15 Dis 2012

DAP Anggap PAS Rakan Sekutu Penting Dalam PR

PAS sekutu penting dalam Pakatan, kata Karpal

Pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini menyatakan penghargaan secara terbuka ke atas kerjasama PAS dalam Pakatan Pakatan Rakyat.

Karpal menyifatkan PAS sebagai "sekutu penting" yang "berprinsip tegas" walaupun kadang kala berbeza pandangan dengan DAP.

"PAS adalah sekutu penting dalam Pakatan Rakyat. Kita mungkin ada pandangan berbeza dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip tegas dan parti yang DAP sangat percayai di samping PKR," katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian DAP yang menyokong ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

"DAP menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia," kata Karpal ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres ke-16 parti itu di Pulau Pinang, pagi ini.

Sementara itu, setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata calon perdana menteri itu hanya boleh diputuskan selepas proses penamaan calon pilihan raya umum ke-13 kelak.

Laporan Bernama menyebut, Mustaf berkata calon perdana menteri itu mesti dipilih dalam kalangan calon yang bertanding dan menang dalam pilihan raya berkenaan.

"Saya fikir masa paling baik untuk mengumumkannya ialah selepas penamaan calon kerana orang yang mahu menjadi perdana menteri perlu dipilih. Dia mesti jadi calon (pilihan raya) dan menang baru boleh (dipilih jadi perdana menteri)," katanya seperti dipetik agensi itu. -mk

DAP bersama Pas kerana prinsip


DAP, yang mengadakan kongres tahunan hari ini, yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menegaskan, asas parti itu mendekati dan bekerjasama dengan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) bukanlah kerana negara Islam atau hudud, tetapi atas prinsip menggalakkan demokrasi, pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak-hak wanita dan pembangunan negara.

Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, negara sekarang berada di persimpangan jalan, sama ada mahu mengekalkan hegemoni Umno dan Barisan Nasional (BN) atau menukar landskap politik dengan mewujudkan dua parti sistem.

"Hubungan kami dalam PR, bersama dengan PKR, adalah sama rata (seimbang) di mana kami menghormati persamaan dan perbezaan satu sama lain.

"Itu sebabnya pemimpin-pemimpin DAP telah menyampaikan pendirian kami berkenaan dengan salun rambut Kelantan kepada kepimpinan Pas dari awal-awal lagi meskipun kami tidak mengumumkan menerusi media,"
katanya lagi.

Walaupun mengakui tugas PR pada PRU13 sukar kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya penambahan 30 kerusi Parlimen lagi daripada yang dimenangi pada tahun 2008 lalu, sebelum menawan Putrajaya.

Kongres tahunan kali ini juga menyaksikan pemilihan barisan kepimpinan parti.

Malah katanya, berdasarkan kepada situasi semasa, BN dilihat lebih mudah untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga selepas gagal pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, keputusan pilihan raya boleh berubah pada bila-bila masa kerana dengan kerja keras, kemenangan PR pada PRU13 bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Tetapi untuk langkah selamat, kerajaan pusat yang berdaya maju dan tahan lama, PR tidak boleh hanya mengharapkan kepada majoriti tipis di Parlimen. PR perlukan kemenangan yang lebih besar dan kukuh pada PRU13.

“Tugas BN lebih mudah, mereka hanya perlukan lapan kerusi Parlimen untuk mendapatkan semula dua pertiga dalam Dewan Rakyat,” katanya dipetik dari blognya, semalam.

Baru-baru ini, Kit Siang dalam satu kenyataan menyatakan keyakinan PR boleh memperoleh 125 kerusi Parlimen, iaitu majoriti tipis untuk membentuk Kerajaan Pusat, dengan tiada parti komponen yang mempunyai kuasa hegemoni.

Kata Kit Siang lagi, dalam senario PR menang sebanyak itu, PKR boleh memperoleh sehingga 45 kerusi, manakala DAP dan Pas masing-masing 40 kerusi.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur turut membidas pendapat sesetengah pihak yang mendakwa pemimpin DAP takut kepada Pas dan juga sebaliknya.

“Ia adalah pembohongan, sama juga seperti dakwaan mengatakan Melayu atau Cina akan ditekan di bawah kerajaan PR Untuk PR, kami komited untuk memberi khidmat terbaik untuk seluruh rakyat,” katanya.

Namun katanya lagi, cuma mengharapkan kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PR masih belum cukup untuk memenangi hati empat juta pengundi atas pagar pada PRU13 nanti.

“Kita mesti meyakinkan golongan ini bahawa tiga parti komponen PR bersatu dan mengangkat prinsip-prinsip bersama seperti yang dinyatakan dalam Rangka Kerja Polisi PR dan Buku Jingga serta mengetepikan sejarah perbezaan ideologi,” katanya.
-SH


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

DAP nampak fokus untuk menghadapi PRU13 dan memenanginya, dan kenyataan seperti PAS rakan sekutu penting adalah kenyataan positive dari kepimpinan DAP.

PAS nampak macam tidak yakin menempuhi PRU13 dan ada tanda mungkin kalah, mungkin menang. Jika pemikiran seperti ini, PAS mungkin besar hilang undi atas pagar kerana ramai tidak mahu pemimpin yang tidak konfiden atau tidak fokus, secara singkatnya, 'mat benggap' kerana dalam era abad ke 21 ini...rakyat cekap membaca fikiran pemimpin dan membandingkan dengan pemimpin terdahulu yang ramainya tragik dari sukses.

Mungkin PAS perlu belajar Leadership dar DSAI, kalau tidakpun dari Obama.