31 Jul 2013

Peruntukan Berbilion Untuk PDRM, Tapi Zahid Kata Polis Masih Kurang Anggota & Peralatan

Polis tidak boleh dipersalahkan

PUTRAJAYA: Polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya semua pihak perlu memahami bahawa polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.

“Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kuppa di pejabatnya di sini hari ini, sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.

Semalam Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain dua kes berprofil tinggi itu, satu lagi kes tembak dilaporkan semalam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyebabkan seorang cedera dan pada Ahad malam pula seorang lelaki maut dan dua parah ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh.

Sambil mengakui bahawa antara faktor peningkatan kadar jenayah berpunca daripada pembebasan tahanan di Simpang Renggam, Ahmad Zahid berkata kementerian menerusi pelbagai agensinya akan mempertingkat kawalan keselamatan di sempadan negara yang menjadi lokasi untuk menyeludup senjata.

Kementerian juga akan mempertimbangkan pembelian peralatan baharu untuk anggota polis dan menambah lebih banyak litar kamera tertutup (CCTV) bagi membanteras kejadian jenayah pada masa depan, katanya.

Mengenai penyebaran fahaman Syiah di Malaysia, Ahmad Zahid berkata kementerian akan bekerjasama dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk mengekang fahaman itu. -Bernama


Polis Sambut Baik Peruntukan RM5.4 Bilion


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Peruntukan RM5.4 bilion untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Bajet 2009 menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkasakan PDRM, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Katanya peruntukan tersebut akan digunakan sebaik mungkin oleh PDRM, terutamanya dalam aspek pengurusan dan pembangunan PDRM yang lebih sistematik.

"Peruntukan ini dapat kita gunakan bagi membeli peralatan baru untuk pencegahan jenayah dan pembinaan balai-balai polis yang berkemudahan lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ismail juga berkata langkah menaikkan elaun bayaran insentif khas untuk anggota PDRM daripada RM100 kepada RM200, juga akan menaikkan lagi semangat anggotanya untuk bekerja dengan penuh semangat.

Beliau berkata PDRM juga menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi galakan cukai ke atas pemasangan alat kawalan keselamatan di premis kilang dan pengesan kenderaan bagi meningkatkan keselamatan barangan.

"Alat kawalan keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) amat penting dalam penyelesaian kes-kes jenayah. Saya percaya CCTV yang lebih berkualiti dan berteknologi dapat dipasang oleh premis-premis selepas ini," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata Elaun Modal Dipercepatkan untuk alat kawalan keselamatan akan memberi peluang kepada sektor swasta untuk memasang lebih banyak CCTV bagi mencegah jenayah yang kian meningkat.

"Kalau dulu hanya kilang dapat elaun terbabit, tetapi sekarang semua pihak seperti hotel dan bank pun dapat. Maka semua pihak terbabit akan memasang CCTV atau alat penggera yang berteknologi tinggi.

"Dengan ini pemilik premis hotel, kilang dan bank dapat memantau operasi seharian mereka dengan efisyen dan ini sama sekali dapat meminimakan kadar jenayah," katanya.

Beliau juga berpendapat peruntukan RM220 juta untuk pembinaan balai polis dan pondok polis baru di seluruh negara dapat meningkatkan prestasi anggota polis dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.-- BERNAMA



Bajet 2013: RM591 juta jayakan usaha kurangkan jenayah: Najib


KUALA LUMPUR: Usaha menambah bilangan jawatan baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara langkah untuk mengurangkan jenayah dengan peruntukan berjumlah RM591 juta disediakan tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebanyak 1,000 buah motosikal juga akan disediakan dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

"Selain itu, sejumlah RM70 juta akan diperuntuk untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) seramai 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini. Najib berkata, peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Katanya, penambahan anggota itu penting sebagai persediaan kementerian untuk berhadapan dengan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformsi Kerajaan (GTP) Mengurangkan Jenayah yang akan memberi tumpuan jenis jenayah dan kawasan yang lebih luas serta penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dalam usaha mencegah jenayah.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan akan diberikan geran berjumlah RM10,000 bagi menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan yang dilakukan persatuan terbabit.

Najib berkata, kerajaan juga menyasarkan penubuhan 6,500 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baharu bagi mempertingkatkan peranan KRT dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan.

Katanya, bagi pemberian geran kepada persatuan penduduk, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta, manakala RM39 juta disediakan untuk membiayai aktiviti KRT di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan imej Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), seramai 300,000 anggota Rela yang aktif akan dibekalkan dengan sepasang pakaian seragam melibatkan peruntukan sebanyak RM90 juta. - BERNAMA


ULASAN GB

Apakah peruntukan berbilion-bilion untuk polis selama ini masih belum mencukupi untuk mengatasi kekurangan anggota dan peralatan PDRM?

Atau apakah jawapan Zahid itu semata-mata satu helah untuk menutup kelemahan PDRM yang beliau sebagai Menteri KDN?

Sekarang kejadian tembak-menembak (sehingga menyebabkan kematian & kecederaan parah) semakin menjadi-jadi tetapi pihak polis mendabik dada dengan angkanya yang menyatakan "kadar jenayah semakin menurun dan Menteri KDN sebelum ini pula membuat perisytiharan menyatakan negara Malaysia paling selamat di Asia Tenggara.

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan, dan nampaknya perisytiharan dan pengiktirafan yang kononnya Malaysia negara paling selamat dan paling aman adalah berdasarkan kepada statistik palsu untuk menutup kepincangan dan kelemahan PDRM.

Dan seperkara yang perlu direnungkan ialah, kejadian jenayah berleluasa sehingga negara menjadi seperti sangkar samseng bermaharajalela sekarang ini adalah kerana kita mempunyai seorang Menteri KDN yang mempunyai rekod jenayah memukul orang awam yang kesnya masih berjalan di mahkamah.

Dan kita mempunyai seorang KPN yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai orang bertanggungjawab terhadapematian tahanan di dalam penjara!

3 ulasan:

Awanama berkata...

peruntukan besar..komisyen pun besar..kiri kanan sapu lastly ini jadinya..perabih duit rakyat sahaja.. xpa negara kita masih aman..

Awanama berkata...

Banyaknye peruntukan tapi nampak macam tu jugak...

Awanama berkata...

tapi cukup bila musim perayaan..byk kon2 tgh jln..tak caya ka..tgk la nanti korang balik raya minggu depan.