Bah yang melanda daerah ini awal bulan ini, bagai 'malang tak boleh ditolak, mujur tak boleh diraih', dengan ada yang mengalami kerugian dan ada pula yang meraih rezeki tanpa perlu dicari.
Peribahasa itu menggambarkan keadaan di bengkel-bengkel membaiki kenderaan di daerah ini yang dipenuhi kenderaan bersalut lumpur, menunggu untuk dibaik pulih selepas ditenggelami banjir.
Tinjauan Bernama mendapati ada bengkel yang beroperasi sehingga lewat malam bagi memastikan kenderaan pelanggan dapat dibaik pulih pada kadar segera.
Pemilik bengkel, Hashim Abdul Rahman berkata dalam situasi biasa bengkelnya menyelenggara sekitar lapan kenderaan sehari, namun kini mencecah 20 buah.
"Ada kenderaan yang ditenggelami air sepenuhnya dan ada yang hanya separuh. Dari segi kos baik pulih pula bergantung kepada tahap kerosakan, namun lazimnya paling teruk ialah sekitar RM2,000," katanya kepada Bernama.
Menurut Hashim, bagi memastikan pelanggannya memahami kos yang perlu ditanggung, beliau akan memberi penjelasan mengenai alat ganti yang mungkin perlu ditukar serta kosnya.
"Saya akan lihat komponen yang terlibat, jika masih elok ia tidak perlu ditukar. Kadang-kadang saya perlu mencari alat ganti kenderaan sama ada di Kuantan atau Kuala Lumpur," katanya.
Sementara itu, pengurus pusat servis Agenda Cendana Sdn Bhd, Mohd Fadil Ahmad berkata pihaknya menawarkan diskaun kepada pemilik kenderaan Perodua yang terjejas atas dasar keprihatinan.
"Kami menawarkan potongan sehingga 50 peratus untuk upah yang dikenakan dan 20 peratus potongan bagi alat ganti yang digunakan dan harga istimewa ini hanyalah untuk pemilik kenderaan yang ditimpa musibah banjir," katanya.
Katanya dengan diskaun itu pelanggan hanya perlu membayar sekitar RM1,200 berbanding RM2,500 bagi kenderaan yang rosak teruk dan kurang daripada RM500 bagi kenderaan yang mengalami kerosakan kecil.
"Sehingga kini, kami menerima 90 kenderaan untuk dibaik pulih dan saya jangka bilangannya akan terus meningkat," katanya. - Bernama
1 ulasan:
Duit keluar lagi beb, tapi masih ada manusia umat melayu menyokong BN. Sudah kita warning dulu lu undi juga skg lu terimalah seadanya.
Mengelak dahulu sebelum terkena adalah amalan rakyat malaysia yg pintar. Tapi bagi umat melayu sudah terkena baru nak mengelak. Mengelak dah tak berguna sebab mana mungkin tahi blh bertukar semula menjadi nasi.
Catat Ulasan