16 Feb 2015

Tak Tanding Cempaka: Helah UMNO Raih SImpati PAS Dalam Isu Anwar


Ketiadaan Anwar dan Nik Aziz Semarakkan Semangat PR -Pengalisis

Pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan peristiwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan akibat kesalahan meliwat bekas pembantunya tidak akan melemahkan Pakatan Rakyat (PR).

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Abdul Rahman Abdul Aziz, menyifatkan peristiwa itu sama seperti yang pernah berlaku pada tahun 1998 apabila Anwar dimasukkan ke dalam penjara.

“Selepas Anwar dimasukkan ke dalam penjara, barulah Pakatan Rakyat akan semakin kuat,” ujarnya.

“Saya positif, dalam erti kata Pakatan Rakyat akan makin kuat, kerana generasi baru ini akan duduk dalam Majlis Ulama PAS dan juga akan duduk sekali dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat,”
katanya sewaktu dihubungi Free Malaysia Today (FMT).

Jelasnya lagi, walaupun terdapat beberapa gangguan, namun Abdul Rahman percaya ia akan membuatkan Pakatan Rakyat lebih matang dan fokus.

“Gangguan yang saya maksudkan itu adalah mereka diugut dengan pelbagai jenis undang-undang, dan solidariti Pakatan Rakyat juga tergugat dengan set undang-undang negeri,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Abdul Rahman turut memberikan pandangannya mengenai masa depan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Azmin berpeluang untuk menjadi pemimpin yang hebat kerana Azmin boleh memimpin dan untuk Azmin menjadi seperti Anwar dan Nik Aziz memang tidak boleh.Tetapi ‘in the making’ Azmin boleh,” katanya.

Selain itu, beliau turut melihat Nurul Izzah Anwar dan Khairy Jamaluddin sebagai prospek pemimpin masa depan.

“Nurul Izzah dan Khairy berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri, kemungkinan untuk mereka berdua itu ada,” katanya lagi.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari yang dihubungi FMT, turut menyatakan perkara serupa mengenai masa depan Pakatan Rakyat tanpa Anwar dan Nik Aziz.

“Saya fikir ketiadaan Nik Aziz dan Anwar bukan masalah besar. Jangan kita nafikan kemampuan Pakatan Rakyat untuk merangka pelan B.

Aziz turut menolak dakwaan yang mengatakan Pakatan Rakyat akan berpecah kerana perjuangan tersebut bukan disebabkan oleh dua pemimpin tersohor itu.

“Tidak mungkin. Semua tahu bahawa perjuangan ini bukan kerana Nik Aziz atau Anwar. Meskipun mereka tokoh besar yang amat berjasa, saya yakin ketiadaan mereka akan membakar semangat untuk mereka yang tinggal selepas ketiadaan Anwar dan Nik Aziz.

“Paling tidak, mereka tentu mahu membuktikan bahawa mereka juga, sebagaimana dua tokoh besar itu, mampu menerus dan menyudahkan perjuangan yang mereka mulakan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Aziz turut menyatakan secara ringkas pengganti bagi Anwar di Permatang Pauh tidak semestinya Nurul Nuha Anwar.

“Ada bahayanya untuk Nuha sebagai pengganti Anwar. Bagaimanapun, saya tidak nafikan Nuha boleh menang di Permatang Pauh, tetapi ke mana selepas itu?

“Ini bukan soal Anwar secara peribadi, ini soal perjuangan,” katanya.-FMT

UMNO Jangan Cepat Mimpi Kerjasama, Pas Tak Mungkin Khianati Nik Aziz

UMNO nampaknya terdesak benar mahu berbaik dan bekerjasama dengan Pas. Perginya Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menghuni penjara untuk tempoh lima tahun dan meninggal dunianya Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat cuba dijadikan batu loncatan ke arah mencapai tujuan itu.

UMNO ketika ini sedar kedudukannya sedang merudum. Pemenjaraan Anwar menjadikan semakin meluas golongan yang menyimpan simpati dalam diam.

Oleh itu, UMNO merasakan hanya menjalinkan kerjasama dengan Pas saja dapat memberi harapan kepada masa depannya, sekaligus juga menjadikan PR terus tempang.

Bermula dengan pujian dan sanjungan sebahagian besar pemimpin UMNO sebaik tersebarnya berita kematian Nik Aziz sehinggalah pengkebumiannya sedangkan Tok Guru inilah yang dikata dan dicerca macam-macam semasa hidupnya, UMNO meneruskan lagi pengiktirafannya dengan kemungkinan tidak meletakkan calon dalam pilihanraya kecil DUN Cempaka pula.


DUN Cempaka sejak sekian lama diwakili oleh Nik Aziz dan berikutan kematiannya, pilihanraya kecil mesti diadakan dalam tempih 60 hari.

Selepas Pengerusi UMNO Kelantan, Mustapha Mohamad menyuarakan kemungkinan itu, beberapa pemimpin UMNO termasuk KJ, Shahrizat dan lain-lain turut berpandangan sama.

Selain banjir yang baru melanda Kelantan dijadikan alasan dan kini dikatakan tempoh untuk bekerja membantu mangsa-mangsa banjir, alasan lain ialah kononnya sebagai penghormatan kepada Nik Aziz yang baru meninggal dunia.

Hahaha...sejak bila UMNO berperangai sedemikian kepada pemimpin parti lain? Ikhlas dan dari hati yang jujur lagi suci kerana Allahkah semua perbuatan itu?

UMNO tidak perlu pura-pura bahawa mereka sebenarnya sangat terdesak ingin berpeluk cium dan "ya hanana" dengan Pas. Semua tindakan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO ketika ini tidak lain ialah untuk menunjuk baik kepada Pas supaya lebih terbuka di ruang hati para pemimpinnya untuk menyambut kerjasama itu.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa ada menyatakan kematian Nik Aziz mungkin membuka ruang semula kepada kerjasama itu yang tertangguh sejak 2008 lagi. Tetapi belum ada pemimpin Pas yang bercakap secara terus-terang mengenainya, cuma kerenggangan hubungan Pas dalam PR dan dengan DAP dilihat memungkinkan ke arah kerjasama dengan UMNO itu.

Tetapi yang kuat menentang kerjasama Pas dengan UMNO sebelum ini ialah Nik Aziz sendiri, malah pernah membuat kenyataan akan meludah sesiapa yang berani bercakap dengannya mengenai perkara itu.

Nik Aziz juga berulangkali menyatakan Pas hanya sedia bekerjasama jika UMNO bersedia membuang perjuangan assabiyah atau kebangsaan yang didokongnya dan menukar seratus peratus kepada Islam.

Pendirian kukuh Nik Aziz dalam menentang UMNO ini secara umumnya dikongsi oleh majoriti ahli di seluruh negara serta pelbagai peringkat kepimpinannya. Nik Aziz juga berulangkali kecewa dengan UMNO dan kerajaan Pusat yang menafikan royalti minyak untuk rakyat Kelantan.

Yang terpana dengan silau dan sinar yang sesekali kelihatan di wajah UMNO dan para pemimpinnya hanyalah segelintir pemimpin Pas saja.

Walaupun golongan ini yang dipanggil "kelompok UG atau "Unity Goverment" cuba juga mengeluarkan kenyataan atau pendirian yang lebih condong kepada UMNO dan kerajaan Pusat, tetapi Nik Azizlah yang kuat membentengi usaha-usaha ke arah kerjasama itu.

Kadang-kadang disebabkan Nik Aziz yang begitu dihormati dan kukuh pendiriannya itu, kelompok dalam Pas yang terhegeh-hegeh mahu berbaik dengan UMNO turut malu sendiri untuk lebih kerap bercakap soal kerjasama dengan UMNO itu.

Begitulah kuatnya pengaruh Nik Aziz dalam Pas. Beliau bukan saja kukuh dengan pendirian Pas bersama PR, malah tidak pernah goyang keyakinan dengan Anwar Ibrahim sejak daripada awal lagi.

Kini Nik Aziz sudah meninggal dunia dan Anwar pula di dalam penjara. Apakah semudah itu Pas mahu bekerjasama dengan UMNO dan melupakan pendirian yang dipegang Nik Aziz semasa hayatnya?

Tidakkah jika Pas sedia bekerjasama dengan UMNO bererti parti Islam itu mengkhianati perjuangan Nik Aziz selama ini?

Memang UMNO terdesak untuk bekerjasama dengan Pas ketika ini, sebutlah atas nama Islam atau Melayu sekali pun, tetapi hakikatnya kerjasama itu tidak lain ialah menyelamatkan kuasanya yang semakin rapuh.

Pemenjaraan Anwar, selain pengundi muda semakin menjauhkan diri, pengundi bandar, separa bandar dan bukan Melayu juga menjadi semakin kukuh dengan PR atas nama perubahan.

Harapan UMNO yang tinggal hanyalah pengundi Melayu dan luar bandar yang boleh diperkukuhkan lagi jika kerjasama dengan Pas dapat dijadikan kenyataan.

Namun, UMNO janganlah terlalu cepat bermimpi. Walaupun Nik Aziz sudah tiada, pengaruh dan ajarannya tetap kukuh di hati majoriti ahli dan pimpinan Pas sendiri. Tidak semudah menukar baju bagi Pas untuk bercerai dengan PR dan bercanda-candaan dengan UMNO.

Memuji-memuji dan menyanjung pemergian Nik Aziz, termasuk tidak bertanding di DUN Cempaka tidak mungkin menjadikan kerjasama sebagai kenyataan. Lainlah jika UMNO serta-merta menukar perjuangannya kepada Islam dan sepantasnya juga melunaskan royalti minyak untuk Kelantan.
-shahbudindotcom


ULASAN GB

Jika benar UMNO BN tidak bertanding di DUN Cempaka, ia boleh ditafsir dari pelbagai sudut.

Ada yang berkata UMNO takut, UMNO pasti kalah, UMNO belum kukuh malah bertambah rapuh.

PAS pula melalui kenyataan Naib Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan langkah UMNO itu sebagai satu penghormatan.

Soalnya betulkan ia satu penghormatan, atau ada maksud lain yang lebih tersirat dari yang tersurat?

Sebenarnya buat masa ini UMNO amat memerlukan sokongan PAS terutama di dalam isu Anwar Ibrahim yang telah dipenjara.

UMNO BN ini dibelasah habis-habisan dari dalam dan luar negara kerana banyak pihak percaya tindakan pemenjaraan Anwar adalah bermotifkan politik. Jika tidak masakan pendakwa kes tersebut, Mohd Shafee Abdullah masih terus menghentam Anwar di saat Anwar sudah tidak lagi dapat membela dirinya?

UMNO amat berharap PAS akan berlembut dan akan meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersamanya. Masa depan UMNO sudah gelap selepas dan ia hanya akan mampu bangun jika PAS menghulurkan tangan untuk menyelamatnya.

Pilihan yang ada ialah memberi laluan mudah untuk PAS menang di DUN Cempaka. Dengan harapan PAS akan rasa terhutang budi.

Tetapi apakah PAS mahu menggadai "body"nya nanti dengan budi yang kecil itu?

Rakyat Kelantan ada jawapannya, apakah royalti rakyat Kelantan yang dicuri selama ini nak didiamkan begitu saja?

3 ulasan:

pesara tentera berkata...

Aku akan jadi antara golongan pertama yg akan keluar PAS Kalau PAS bekerjasama dgn bn. PAS Dah berpuluh tahun berjuanG utk tegakkan islam takkan begitu mudah utk menyerah kalah

Tanpa Nama berkata...

Satu utk kau (PAS)
Dua utk aku (UMNO)

Tiga utk kau (PAS)
Lima utk aku (UMNO)

Tanpa Nama berkata...

Menangguk selepas banjir

PAS nak letak calun pun sukar sebab kena cari seseorang yang punya pemikiran dan gaya seperti TGNA Sudah tentu ini lah ciri ciri yang di pandang oleh pengundi DUN Cempaka

Sejak bila UMNO pandai pulak bagi penghormatan dalam berpolitik dan pada siapa UMNO beri penghormatan tersebut? Pada TGNA atau pada pengikut TGNA ? Adakah layanan pada TGNA dan pada Anwar selama ini merupakan satu penghormatan pada amanah pada keadilan (undang undang) pada maruah bangsa

Penghormatan ini lebih pada kepentingan UMNO sendiri Mereka sanggup bayar melalui derma kepada guru guru pondok semata mata untuk menidakkan TGNA