25 Feb 2013

Siaran Lansung: Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke-4 [updated]


Shah Alam: Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 telah bermula di Pusat Konvensyen Shah Alam dengan penuh warna warni.

Menjelang konvensyen bermula pelbagai persembahan kebudayaan dipersembahkan bagi menyambut semua yang hadir.

Dari tarian suku kaum di Sabah dan Sarawak hinggalah ke serunai dan gendang Melayu, tarian singa dan persembahan serunai India.

Ia melambangkan kepelbagaian kaum dan budaya yang diraikan oleh Pakatan Rakyat sebagai sebuah pakatan yang bakal mentadbir negara yang terdiri dari kepelbagaian kaum, agama dan budaya ini.

Konvensyen kali ini adalah yang terakhir menjelang pilihanraya umum ke13 yang bakal berlangsung.

Tema konvensyen ini adalah Pakatan Harapan Rakyat melambangkan kesungguhan gabungan ini untuk memberikan harapan baru kepada rakyat Malaysia.

Anwar, Hadi & Guang Eng ketuai pimpinan Pakatan di Konvensyen

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengetuai parti masing-masing pada Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini.

Ketibaan mereka pagi ini diiringi persembahan silat diikuti acara kebudayaan Malaysia.

Sebaik ketiga-tiga mereka mengambil tempat, majlis diteruskan dengan lagu Negaraku, seterusnya bacaan doa.

Abdul Hadi dan Guan Eng dijadual menyampaikan ucaptama mewakili parti masing-masing antara jam 11.55 pagi hingga 12.35 tengah hari, diikuti gimik persembahan.

Ucaptama Anwar mewakili KEADILAN pula berlangsung mulai jam 12.40 petang, disusuli bacaan ikrar dan nyanyian Negaraku.
-KD


Konvensyen PR: PAS sedia 'ramuan' kemenangan PRU13

PAS sudah bersedia dengan 'ramuan-ramuan' kemenangan bagi menghadapi PRU-13 yang akan diadakan paling lewat 60 hari dari sekarang.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli berkata, ramuan kemenangan itu termasuklah menyelesaikan serta menggerakkan pembentukan jentera parti yang sedia bertempur bila-bila masa sahaja.

"798 kerusi DUN dan parlimen sudah selesai diputuskan dan akan masuk PRU kali dengan satu lawan satu dengan BN," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di SACC pagi ini.

Beliau berkata, parti-parti politik di negara ini berkempen selama lima tahun memandangkan tarikh pilihan raya sudah menjadi amalan pimpinan negara, dirahsiakan.

"Kalau kita tahu bila PRU, kita tidak perlu habis masa selama lima tahun untuk berkempen, kita tidak tahu tarikh, jadi kita perlu berkempen sepanjang masa," katanya.

Hatta berkata, Pakatan Rakyat harus bersedia dengan segala bentuk penipuan yang akan berlaku dalam PRU nanti.

"Kita di malaysia mempunyai krisis keyakinan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau SPR bebas kita tidak ada masalah, tetapi kita hilang keyakinan dan tidak boleh ada pilihan lain, kita kena bersedia dengan penipuan," katanya.

Apa yang penting katanya, PAS, PKR dan DAP akan menyertai pilihan raya ini sebagai gabungan mantap bagi mengambil alih kerajaan.

Malah katanya, Pakatan Rakyat juga memutuskan masa depan politik negara akan ditentukan oleh rakyat negara.

Justeru, kerjasama Pakatan Rakyat dengan rakyat Malaysia yang prihatin sama ada individu atau NGO akan mempastikan bahawa mereka yang turun mengundi adalah rakyat Malaysia.
-HD

14 tawaran Pakatan untuk kesejahteraan rakyat

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi sedang gaji dan upah tidak meningkat, malah generasi kini adalah lebih miskin dari generasi sebelumnya, generasi mendatang lebih miskin dari generasi kini.

Atas keprihatinan ini Pakatan Rakyat mengutamakan Kesejahteraan Rakyat yang merupakan salah satu cabang daripada Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan hari ini.

Cabang Kesejahteraan Rakyat ini dibentangkan Pengarah Strategi PAS Pusat Dr Dzulkifli Ahmad di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut Dzulkifli, perbelanjaan asas setiap isi rumah dibebankan dek struktur harga yang berpihak kepada kroni dan syarikat besar, ekonomi negara dikuasai oleh beberapa monopoli yang dimilki kroni dan syarikat besar.

"kemungkaran ekonomi yang menindas rakyat seperti ini perlu ditentang sekeras-kerasnya," kata beliau.

14 tawaran yang digariskan dalam cabang Kesejahateraan Rakyat iaitu;

- Harga minyak turun
- Caj elektrik lebih rendah
- Caj air lebih rendah
- Hapus tol
- Hapus monopoli
- Turunkan harga kereta
- 150,000 rumah selesa mampu milik
- Perbadanan Perumahan negara: pelaburan RM5 bilion tahun pertama dan RM2 bilion setahun selepas itu untuk bina rumah selesa mampu milik.
- Pendidikan percuma untuk semua, hapus PTPTN
- Hapus AES. Batalkan saman AES
- Keadilan untuk warga Felda
- Tingkatkan guna tenaga polis untuk banteras jenayah
- Perkhidmatan wad percuma (kelas 1 dan 3) di semua hospital kerajaan
- Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dinaikkan kepada RM550 sebulan.
-HD


Pakatan buktikan perpaduan, tolak perkauman -TG Hadi


Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Pakatan Rakyat telah membuktikan perpaduan dan muafakat yang erat walaupun kadang-kadang berbeza pendapat.

"Kita buktikan perpaduan walaupun bertelingkah, berdebat, boleh berbalah, tetapi kacau gula, kopi dan teh tidak memecahkan cawan itu," katanya yang diikuti tepukan gemuruh lebih 1,500 perwakilan yang memenuhi dewan SACC.

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar Pakatan Rakyat memelihara perpaduan yang dibina selama ini kerana parti lawan sedia untuk mengambil kesempatan.

"PAS, DAP dan PKR bergaduh, yang kenyang BN," katanya.

Abdul Hadi juga, turut menegaskan lima perkara yang menjadi harapan rakyat di mana Pakatan Rakyat mesti melaksanakannya.

Lima perkara tersebut, perpaduan masyarakat majmuk, adil terhadap semua, demokrasi hak rakyat sebenar, kehebatan perlembagaan dan undang-undang yang adil dan kerajaan yang bersih.

"Inilah harapan rakyat, kita perlu sedar dan faham lima perkara ini yang menjadi harapan rakyat," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat.

Jelas Abdul Hadi, semua kaum yang ada di Malaysia telah menerima hakikat masyarakat majmuk melalui Pakatan Rakyat yang telah diterjemahkan melalui PRU-12 pada 2008 lalu.

"Apabila orang Melayu Islam yang kuat PAS boleh mengundi calon DAP dan PKR dari kalangan bukan Islam.

Apabila orang kuat DAP dan berbagai kaum dan agama boleh undi calon PAS dan PKR dari kalangan Melayu Islam.

Mereka sedia mengalahkan calon dari bangsa mereka sendiri," katanya.

Senario ini, katanya, Pakatan Rakyat telah berjaya memecahkan fanatik perkauman yang dihidupkan oleh BN selama ini, sudah dianggap tidak relevan lagi.

"Kita terima berbagai kaum satu adunan yang baik, pelbagai budaya dan pengalaman disatukan.

Kita boleh bina kekuatan Pakatan Rakyat dengan satukan berbagai kaum di atas konsep dalam perlembagaan yang tak mampu dibuat oleh BN,"katanya.




4 ulasan:

Amuraria berkata...

tahniah pakatan rakyat ! hapuskan kerajaan haram jadah perasuah sekutu apco ! ABU sahaja penyelamat negara !

Tanpa Nama berkata...

Diharap konvensyen ini akan keluarkan kenyataan Pakatan Rakyat mau DSAI terus jadi PM sekiranya Pakatan Rakyat berjaya kePutrajaya.Dengan kenyataan ni grass-root Pakatan Rakyat akan lebih giat dan bersemangat untuk bekerja.

Tanpa Nama berkata...

mampuih umno/bn kali ni...

Tanpa Nama berkata...

Tiada upah untuk hadir, perhimpunan pertahan kalimah allah UMNO/PERKASA, upah penagih dan mat rempit?