Pengembara

Ia Pergi tanpa menjamah sebiji pun……

Tidak lama si pengembara mengambil masa untuk membuat keputusan. Dari raut wajah si penjual ternyata barangan niaganya bukan alat propaganda atau alat untuk menunjuk petah berbicara. Lagipun si penjual, ketika bercerita tentang barangan jualannya, matanya juga turut bercerita, turut sama berbicara. Mata si pengembara ditatap bersahaja, dijalur pandangannya dikirim keikhlasan hatinya, keikhlasan tentang keistimewaan barangan jualannya. Di sinilah hati si pengembara menyerah menyeberangi kepada yang bernama persetujuan. Persetujuan untuk membeli.

Sebagai pengembara, hatinya sangat mengerti bahawa sepohon benih rambutan yang dibeli boleh menambat dirinya dari terus menjadi pengembara. Akan sunyilah lembah dihujung dataran, anak sungainya terus berirama sama, merbuk dan merbah tika menyanyi tidak lagi dari sanubari lagi, kerana akan tiada lagi yang mahu mencecah kaki dan mandi manda di anak sungainya dan lembah di hujung dataran akan suram, sunyi dan sepi. Semuanya kerana pengembara tak akan kembara lagi.

Boleh jadi si helang jantan yang sering mematainya ke mana saja dia mengembara akan terfikir telah tiba masa untuk dirinya mencari helang betina sebagai pasangan dan kemudian beranak pinak di pohon meranti yang tinggi. Tentu sekali Si pengembara membelek-belek benih rambutan yang diberli lalu hatinya tersenyum.

Dia terus mengembara. Tiba di sebuah kampung terpencil, dia membuat keputusan untuk tinggal di situ. Si helang jantan turut berhenti lalu merencanakan hidupnya dan yang seronok hatinya terdapat pula sepohon meranti yang tinggi di kampung permai itu.

Benih rambutan ditanam. Dibajai dan dijaga. Hatinya puas melihat rambutan yang ditanam kian membesar dengan suburnya.

Satu ketika, hujan lebat sekali, angin bertukar menjadi ribut lalu melanda patah beberapa pokok di kampung itu. Satu dari dahan pokok tertimpa rambutan pengembara. Si pengembara melihat kejadian ini dari pondoknya dan dalam suasana hujan ribut itu dia keluar lalu merawat cabang utama rambutannya yang telah terkulai, bersamanya di bawa tali dan pisau lalu dahan utama rambutannya yang telah terkulai itu diikat kembali kepada induknya.

Melakukan rawatan di dalam hujan ribut bukan perkara mudah, seluruh tubuh pengembara kuyup malah matanya juga turut bergenang dek air hujan dan penglihatannya kekadang menjadi pudar. Ketika dia mahu memotong tali sebagai penyudah kerja, dia terpotong jarinya lalu darah membuak-buak keluar. Giginya berketip menahan kesakitan, tapi kerja akhir disudahkan juga tanpa apa-apa reaksi dari hatinya.

Empat hari pengembara terlantar demam. Demam kerana berhujan merawat rambutannya. Ramai jirannya yang datang melawat. Semasa bercerita asal usul demam dan luka di jarinya, si pengembara tidak pernah bersungut menyesali diri dan tiada tanda-tanda sesal langsung terhadap rambutannya yang manja atau cuaca yang gila pada waktu itu.

Rambutan terus membesar. Suatu petang sang kambing bersama pasangannya yang hampir di pondok pengembara lalu terlihat anak rambutan yang subur. Apa lagi dedaun rambutan menjadi pembelai kasih antara keduanya. Kerana terlalu enak, daun-daun rambutan itu habis dimakan oleh kedua pasangan kambing itu. Memang rambutan pengembara daunnya sangat enak, tidak pernah pasangan itu menjumpai daun rambutan yang seenak itu!

Terkejut juga si pengembara melihat, lalu dihalaunya kambing tersebut dari pokoknya. Kambing tidak mahu pergi kerana masih ada sisa-sisa daun untuk dimakan. Si pengembara menolak kambing itu pergi. Akhirnya setelah sedemikian payah menolak, kambing-kambing pun meninggalkan pengembara dengan pokok rambutannya yang telah parah.

Si helang jantan hitam memerhati dari meranti yang tinggi. Hatinya terbakar kerana pengembara tidak memarahi kambing yang memakan anak rambutanny, apa lagi memukul, walau di sekitar si pengembara terdapat berpuluh-puluh kayu yang boleh jadi pemukul.

Lebih dari itu pengembara hanya menolak dengan menggunakan tangannya akan kambing-kambing yang tak punya hati perut itu. Malam itu helang tak dapat tidur. Dia marah kepada si pengembara walaupun bininya mendodoikan pantun seloka yang baik-baik untuknya tapi matanya masih tetap terbuka.

Belajar dari sebuah kejadian, pengembara mencari buluh untuk dijadikan pagar buat memagar anak rambutannya. Dia memotong, membelah dan mengerat buluh dan ketika itu dia teringat akan pesan datuknya bahawa sembilu buluh terlalu berbisa. Jangan lama bermain dengan buluh! Pesan datuknya.

Kata-kata orang tua bukan sekadar pengisi masa! Telapak tangan pengembara diraut oleh buluh. Aduh ! Bisanya! Selumbar buluh menghiris daging telapak tangannya dan kemudian meninggalkan beberapa kerat selumbar di dalam isi daging itu. Sakit sungguh terasa oleh pengembara.

Semasa dia menarik keluar selumbar dari dalam daging telapak tangannya, waktu itulah dunia menjadi kelam, mentari seperti padam. Demikian penangan sembilu buluh.

Meskipun demikian pengembara meneruskan kerja-kerja memagau tanpa menyesali diri, tanpa bersungut-sungut dan tanpa menyumpah-nyumpah akan pasangan kambing yang telah memakan anak pokok rambutannya, atau menyumpah buluh yang buta tak bermata. Dengan telapak tangan yang berbalut, kerja-kerja memagar disudahkan.

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun meskipun beberapa kali pagar-pagarnya patah dirempuh kambing, meskipun tangannya berkali-kali diraut buluh namun pokok rambutan telah membesar dan sampai masanya untuk berbuah. Dan berbuahlah rambutan itu akhirnya. Buah yang pertama, yang sulung. Terjawablah asasi kelahirannya sebagai rambutan.

Di satu pagi yang cantik, ketika sang helang belum bangun dari tidur, si pengembara mengemaskan barang-barangnya yang tak seberapa, setelah siap dia mengatur langkah meninggalkan pondoknya untuk selama-lamanya kerana dia adalah pengembara.

Ketika langkahnya hampir dengan rambutan kesayangannya dia memerhati puas akan buah-buah rambutan yang sedang masak ranum, matanya silih berganti melihat antara rambutan-rambutan yang masak ranum dengan parut-parut luka di jari dan di telapak tangannya. Berkali-kali dia melakukan sebegitu. Ia tersenyum… lalu melangkah pergi.

Ketika buah masak ranum, ia pergi tanpa menjamah sebiji pun!