2 Jan 2015

[VIDEO & GAMBAR] PASCA BANJIR: Ramai Yang Hilang Tempat Berteduh....


Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu beransur pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan terus mencatat penurunan berbanding petang tadi manakala di Perak sedikit meningkat dan di Pahang tidak berubah.

Di KELANTAN, jumlah mangsa di 166 pusat pemindahan di tujuh jajahan berkurangan kepada 30,309 orang berbanding 42,163 petang tadi, demikian menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan.

Keadaan cuaca cerah dan tiada hujan sejak lima hari lalu membolehkan semakin ramai mangsa banjir di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Setakat malam ini, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Tanah Merah ialah 14,184 orang, Kuala Krai (5,645 orang), Machang (3,850 orang), Gua Musang (3,006 orang), Kota Baharu (1,440 orang), Pasir Mas (1,208 orang) dan Tumpat (976 orang).

Di TERENGGANU keadaan banjir di negeri itu secara keseluruhannya semakin pulih dan jumlah mangsa banjir juga turun kepada 7,753 orang malam ini berbanding 8,664 orang petang tadi.

Menurut portal MKN Terengganu, mangsa yang berada di pusat pemindahan sekarang ialah 4,072 orang di Kemaman, Dungun (3,544 orang), dan Kuala Terengganu (137 orang).

Lapan pusat pemindahan masih beroperasi sehingga malam ini iaitu empat di Dungun, Kemaman (tiga) dan Kuala Terengganu (satu).

Berbeza di PERAK, jumlah mangsa banjir di kawasan Perak Tengah, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Kerian dan Manjung semakin meningkat kepada 7,428 mangsa daripada 2,024 keluarga berbanding 7,412 mangsa daripada 2,018 keluarga, petang tadi.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, jumlah mangsa di Perak Tengah meningkat kepada seramai 5,252 mangsa daripada 1,438 keluarga yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan.

Di daerah Kuala Kangsar, jumlah mangsa meningkat kepada 1,210 orang daripada 321 keluarga manakala Hulu Perak (764 mangsa), Kerian (107 mangsa) dan Manjung (95 mangsa).

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan kekal sebanyak 138 orang di dua daerah terjejas iaitu Segamat (93 orang) dan Batu Pahat (45 orang).

Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata jumlah mangsa banjir sehingga 9 malam ini kekal 45,366 orang sepertimana petang tadi.

Katanya kesemua mereka ditempatkan di 215 buah pusat pemindahan di lapan daerah dengan Temerloh mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 20,962 orang, Pekan (11,220 orang), Jerantut (4,563 orang), Bera (3,228 orang), Maran (2,562 orang), Lipis (1,641 orang), Kuantan (1,085 orang) dan Rompin (105 orang). - Bernama


Berjurai air mata lihat kesan bah di Manek Urai

KUALA KRAI: Pertama kali menjejak kaki ke Kampung Manek Urai Lama selepas menyeberangi jambatan merentangi Sungai Lebir, hati sesiapa sahaja menjadi luluh.

Malah ada yang tidak dapat menahan perasaan. Tiba-tiba berjurai titisan jernih di pipi melihat kekuasaan Yang Maha Pencipta.

Semuanya sudah bertukar menjadi padang jarak padang terkukur. Ketika melewati jambatan di Kampung Manek Urai Baru dari awal lagi sudah kelihatan kereta tertunggeng, terbalik dan terperusuk ke bawah lembah.

Pelbagai situasi yang tidak pernah disaksikan dapat dipertonton di kampung tersebut. Panoramanya hampir serupa dengan Acheh pada 2004. Cuma yang membezakan mangsa korban tidak ramai.

“Di Acheh tsunami ombak, di sini tsunami air sungai. Sama-sama kuat, sama-sama gagah. Biar apa pun kami bersyukur kerana tidak berlaku banyak kehilangan nyawa.

“Sepanjang tujuh malam kami berhempas pulas untuk menyelamatkan diri. Ada yang terpaksa dua kali berpindah selepas tempat pertama juga dinaiki air.

“Berteduh di tempat pemindahan dengan berhimpit-himpit dan berdepan dengan kekurangan makanan. Kami juga memasak nasi menggunakan air bah,” katanya seorang mangsa banjir di Kampung Manek Urai Lama.

Beliau berpindah ke Masjid Kampung Manek Urai Baru bersama keluarga dan penduduk lain. Hanya bukit di belakang masjid yang menjadi tempat mereka berlindung.

Kawasan lain semua tenggelam. Kampung Manek Urai Lama hanya tinggal Bukit Kajang. Dua kampung tenggelam sama sekali pada bah besar tersebut yang bermula 22 Disember.

Keadaan luar biasa yang berlaku di Manek Urai Lama mengundang ramai datang berbodong-bodong bagi melihat sendiri kesan tsunami air bah.

Kenderaan bertali arus biar pun terpaksa meredah selut yang agak tebal. Mereka tenggelam dalam kelu sambil merakam kesan bah besar yang tidak pernah disaksi sebelum ini.

“Orang tua yang meniti usia lebih 80 tahun di Kampung Chatang memberitahu tidak pernah melihat lagi bah besar seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Bah merah yang dikatakan paling besar dalam sejarah pun tidak sebesar bah yang berlaku kali ini. Dahulu bah merah air lambat surut, sekarang banjir surut lebih cepat,” kata Zakaria Ibrahim, 57.

Menjejaki Kampung Manek Urai memperlihatkan suatu yang tidak pernah terlintas di fikiran manusia. Ada sisa-sisa rumah terletak di pokok, rumah menghimpit antara satu sama lain dan pokok tumbang merentangi jalan.

Masjid Urai Lama juga dihimpit sebuah rumah. Apa yang tinggal sekarang hanya tapak rumah, tiang dan simen konkrit. Banyak tiang elektrik juga menyembah bumi.

Ada juga besi rumah yang belum siap bengkok seperti dibelok seseorang menggunakan jentera. Ada dinding konkrit rumah pecah dan terhumbang ke bawah.

Masih banyak lagi jalan di kampung itu yang tidak boleh dilalui, kesan-kesan runtuhan rumah berserempak di sana sini.

Sementara itu Pengarah Bilik Operasi Bencana Banjir Kuala Krai, Hilmi Abdullah menafikan dakwaan bekalan bantuan banjir melimpah ruah di Kuala Krai.

Katanya, dakwaan itu mungkin dibuat mereka yang tidak berada di lapangan dan tidak terlibat samada sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.

“Permintaan barang keperluan asas terutamanya beras, sardin, gula, biskut dan pampers amat tinggi dan belum mencukupi. Bekalan air mineral dan minuman masih dapat menampung permintaan setakat ini,” katanya di sini.
-HD









5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aceh lepas sunami mereka melaksanakan undang2 islam. harap kelantan melaksanakan hudud kerana Allah bukan kerana kepentingan politik.

Amuraria berkata...

la haula wala...innalillah ...ABU jangan lupa !

Pakcu Rantau Panjang berkata...

Dalam suasana sedih menghadapi banjir ini kadang-kadang Pakcu teringat juga kisah Nabi Nuh dengan kaumnya.
Biarpun tidak sehebat zaman itu tapi kesan dan iktibar perlu kita kongsi bersama.
Antara ujian Allah dan balanya terdapat pengajaran yang besar disebalik setiap kejadian. Apapun kadang-kadang tangan manusia juga turut sama terpalit bila bukit digondol, balak ditebang sewenang-wenangnya demi kerakusan dan pangkat yang diamanahkan dikaburkan dengan tawaran wang oleh tokey balak .....maka banjir lumpur berlaku dan terdapat himpitan balak yang hanyut bersama air telah meredah rumah-rumah rakyat miskin hingga tinggal tiang.Lalu aliran air bersama lumpur turut sama mencemar Bandar Islam Kota Bharu.
Apakah ini satu ketetapan Illahi atau satu jalan yang dirintis untuk kearah itu....walahualam

Tanpa Nama berkata...

Satu aset yang digunakan oleh negara-negara seperti Jerman, Kanada, Mexico,Venezuela dan sebagainya dalam misi bantuan banjir ialah Armoured Personnel Carrier. Ia adalah aset amfibia yang boleh mengharung jalan yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Tanpa Nama berkata...

kpd anon 2 jan 6.54pm,

PM kita lebih utamakan vacation daripada nak beli kereta kebal amfibia.

TAK CUKUP HEBATNYA LAGI PM SEMPAT LAGI MAIN TAKTIK POLITIK DENGAN RAKYAT MEROMBAK SEMULA AKTA PERHUTAN NEGARA TIME NEGERI PEMBANGKANG KENA BENCANA ALAM. OKLAH JUGA UNTUK MEROMBAK SEMULA TAPI PERLUKAH TUNGGU BENCANA ALAM BERLAKU DI NEGERI PEMBANGKANG BARU NAK LAKSANAKAN SEDANGKAN DI SABAH DAN SARAWAK DAH BERTAHUN LAMA BERLAKU PENEROKAAN HARAM TAPI TAK ADA PULA NAK ROMBAK AKTA PERHUTANAN NEGARA? DAN SATU LAGI WHY LU NAK LAKSANAKAN PROJEK TAMBATAN BANJIR DI NEGERI PAHANG SEDANGKAN DI NEGERI KELANTAN ALMOST 70% TERLETAK DI MUARA SUNGAI MACAM NEGARA BANGLADESH TAK PULA LU NAK LAKSANAKAN PROJEK TAMBATAN BANJIR? MANA YANG LEBIH PENTING BEB NEGERI PAHANG YANG TERLETAK DI ATAS PARAS LAUT ATAU NEGERI KELANTAN YANG SELALU BANJIR KERANA TERLETAK DIBAWAH PARAS LAUT? LU FIKIRLAH SENDIRI.