21 Sep 2013

[VIDEO] Banteras Jenayah Ragut, Bukan Sibuk ‘Jaga’ Abu Mayat


Polis perlu serius membanteras jenayah ragut yang berleluasa, bukan sibuk mencegah kemasukan abu mayat individu lain, kata Haniza Talha.

“Saya gesa masyarakat mendesak pihak keselamatan meningkatkan usaha membanteras kes ragut. Bukan tunggu di sempadan Thailand untuk pastikan abu mendiang Chin Peng tidak masuk ke negara ini.

“Sebaliknya lebih fokus kepada keselamatan masyarakat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan.

Beliau berkata demikian pada sidang media kes kematian seorang wanita akibat jenayah ragut pada 12 September lalu di Taman Sri Manja di sini, semalam.

Pada 12 September lalu, Go Lee Koon, 27, seorang ejen bank diragut beg tangannya oleh dua lelaki bermotosikal berhampiran Sri Manja Court, kira-kira jam 9 malam.

Mangsa yang cuba mengelak beg tangannya diragut, cedera di kepala akibat terkena batu pembahagi jalan dan dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia selepas lima hari koma akibat pendarahan serius dalam otak.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian mahu polis lebih serius mengawal jenayah berikutan kes ragut semakin menjadi-jadi.

“Penduduk takut untuk keluar terutama pada waktu malam kerana khuatir keselamatan dan nyawa mereka terancam. Polis perlu bertindak segera,” katanya.

Beliau mengulangi desakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meluluskan cadangan menambah anggota polis bantuan di Petaling Jaya bagi memerangi jenayah.

“Memang KDN luluskan polis bantuan untuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tapi ia terhad bagi menjaga bangunan MBPJ sahaja.

“Kita tidak mahu polis bantuan yang hanya jaga bangunan, kita mahu kelulusan bagi membolehkan mereka membantu polis menjaga keselamatan penduduk,” katanya.

Bapa mangsa, Go Hong Zhen, 65, berharap polis memandang serius kes yang menimpa keluarganya supaya kejadian sama tidak berulang.

“Saya terima (kematian anak) dengan hati yang terbuka. Saya tidak dapat ubah takdir ini. Namun, saya harap polis jagalah nyawa orang lain, jangan sampai jadi kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, kes ragut bukan kes terpencil, malah hampir setiap hari kes seumpama itu berlaku di Taman Sri Manja di sini.

“Penduduk dalam ketakutan. Hari ini anak saya diragut dan mati. Esok lusa bagaimana pula dengan nasib penduduk yang lain,” katanya, sebak. -selangorku


1 ulasan:

anti munafik berkata...

polis akan setia jaga abu pada PARTI ABU dan B angkai N egara.