seperti perbarisan kehormat, jamuan makan malam, lawatan ataupun menemui rakan-rakan dari Negara lain, terutamanya negara-negara ASEAN. Semua itu lazim bagi seseorang Panglima ATM yang akan bersara malah ia dianggap satu "tradisi ketenteraan".

Suara Keadilan mendapatkan penjelasan beberapa pegawai ATM, yang masih bertugas dan juga yang sudah bersara, mengenai perkembangan "pelik' ini . Rata rata ramai yang bersetuju bahawa apa jua alasan, adalah tidak wajar kerajaan melayani Jeneral Abdul Aziz demikian dan seolah-olah memaksa beliau bersara secara mengejut.

Penghinaan ke atas ATM itu tentu dirasai oleh warga tentera khususnya setelah Najib bingkas melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara Musa Hassan untuk kali kedua, bagi tempoh setahun lagi.

Menurut Datuk Kapten(B) Abu Zahar Hashim (gambar) apa yang berlaku ke atas Jeneral Abd Aziz adalah di luar tradisi yang diamalkan selama ini.

"Tindakan ini semacam pihak kerajaan memperlekehkan institusi ketenteraan, ini sesuatu yang sangat tidak wajar, beliau sepatutnya diberi penghormatan sepertimana Jeneral-jeneral ATM lain yang telah bersara," katanya.

Menurutnya lagi, paling tidak,Jeneral Abd Aziz wajar diberi peluang melawat kem kem tentera seluruh negara bagi mengucapkan selamat tinggal kepada pegawai dan anggota tentera dan bagi mereka pula mengucapkan selamat bersara kepada beliau. Di samping itu katanya persaraan Jeneral Abd Aziz mesti dimasyhurkan.

Amat memalukan kata Datuk Kapten (B) apabila pihak akhbar arus perdana yang dimiliki parti pemerintah tutut tidak memberi pengiftirahan dan sebaliknya hanya menyiarkan berita kecil mengenai persaraan Jeneral Abd Aziz.

Abu Zahar yang kini menyertai PAS menempelak BN yang menurutnya hanya "menggunakan" ATM bagi "memenangkan" mereka dalam pilihan raya tetapi bertindak tidak wajar terhadap pemerintah tertinggi ATM.

Jeneral Abd Aziz sepatutnya bersara pada Ogos 2007 pada umur 56 tahun tetapi selepas dilantik Panglima Angkatan Tentera pada Februari 2007, beliau ditawarkan untuk berkhidmat selama setahun berkuatkuasa dari tarikh perlantikannya sebagai Panglima Angkatan Tentera.

Tempoh berkhidmatan itu sepatutnya berakhir pada hujung Januari 2008.

Namun beliau ditawarkan setahun lagi yang sepatutnya berakahir pada Januari 2009, lebih kurang enam bulan dari umur persaraan wajib, iaitu 58 tahun. Selepas menamatkan perkhidmatan sambungan kali kedua pada Januari 2009, beliau telah ditawarkan sekali lagi sehinggalah 1 September 2009.

Sekarang beliau bercuti peralihan selama 5 bulan sehingga 31 Januari 2010. Secara keseluruhan, Jen. Aziz Zainal berkhidmat sebagai Panglima Angkatan Tentera selama 2 tahun 6 bulan.

Agak menghairankan Kementerian Pertahanan boleh mengumumkan penyerahan tugas Jen. Abd Aziz kepada Panglima Angkatan Tentera yang baru sebelum Majlis Angkatan Tentera bersidang.

Berdasarkan kepada kelaziman, Majlis Angkatan Tentera akan bersidang tentang pelantikan Panglima Angkatan Tentera yang baru dan memerlukan perkenan Yang Di Pertuan Agong sebelum sebarang pengumuman secara rasmi dibuat, dan selalunya ia mengambil masa yang lama.

Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan mengumumkan Panglima Tentera Udara Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru.

Jeneral Abd Aziz dinaikkan ke pangkat tertinggi ATM ketika Datuk Seri ( kini Tun ) Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Sebelum "pengunduran senyap' beliau, perhidmatan adik beliau , Datuk Kamarulzaman Zainal sebagai pengarah kumpulan berita ehwal semasa Media Prima Berhad-TV3 ditamatkan awal iaitu sebelum had tempoh kontrak."Persaraan" awal Kamarulzaman dikuat kuasakan sebaik sahaja Datuk Seri Najib razak menjadi Perdana Menteri.Sebelum bertugas di Media Prima Kamarulzaman ialah setiausaha akhbar Abdullah Ahmad Badawi. -TVA

Era Najib Altantuya : Jadikan Bagan Pinang Kuala T erengganu No. 2

Pilihan Raya Kecil DUN N31 Bagan Pinang memberi makna besar kepada seluruh rakyat untuk membuat perubahan ketara dalam senario politik tanah air.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata rakyat perlu mengambil peluang ini untuk menolak calon Umno-Barisan Nasional bagi menyelamatkan negara yang dilanda pelbagai wabak berbahaya.

“Kita melihat betapa gelabahnya Barisan Nasional mengemukakan slogan selepas satu-satu. Dahulunya bersih, cekap, amanah, natijahnya tidak bersih, cekup, khianat bukan amanah .

“Kepimpinan melalui teladan tidak boleh jadi teladan, menjadi contoh sangat buruk terutamanya bagi orang-orang Islam kerana Umno tidak tunjuk satu contoh Islam yang sebenar,” katanya dalam majlis pengisytiharan calon Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Beliau berkata slogan-slogan yang dibuat Umno-Barisan Nasional dilihat seolah-olah membela nasib rakyat namun dalam masa yang sama parti berkenaan sebenarnya mengkhianati bangsa sendiri dan menzalimi bangsa lain.

Sehubungan itu Hadi berkata, Pakatan Rakyat diperkenalkan untuk mewujudkan perpaduan dengan menerima hakikat masyarakat majmuk.

“Slogan 1 Malaysia slogan baru yang ditonjolkan Umno adalah topeng yang sangat rapuh yang dikoyak rabakkan oleh Umno, MCA, Gerakan, dan Mic yang tidak bersatu.

“Kita mahu memperkenalkan Pakatan Rakyat untuk mewujudkan perpaduan dengan menerima hakikat pelbagai bangsa pelbagai agama. Tidak salah orang Cina sayang pada kaum Cina, mempertahankan hak orang Cina. Tidak salah orang India sayang pada kaum India, tidak salah Melayu sayang pada Melayu mempertahankan hak dia. Yang salah ialah kita sayang bangsa kita tetapi menzalimi bangsa lain,” katanya.

Hadi yakin Pakatan Rakyat dapat menawan Bagan Pinang sekiranya semua pihak dalam gagasan itu bersatu untuk mengulangi kejayaan menawan kerusi Kuala Terengganu daripada Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Januari lalu.

“Kalau kita bersatu sungguh-sungguh segala penipuan, penyelewengan dapat kita atasi. Buktiknya kita dalam piliha raya kecil lalu di beberapa tempat kita menang besar dapat mempertahan kemenangan boleh tawan kawasan mereka di Kuala Terengganu tidak mustahil kita boleh tawan Bagan Pinang.

“Kita mengharap arus perubahan ini akan berpindah ke selatan. Perubahan ke selatan akan bermula di bagan pinang,” katanya.

Menurutnya menjelang pilihan raya kecil pada kali ini rakyat Bagan Pinang bakal mendapat pelbagai habuan oleh Umno-Barisan Nasional.

Bagaimanapun katanya habuan berkenaan hanyalah sebahagian kecil kekayaan negara yang diberikan kepada rakyat kerana sebahagian besarnya dibolot oleh pemimpin atasan.

“Kita melihat rakyat hanya mendapat sedikit habuan khusunya bila ada pilihan raya kecil banyak projek pembangunan, duit diberi, banyak subsidi itu hanya sedikit kekayaan negara.

“Sebahagian besar kekayaan ini berpusing di kalangan orang tertentu. Yang terkini isu yang hebat diperkatakan PKFZ yang menelan belanja besar, media-media dedahkan bagaimana berlakunya rasuah, mereka yang kaya beri rasuah pada orang politik, orang poitik beri projek pada yang kaya,” katanya.

Politik dan amalan sebegitu telah lama menjadi budaya Barisan Nasional.


Era Najib Altantuya : 2 Pemimpin Pemuda UMNO Diberkas Kerana Dadah

Polis menahan dua orang pemimpin Pemuda Umno bahagian setelah disyaki mengambil dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengah, Kijal, Terengganu malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Supt Roslan Abdul Wahid berkata, kedua-duanya yang berumur 41 tahun itu, merupakan antara 74 orang yang diberkas dalam Ops Sepadu yang dijalankan oleh jabatan berkenaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kemaman.

“Seorang daripada mereka ditahan di ruang tamu di rumah tersebut pada pukul 9 malam, manakala seorang lagi ditahan bersama abangnya dalam sebuah bilik di rumah yang sama.

“Kita merampas satu tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin daripada seorang daripada mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan air kencing yang dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah.

Seorang daripada mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis setelah kenyataan diambil manakala seorang lagi bersama abangnya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman sebelum dilepaskan dengan jaminan RM3,000 seorang.

Operasi itu dijalankan oleh 100 anggota dan pegawai dari cawangan narkotik di kawasan-kawasan panas di daerah Dungun dan Kemaman dalam usaha untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada kegiatan pengedaran dan penagihan dadah.

Era Najib Altantuya : UMNO BN Kehabisan Gas Oksigen

PAS menyifatkan Umno sudah kehabisan gas oksigen untuk bernafas kerana mencalonkan Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon PRK di Bagan Pinang pada 11, Oktober 2009.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Haji Ahmad berkata pencalonan Tan Sri Mohd Isa Samad menggambarkan Umno sudah kehilangan orang yang berwibawa dan calon yang bersih dari segi moral dan rasuah.

Calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad disabit kesalahan rasuah yang telah menyebabkan beliau kehilangan jawatan Naib Presiden dan Menteri Wilayah Persekutuan oleh jawatankuasa tatatertib umno.

Dalam kenyataannya itu, Ustaz Idris berkata kemungkinan pencalonan ISA, atas sebab Datuk Seri Najib Tun Razak terhutang budi kepada Tan Seri Isa Samad sewaktu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan satu ketika dahulu.

"Kita mengharapkan semua pengundi yang berada di Bagan Pinang adalah mereka yang mempunyai jati diri yang kukuh akan membuat perhitungan yang tepat untuk memilih wakil rakyat di kawasan mereka," ujarnya.

Sebagaimanaedia maklum Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang mempunyai ramai pengundi tentera yang kita tahu mereka adalah orang yang berdisiplin dan bermoral tidak akan rela berketuakan orang yang telah terpalit dengan rasuah.

Menurutnya, perlantikan Tan Seri Isa sebagai calon adalah satu kayu ukur, hendak menunjukkan bahawa pemimpin Umno tidak ada kesungguhan memerangi rasuah.

Dalam kajian Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 sedangkan tahun 2007 indeks rasuah hanya tangga 43.

Justeru itu katanya, PAS menyeru pengundi Bagan Pinang selamatkan negara daripada berketuakan parti perasuah yang boleh membinasakan negara.

Era Najib Altantuya : Kita Bertanding Untuk Bela Rakyat - Zul

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar akan memastikan nasib rakyat Bagan Pinang akan dibela seiring dengan tema yang dibawa Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil N31.

Menurutnya, Pakatan Rakyat akan berjuang atas landasan bersama kehendak rakyat.

“Kita mewakili Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan, kita masuk atas tema bersama kehendak rakyat. Soal Barisan Nasional hendak letak calon siapa tepulang kepada Barisan Nasional kerana kita bertanding khusus untuk membela rakyat dalam suasana politik hari ini,” katanya pada sidang media.

Mengulas mengenai pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon Umno-Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil pada kali ini, Zulkefly menyerahkannya kepada rakyat untuk menilai.

“Terpulang kepada rakyat untuk menilai kemampuan calon Barisan Nasional dan kita masuk atas dasar untuk rakyat dan berbuat sesuatu atas kehendak rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menyandang kerusi DUN berkenaan beliau sekali lagi menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi Bagan Pinang.

Zulkefly diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang 11 Oktober depan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang malan tadi.

“Saya berharap kepada seluruh jentera parti dan penyokong dan pengundi di DUN Bagan Pinang memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil kali ini,” katanya selepas diumukan sebagai calon Pakatan Rakyat.

Hadi berkata Zulkefly dipilih kerana beliau merupakan calon terbaik Pas dan beliau masih muda serta berpendidikan tinggi.

Mengulas mengenai peluang Zulkefly untuk memenangi pilihan raya pada kali ini Hadi yakin calon Pakatan Rakyat itu mempunyai peluanmg untuk mencapai keputusan baik.

“Kita melihat perubahan, kita sudah menang tujuh daripada lapan pilihan raya kecil ini satu perubahan menunjukkan adanya anjakan paradigma di kalangan rakyat khususnya di Semenanjung,” katanya.



Era Najib Altantuya : Ibrahim Ali Pakar Lompat

Setiausaha Pas Terengganu, Yahaya Ali meminta Ibrahim Ali mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum menyuruh pemimpin tertinggi parti itu meletak jawatan dengan alasan sudah terlalu uzur untuk memimpin.

Yahaya berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu langsung tidak berhak meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan kerana beliau bukan berada dalam kalangan barisan kepimpinan tertinggi parti itu.

“Siapa dia (Ibrahim) untuk suruh Tok Guru (Nik Aziz) lepaskan jawatan, dia langsung tidak ada kena mengena dengan Pas, selain individu mengambil kesempatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ibrahim meminta Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan dan memberi laluan orang baru menerajui parti itu dengan alasan kesihatan serta umur Menteri Besar Kelantan itu sendiri.

Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas memberi reaksi itu selepas Nik Abdul Aziz mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Kelantan bahawa beliau perlu lepaskan jawatan kerana tindakan yang dilihat tidak sehaluan dengan parti berkenaan.

Mengulas lanjut Yahaya berkata, kenyataan Ibrahim secara jelas menggambarkan sikap ‘kacang lupakan kulit’ dan ‘melawan tauke’ selepas Pas memberi peluang bertanding atas tiket parti itu di kerusi Parlimen Pasir Mas.

Sehubungan itu katanya, krisis antara Pas dan Ibrahim harus dijadikan teladan kepada parti supaya perkara sama tidak berlaku pada masa akan datang.

“Kita jadikannya sebagai sempadan, dalam politik banyak perkara boleh berlaku dan Pas mempunyai banyak pengalaman berharga apabila menjalinkan kerjasama dengan ramai pihak termasuk UMNO, kini pakatan pembangkang.

“Walau apa pun yang terjadi, kita tidak boleh berasa kecewa sebab itu dinamakan politik, selain menjadikannya sebagai pengajaran,” katanya yang turut menganggap Ibrahim sebagai pakar lompat kerana kerap kali bertukar parti. -SH

Era Najib Altantuya : UMNO Korup Dulu, Kini Dan Selamanya

Keperluan kuasa politik diutamakan. Malah didahulukan dari segala yang lain. Persetan soal maruah dan kewibawaaan parti atau individu.

Ini yang didokong oleh Umno sekian lama. Dan, parti itu sekali lagi menzahirkan hakikat berkenaan dengan menamakan Tan Sri Isa Samad sebagai calonnya untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Keputusan itu memang sudah pun diduga. Sungguhpun tokoh-tokoh veteran, tidak kurang daripada mantan Perdana Menteri sendiri, Mahathir Mohamad mengingatkan Umno jangan memilih Isa kerana beliau terpalit dengan rasuah politik, iaitu membeli undi perwakilan Umno dengan sogokan wang dan jamuan-jamuan untuk menjadi Naib Presiden Umno pada tahun 2004, ia tidak sedikitpun dihiraukan.

Soalnya, mengapa mesti Umno hari ini ambil pusing soal apa kata Mahathir. Memang mudah untuk Mahathir melontarkan "nasihat" sedemikian kerana bukan beliau menduduki kerusi Presiden Umno yang membawa bersamanya jawatan Perdana Menteri Malaysia. Bukan Mahathir yang mengepalai sebuah parti yang telah kalah lapan pilihanraya kecil berturut-turut sejak pilihanraya umum tahun lalu. Satu lagi kekalahan akan mengesahkan Umno makin terkubur dalam politik negara.

Dan bukan Mahathir yang terpaksa was-was terhadap seorang Timbalan bernama Muhyiddin Yassin yang begitu ghairah mencanang dirinya sebagai penyelamat maruah bangsa Melayu.

Atas dalil-dalil itu, memang tidak mengejutkan Perdana Menteri Najib Razak memilih Isa Samad sebagai calon untuk mengekalkan kerusi Bagan Pinang yang secara tradisinya milik parti itu. Isa adalah sinonim dengan politik Negeri Sembilan. Beliau menjadi Menteri Besar selama 25 tahun, lebih lama dari Mahathir jadi Perdana Menteri. Teluk Kemang adalah kubu kuatnya. Beliau dikenali kebanyakan pengundi secara peribadi. Namanya ada daya penariknya sendiri di Teluk Kemang.

Berasaskan faktor-faktor ini, Isa difikirkan calon paling layak untuk mengembalikan maruah Umno dan memastikan tunjang Barisan Nasional tidak tewas lagi pada pilihanraya kecil, sekali gus memberikan ruang untuk Umno mendabik dada dan mengisytiharkan bahawa parti itu semakin pulih dan sokongan rayat semakin ketara.

Tidak apa jika Isa pernah didapati salah membeli undi, iaitu menyogok perwakilan Umno untuk bersubahat dengannya melakukan rasuah. Tidak apa jika Umno sebelum ini melaung-laungkan slogan ia harus berubah, kononnya Umno mesti berubah sebelum rakyat mengubahnya. Slogan-slogan bahawa pemimpin rasuah harus ditolak dan tidak lagi diberi tempat, masih nyaring di telinga kita.

Jawapan yang pasti disajikan pengundi Bagan Pinang ialah Isa sudah pun menjalani hukuman digantung tiga tahun dan hilang jawatan naib presidennya dan sehubungan itu harus diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat. Sehubungan itu stigma ke atas Isa sebagai pengamal rasuah politik tidak harus menjadi halangan untuk menghidupkan semula karier politiknya.

Hakikatnya, hukuman terhadap Isa hanya bererti beliau melepaskan jawatan Naib Presidennya yang dimenangi dengan menyogok perwakilan. Beliau tetap menikmati segala emolumen, pencen, dan faedah lain semasa khidmatnya dengan kerajaan. Beliau juga tidak dirujuk kepada BPR atau SPRM kerana mengamalkan rasuah. Pendek kata Isa disuruh ”:menghilangkan diri dari kaca mata rakyat” selama tiga tahun sebelum dibenarkan tampil semula.

Adakah beliau kembali dengan politik baru untuk berbakti kepada rakyat secara tulus ikhlas, tanpa cuba merasuah sesiapa dalam mengejar jawatan. Dan jika sekali pun beliau memberi komitmen sedemikian, adakah kita harus menelannya begitu sahaja, semata-mata kerana Umno ketandusan calon yang sama popular dengan Isa.

Jika Najib benar-benar menghayati angin perubahan yang dicanangkan olehnya sebagai wajib untuk merekacipta semula Umno bagi menjadikan parti itu bebas dari politik wang, Isa Samad tentunya tidak akan menjadi pilihan di Bagan Pinang. Seorang calon, biarpun muka baru namun bersih, berwibawa dan berpendidikan tinggi lebih wajar ditawarkan kepada pengundi Bagan Pinang.

Namun berdepan dengan ugutan ahli Umno Bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri, Najib sekali lagi menunjukkan beliau tidak sanggup menanggung risiko politik, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan kelangsungan karier politiknya sendiri.

Beliau mempunyai peluang terbuka untuk menghantar mesej jelas kepada rakyat bahawa Umno telah menutup pintu kepada pemimpin-pemimpin korup seperti Isa Samad, apabila berlaku kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

Tetapi beliau memilih jalan selamat untuk mententeramkan penyokong Isa dengan memberi Isa tiket untuk memenangi Bagan Pinang dan menukar sifir politik Umno di Negeri Sembilan yang dipimpin oleh musuh ketat beliau, Mohamad Hassan.

Namun persoalan lebih besar ialah penerimaan rakyat keseluruhan terhadap keputusan Najib untuk terus "berdansa" dengan tokoh-tokoh Umno yang didapati terbabit dalam amalan rasuah oleh Jawatankuasa Displin parti itu sendiri.

Dengan memilih Isa, Najib dalam kedudukan lebih terjamin untuk memenangi pilihanraya kecil yang pertama di Semenanjung sejak pilihanraya umum tahun lalu.

Misi untuk mengubah amalan rasuah, politik wang, kronisme, membeli undi dan sebagainya dilupakan begitu sahaja dalam keghairahan untuk berpegang kepada kerusi Bagan Pinang. Jika begitu, maka tepatlah slogan Umno : Dahulu, Sekarang dan Selama-lamanya.

Era Najib Altantuya : Pesuruhjaya PAS NS Lawan Isa Samad Di Bagan Pinang

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly Omar PAS di pilih sebagai calon Pakatan Rakyat untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Beliau akan bersaing dengan Tan Sri Isa Samad yang diumumkan sebagai calon Umno-Barisan Nasional untuk kerusi Dewan Undangan Negeri itu yang tradisinya milik Umno.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Zulkefly sebagai calon gagasan pembangkang untuk pilihanraya kecil itu di Bagan Pinang malam tadi.

Ahli perniagaan berusia 45 tahun itu adalah anak tempatan berkelulusan Sarjana Sains dari Universiti Putra Malaysia dan juga Sarjana Muda Komunikasi dari UiTM.

“Saya akan bertanding mewakili Pakatan Rakyat atas tema Bersama Kehendak Rakyat. Saya bertanding untuk membela rakyat di sini. Harapan saya ialah untuk membawa perubahan,” kata Zulkefli selepas diumumkan sebagai calon Pakatan.

Abdul Hadi berkata Zulkefly menerima sokongan penuh bukan sahaja daripada PAS tetapi juga rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

“Kita sebulat suara setuju untuk turun padang bagi memastikan kemenangan,” tambah beliau.

Kempen rasmi untuk merebut kerusi itu akan bermula selepas penamaan calon pada 3 Oktober.

Turut hadir bersama Abdul Hadi malam ini adalah Timbalan Presiden Keadilan Syed Husin Ali, Naib Presiden Keadilan Azmin Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Umno petang semalam mengumumkan Tan Sri Isa sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

Ramai pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa Presiden Umno Najib Razak memilih seorang calon yang bersih dari rasuah politik bagi mengembalikan kredibiliti parti itu di mata rakyat.

Isa disabit atas kesalahan merasuah perwakilan untuk pemilihan Umno pada tahun 2004 dengan menganjurkan pertemuan dengan perwakilan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Beliau dilucutkan jawatan naib presiden dan digantung selama tiga tahun. Tempoh itu berakhir pada Jun tahun lalu.

Isa adalah Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang dan dicalonkan untuk Bagan Pinang atas reputasinya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan untuk lebih dua dekad serta berpengalaman luas dalam politik negeri itu.

Dalam memilih Isa, Najib dilihat mengambil "jalan selamat" untuk memastikan Umno mengekalkan kerusi tradisinya itu dan tidak kalah pada pilihanraya kecil di Semenanjung untuk kali kelapan berturut-turut sejak pilihanraya umum 2008.

Umno-BN sebelum ini tewas pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir.

Isa diletakkan di Bagan Pinang bersandarkan popularitinya di kalangan masyarakat tempatan di situ walaupun kepemimpinan Umno itu akan dilihat sekali lagi sebagai tidak serius dalam membersihkan parti itu daripada gejala politik wang. -TVA