3 Nov 2013

Telefon Pemimpin Pakatan Diklon Untuk Sebar SMS Palsu

Yan - Seorang lagi pemimpin Pas menerima mesej berbaur fitnah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) menjelang PRK Dun Sungai Limau, pagi tadi.

Exco Pemuda Pas Pusat, Mohd Firdaus Jaafar berkata, mesej tersebut mungkin dilakukan oleh tangan-tangan hitam sama yang pernah melakukan perbuatan itu kepada tiga pemimpin Pas negeri Kedah dan seorang pemimpin Pas Pusat, baru-baru ini.

Beliau berkata, mesej tersebut pada awalnya telah diterima oleh Setiausaha Muslimat Pas Kawasan Jerai, Zulinda Khamis, kira-kira 9.15 pagi.

Mesej itu menyebut, “kepada pengundi Dun Sungai Limau, sebelum mengundi sila ke Unit Peti Undi (UPU) Pas masing-masing untuk mengambil wang tambang sebanyak RM120 seorang. Terima Kasih daripada Penyelaras PRK Mohd Firdaus Jaafar”.

“Pada jam kira-kira 10 pagi, beliau (Zulinda) telah menelefon saya dan memaklumkan mesej yang beliau terima daripada nombor 019395XXXX. Itu bukan nombor saya dan apabila saya menelefon semula nombor itu, namun tiada jawapan.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak terlibat dalam perbuatan itu. Tambahan pula, dakwaan mengatakan saya adalah Penyelaras PRK juga tidak betul. Saya bukan berada di posisi itu tetapi saya berada di satu unit yang diamanahkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di Markas Induk Pas Kawasan Jerai, di sini, hari ini.

Selepas mendapat khidmat nasihat daripada peguam peribadi, Mohd Jaafar menegaskan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

“Saya menafikan mesej ini dan berharap pengundi-pengundi yang menerima mesej ini ataupun siapa saja, yakinlah bahawa ini adalah fitnah yang dicipta reka oleh musuh.

“Ini bukan agenda kita (Pas) dan saya tidak terlibat secara langsung dalam PRK pun. Mana kita nak cari dana untuk bayar tambang seperti yang didakwa, ini tidak logik. Semua pengundi dibayar RM120 adalah fitnah yang cukup hebat kepada saya sebagai bekas ahli Parlimen Jerai,” katanya. -SH

SMS palsu: Niat keruhkan DAP Kedah


SHAH ALAM - Penyebaran SMS palsu yang melibatkan pemimpin DAP didakwa bertujuan untuk mengeruhkan keadaan parti itu di negeri Kedah, kata Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke.

Loke turut mengesahkan bahawa beliau turut mengetahui perkara itu melalui orang ramai yang turut menerima SMS daripada nombornya semalam.

Menurutnya, perkara itu akan disiasat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Ya saya memang dengar dan ada orang bagitahu saya menerima SMS daripada saya," kata Loke.

"Ini mungkin motif politik dan bertujuan untuk mengeruhkan DAP di Kedah. Kita akan siasat dahulu," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari turut mendapat maklumat mengenai perkara tersebut sekaligus menyatakan akan membuat laporan polis, hari ini.

Zairil mendakwa telah mendapat maklumat daripada beberapa orang awam yang memberitahunya telah menerima SMS daripada nombor telefon yang digunanya.

Menurutnya, perkara itu telah disedarinya pada lewat petang semalam apabila menerima SMS balasan daripada orang ramai.

"Saya akan buat laporan polis sebentar lagi di IPD Pulau Pinang sebab pagi ini saya agak sibuk, ada banyak program.

"Ada ramai orang dapat SMS yang dihantar daripada nombor saya, tapi tidak dihantar daripada saya," jelasnya.

Sinar Harian Online difahamkan, Zairil telah menyedari perkara itu pada 7.45 petang semalam, apabila tiba-tiba menerima SMS respon mengenai emel palsu kononnya yang dikirimnya kepada ahli DAP untuk meraih undi.

SMS tersebut berbunyi: "Saya adalah Melayu. Dan saya mengharapkan sokongan tuan-tuan untuk mengetuai DAP Kedah,".
- SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Nombor Telefon Salahuddin Diklon, Hello Celcom Ni Apa Cerita?

Tiada ulasan: