15 Jan 2015

Sokong Mejar Zaidi, Apakah Syed Rosli Akan Terima Nasib Seperti Khairuddin?


Pemimpin Umno persoal hukuman terhadap Mejar Zaidi

Seorang pemimpin Umno, Syed Rosli Jamalullail mempersoalkan hukuman yang dikenakan terhadap Mejar Zaidi Ahmad walaupun penjawat awam itu berbuat perkara betul dengan membuat laporan polis berhubung kelemahan dakwat kekal‎ semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ketua penerangan Umno cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka Pandan itu berkata, TUDM lebih cepat menghukum Zaidi yang kesalahannya tidak serius berbanding kelemahan agensi keselamatan itu ketika kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

‎‎"Kenapa Mejar Zaidi diambil tindakan tegas sedangkan beliau cuma ingin melaporkan perkara yang benar mengenai kelemahan dakwat kekal yang digunakan oleh SPR semasa PRU13,"
kata Syed Rosli dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Kerajaan Indonesia lebih tegas dengan memecat 4 pegawai Pusat Kawalan Udara mereka yang bertugas semasa kejadian malang pesawat AirAsia QZ8501."

Zaidi pada Isnin dijatuhkan hukuman dengan ditamatkan perkhidmatan secara serta-merta selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Kol Saadon Hasnan berkata, hukuman berkenaan bukan berpunca daripada isu dakwat kekal.

"Ianya kerana dua kesalahan yang dilakukan kerana melanggar arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Angkatan Tentera Udara," kata Saadon.

Zaidi membuat laporan berhubung dakwat kekal pada 30 April, 2013 selepas mengundi dalam pengundian awal selepas mendapati dakwat kekal di jarinya hilang selepas dibasuh.

Susulan daripada laporan polisnya, pegawai TUDM itu diarahkan untuk berpindah ke Butterworth dan pada 7 Februari, 2014 beliau dilaporkan menerima 7 pertuduhan daripada Majlis Angkatan Tentera.

Syed Rosli yang pernah mencabar Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pemuda Umno turut membidas cara TUDM menangani kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac, 2014 dengan mengatakan sehingga kini ‎tiada siasatan menyeluruh dilakukan.

Katanya, TUDM juga gagal mengesan kehilangan pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal itu terkeluar daripada radar.

Beliau berkata TUDM hanya mendedahkan pesawat itu berpatah balik selepas tiga hari meskipun ia dapat dikesan rada‎r mereka.


"‎Betul, kita tidak boleh menyalahkan 100% pada pihak tentera udara Malaysia tetapi bukankah ini menjadi tanggungjawab mereka memantau ruang udara Malaysia terutama apabila ada pesawat penumpang yang melakukan pusingan semula merentasi Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang tanpa mendarat?"

Syed Rosli yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan surat terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa TUDM memperbaiki kelemahan badan itu.

"Tidak boleh bayangkan apa akan terjadi dengan Malaysia jikalau ada pesawat perang asing yang masuk ke ruang udara Malaysia malahan lebih teruk mereka boleh mendarat secara haram tanpa diketahui oleh pihak tentera pun.

"Jangan diulangi lagi seperti apa yang pernah berlaku di Lahad Datu setahun yang lalu dan berubahlah semua pemimpin negara atau kami rakyat akan terpaksa mengubah kamu semua," katanya. -TMI

ULASAN GB

Telah menjadi satu hal yang diketahui umum bahawa UMNO itu sebagai parti yang akan menekan para pengkritiknya, waima pengkritik itu adalah dari kalangan pemimpin mereka sendiri dan apa yang dikritik itu adalah benar.

Contohnya ialah apa yang menimpa Datuk Khairuddin Abu Hassan, Naib Ketua Umno Batu Kawan yang sebelum ini membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), statusnya sebagai seorang yang muflis didedahkan dan rumahnya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, dilelong.

Begitu juga dengan Tun Mahathir dan Daim Zainuddin. Kerana menegur kepimpinan Najib, kedua-dua bekas pemimpin tertinggi UMNO itu telah diserang habis-habisan oleh media UMNO seperti TV3 termasuklah blogger-blogger hingusan (pinjam istilah A Kadir Jasin).

Apakah Syed Rosli Jamalullail, Ketua penerangan Umno cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka Pandan akan menerima nasib yang sama dengan Datuk Khairuddin setelah beliau membuat kenyataan terbuka seperti di atas kerana menyebelahi dan membela Mejar Zaidi?

Sindrom ampu dan bodek memang kuat dan menjadi budaya teras UMNO turun temurun. Kita sama-sama tunggu dan lihat apa berlaku selepas ini.

Dan bagi pejuang kebenaran dan keadilan, kita yakin bahawa kezaliman dan kekejaman itu akan kembali kepada yang melakukannya. Kerana demikianlah sunatullah!

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Patutlah UMNO semakin reput dan tak boleh dipercayai...banyak kaki bodek dan ampu yang membawa rebah rupanya.....

Tanpa Nama berkata...

Tuan,

Khairuddin dan Syed Rosli adalah dari spesis cari makan dengan membuat "publicity stunt". Khairudin mula mendapat perhatian dan memperolehi rezeki besar apabila menerbitkan buku DALIL Anuar....lalu berkahwin secara sensasi dengan artis agar terus diingati. Bila kehabisan dana dan beberapa syarikat diisytihar muflis, beliau cuba mendapat sumbangan dari PM Najib. Apabila PM tak ambil POT beliau bertindak menjaja penyelewengan 1MDB dengan harapan akan tampil pemimpin UMNO yang mahu menjatuhkan PM tampil menghulurkan dana....nampak tak permainan ini?

Syed Rosli pula mula mencari publisiti dengan mencabar Khairy untuk jawatan Ketua Pemuda. Tewas teramat teruk beliau kehilangan rakan dan mula mencari isu kontroversi agar tidak terus tenggelam di bawa arus dan dilupakan. Dia mula menyalak...

TIDAK PERLULAH KITA MENGHARAPKAN SOSOK-SOSOK INI UNTUK BERJUANG MENEGAKKAN KEBENARAN. DAPAT HABUAN DIAMLAH MEREKA.

Kita sendiri yang harus berjuang keerana hanya keiklasan kita PUTRAJAYA bisa ditumbangkan.

asrul sani

mustapa m said berkata...

Dari sekarang PR dah bolehlah merancang di mana kerusi Par/Dun yg sesuai untuk ditandingi oleh Zaidi.

Pasti ramai yg akan mengundi beliau, sekurang-kurangnya atas faktor bersimpati.

Tanpa Nama berkata...

Tempat yang paling sesuai untuk zaidi betanding ialah tempat dia mengundi dsn tempat isu dakwat tak kekal bermula

Kita tak nak lupa apa yang terjadi pada Zaidi begitu saja

Tanpa Nama berkata...

Memang betul pun Kehilangan MH 370 tidak ada tindakan memgesan pesawat yang memasuki ruang udara kita Ini bukan kecik anak dibandingkan dengan jari telunjuk Ada sebarang tindakan yang di kenakan ke atas Pegawai TUDM

Jari telunjuk Zaidi lebih mengancam keselamatan negara dari pesawat yang dikesan radar di ruang udara kita

Tanpa Nama berkata...

Peminjaman PTPTN lebih bahaya dari pembunuh Sebab itu peminjam PTPTN tak dibenarkan keluar negara

Oh Malaysiaku

Tanpa Nama berkata...

PM.....Pembawa Malapetaka Pada Malaysia