2 Okt 2013

"Ayam Busuk" Dikenalpasti Punca Keracunan Makanan Yang Sebabkan 4 Maut

Sungai Petani - Bakteria salmonela dikenal pasti terkandung dalam hidangan ayam goreng masak merah yang disediakan secara gotong-royong sehingga menyebabkan kematian, BERNAMA dipetik.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, sebahagian daripada 130 bekalan ayam yang dihantar untuk majlis perkahwinan di Kampung Huma, Tanjung Dawai Sabtu lalu juga didapati sudah busuk.

Menurutnya, hasil laporan siasatan terperinci yang dilakukan mendapati ayam yang busuk diasingkan manakala sebahagian yang masih elok digunakan untuk memasak.

Katanya berdasarkan keterangan tuan rumah, kira-kira 130 ekor ayam dibeli pada Jumaat dan digoreng sebelum disimpan di dalam sebuah bilik pada suhu biasa.

"Ini menyebabkan ayam tersebut dicemari dan dijangkiti bakteria Salmonella. Ayam itu berbau bila hendak dimasak keesokan harinya, tetapi tuan rumah mahu memasak kerana bimbang makanan untuk tetamu tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata mangsa yang makan makanan tercemar itu tidak mengalami simptom keracunan pada kadar segera sebaliknya bakteria Salmonella hanya meragam selepas lebih 12 jam sebelum menjadi keracunan, menyebabkan mangsa mengalami cirit-birit, loya, muntah, perut memulas dan kehilangan air dalam badan secara teruk.

“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa kehilangan banyak air dalam badan dan lebih serius boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih kurang 270 mangsa menerima rawatan di beberapa hospital di negeri ini dan dua daripadanya masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Pada Isnin, tiga mangsa keracunan makanan meninggal dunia selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin itu manakala semalam (Selasa) seorang lagi meninggal dunia.

Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, yang meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam dan Mohammad Nor Rahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1 petang.

Seorang lagi mangsa Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di HSAH kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin.

Semalam, Wan Razali Yaakob, 56, dari Kampung Banggol Belau, Merbok disahkan meninggal dunia pukul 7.15 malam selepas dimasukkan ke ICU HSAH pagi kelmarin.

Menurutnya, di HSAH, seramai 127 pesakit mendapatkan rawatan di mana 38 dimasukkan ke wad manakala 89 sudah dibenarkan pulang.

Sementara itu, katanya, di Hospital Daerah Yan, seramai 138 kes dirawat di mana 62 ditahan wad manakala 68 sudah dibenarkan pulang.

Katanya, seramai 18 kes dirujuk di lain-lain hospital.

Ismail bagaimanapun meminta orang ramai yang mengunjungi majlis kenduri terbabit supaya membuat pemeriksaan segera bagi memastikan tahap kesihatan mereka.


MAKLUMAT TAMBAHAN




5 ulasan:

badin berkata...

Ada baiknya jamuan beracun ni dihidangkan kepada najib and the gang .

Tanpa Nama berkata...

Adakah orang yg bernama 'najib and the gang' itu yg menyuruh 'tuan rumah yg takut hidangan tak cukup untuk tetamu' itu memasak ayam2 busuk itu?
lu buatlah sebanyak mana pun kesalahan atau kesilapan lepas tu salahkan org lain. Ajaran islam tak macam ini...

Tanpa Nama berkata...

Kenangan pahit buat pasangan pengantin setiap kali menyambut ulang tahun perkahwinan mereka. Moga pasangan ini kekal hingga akhir hayat & Alfatihah buat yg pergi.

Tanpa Nama berkata...

Tak sekolah punya komen

Tanpa Nama berkata...

Setuju