11 Sep 2013

Menjelang Muktamar: Media Telah Mula Berusaha Lagakan Pemimpin PAS


Saya cakap lain mereka tulis lain - TG Nik Aziz

KOTA BHARU: “Akhbar tulis tu tidak betul, saya cakap lain mereka tulis lain. Bukan saya sebut tidak perlu pilih bukan ulama, kerana semuanya dalam PAS dipanggil ulama.

“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksi terbarunya.

Beliau ditemui hari ini ketika menghadiri persidangan khas Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Baru-baru ini akhbar arus perdana cuba memberi gambaran Mursyidul Am mahu ulama dipilih menduduki jawatan Timbalan Presiden PAS.

Laporan tersebut dilihat banyak pihak seperti ada agenda tertentu bagi melaga-laganya kepemimpinan dalam PAS dengan mengasingkan golongan profesional dan ulama.

Polemik tersebut seperti sengaja diuar-uarkan memandangkan muktamar tahunan PAS dijangka berlangsung pada akhir November hadapan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, ulama adalah mereka yang boleh bercakap dengan dalil al Quran dan Hadis biar pun bertali leher atau memakai songkok.

“Percakapan dia berdasar kepada al Quran dan Hadis. Ada pihak sekarang sengaja hendak pelaga-lagakan ulama dan professional. Mereka ini orang yang berfikiran kebangsaan.

“Ini bukan cara memberi ilmu kepada rakyat tentang gerakan Islam. Kita bangun berucap bukan pandai-pandai kita sendiri. Orang pertama yang membuat ucapan ialah Nabi Muhammad saw.

“Jadi bila berucap kita sambung apa yang diberitahu Nabi Muhammad saw dengan membawa dalil al Quran dan Hadis. Ini barulah kita benar-benar jadi pendokong gerakan Islam, bukan sekadar ahli PAS sahaja,” ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, mana-mana pemimpin PAS berucap hendaklah diikat dengan nas al Quran, Hadis dan Sirah. -HD


Media perdana racun kempen muktamar PAS


Setiap kali menjelang muktamar PAS, akhbar tradisional terutama yang dimiliki Umno, Utusan Malaysia akan habis-habisan mempromosi barisan tertentu dalam PAS.

Ketika hari biasa, pemimpin PAS ialah golongan yang paling dicemuh akhbar ini.

Serangannya pada Murshidul Am PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin PAS lain yang mengkritik Umno sebegitu dahsyat ketika bukan musim muktamar terutama menjelang pilihan raya umum. Pelbagai label jijik digunakan untuk mencemuh mereka.

Tetapi menjelang muktamar, akhbar Umno ini akan bertukar nada dan memberikan liputan meluas yang kononnya untuk mempromosikan golongan tertentu dalam PAS.

Mungkinkah akhbar yang digunakan Umno untuk menghancurkan PAS selama ini tiba-tiba di saat muktamar menjelang sudi menjadi akhbar lidah golongan tertentu yang didokongnya dalam PAS?

Sudah tentu tidak. Yang mereka berminat hanya peluang ini digunakan untuk menyuntik racun kepada jamaah PAS.

Seeloknya jamaah PAS hancur akibat racun ini.

PAS adalah musuh tradisi dan ancaman terbesar bagi Umno. Setelah gagal mengajak PAS bersama berkali-kali, percayalah langkah seterusnya ialah menghancurkan PAS dari dalam dan luar.

Dan cara paling berkesan ialah melaga-lagakan pemimpin PAS dengan mengambil kesempatan pada sentimen ahli PAS yang giat berkempen untuk pemimpin kesukaan mereka menjelang muktamar ini.

Akan dijemputnya bekas pemimpin PAS dan penganalisa politik pro-kerajaan untuk membuat kenyataan berbau provokasi untuk menghangatkan lagi suasana dan melagakan lagi pemimpin PAS.

Akan dibuatnya laporan yang disengetkan, kemudian memerangkap pemimpin PAS yang tidak sedar mengenainya untuk membuat komen yang melagakan untuk melemahkan ukhuwah dalam jamaah PAS.


Jika itu tidak menjadi, akan disuruh wartawannya untuk memasang soalan perangkap untuk menunggu kesilapan yang boleh disensasikan untuk melagakan pemimpin PAS.

Seeloknya dilagakan sehingga bukan muka saja bengkak, lebih baik kalau seluruh badan lumpuh.

Oleh itu, semua pemimpin PAS harus berwaspada. Apa-apa saja liputan yang diberikan Utusan membawa nada jijik. Apa yang muncul di dada laporan Utusan terus dipandang serong.

Liputan Utusan bakal menyusahkan daripada menolong golongan yang ingin dibantunya. Begitu juga laporan di akhbar The Star, yang sudi memberikan liputan besar-besaran kepada golongan tertentu dalam PAS.

Yang berhasrat nak bertanding mahupun mempertahankan jawatan jangan dok seronok membuat kenyataan media mengenai pertandingan di muktamar. Musuh kamu menanti kesilapanmu.

Ingatlah, asalkan kamu sudi berlaga, liputan akan diberikan seluas-luasnya.

Jadi berwaspadalah, wahai pemimpin PAS. Musuhmu hanya ingin menikmati drama tarian pincangmu.
-Timmy Say

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Biasalah tu Umat Melayu amat tidak senang kalau dia orang lihat gerakan Islam makin hari makin berkembang di Malaysia. Sama macam Umat FREEMASON di Mesir ibarat aur dengan tebing.

Tanpa Nama berkata...

Soal ulamak dengan profesional dalam PAS ni dimulakan oleh beberapa orang muda dlm PAS yg baru menang dalam PRU yg lepas.Baru sekali menang jadi wakil rakyat depa dah berasa hebat.Akhbar-akhbar UMNO memang tunggu dan menyucuk .Tiada masaalah besar, kalau geng ni nakkan semua jawatan-jawatan besar seperti Tim.Presiden dan 3 jawatan Naib Presiden dipegang oleh ulamak bagilah pada ulamak.Kita nak tengok apa akan terjadi pada PAS diPRU akan datang.Ingat!sendiri cari pasal, sendiri tanggung.Elok Mat Sabu, Dato Husam, Dato Mahfuz dan Sallehuddin Ayub tarik diri jangan pertahankan jawatan.Berikan semua kpd ulamak.