10 Mac 2015

Husam: 1MDB - Najib Perlu Disiasat & Letak Jawatan Sebagai Menteri Kewangan


Husam minta Najib letak jawatan menteri kewangan semasa 1MDB disiasat

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak berundur jawatannya sebagai menteri kewangan sepanjang siasatan audit ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, perdana menteri juga harus meletak jawatan sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB sementara menunggu hasil semakan Ketua Audit Negara ke atas akaun dana pelaburan strategik negara itu.

"Saya menggesa perdana menteri mengosongkan kerusinya di 1MDB dan sebagai menteri kewangan, sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak sebarang kerumitan," beliau memberitahu media di luar balai polis Dang Wang hari ini.

Terdahulu, Husam membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa menyiasat Najib berhubung satu perjanjian dibuat antara tahun 2009 dan 2010, melibatkan sejumlah AS$1 bilion dalam usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International.

Menurut kenyataan di Facebook beliau, Husam berkata, beliau membuat laporan polis meminta penyiasatan dilakukan mengikut Seksyen 405 kesalahan Jenayah Pecah Amanah di bawah Akta Kesalahan Jenayah 574.

"Ia meliputi pembayaran AS$700 juta oleh 1MDB kepada Good Star Limited Seychelles.

"Dan siasatan ke atas Najib serta ahli lembaga dan pengurusan 1MDB pada tahun 2009 dan 2010 mengenai pembayaran oleh 1MDB sebanyak AS$1 billion (bersamaan RM3.48 billion mengikut tukaran pada masa itu) kepada syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited bernama 1MDB PetroSaudi Ltd tanpa mempunyai profil syarikat rakan usaha sama, tanpa semakan aset yang diisytiharkan yang kemudiannya didapati tidak wujud dan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan lembaga 1MDB."


Husam berkata, beliau merujuk majalah The Edge, keluaran 9 - 15 Mac 2015, khususnya laporan utama muka depan dan laporan di dalam mengenai perjalanan pelaburan 1MDB.

Beliau turut melampirkan majalah itu bersama laporan polis yang dibuat.

"Jika laporan The Edge itu benar, jelas menteri kewangan pada waktu transaksi itu berlaku tidak berkeupayaan menjaga kepentingan kewangan negara dan mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Ini menguatkan alasan untuk beliau mengosongkan kerusi menteri kewangan," katanya.

Minggu lalu, pendedahan yang dibuat laman web pemberi maklumat Sarawak Report mendorong pemimpin pembangkang, bekas pemimpin Umno dan badan pencegah rasuah menuntut siasatan menyeluruh ke atas 1MDB dan mengenakan tekanan ke atas Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Rabu lalu, beliau mengarahkan Ketua Audit Negara "mengesahkan akaun 1MDB secara bebas" dan mengemukakan hasil semakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebarang usaha menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.

Beliau juga berkata, lembaga pengarah 1MDB perlu memberi penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

Muhyiddin juga mahu Ketua Audit Negara mengaudit akaun 1MDB berhubung tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu mengenai urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit firma Deloitte.

Husam berkata, beliau menyokong pendirian Muhyiddin supaya laporan audit forensik dilakukan ke atas 1MDB dan semua anak syarikat atau usaha samanya dengan seberapa segera dan satu Kertas Putih dibentangkan di Parlimen.

Terdahulu hari ini, pemimpin Umno peringkat cawangan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail menggesa Najib meletak jawatan sebagai menteri kewangan bagi memastikan siasatan lebih telus dan tiada gangguan terhadap semakan akaun secara bebas Ketua Audit Negara.

Sabtu lepas, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, juga menggesa Najib meletak jawatan bagi memudahkan siasatan yang telus dan bebas terhadap akaun 1MDB.


1MDB: Muhyiddin patut ganti Najib, kata PAS

Datuk Seri Najib Abdul Razak didesak melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan sementara menunggu selesai siasatan terhadap syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa juga berkata perdana menteri harus berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dilanda hutang RM42 bilion, sehingga siasatan itu selesai.

Bercakap kepada media selepas membuat aduan polis terhadap 1MDB di Kuala Lumpur hari ini, Husam berkata penting bagi Najib berbuat demikian bagi melancarkan proses siasatan.

"Dalam tempoh ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menggantikan tempat Najib," katanya di luar balai polis Dang Wangi.

Tambahnya, dalam laporan polis, beliau menggesa pihak berwajib menyiasat bayaran RM2.6 bilion (AS$700 juta) yang dibuat oleh 1MDB kepada syarikat Good Star Ltd di kepulauan Seychelles.

Husam berkata pihak berkuasa harus menyiasat Najib sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan juga pihak pengurusan syarikat terbabit.
-mk



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hampir kesemua pemimpin Umno kawasan yg berjawatan rendah dlm parti hatta hanya setakat JKKK shj, memang jenis kaki songlap duit. Semakin tinggi jawatan dlm parti maka tentulah semakin tinggi transaksi yg disonglap itu. Hanya bertopeng sebagai pembela orang melayu, merekalah yg tamak haloba melicin lincaukan khazanah negara. Umno dgn rasuah, penyelewengan, porno serta fitnah berpisah tiada.

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya PM wajib letak jawatan dah lama kerana tak layak (competent) jadi pemimpin Malaysia.

Tanpa Nama berkata...

Agak nya 154 Ketua Bahagian UMNO menerima penjelasan Najib ia itu dia di tipu oleh se orang cina dan di kukuhkan lagi oleh Sabri yang kata peniaga cina menjual dengan harga mahal

Najib buat semua tanpa melibatkan UMNO tapi bila tersepit Ketua Bahagian di seret Apa yang UMNO dapat ?

Tanpa Nama berkata...

Jika pemimpin pemimpin melayu kita bertaraf maju berfikiran kehadapan Tahu dosa Tahu pahala Yang benar di pertahan Yang masuk penjara bukan Anwar tapi Najib !

Kalau tak pasal bayaran 1 billion pada 1MDB atau Petrosaudi yang tak ada asset Najib tetap di hukum kerana kerugian 1MDB sehingga berhutang

Yang bagus pemimpin melayu kita tak malu dengan pemimpin pemimpin negara jiran