2 Feb 2015

[VIDEO] Milosuam: Alang-alang Dah Kena Jalan Terus...


Milosuam: 'Kalau tak berani, berhenti sekarang'

Penulis blog pro-PKR, Yusuf Al-Siddique yang mengendalikan blog Milosuam mengaku bahawa blog politik seperti yang dikendalikanya mampu menjana sumber pendapatan.

Beliau bagaimanapun menolak anggapan umum yang menyangka mereka mempunyai majikan dari kalangan ahli politik sesetengah parti.

Sebaliknya, pendapatan itu dijana dari pengiklan yang mengiklan di blognya kerana trafik pelawat yang tinggi.

"Kalau nak kata saya dibiaya secara khusus (oleh ahli politik) you tulis blog I dibayar, itu tidak benar.

"Adakah blog ini menghasilkan duit? Ada. Saya ada iklan jadi semua penulis-penulis ini ada mendapat bahagianlah.

"Sebelum ini (duit) dari Innity dan Google Adsense - jadi memang ada menghasilkan duitlah," katanya yang mengaku mengendalikan blog itu bersama beberapa pengendali yang lain sebelum ini.

Namun selepas kesnya dibicarakan di mahkamah, nama 'Milosuam' lekat sebagai nama penanya dan beliau dikenali dengan nama tersebut apabila pergi ke mana-mana selepas itu.

Yusuf kini sedang merayu hukuman penjara dua tahun ke atasnya selepas diputuskan bersalah bawah Seksyen 505, Kanun Keseksaan menerusi rencana yang diterbitkan di blog Milosuam.

Menurut Yusuf, beliau pada mulanya terkejut dengan publisiti yang diterimanya selepas ditahan beberapa hari sebelum pilihan raya umum tahun 2013.

Menurutnya, beliau diberi sambutan seperti seorang selebriti apabila pulang ke Batu Pahat untuk membuang undi.

"Apabila saya balik (Batu Pahat), saya pergi mengundi orang semua macam sudah kenal.

"Datang dekat saya dan mahu ambil gambar kata saya pejuang beranilah dan ada keluarga yang bawa anak-anak, dia turut minta ambil gambar dengan keluarga dia.

"Saya pun masa itu fikir agak-agaknya betul-betul kecoh (di luar lokap) sebab saya ada di dalam (lokap) saya tak tahu," kata Yusuf sewaktu diwawancara Malaysiakini.

Menurutnya lagi, rakan-rakan penulis blog Milosuam yang lain tiada masalah apabila beliau lebih dikenali sebagai wajah kepada blog itu.

Menurutnya, beliau sedia memikul beban tersebut kerana beliau yakin rakan-rakan penulis blog Milosuam yang lain akan turut berbuat perkara yang sama jika berada di tempatnya.

"(Mereka kata) awak sekarang secara rasminya pemilik Milosuam.

"Kalau orang lain kena, saya undur. Sekarang saya kena, orang lain undur dan buat kerja lain," katanya.

Menurut Yusof, beliau turut pernah didekati ahli politik Umno yang mahukannya menulis tentang musuh ahli politik tersebut.

"Kadang-kadang berlaku pergolakan dalam Umno - ada benda yang hendak disampaikan - jadi mereka minta saya tulis," katanya.

Ditanya tentang perasaannya selepas didakwa dan dikenakan hukuman penjara dua tahun, Yusuf berkata:

"Terus terang sebelum jatuh hukum saya agak takut. Saya rasa macam mungkin saya perlu kendurkan tulisan, jangan terlalu tajam.

"Apabila sudah kena macam ini saya semakin bersemangat. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang dah kena, jalan terus.


"Apabila dengar hakim kata kena penjara dua tahun saya terpukul tapi saat itu saya kuatkan mental.

"Saya kata inilah sunnah pejuang - saya redha. Kalau masuk (penjara), masuklah".

Kepada penulis-penulis blog pro-Pakatan Rakyat yang lain, Yusuf menyampaikan pesanan berikut:

"Kita duduk dalam bidang ini bukan kita tak tahu risikonya. Dari awal kita melakukan sesuatu yang ada risiko yang tinggi.

"Kalau tak sanggup hadapi risiko, duduk rumah makan kacang. Jalan ini yang kita pilih, risiko itulah yg kita perlu tanggung.

"Kalau tak berani, berhenti sekarang".


Milosuam: Utusan lepas, saya kena

Penulis blog pro-PKR, “Milosuam” atau Yusuf Al-Siddique menganggap dakwaan dan hukuman penjara dua tahun ke atasnya berhubung rencana pencerobohan Lahad Datu sebagai pendakwaan terpilih.

Yusuf berkata ini kerana akhbar Utusan Malaysia versi dalam talian turut menyiarkan perkara yang sama, tiga hari sebelum beliau berbuat demikian.

"Cerita sama tentang balai polis akan diserang, polis kena berjaga-jaga malah ia lebih terperinci.

"Kalau Milosuam boleh didakwa menakutkan orang, kenapa portal berita prokerajaan menceritakan perkara yang sama, tidak ada laporan pun.

"Tetapi bila Milosuam buat benda yang sama, polis buat laporan tangkap dan hantar ke Sabah," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Yusuf disabitkan bersalah melakukan khianat awam kerana memuat naik sebuah artikel berhubung pencerobohan Lahad Datu di Sabah.

Beliau dihukum penjara selama dua tahun selepas diputuskan bersalah bawah Seksyen 505, Kanun Keseksaan.

Tangkap 'fitnah', dakwa OSA

Beliau berjaya menangguhkan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dakwanya, perbicaraan itu dilihatnya sebagai usaha menakut-nakutkan beliau dan penulis blog pro-Pakatan Rakyat.

Ini kerana pada awalnya beliau dimaklumkan polis yang penahanannya dibuat kerana rencana berkenaan pengundian awal oleh polis dan isu dakwat kekal.

Namun, beliau akhirnya didakwa atas tuduhan menakutkan orang ramai.

"Masa saya ditangkap, isu yang keluar di akhbar dan TV adalah fitnah terhadap anggota polis, isu mengundi awal, dakwat kekal.

"Maknanya yang digembar-gemburkan (adalah kononnya) penulis blog Milosuam fitnah polis.

"Tetapi bila ditahan, saya disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) - saya tanya kenapa tak siasat bawah yang ini (dakwat kekal, polis mengundi awal)

"Jadi, saya tengok sebenarnya tak ada apa-apa pun. Jadi mereka ini cari-cari sampai jumpa.

"Ini satu tindakan memanipulasi undang-undang untuk menakutkan blogger (penulis blog) Pakatan Rakyat," dakwa Yusuf.

Kekalkan tulisan

Perbicaraan kes itu berlangsung di Kota Kinabalu kerana laporan terhadapnya difailkan oleh seorang anggota polis di sana.

Menurut Yusof, beliau cuba memohon untuk memindahkan perbicaraan itu ke semenanjung Malaysia, memandangkan saksi-saksi pendakwaan sebahagian besarnya adalah juga polis dari semenanjung.

"Majoriti saksi pendakwa semuanya polis, kebanyakannya dari semenanjung Malaysia, yang dari Sabah itu adalah seorang dua.

"Ada seorang pengiklan yang pernah berurusan dengan (blog) Milosuam - pengiklan itu pun polis juga," katanya.

Beliau juga masih mengekalkan rencana yang menjadi tumpuan dalam perbicaraan itu di blog Milosuam.

"Saya harap orang baca artikel itu kerana apabila orang baca orang akan tahu sama ada tindakan memenjarakan saya wajar atau tidak.

"Sekurang-kurangnya biar rakyat sendiri nilai penulis artikel itu wajar kena penjara atau tidak," katanya.
-mk




5 ulasan:

Amuraria berkata...

syabas milo suam@yusuf al-siddique,kebenaran itu pahit bagi para pemfitnah,penyeleweng,perasuah,perompak,penyangak,penyalahguna kuasa juga penzalim penentang kebenaran,kerja anda satu sunnah yang dilalui oleh banyak nabi-nabi & rasul termasuk nabi besar kita Muhammad SAW , amal anda atas kebenaran akan dikira disana jua ! ABU jangan lupa juga gerombolan pengkhianat pro'UG' !

Tanpa Nama berkata...

Tukar sehaja nama bloge MILOSUAM kepada MILO PANAS BERASAP. Berani kerana bemar. Apa nak takut dengan manusia satu hari nanti mereka juga akan diadili oleh Allah dan akan masuk penjara Allah. Penjara dunia ada tempat tidor makan minum free penjara Allah adalah API NERAKA yang 1000 kali lebih panas dari api diatas dunia ini kepanasan nya. Hati para Hakim islam yelah menjadi hati kafir dan lupa kepada hari pembalasan. Kemana lah perginya iman dan pegangan mereka terhadap agama islam. Apalah para Hakim ini tak mati dan tidak diadili oleh Allah di akhirat nanti.

Tanpa Nama berkata...

Minta ulasan tuan present pas dan ulama ulama pas suci mulia komen mengenai isu. Kan pas akan dah bersedia masuk putrajaya (sama Ada dengan umno atau PAkatan) maka kena belajar cara buat komen kes kes seperti ini.

Tanpa Nama berkata...

Harap Hakim mahkamah rayuan membebaskan milosuam atas iau bukan atas sebab yang membuat lapuran yang mentafsirkan perbuatan milosuam menghasut dan menakut nakut kan

Tabik milosuam

Tanpa Nama berkata...

Salam MiloSuam !

Saya tabek kat anda. Dunia ini hanya sementara aja . Dunia ini hanya tempat transit sementara menunggu Dunia yang kekal abadi .

Dunia ini adalah Amal tanpa Hisab. Kuburan adalah Hisab tanpa Amal.

Setiap manusia pasti Binasa bila tiba waktunya . Dunia fana ini akan Binasa akhirnya .

Mahkamah Allah Maha Perkasa sedang menunggu setiap saat untuk mengHisab setiap Manusia .

Percayalah Haq atau Kebenaran adalah milik Haqiqi Allah Maha Perkasa .

Manakala Kebatilan adalah milik manusia