24 Ogo 2014

Allahyarham Mohd Ghafar, Ketua Pramugara MH17 Rajin Solat Jemaah -updated


Sepang – Penyelia penerbangan kabin Malaysia Airlines (MAS) Allahyaram Mohd Ghafar Abu Bakar antara anak kapal yang mula melakukan aktiviti solat jemaah bersama-sama anak kapal di luar negara, kata rakan karibnya Nadzri Hassan.

Nadzri, 57, yang juga penyelia penerbangan berkata kebiasaannya bila mereka terbang bersama, beliau akan jadi imam manakala Mohd Ghafar menjadi jemaah.

Bila terbang bersama kebiasaannya kami dapat bilik masing-masing dan selalu kami berkongsi bilik dan bilik yang tidak diduduki akan dijadikan tempat untuk solat berjemaah,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Bunga Raya di sini hari ini.

Beliau yang mengenali rapat Mohd Ghafar sejak 1981 semasa mula berkhidmat dengan MAS menyifatkan rakannya itu sebagai seorang yang kelakar, taat kepada agama dan tidak kedekut ilmu.

Sementara itu seorang anak kapal, Fatima Bibi Mira Maiddin, 38, menyifatkan Mohd Ghafar sebagai seorang ketua yang baik kepada semua tidak kira pangkat.

“Beliau melayan semua orang sama rata, Mohd Ghafar juga seorang ketua yang suka berjenaka,” katanya yang telah mengenali Mohd Ghafar selama 10 tahun.

Jenazah Mohd Ghafar merupakan antara tiga jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 yang tiba di Malaysia hari ini dan jenazah diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh hormat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pada Jumaat, jenazah 20 rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air dalam 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera – julung kali diberikan kepada orang awam dalam sejarah negara ini – dan diurus dengan amat teliti dalam istiadat penuh hormat.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Pramugari Ernee Hasnita Malik sebak sebaik sahaja kenderaan jenazah membawa jenazah Mohd Ghafar melintas di hadapannya.

Secara automatik, beliau mengimbas semula kenangan bersama-sama Mohd Ghafar, yang disifatkan sebagai sangat peramah dan tidak kedekut untuk ‘menurunkan ilmu’ sejak dirinya menyertai syarikat penerbangan MAS pada 1999.

“Beliau tidak pernah lupa memberikan tunjuk ajar dan sentiasa mengingatkan kami untuk bersolat semasa sedang bertugas,” katanya semasa ditemui selepas istiadat penghormatan jenazah.

Ernee Hasnita, 41, menambah kali terakhir mereka bertugas bersama-sama adalah Ogos tahun lalu, iaitu untuk operasi menyelamat membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir ekoran pergolakan di negara itu.

Bagi pramugari Rosmizar Asmim, 45, beliau tidak melepaskan peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Mohd Ghafar, meskipun baru pulang daripada bertugas dalam pesawat ke London pada Sabtu.

Beliau menyifatkan Mohd Ghafar lebih sebagai abang kepada semua kru MAS, meskipun memegang jawatan lebih tinggi daripada mereka.

Arwah juga sangat prihatin dengan kebajikan anak buah, dan sering bertanya kepada kru seliaannya jika mereka telah makan sebelum memulakan tugas, tambahnya.

“Dia adalah yang terbaik. Tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan arwah….” katanya yang tidak dapat menghabiskan ayat kerana terlalu sedih. – BERNAMA


MH17: Lebih seribu hadir solat jenazah Mohd Ghafar

Lebih 1,000 jemaah menunaikan solat jenazah penyelia penerbangan kabin pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Allahyarham Mohd Ghafar Abu Bakar di Masjid Taman Indah, Ampang hari ini.

Jenazah Allahyarham yang dibawa ke masjid itu pada 10.14 pagi dari kediamannya di Taman Bukit Indah, disambut beberapa anggota 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum diusung beberapa kakitangan MAS dan disembahyangkan pada 10.28 pagi.

Dua orang anaknya Ammar Syarif, 25, dan Afi Hazim, 14, bersama bapa saudara mereka Luqman Abdullah, 49, turut berada di saf hadapan untuk solat jenazah yang diimamkan Imam I Masjid Negeri, Shah Alam, Mohd Hata Ahmad.

Turut bersolat jenazah ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Ketua Umno bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Pada 10.44 pagi, jenazah Mohd Ghafar diusung keluar oleh beberapa kakitangan MAS sambil orang ramai berebut-rebut menyentuh keranda Allahyarham sebagai tanda penghormatan terakhir kepada mangsa sebelum dibawa masuk ke dalam van jenazah.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Taman Kosas untuk dikebumikan.

Jenazah Mohd Ghafar, 54, yang tiba pagi tadi dari Amsterdam dibawa dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke rumah keluarganya dan tiba 9.50 pagi.

Seawal 8.30 pagi kawasan kediamannya mula dipenuhi kenalan dan jiran tetangga yang datang untuk menziarahi arwah.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normi Abdullah, 54, dan tiga anak – Sa'imah Baizura, 29, Ammar Syarif dan Afi Hazim yang juga anak kurang upaya (OKU).

Allahyarham antara tiga lagi mangsa tragedi MH17 yang dibawa pulang hari ini selepas 20 jenazah dibawa pulang Jumaat lepas.

Pesawat MH17, dengan 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di zon bergolak itu namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
– Bernama













IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





Dapatkan produk kesihatan untuk menambahkan kekuatan lelaki
dengan produk kami. Sila klik SINI



7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cara bertafakur seminit anjuran kerajaan UMNO ikut agama APA?

din sg golok berkata...

5.03 ..
cakap LEBIH PUN TAK GUNA..
MUHASABAH DIRI SENDIRI DULU SEJUJURNYA..

Tanpa Nama berkata...

ITU UGAMA UMNO BARU.BERTUJUAN BAGI MENGELAK DARI ORANG TAHU MEREKA INI PENCURI HARTA NEGARA BUAT UGAMA BERTAFKAFUR.MENTERI MULUT BESO BERBUIH TU JADI ULAMAK BESARNYE

Tanpa Nama berkata...


TUAN ADMIN BOLEH DAPATKAN BERITA BAGAIMANA MAYAT MUSLIM MH 17 DINEGARA LAIN DIKENDALIKAN



Unknown berkata...

Bertafakur atau diri sekejap Nabi pernah bust tanda hormat pda jenazah org bukan Islam. Sekian dimaklumkan

hijau berkata...

Soal bertafakur.... tanya ustaz ... imarahkan masjid dan surau... ustaz2 yg bebas bercakap ada jwpanya... selari dgn jwp mufti perlis...

CeritaMama berkata...

Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang2 yang soleh. Amin... Terima kasih sudi share