3 Okt 2013

Tragedi Kenduri Beracun: Pengantin Baru Trauma & Takkan Dapat Lupakannya

Yan – Tragedi keracunan makanan di majlis kenduri perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai, yang meragut tiga nyawa kelmarin menjadi sejarah hitam buat pengantin baru berkenaan.

Hasliyana Yusuf, 22, berkata, dia sedih dengan kejadian dan tidak menyangka majlis raja sehari bertukar menjadi tragedi hitam.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, trauma dan kesal dengan apa yang berlaku pastinya tidak dapat dilupakan.

“Kami sekeluarga begitu gembira dengan majlis yang diadakan memandangkan saya anak pertama yang melangsungkan perkahwinan.

“Namun, kejadian ini berubah menjadi nasib malang buat kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Yan, semalam.

Menurut bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu, keluarganya sendiri turut mengalami keracunan sama.

“Mak, kakak dan adik saya turut mengalami keracunan dan ditahan di wad. Manakala keluarga sebelah suami saya tidak ada yang menerima kesan keracunan itu,” katanya.

Bapa pengantin, Yusuf Ahmad, 55, berkata, masakan yang disediakan kepada tetamu jemputan sempena kenduri itu dimasak oleh kakaknya dengan bantuan saudara-mara lain.

“Juadah yang kami sediakan ialah ayam masak merah, gulai ikan talang, kerabu pucuk paku dan sambal ikan bilis.

“Manakala ayam yang dijadikan juadah ditempah daripada dua pembekal dan satunya membekalkan ayam yang sudah berbau,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain yang juga Adun Tanjong Dawai berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada keluarga yang maut manakala RM200 kepada mangsa yang dirawat di hospital.

Katanya, kerajaan negeri bersimpati dengan peristiwa ini yang merupakan satu tragedi yang tidak diduga sesiapa termasuk tuan rumah.,” katanya ketika melawat 63 mangsa yang masih menerima rawatan di Hospital Yan, semalam. -SH

Kes kerancunan makanan: Keluarga reda

MERBOK - Keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat keracunan makanan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat sebaliknya reda dengan pemergian insan tersayang.

Ibu mangsa, Lijah Mahmud, 70, dari Tanjung Dawai berkata, anaknya, Wan Razali Wan Yaacob, 56, yang menetap di Kampung Banggol, Belau, dekat sini, disahkan meninggal dunia pada jam 7.15 malam kelmarin akibat kegagalan organ dalaman.

Menurutnya, walaupun kejadian berlaku tidak disangka tetapi dia dan keluarga tetap menerima takdir ALLAH.

“Anak makcik ialah anak kedua dari tujuh beradik, anak sulung juga sudah meninggal dunia sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Al-Atiq, Kampung Merbok, semalam..

Wan Razali adalah mangsa keempat meninggal dunia kerana keracunan makanan selepas dikatakan menghadiri kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai.

Mangsa lain termasuk Nurshazana Mohd Rashid, 24; Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, dan Ibrahim Mohamad, 62.
-SH

Tiada ulasan: