Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Sungai Limau, Kedah akan diadakan pada 4 November.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober - yang memberi peluang kepada calon untuk berkempen selama 12 hari termasuk pada hari penamaan.
Abdul Aziz mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media hari ini.
Katanya, SPR membuat pertimbangan agar pilihan raya itu diadakan sebelum peperiksaan SPM, pada 6 November, kerana banyak pusat pengundian dan dewan dimiliki sekolah.
"Kita tidak mahu ganggu susunan meja sekolah," katanya lagi yang menambah, anggota Umno memerlukan masa selepas mengadakan pemilihan parti pada 17 Oktober.
SPR juga mempertimbangkan keperluan penganut agama yang menyambut Deepavali pada 2 November dan Awal Muharram pada 5 November.
Keperluan PAS untuk mengadakan muktamar pada 17 November juga diambil kira, katanya lagi.
Ketika ditanya, Abdul Aziz menafikan bahawa SPR mengambil kira tarikh untuk perdana menteri membentangkan Belanjawan 2013 di parlimen.
Pilihan raya kecil kali ini tidak melibatkan pemilihan awal kerana tiada pengundi polis atau tentera didaftarkan di situ.
Pengundi pos bagi petugas media dan warga Malaysia di luar negara untuk kawasan tersebut boleh mula mendaftar hari ini.
Pegawai daerah Abdul Rashid Othman dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya, dan borang pencalonan akan mula dijual pada 10 Oktober.
Penyandang kerusi tersebut, bekas menteri besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu akibat masalah kesihatan.
Menurut Abdul Aziz, seramai 27,222 individu layak mengundi dalam pilihan ray akecil tersebut, yang terdiri dari 93 peratus Melayu, tujuh peratus Cina dan hanya 57 orang pengundi dari kaum minoriti lain.
SPR akan menggembleng kekuatan seramai 492 orang untuk mengadakan pilihan raya tersebut, yang dijangka melibatkan kos lebih RM1.3 juta.
Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Aziz berkata, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, beliau berkata SPR juga bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
Sementara itu, beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi bahagian pilihan raya berkenaan akan mula dijual pada 10 Oktober.
Beliau berkata para pengundi dalam bahagian pilihan raya berkenaan boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman sesawang SPR, www.spr.gov.my dan melalui SMS dengan menaip SPR
"Para Pengundi boleh menelefon Ibupejabat SPR di Putrajaya 03-88856565 dan Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah 04-700 1313," katanya.
Bagi maksud permohonan undi pos pada pilihan raya kecil ini, Abdul Aziz berkata warganegara Malaysia yang berada di luar negara, pegawai dan petugas pilihan raya serta petugas media boleh membuat permohonan undi pos mulai 3 Oktober dengan memuat turun borang permohonan dari lamanweb SPR.
"Tarikh tutup permohonan undi pos bagi warganegara Malaysia di luar negara ialah pada Hari Penamaan Calon.
"Bagi petugas pilihan raya dan petugas media, tarikh tutup permohonan undi pos ialah dua hari selepas Hari Penamaan Calon," katanya.
Mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata jenis dakwat dan cara penggunaan adalah sama seperti dalam pilihan raya kecil Kuala Besut.
"Pengalaman penggunaan dakwat kekal di sana begitu baik dan kita tidak menerima sebarang aduan. Jadi cara dan dakwat yang sama akan digunakan pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya. -mk
2 ulasan:
Tak payah nak sakitkan badan dan otak.Letak aje calun ulamak.Semua gerak kerja dan perancangan serah pada Dewan Ulamak.Mat Sabu jangan sibuk nak ceramah sana-sini.Duduk aje dirumah main dengan cucu.Kamu sudah tidak diperlukan oleh gulungan ulamak.Sebaik-baiknya Din Ayam jadi Pengarah Pilihanraya Sg.Limau macam dia buat di Kota Damansara.
Letak calun ulamak.Biar Dewan Ulamak uruskan semua gerak kerja pilihanraya Sg.Limau.Yang bukan ulamak tak perlu menyibuk diSg.Limau.
Catat Ulasan