Debaran Sidang Parlimen Ke 13


Melihat pada senarai anggota Parlimen yang bakal bersidang 24 Jun ini, perdebatan di Dewan Rakyat pasti hangat dengan pihak kerajaan dan pembangkang dijangka menyambung semula “pertarungan belum tamat” semasa pilihan raya umum yang sudah berlalu.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 133 kerusi berbanding 89 kerusi oleh pakatan pembangkang, perbezaan 44 kerusi.

Jika ditolak 55 wakil BN yang dilantik dalam Kabinet dan mengisi jawatan timbalan menteri, barisan penyokong kerajaan hanya tinggal 78 orang.

Antara muka baru yang dijangka menjadi ‘ayam sabung’ pembangkang ialah Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Mohamed Hanifa Maidin (Pas-Sepang), Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu), Mohamad Idris Jusi (PKR-Batu Pahat), Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil).

Bagi pihak BN pula, tiada lagi suara lantang Datuk Mohamad Aziz, bekas anggota Parlimen Seri Gading (tidak bertanding) atau Datuk Abdul Rahman Dahalan yang sebelum ini lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, setelah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Begitu juga Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Khairy Jamaluddin yang kini Menteri Belia dan Sukan, dan penyelaras sayap Putera MIC, P. Kamalanathan yang dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Kedua.

Bagaimanapun beberapa nama seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Rompin), Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Noh Omar (Tanjong Karang), Chua Tee Yong (Labis), Datuk Ir Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dijangka memainkan peranan sebagai pertahanan BN di Dewan Rakyat.

Berbeza sebelumnya, tidak ada anggota Parlimen ‘tidak berparti’ (Bebas) dipilih sebagai wakil rakyat dalam Parlimen ke-13. Pertama kali dalam sejarah

Selain itu buat pertama kali dalam sejarah, barisan kabinet tidak mempunyai penyertaan daripada MCA dan Gerakan, selepas kedua-dua parti itu menolak jawatan dalam kerajaan setelah dibadai kekalahan teruk pada PRU13.

Manakala MIC mengisi empat portfolio kementerian dengan dua menteri penuh iaitu Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, timbalannya Dr S. Subramaniam (Menteri Kesihatan), naib presiden Datuk M. Saravanan (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) dan P. Kamalanathan (Timbalan Menteri).

Dengan ketiadaan wakil MCA, G.Palanivel dijangka akan mengisi kerusi bersebelahan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun menurut sumber Parlimen, susunan kerusi di Dewan Rakyat belum muktamad.

Tumpuan juga diberi kepada beberapa muka baru dalam kabinet transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, antaranya tokoh berpengalaman seperti Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Halimah Mohd Saddique manakala muka baharu ialah Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Datuk Paul LowSeng Kuan, P. Kamalanathan, Datuk Mary Yap Kain Cheng dan P. Waythamoorthy serta yang muda seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Abdul Wahid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (UPE); dan Low, presiden Transparency International Malaysia, juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mengetuai Biro Pengaduan Awam, selain menguruskan hal-hal berhubung rasuah dan integriti.

Sabah dan Sarawak

Selain itu seramai 17 wakil Sabah dan Sarawak turut dipilih menganggotai kerajaan pusat dengan jawatan menteri dan timbalan menteri, mengambil kira sumbangan mereka dalam PRU13.

Sebelum Parlimen dibubarkan untuk PRU13, barisan kabinet dianggotai 11 wakil Sarawak dan Sabah.

Selain itu, tujuh anggota Parlimen wanita turut diiktiraf apabila dua orang dinamakan sebagai menteri iaitu Datuk Rohani Abdul Karim dan muka baru Nancy Shukri, dan lima sebagai timbalan menteri iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Noriah Kasnon, Datuk Halimah Mohamad Sadique, Datuk Azizah Mohamad Dun dan pendatang baru dalam arena politik iaitu Datuk Mary Yap Kain Ching.

Senator Low dan Mary Yap merupakan wakil masyarakat Cina dalam kabinet setelah MCA dan Gerakan memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.

Berdasarkan Peraturan 1 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Majlis Mesyuarat selepas pilihan raya akan melaksanakan urusan-urusan utama pada hari pertama.

Urusan utama itu termasuk memilih Yang di-Pertua Dewan Rakyat; Yang di-Pertua mengangkat sumpah; anggota mesyuarat mengangkat sumpah dan memilih timbalan-timbalan Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat boleh dipilih di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat ataupun bukan di kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang mempunyai kelayakan.

Pada penggal lepas jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dibantu dua timbalan Yang di-Pertua iaitu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee.

Wan Junaidi, 66, bagaimanapun telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 16 hari bermula 24 Jun depan. -inikalilah

0 comments:

View Comments/Post a Comment




Tajuk-tajuk Terbaru di Kelab GB: