28 Jul 2009

Era Najib Altantuya : SPRM Diminta Buat Laporan Polis Jika Benar Terima Ugutan

Banyak pihak tidak percaya dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan, yang menyatakan SPRM menerima beberapa ugutan untuk memaksa mereka menghentikan siasatan ke atas kes salahguna peruntukan Adun Selangor.

Ia hanya helah untuk melakukan cover-up terhadap beberapa pegawai SPRM yang terlibat di dalam kes kematian Teoh Beng Hock yang ditemui mati di Plaza Masalam minggu lalu.

Ahmad Said Hamdan diminta membuat laporan polis sekiranya ugutan yang diterima ketika menyiasat kes salah guna peruntukan Adun Selangor.

Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, jika Ahmad Said tidak berani berbuat demikian, beliau sedia membantu SPRM membuat laporan polis.

"Saya berbuat demikian kerana saya mahu mempertahankan hak rakyat Malaysia supaya SPRM boleh menjalankan siasatan dengan adil dan saksama. Saya ingin menasihati Ahmad Said supaya jangan mencipta satu konspirasi untuk mencari alasan untuk melarikan tanggungjawab daripada kematian Teoh Beng Hock", katanya.

Ean berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, tengah hari tadi.
Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, berhubung ugutan mati yang diterima oleh pegawai siasatan utama SPRM.

"Saya memandang serius tentang isu yang dibangkitkan oleh Ahmad Said. Tidak patut ada sebarang ancaman untuk mempengaruhi pegawai-pegawai agensi kerajaan untuk menjalankan siasatan dan membuat keputusan", katanya.

Dalam laporan itu, Ahmad Said mengesahkan SPRM menerima beberapa ugutan untuk memaksa mereka menghentikan siasatan ke atas kes salahguna peruntukan Adun Selangor.
Ugutan itu menyebabkan pegawai terbabit dipindahkan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Era Najib Altantuya : Pergi Jahanam UMNO!

Pergi jahanamlah UMNO,” sergah Tok Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. Adakah ini satu kutukan atau satu kenyataan politik yang tepat? Yang pasti, Tok Guru Nik Aziz marah apabila UMNO dan media di bawah kekuasaan mereka memutar-belitkan kenyataannya tentang kerjasama antara pusat dan negeri Kelantan.

Masalah yang dihadapi Kelantan, yang menjadi masalah kronik yang dihadapi oleh setiap Menteri Besar dari PAS, ialah tentang perhubungan pusat dan negeri yang penuh konflik. Pusat tidak boleh terima ada negeri yang tidak sehaluan dengan pusat, walaupun dalam konteks demokrasi.

Meskipun peruntukan dalam Perlembagaan jelas tentang tanggungjawab pusat kepada negeri, terutama dari segi membayar gran tepat pada waktunya, tetapi dari segi pelaksanaannya tidak pernah dibuat dengan profesional, berasaskan kehendak Perlembagaan, oleh kerajaan pusat. Kita tidak perlu soal tentang kejujuran kerajaan pusat, kerana memang mereka tidak jujur dan soal kejujuran ini tidak penting dalam politik.

Yang penting ialah sama ada mereka patuh kepada Perlembagaan yang mereka buat sendiri. Kita mesti ingat, Perlembagaan Malaysia dibuat oleh UMNO dan konco-konconya. Jadi apabila mereka tidak mahu ikut, tentu ada masalah. Mereka tidak profesional, itulah kesimpulan yang tepat.

Rakyat tidak wajar mengharapkan kejujuran daripada UMNO (baik zaman Perikatan mahu pun zaman Barisan Nasional), tetapi mereka mahukan sikap profesional, bertindak sebagai manusia normal dan rasional, bukan sebagai manusia yang menggunakan kuasa untuk menindas.

Tentang aspek ini, Dr. Nik Ibrahim bin Nik Mahmud telah menulis tesis Ph.D. (1977) yang menganalisis hubungan penuh konflik dan penindasan antara pusat (di bawah Tunku dan Tun Razak) dengan Kelantan. Beliau memberikan data-data konkrit dengan mengemukakan dokumen yang boleh diperiksa oleh sesiapa juga yang tidak menerima kenyataan ini.

Jika kutukan Tok Guru Nik Aziz dilihat dalam konteks yang dianalisis oleh Dr. Nik Ibrahim ini, kita akan faham mengapa Tok Guru Nik Aziz mengucapkan dengan lantang kutukan beliau yang memang berasaskan kenyataan pengalaman politik yang tidak boleh diketepikan. Adakah orang Melayu berharap kutukan Tok Guru Nik Aziz akan menjadi kenyataan?

Jika kita melihat perkembangan terbaru dalam UMNO, kita akan dapati betapa para pemimpin UMNO sendiri mengaku betapa teruknya parti Melayu itu menghadapi masalah rasuah. Beberapa orang pemimpin penting UMNO telah menjadi korban tabiat rasuah itu apabila dinafikan daripada bertanding dalam pemilihan UMNO.

Tetapi mereka tidak dipecat dari jawatan penting di negeri-negeri, misalnya sebagai Ketua Menteri di Melaka. Kutukan Tok Guru Nik Aziz diluahkannya berasaskan kenyataan politik dalam UMNO sendiri. Tidakkah rasuah itu satu kecelakaan besar bagi negara, apabila para pemimpin negara dengan tidak ada perasaan malu mengaku bahawa mereka adalah pengamal rasuah.

Malah Dr. Mahathir Mohamed sendiri menegaskan Kabinet Najib yang ada sekarang tidak bersih, masih ada pemimpin rasuah di dalamnya. Adakah Dr. Mahathir berbohong? Yang boleh menjawabnya dengan tepat hanya orang UMNO sendiri, tetapi apabila bekas PM sendiri sudah membuat kesimpulan demikian, maka ucapan Tok Guru Nik Aziz yang umum itu memang dikhususkan kepada UMNO sebagai parti Melayu yang Islam yang telah merugikan Melayu dan Islam.

Yang menjadi masalah kepada UMNO dan ketua-ketua UMNO ialah apa yang diucapkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu tepat sekali dengan perilaku politik dalam UMNO sendiri, yang diakui mereka dan disedari mereka kebenarannya. Oleh itu apabila lidah rasmi UMNO, akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan “Bisik-bisik” yang ditulis sendiri oleh Ketua Pengarangnya (bertarikh 28/7/2009), berkata Tok Guru Nik Aziz merugikan Islam dan bukan seorang pemimpin Islam sejati, maka fakta yang ada menunjukkan kesimpulan Ketua Pengarang itu lebih tepat ditujukan kepada UMNO dan para pemimpin UMNO. Kita boleh bertanya: Dari segi apa Najib Tun Razak dan Dr. Mahathir Mohamed misalnya menguntungkan Melayu dan Islam, dibandingkan dengan sumbangan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat?

Adakah kedua-dua mereka pemimpin Islam sejati? Adakah ketiga-tiga mereka ini sama-sama merugikan Melayu dan Islam dan bukan pemimpin Islam sejati? Oleh itu, siapakah pemimpin Islam sejati itu di Malaysia? Kita perlu tahu siapa pemimpin Islam sejati itu, kerana pada waktu orang Islam sudah begitu jauh dibawa UMNO untuk mengelirukan masyarakat tentang Islam (misalnya dengan mengemukakan Islam Hadhari, yang dengan sendirinya memberi keraguan kepada konsep Islam sejati, kecuali jika Islam Hadhari itulah yang sejati), maka pemimpin Islam sejati itu perlulah dinamakan supaya boleh dijadikan ukuran dalam menentukan siapa yang sejati dan palsu dalam kepemimpinan Islam ini.

Yang sah, tidak seorang pun daripada UMNO pernah muncul sebagai seorang pemimpin Islam sejati seperti yang disebut oleh Ketua Pengarang Utusan Malaysia dalam pojoknya. Yang pasti PAS telah melahirkan seorang negarawan besar dan seorang pemimpin Islam sejati dalam diri Dr. Burhanuddin Hilmi. Siapakah di kalangan pemimpin UMNO yang setanding dengan beliau sebagai seorang pemimpin Islam sejati? Di sinilah Tok Guru Nik Aziz berada, berdiri sebagai seorang pemimpin Islam yang tidak kalah dengan ketokohan Dr. Burhanuddin. Sama ada beliau seorang pemimpin Islam sejati atau tidak, tentulah bukan Utusan Malaysia yang menentukannya. - [28/7/2009] Mohd. Affandi Hassan

Era Najib Altantuya : 97% Rakyat Hidup Dalam Ketakutan

DDalam tiga hari tinjauan soalselidik elektronik dinaikkan di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, 6,058 peserta berasakan kadar jenayah yang meningkat mutakhir ini menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan, manakala 5,549 peserta merasakan pihak berkuasa tidak mampu menjamin keselamatan mereka.

Begitu menurut rencana terbaru Penasihat DAP Lim Kit Siang di laman blognya hari ini.
Bermula 23 Julai lalu, penyertaan awal adalah seramai 866 bagi tinjauan pertama dan 894 bagi tinjauan kedua.

Jumlah peserta meningkat pada hari berikutnya kepada 2,846 bagi tinjauan pertama dan 2,619 bagi tinjauan kedua.

Hari terakhir tinjauan mencatatkan respon dari 6,058 orang bagi tinjauan pertama dan 5,549 bagi tinjauan kedua.

Keputusan ini menunjukkan sejak 23 Julai jam 12 malam hingga 26 Julai jam 10 pagi, 97 peratus responden secara konsisten mengatakan mereka tidak berasa selamat, manakala 95 peratus secara konsisten menjawab kerajaan tidak mampu menjamin keselamatan mereka.

"Hanya ada satu kesimpulan dari statistik ini - akuan bahawa Musa Hassan telah gagal sebagai Ketua Polis Negara, dan perlunya KPN baru untuk membebaskan Malaysia dari jenayah," tegas Kit Siang.

"Kes ragut sahaja meingkat 99 peratus dari Januari hingga April tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Sebanyak 1,206 kes dilaporkan dalam empat bulan tahun ini berbanding 606 sahaja tahun lalu. Bahkan jumlah 1,206 ini adalah kecil kerana majoriti mangsa tidak melapor kerana mereka tidak lagi yakin pada polis," tambahnya lagi.


Era Najib Altantuya : Akhirnya DIA Menghulurkan JawapanNya

Tragedi kematian Teo Beng Hock yang mayatnya ditemui di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam kononnya akibat terjatuh dari bangunan itu telah mewujudkan pelbagai spekulasi. Terjun, terjatuh atau dijatuhkan?

Ada pelbagai teori yang diutarakan dan yang nyata, apa yang dikatakan pada peringkat awal penemuan tragedi berkenaan seperti yang dikhabarkan kepada rakyat bahawa mayat yang ditemui adalah kerana Teoh terjatuh atau terjun tidak diterima oleh akal yang waras dan orang yang membuat andaian serta memberikan maklumat sedemikian ternyata pendusta dan sengaja berniat jahat untuk menyembunyikan fakta kebenaran.

Jatuh dari tingkat 14 ke tingkat tanpa sebarang kecederaan fizikal luaran adalah sesuatu yang tidak mungkin diterima akal. Panggillah ahli pathologi paling handal dunia, atau panggil sahaja sesiapa yang mendakwa sedemikian, kemudian jatuhkan mereka dari tempat tinggi tanpa sebarang peralatan keselamatan, sudah tentu mereka tidak mampu untuk melakukan.

Termasuklah Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull yang menyatakan sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut. Dan kenyataan seorang menteri bernama Nazri Abdul Aziz. Mereka berdua patut membuktikan dengan terjun dari Tingkat 15 bangunan Plaza Masalam dan kemudian tunjukkan tiada kecederaan fizikal.



Mohd Shukri berkata, SPRM tidak pasti sama ada mangsa mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan itu dan menambah mangsa memberi kerjasama baik sepanjang keterangannya direkodkan.


“Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan tu…,” kata Nazri


Pada hari semalam, seorang pelajar lelaki Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), maut selepas jatuh daripada Tingkat 16, Blok 5 Apartmen Vista Angkasa di Kerinchi.

Mangsa dikenali sebagai Tan, 22, ditemui tertiarap jam 11.30 pagi dalam keadaan mengerikan dengan badan berlumuran darah dan kepala pecah di tempat letak motosikal.

Hal sedemikian tidak berlaku kepada Teoh Beng Hock. Pergi jahanam dengan teori-teori yang cuba melakukan cover-up yang menyatakan Teoh "terjun atau terjatuh"!

Polis yang menyiasat berlebih-lebihan untuk menghalakan "serangan" ke atas Pakatan Rakyat seperti Datuk Khalid Abu Bakar perlu disiasat motifnya berbuat demikian.

IA JELAS SATU PEMBUNUHAN.

Era Najib Altantuya : Kisah Majnun Yang Tergilakan Laila

Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Inilah perasaan yang menimpa pemimpin Umno sekarang apabila sedaya upaya berusaha menjalinkan hubungan dengan PAS.

Sedangkan ia tidak lebih seperti bertepuk sebelah tangan.

"Saya pun tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, macam cerita Majnun pula apabila seorang pengembala kambing berhajat untuk mengahwini anak raja.

"Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Majnun sehingga pada suatu hari dia duduk seorang diri di bawah pokok sementara menunggu kambing sedang makan rumput, Majnun bercakap seorang diri.

"Apabila kawan dia tanya kamu bercakap dengan siapa, lalu Majnun menjawab, saya sedang bercakap Laila, seorang anak raja.

"Macamana seorang pengembala kambing mahu mengahwini anak raja. Mahu tidak mahu dia menulis nama Laila atas pasir. Dia tulis nama Laila lalu dia baca sendiri berulang kali.

"Kawan dia bertanya lagi, kamu bercakap dengan siapa, lalu dia jawab lagi dengan Laila. Mana Laila, kawan dia tanya, ini Majnun menunjukkan nama Laila yang dia tulis di atas pasir," katanya Menteri Besar Kelantan ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini pemimpin Umno beriya-iya benar mahu mengadakan kerjasama dengan PAS kononnya untuk perpaduan orang Melayu.

Impian itu dicetus semula pemimpin Umno ekoran kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta kerajaan pusat memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri dan melupakan sengketa politik.

Ekoran itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Umno akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat ini.

Sebelum ini Umno amat mengharapkan perpaduan Umno dan PAS dijalin semula selepas idea kerajaan perpaduan yang dicetus ditarik balik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, apa yang berlaku terhadap Umno sekarang hampir serupa kisah dengan Majnun yang tetap berkeras mahu berkahwin dengan anak raja.

"Walaupun dia tak dapat kahwin dengan anak raja, tetapi sekurang-kurangnya dia boleh menulis nama Laila dan bercakap dengan Laila seorang diri," katanya.

Beliau juga mempertikaikan laporan akhbar mengenai isu tersebut kerana apa yang disentuhnya sebelum ini hanya berkaitan hubungan kerajaan negeri dan pusat, bukan berkaitan parti.

Katanya akhbar menyebut mengenai perkara itu, namun beliau tidak tahu menahu pun tentang perkara tersebut.

"Sepatutnya perkara yang melibatkan saya kena tanya saya dulu. Orang lain tidak ada hak untuk menjadi jurubahasa kepada saya.

"Saya tidak pernah sebut lupakan perkataan sengketa lama. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu sebagaimana yang disiarkan sebuah akhbar harian baru-baru ini.

"Tuan-tuan boleh check balik semula record pertemuan antara saya dengan Dato' Mustapa Mohamed di Kuala Lumpur sempena Fiesta Kelantan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat baru-baru ini," ujarnya. -harakahdaily

27 Jul 2009

Era Najib Altantuya : UMNO Nak Tawan Kelantan Hanya Omong Kosong

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Harun menyifatkan impian UMNO untuk menawan semula Ke-lantan sebagai satu omongan kosong.

Sebaliknya Abdul Fatah berkata, sebelum berhasrat untuk menawan semula negeri ini daripada Pas, parti itu terlebih dahulu perlu memulihkan imejnya.

“Saya akui kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai baru-baru ini adalah disebabkan kelemahan UMNO selain kekuatan yang ada pada Pas sendiri.

“Bagaimana pun, Pas tidak berbangga kemenangan dalam satu-satu pilihan raya kerana kelemahan parti lawan. Tetapi kita lebih berbangga kerana kekuatan kita sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Abdul Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Ne-geri Bukit Tuku berkata, dasar Pas tidak akan mengambil kesempatan di sebalik kelemahan parti lain untuk menang dalam satu-satu pilihan raya.

“Sebab itu Pas sentiasa membaiki kelemahan dan memantapkan jentera parti untuk mengukuhkan sokongan rakyat terhadap perjuangan parti dalam membuat ‘postmortem’ selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed bahawa parti itu yakin dapat mengambil alih Kelantan daripada Pas pada pilihan raya akan datang.

Mustapa dilaporkan berkata, UMNO Kelantan akan mengatur dua strategi dalam usaha menawan dan ‘menembusi’ Kelantan dari kekangan Pas yang memerintah hampir 15 tahun.

Menurut Mustapa, strategi itu membabitkan usaha untuk meningkatkan semangat ahli-ahli UMNO selain memperkemaskan pengurusan parti.

“Kelantan boleh ditembusi sekiranya semangat dan daya juang ahli-ahli UMNO ditingkatkan semaksimum mungkin. Pejuang parti tulen mempunyai semangat berbeza dengan orang Pas dan saya menunggu saat itu.

“Jentera-jentera parti perlu memulakan gerak kerja mulai sekarang dan Manek Urai adalah contoh untuk kita semua,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha untuk mencapai kemenangan itu juga memerlukan pengurusan yang cekap dan semangat serta daya juang ahli-ahli UMNO perlu ditingkatkan semaksimum mungkin.

“Ini termasuk mendisiplinkan diri, menepati masa, melakukan sesuatu perkara dengan teliti dan teratur serta melaksanakan tugas tanpa menunggu arahan,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai bedah siasat untuk mengkaji kemenangan tipis Pas pada pilihan raya kecil Manik Urai 14 Julai lepas, Abdul Fatah berkata, ketika ini Badan Perhubungan Pas Negeri sedang membentuk Jawatankuasa Khas Bedah Siasat yang akan dipengerusikan oleh bukan anggota jentera parti yang terlibat dalam pilihan raya.

“Ini perlu kerana kita hanya akan dapat menilai diri oleh mereka yang berada di luar jentera parti dan biasanya kita sebagai jentera tidak akan nampak kelemahan diri sendiri kecuali orang luar,” katanya.

Menurutnya, setiap kelemahan yang dikenal pasti nanti akan diperbaiki bagi memastikan Pas terus kuat dan mendapat kepercayaan rakyat di Kelantan.

“Kita akan baiki kelemahan yang ada agar Pas benar-benar menjadi sebuah parti yang kuat dan dapat membela rakyat,” katanya. -SH

Era Najib Altantuya : Rakyat Kelantan Perlu Demo Tuntut Royalti

Rakyat Kelantan perlu bersedia untuk berarak dan mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyuarakan tidak kepuasan hati sehingga kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) membayar royaltyi minyak kepada negeri berkenaan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, perkara ini perlu dilaksanakan kerana kerajaan BN perlu dihukum kerana berdiam diri dan segaja tidak mahu rakyat Kelantan mendapat hak mereka iaitu RM1 bilion bagi royalty minyak.

“Rakyat Kelantan mesti bersuara dalam hal berkenaan. Tidak memadai hanya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa yang bersuara.

“Kita sepatutnya mendesak bayaran wang tertunggak itu dibuat dalam masa terdekat. Ia membolehkan Kerajaan Kelantan meneruskan pembangunan membasmi kemiskinan di negeri ini. Ketua UMNO Kelantan, Datuk Mustapha Mohammad sepatutnya menyokong pembayaran wang tunai ini, dan lebih mementingkan soal kebajikan negeri berbanding politik,”katanya.

Zaid berkata, dari segi undang-undang hak Kelantan jelas dalam perjanjian yang ditandatangani oleh wakil Petronas Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan, Mohd Nasir pada 1975.

Tengku Razaleigh sendiri telah menyatakan perkara ini jelas dan Kelantan sepatutnya dibayar wang dari hasil minyak berkenaan.

“Hanya BN dan penasihat mereka yang tidak bermaruah yang masih mahu menidakkan perkara yang benar.

“Agaknya BN sanggup berbuat demikian kerana mereka tahu memadailah jambatan RM 7 juta dijanjikan atau RM1 ribu diberi kepada pengundi-pengundi terpilih,”katanya.


Era Najib Altantuya - UMNO Oh UMNO, Mungkin Mati Itu Lebih Baik Bagimu Dari Hidup

Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam kenyataannya pagi ini dengan tegas menafikan bahawa beliau menyebut soal perpaduan antara Umno dan PAS.

Tok Guru mencabar media massa supaya buktikan dengan rakaman video atau audio beliau menyebut soal perpaduan dan beliau menghulurkan salam perpaduan Umno-PAS.

“Umno ni dah jadi macam cerita Laila Majnun, kejadian ini menunjukkan sikap ‘desperado’ Umno yang gilakan PAS.

“Saya bercakap pasal kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri seperti semangat Federalisme bukan pasal antara parti,” kata Tok Guru di pejabatnya, Kota Darulnaim.

Katanya lagi, yang duduk cakap pasal parti ialah Mustapha Mohamed (Dato’) sambil merujuk kepada sidang media selepas majlis pelancaran Fiesta Kelantan di sebuah Hotel terkemuka di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Sehubungan itu Tok Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan media massa beberapa hari lalu dan menganggapnya sebagai satu lagi “Projek Barisan Nasional”.

Sekarang Umno terdesak gagal membezakan antara kerjasama kerajaan dan parti
Sementara di Padang Majlis Daerah Kuala Krai, di Laloh, Anggota parlimen Machang, Saufuddin Nasution Ismail berkata, pemimpin Umno sekarang sudah benar-benar terdesak apabila gagal membezakan kerjasama di antara kerajaan dan parti.

“Apabila sahaja disebut perkataan kerjasama cepat-cepat mereka melihat dalam konteks parti di antara Umno dan PAS.

“Sedangkan apa yang disebut Menteri Besar sebelum ini kerjasama di antara kerajaan negeri dan pusat selepas banyak hak-hak negeri cuba dinafikan kerajaan persekutuan,” katanya pada ceramah sempena kesyukuran kemenangan PAS di Laloh, malam semalam.

Program tersebut diadakan selepas PAS berjaya mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil yang diadakan 14 Julai lalu.

Hadir sama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Era Najib Altantuya : Melepaskan Ibrahim Ali Tersepit

Ibarat membebaskan Ibrahim Ali tersepit". Itulah peribahasa baharu yang diperkenalkan untuk anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Ia adalah kemuncak kepada kemarahan para penyokong Pakatan Rakyat kepada beliau ekoran kenyataan dan tindakan beliau sejak akhir-akhir ini.

Yang terbaru ugutan beliau terhadap para penyokong perhimpunan besar-besaran mansuhkan ISA Ogos 1 ini. Ibrahim memberi amaran, "batalkan demonstrasi atau bersedia bertembung dengan armada Perkasa."

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah mengumumkan perancangan mereka untuk mengadakan demonstrasi Mansuhkan ISA pada Ogos 1, 2009 nanti di ibu kota Kuala Lumpur.

Demonstrasi ini antara lain bertujuan untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agung bagi memohon campurtangan dalam usaha memansuhkan akta tersebut.

Setakat ini GMI telah mendapat sokongan dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik, kesemuanya parti politik pembangkang, kecuali kesediaan mengejutkan yang disuarakan oleh Pemuda Gerakan, salah sebuah komponen parti pemerintah BN.

Presiden Pertubuhan Perkasa Pribumi Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, yang juga bekas tahanan ISA telah keluar dengan kenyataan kata duanya kepada GMI, batalkan demonstrasi atau bersedia bertembung dengan armada Perkasa.

Mengulas isu ini, Rizan Haji Ali, Setiausaha PKR Bera, menyifatkan tindak-tanduk Ibrahim Ali ini tidak lebih sekadar melontar idea songsang dalam usaha mencari populariti untuk dirinya sendiri.

Kebelakangan inipun, tambah Rizan, Ibrahim Ali cuba kembali mewarnai persada politik negara dengan seringkali “secara gedebenya” mengeluarkan kenyataan-kenyataan keras, yang secara jelas kuat berbau perkauman, dengan niat yang sama, mencari populariti.

Maka, menurut Rizan, tidaklah menghairankan bila kebelakangan ini juga Ibrahim Ali kerap diberi ruang oleh akhbar Utusan Malaysia, akhbar yang diketahui umum mempunyai kepentingan Umno.

Bagi Rizan betullah peribahasa baharu yang selama ini didengarnya, “ibarat melepaskan Ibrahim Ali tersepit.” Beliau ternyata dalam keadaan tersepit sekarang kerana sudah lelah menjadi Ahli Parlimen Bebas, terus memasuki Umno bermakna beliau akan disahkan sebagai “katak” tersohor, sementara kalau berpaling kepada Pakatan Rakyat, seperti menjilat dan menelan kembali kahaknya.

Tindakan dan suara-suara dari Ibrahim Ali kebelakangan ini termasuklah tentangannya terhadap rancangan demonstrasi oleh GMI, ulas Rizan lagi, dilihat seumpama langgam “ayat mengorat” Ibrahim Ali supaya beliau sekali lagi dilepaskan Umno dari kedudukan tersepitnya kini. Soalnya apakah Umno akan tergoda kali kedua?

Rizan bersyukur kerana selepas menang sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas dalam pilihanraya umum yang lepas, Ibrahim Ali tidak mengambil keputusan menyertai PAS atau PKR, kerana dengan latar belakang terkenal Ibrahim Ali dari hal lompat-melompat parti memungkinkan untuk beliau menjaja jawatan Ahli Parlimen Pakatan Rakyatnya dalam “political barter trade.”

Jika ini berlaku, jelas Rizan ia sudah tentu memalukan Pakatan Rakyat, kerana Pakatan Rakyat akan dilihat sebagai tidak belajar dari sejarah dan lupa peribahasa “melepaskan Ibrahim Ali tersepit." -Zukri Aksah

Era Najib Altantuya : UMNO Terpaksa Mainkan Semula Isu Kerajaan Perpaduan

Di dalam keadaan yang amat terdesak UMNO kini terpaksa memainkan isu kerajaan perpaduan yang telah dikuburkan.

Pertemuan Menteri Besar Kelantan, Datuk Hj Nik Aziz Nik Mat bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed pada majlis prapelancaran program Kelantan Fiesta 2009 telah dijadikan titik tolak untuk UMNO mengambil kesempatan sekalipun yang dimaksudkan oleh TG Nik Aziz amat jauh berbeza dengan apa yang cuba disorak-soraikan oleh pemimpin UMNO.

Menurut TG Nik Aziz, PAS sedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri di bawah PAS dengan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Tiada sama sekali di dalam ucapan itu untuk mewujudkan persefahaman dengan parti UMNO kerana menurut TG Nik Aziz program berkenaan sepatutnya menjadi titik tolak untuk kedua-dua parti berkongsi anugerah Allah yang selama ini dibloloti oleh Kerajaan Pusat dengan mengkesampingkan kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, ini adalah satu titik tolak bagi kedua-dua pihak (PAS dan Umno) dalam berkongsi anugerah Allah," katanya.

Nik Abdul Aziz juga berkata:"Saya dari gerakan Islam, tak musuh dengan individu, tak musuh dengan orang tertentu. Kita bermusuh dari segi ideologi, fahaman dan akidah sahaja."

Tiba-tiba Timbalan Presiden UMNO melompat keriangan dan Bernama melaporkan langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin PAS ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat ini.

Pemerhati politik melihat kenyataan Muhyiddin tersebut sebagai satu taktik manipulasi Muhyiddin terhadap sikap dan kenyataan TG Nik Aziz dan juga merupakan langkah UMNO BN yang kini telah terpukul dengan isu kemasukan bekas-bekas pemimpin mereka ke dalam Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, bekas pemimpin MCA, DAtuk Dr Chua Jui Meng dan bekas pemimpin MIC, Datuk SS Subramaniam telah menyertai PKR.

Hal tersebut telah menyebabkan UMNO dan BN berada di dalam keadaan yang terlalu terdesak untuk memainkan apa saja isu bagi memulihkan nafasnya yang kian sesak.

Era Najib Altantuya : MCA Hadapi Kemelut, BN Bakal Berkecai

Setelah menghadapi kekalahan teruk di dalam PRU 12 yang lalu, Barisan Nasional kini sedang di dalam keadaan yang tidak tentu hala dengan parti-parti komponennya mehadapi kemelut yang tidak berkesudahan.

Salah seorang bekas pemimpin kanan MCA telah bertindak meninggalkan parti iaitu Datuk Rd Chua Jui Meng yang telah menyeberang ke PKR minggu lalu.

Kini Datuk Dr Chua Soi Lek yang pernah mengugut MCA untuk menyertai DAP telah meminta kepada presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat supaya memberi peluang kepadanya untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai timbalan presiden parti itu.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata rakyat sebenarnya sudah bosan dengan perpecahan yang berlaku dalam parti itu dan pemimpin parti perlu bekerjasama antara satu sama lain bagi memperkukuhkan parti, lapor Bernama.

"Saya rayu supaya diberi peluang," kata Dr Chua, yang juga Ketua Penyelaras Barisan Nasional (BN), pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan BN Bukit Gelugor di sini, Ahad.

Selain itu, beliau juga meminta Ong agar tidak berterusan menimbullkan suasana tegang dalam parti dengan mendakwa ada pihak cuba menjatuhkannya.

Dr Chua berkata Menteri Pengangkutan itu sepatutnya memfokuskan kepada usaha mengukuhkan parti dan tanggungjawabnya sebagai menteri.

"Tetapi sampai sekarang beliau asyik bercakap yang ada orang cuba menjatuhkannya dan ini membuatkan keadaan dalam parti tegang," katanya.

Katanya Ong juga mendakwa ada kumpulan tertentu dalam MCA yang menentangnya dan sanggup menggunakan wang untuk mengulingkan beliau.

"Sehingga kini saya tidak dapat kesan kumpulan tersebut (anti Ong) dan sebenarnya dalam parti juga ada kumpulan menentang saya kerana saya dikatakan ahli politik 'kitar semula'" katanya yang berharap dapat berbincang dengan Ong bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Sementara itu, Dr Chua berkata Ong sepatutnya membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau diugut bunuh oleh kumpulan tertentu ekoran isu mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Kalau betul apa yang diperkatakannya itu, beliau harus membuat laporan polis atau memaklumkan kepada Kabinet dan saya pasti beliau akan dibantu," katanya.


26 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Kantoi! PR Telah Memerintah Selangor Sebelum PRU 12?

Heboh diperkatakan orang mengenai kewujudan blog membela Teo Beng Hock. Tapi apa yang sebenarnya hanya nak menyiarkan beberapa catatan atau rekod perbelanjaan bagi DUN Sungai Pelek.

Sesuai dengan namanya, beberapa fakta memang pelek. Apakah YB Ronnie Liu pernah menjadi ADUN Sungai Pelek sebelum Pilhan Raya Umum Ke-12? Semak baik-baik salinan penyata yang dimuatkan di blog berkenaan. Lihat dan semak tarikh-tarikh berkaitan. Pelek, memang pelek tapi mungkin tak pelek bagi SPRM..

Blog separuh masak? -marhaen.info




Era Najib Altantuya : Exco Buat Laporan Polis Terhadap Blog Fitnah

Exco Selangor Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu Tian Kiew memfailkan laporan polis terhadap satu laman blog yang mendakwa mereka memaksa mendiang Teoh Beng Hock melakukan jenayah.

Bercakap kepada media di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Ean Yong yang juga majikan kepada mendiang meminta orang-ramai untuk tidak mempercayai blog itu kerana maklumat yang disediakan adalah salah dan boleh mengelirukan.

"Laman web yang tidak bertanggungjawab itu cuba dikaitkan dengan kematian Teoh Beng Hock dengan tekanan yang diberi oleh saya dan Ronnie Liu, untuk memaksa beliau menjalankan aktiviti- aktiviti yang menyalahi undang- undang. Ini semua adalah tidak benar kerana Teoh Beng Hock tidak pernah bekerja dibawah Ronnie Liu dan Teoh juga tidak terlibat dalam hal ehwal peruntukan DUN sungai Pelek," ujar Ean Yong.

"Kita juga mendapat maklumat bahawa ada pihak tertentu sedang merancang satu komplot untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Mereka sanggup berbuat apa saja termasuk menggunakan jentera- jentera kerajaan diantara DAP, PAS dan PKR," tambahnya lagi.

Beng Hock ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada Khamis lalu. Mendiang dipanggil sebagai saksi dalam satu operasi besar-besaran agensi itu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Selepas disoal-siasat selama lebih 10 jam tanpa henti, mayat mangsa ditemui di bumbung bangunan bersebelahan Plaza Masalam yang menempatkan ibupejabat SPRM kira-kira jam 1.30 petang.

Polis mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai kematian mengejut, namun Pakatan Rakyat menuduh mendiang adalah mangsa serangan sistematik Umno-BN terhadap kerajaan Selangor.

Pada 23 Julai lalu, blog 'Truth for Teoh Beng Hock' muncul di laman maya dan mencetuskan kontroversi dengan rencana yang menuduh Ean Yong dan Ronnie Liu memaksa mendiang menyelewang wang ringgit dari peruntukan kerajaan negeri.

Ronnie dikatakan Adun Sungai Pelek dan blog itu turut memaparkan dokumen membutirkan 84 projek mencecah RM200,000 yang diluluskan Ronnie Liu kepada pembantunya Wong Chuan How di Dun Sungai Pelek.

Ronnie menjelaskan pengagihan peruntukan kerajaan negeri telah direkodkan dan dokumen menunjukkan maklumat di blog itu adalah palsu. Antara tuduhan berniat jahat yang disebutkan Ronnie adalah peruntukan RM1,000 untuk sambutan Tahun Baru Cina pada September 2008 dan peruntukan RM1,000 untuk hadiah hamper kepada ketua-ketua kampung di Seberang Perai.

Exco Kerajaan Tempatan itu menjawab tuduhan ini jelas sekali berniat jahat kerana Tahun Baru Cina disambut antara Januari dan Mac setiap tahun dan bukan pada bulan September. Manakala peruntukan hamper untuk ketua-ketua kampung juga mustahil kerana pegawai daerah dun tertentu tidak mungkin meluluskan peruntukan untuk dun lain, inikan pula dun di negeri lain.

Selain itu, blog itu turut mendakwa Ronnie Liu memperuntukkan RM10,000 kepada Wong untuk sambutan perayaan Deepavali 2008, namun kalendar menunjukkan Deepavali bagi tahun tersebut jatuh pada 28 Oktober.

Ditambah pula dengan kesungguhan blog itu mengaitkan pembantunya dalam penyelewengan ini, tuduhan-tuduhan ini seraya mengkaburkan lagi motif blog tersebut. Dun Sungai Pelek yang kontroversi ini adalah kerusi Dewan Undangan Negeri yang dikuasai wakil rakyat Barisan Nasional, Yap Ee Wah.

"Saya sebenarnya tidak mahu buat laporan polis kerana saya sudah tidak percaya kepada polis dan SPRM. Tetapi rakan- rakan saya berpendapat lebih baik buat laporan untuk mengekang musuh politik memutarbelitkan fakta dengan mengatakan saya takut dan menyembunyikan sesuatu. Sebab itu saya datang buat laporan hari ini," kata Ronnie.

"Saya difahamkan, walaupun tidak mendapat laporan SPRM sudah mula sisatan perkara ini. Nampaknya SPRM sekali lagi menunjukkan ketangkasan mereka dalam menjalankan tugas. Walaupun tidak mendapat laporan. Tetapi kami taidak mahu dengar kes ini tidak boleh disiasat kerana blog ini diwujudkan di Amerika," bidasnya.

Turut hadir memberi sokongan kepada kedua- dua exco kerajaan negeri ini adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Beliau membidas UMNO Barisan Nasional yang rakus berusaha untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini. -TVA

Era Najib Altantuya : Apa Yang Ada Dilakukan Terhadap Cadangan Suruhanjaya Diraja Yang Lalu?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim mempertikai persoalan mewujudkan Suruhanjaya Diraja (RC) yang hanya untuk menyiasat prosedur pelanggaran hak asasi dan siasatan SPRM.

Sebaliknya isu tragedi kematian Teoh Beng Hock, tidak hanya boleh berpuas hati dengan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Diraja oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Seolah-olah dengan adanya pengumuman itu, semua masalah akan selesai. Nampaknya ada orang Malaysia sudah lupa dalam soal salah laku polis dan kes-kes kematian semasa siasatan dan sewaktu dalam tahanan. Mereka sudah lupa bahawa cadangan-cadangan pokok yang dibuat oleh Tun Dzaiddin dan Tun Hanif dalam Laporan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) lima tahun lalu masih belum dilaksanakan," katanya.

Mereka juga lupa mengenai cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh Tan Sri Haidar mengenai kes pita video V.K. Lingam, katanya.

Walaupun kandungan laporan itu sudah dimaklumkan kepada umum, dan secara "prima facie" memang ada kes salah laku oleh orang-orang ternama, tindakan susulan yang sepatutnya dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak pun berlaku, katanya

Kini satu lagi sejarah hitam berlaku dalam negara ini di mana Teoh menjadi mangsanya, ujar beliau.

Rakyat Malaysia sekali lagi mahu sebuah Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh, namun apakah penubuhan itu benar-benar akan menyelesaikan pokok permasalah sebenar, ujarnya.

"Nampaknya sekali lagi kita akan dipermainkan, dan sudah pasti kita akan terus kecewa dan hampa.

"Perdana Menteri menyediakan dua badan untuk menyiasat kes tersebut. Oleh kerana rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja, maka Najib menghadiahkan satu Suruhanjaya tapi ia hanya untuk menyiasat prosedur yang digunakan oleh pihak penyiasat, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Yang menyiasat soal pokok yang lebih besar dan penting, iaitu mengenal punca sebab kematian Teoh yang memang semua orang ingin tahu; Najib menyerahkan tugas yang maha berat itu kepada seorang majistret, iaitu pegawai mahkamah yang paling rendah pangkat dan kedudukannya di bawah kawalan Peguam Negara," katanya.

"Jadi, marilah kita sama-sama fikirkan sendiri, sejauh mana hasil siasatan sa orang majistret dan sama ada kebenaran akan terserlah nanti. Saya jangka satu lagi 'cover up' akan berlaku," ujar Zaid yang juga bekas ahli Parlimen BN Kota Bharu.

Beliau mengingatkan bahawa Suruhanjaya Diraja di bawah undang-undang hanya boleh membuat cadangan-cadangan sahaja.

Sementara tindakan muktamad terhadap orang yang didapati bersalah bergantung kepada Peguam Negara, katanya.

Sekiranya Peguam Negara menyatakan tiada salah laku, maka dengan itu tak wujudlah kesalahan, walaupun Suruhanjaya Diraja mendapati ada kesalahan, ujarnya.

Lihatlah apa yang berlaku dalam kes pita video Lingam, hingga hari ini, yang jelas bersalah masih belum di bawa kamuka pengadilan, katanya.

"Kalau rakyat mahu tahu dengan sebenar-benarnya mengenai bagaimana dan sebab-sebab Teoh, A. Kugan dan 1,500 orang lagi yang mati dalam tahanan sejak 6 tahun lalu, hanya ada satu cara sahaja, kita kena tolak BN. Biarlah Pakatan Rakyat pula diberi peluang memerintah. Itu sahaja harapan kita untuk mengetahui perkara yang sebenar," katanya. -harakahdaily

Era Najib Altantuya : Samy Vellu Buat Dakwaan Palsu - Subra

Bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam menafikan bahawa beliau menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings Bhd dengan syarat Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu bersikap berkecuali dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden parti September ini.

"Dakwaan palsu ini merupakan contoh apa yang tidak betul dengan politik dalam MIC dan saya menjangkakan perkara ini dan banyak lagi daripada Presiden yang secara bersendirian berazam untuk menghalang sebuah pemilihan yang terbuka dan demokratik seperti yang dihasratkan oleh anggota pengasas MIC," katanya Sabtu.

Subramaniam memberitahu Bernama di sini, injunksi itu diperoleh oleh NESA, iaitu pemegang kepentingan dalam Maika, bagi mengelak kerugian Oriental Capital Assurance Berhad (OCAB).

"OCAB adalah satu-satunya syarikat insurans yang dimiliki oleh kaum India di Malaysia, jika bukan kerana injunksi itu, OCAB mungkin telah pun dijual kepada entiti bukan India tanpa terlebih dahulu dibuat penilaian tentang nilainya yang sebenar," katanya.

Beliau berkata Samy Vellu dan Maika mesti memperjelaskan kepada 60,000 pemegang saham berhubung sebab pengarah Maika begitu bertegas untuk menjual OCAB tanpa mendapatkan penilaian sewajarnya tentang nilainya yang sebenar.

Samy Vellu dipetik oleh sebuah akhbar tempatan sebagai berkata Subramaniam telah menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings asalkan Samy bersikap berkecuali dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden pada September ini.

Subramaniam berkata Pengarah Maika ketika itu tidak akan menafikan bahawa NESA telah menulis surat kepada mereka sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 31 Ogos 2007 yang menyatakan bahawa sungguhpun NESA tidak membantah penjualan itu, tetapi NESA mahu supaya pemegang saham Maika dimaklumkan mengenai nilai sebenar OCAB sebelum mendapat keizinan pemegang saham dalam AGM yang sama.

"Maika mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan mahkamah bahawa permohonan NESA untuk injunksi itu adalah mainan politik oleh saya demi kepentingan diri. Tidak memeranjatkan, dakwaan seperti itu tidak mendapat perhatian mahkamah dan menyebabkan mahkamah membenarkan injunksi yang memihak kepada NESA.

"Jika Samy benar-benar prihatin, beliau sepatutnya bermula dengan memberi penjelasan kepada pemegang saham Maika kenapa Maika tidak mengadakan AGM sejak dua tahun lepas. AGM merupakan mesyuarat yang sangat penting bagi pemegang saham.

"Pemegang saham Maika mengharapkan untuk diberitahu mengenai cara Maika dikendalikan. Ketika AGM Maika berlangsunglah pemegang saham dapat bertanya kepada pengarah soalan berhubung hal ehwal Maika," katanya.