22 Okt 2012

Kes RM40 juta UMNO Sabah: Parlimen Perlu Jahit Mulut Nazri

Amangate: Umno tenggelam di laut dalam

Parlimen seharusnya menimbang untuk menapis kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Ini kerana Nazri memberi jawapan yang bercanggah dalam tempoh yang amat singkat iaitu hanya seminggu berhubung penyeludupan wang sebanyak RM40 juta (S$16 juta) yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Nazri dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kedua-duanya menafikan bahawa wang itu adalah untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Sebaliknya mereka mendakwa bahawa wang itu adalah sumbangan untuk Umno Sabah.

Parlimen juga harus menimbang untuk menyanggah kenyataan Najib kerana menafikan percubaan Michael Chia Tien Foh untuk menaiki pesawat dengan wang tunai tersebut sebagai bukan satu perbuatan penyeludupan wang dan melanggar undang-undang.

Pada 11 Oktober, ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chan, Nazri berkata Peguam Negara telah memutuskan bahawa rasuah tidak dapat dibuktikan berdasarkan laporan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Nazri menambah, bahawa berdasarkan hasil siasatan SPRM, Suruhanjaya Anti Rasuah Bebas Hong Kong (ICAC) tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai pada hari yang sama, Nazri berkata siasatan kes dijalankan oleh SPRM tetapi ICAC menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah dalam kes ini.

Suatu ketika, Nazri menyatakan kes ini disiasat oleh SPRM di mana Peguam Negara memutuskan tidak ada rasuah. Pada ketika yang lain, beliau berkata ia bukan disiasat oleh SPRM tetapi ICAC yang menjalankan siasatan dan memutuskan bahawa tidak ada rasuah.

Pelbagai percanggahan

Percanggahan-percanggahan yang dapat dikesan adalah membingungkan. Mungkinkah Nazri memikirkan bahawa Peguam Negara dan kredibiliti SPRM tidak cukup bagus untuk rakyat Malaysia.

Oleh sebab itu, beliau menyandarkan penemuan-penemuan kes ini kepada ICAC yang terkenal dengan kecekapan dalam memerangi rasuah dengan harapan untuk mendapatkan sambutan yang baik daripada rakyat Malaysia. Kalau tidak, masakan beliau dapat menyelaraskan kenyataan-kenyataan yang bercanggah itu.

Malahan, Nazri bukan sahaja menghadapi masalah untuk menyelaraskan kedua-dua kenyataan yang berbeza itu tetapi beliau juga menghadapi masalah untuk menyelaraskan kedua-dua kenyataan ini dengan kenyataan SPRM beberapa hari sebelum ini.

Pada 5 Oktober lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM Shukri Abdul berkata, bahawa siasatan terhadap wang tunai di Hong Kong masih berjalan kerana panel yang meneliti kes ini meminta lebih banyak bukti.

Selain dari pelbagai percanggahan ini yang ditujukan kepada Nazri di parlimen, kenyataan beliau bahawa ICAC sudah membuat keputusan bahawa tidak ada rasuah dalam kes ini masih boleh diragukan.

Terdapat bukti bahawa wang tunai S$16 juta yang dirampas pada 14 Ogos 2008 itu hanya dilepaskan pada penghujung tempoh rampasan atau simpanan selama tiga tahun apabila ICAC gagal untuk membuat keputusan tentang kes ini disebabkan keengganan kerajaan Malaysia menghulurkan kerjasama dalam menjalankan siasatan.

Jika tidak ada kes sepertimana yang didakwa oleh Nazri dan Najib, perlukah pihak berkuasa Hong Kong menyimpan wang itu sehingga tamat tempoh tiga tahun, satu tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang?

Malahan, Michael Chia ditangkap dan disiasat atas kesalahan penyeludupan dan pemindahan wang.

Penafian Najib tidak bertanggungjawab

Kegiatan menyeludup dan memindah wang dari sesebuah negara dengan jumlah yang banyak secara haram disebut sebagai penyeludupan dan perpindahan wang haram.

Saya tidak nampak kenapa Najib menyifatkan perbuatan itu bukan sebagai penyeludupan hanya kerana Nazri telah menjawab soalan- soalan di parlimen – dengan jawapan yang buruk.

Menjawab satu soalan dalam sidang media pada 19 Oktober lalu, sama ada terdapat asas untuk mendakwa wang itu diseludup atau dipindah melalui Hong Kong, Najib berkata, “tidak, iannya telah pun diterangkan dalam parlimen.”

Dengan jawapan itu, sudah tentu Najib merujuk kepada jawapan Nazri yang mencurigakan itu. Adalah sangat dikesalkan sebagai seorang perdana menteri, beliau hanya berdasarkan jawapannya berhubung dengan skandal yang serius di atas asas yang tidak kukuh.

Ahli-ahli parlimen harus mendesak perkara-perkara berikut daripada Nazri di parlimen, di samping meminta beliau menerangkan berbagai percanggahan pada kenyataan-kenyataan di atas.

1. Pendedahan penuh mengenai komunikasi di antara kerajaan Hong Kong dan Malaysia tentang isu ini, terutama sama ada ICAC telah mengemukakan penemuannya kepada SPRM termasuk carta aliran wang keluar mengekori rasuah kayu balak Sabah sehingga wang itu masuk ke dalam akaun Musa Aman di bank UBS AG di Zurich, Switzerland.

Maklumat mengenai sama ada ICAC meminta kerjasama antara negara dan sama ada ICAC telah menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada rasuah dalam kes ini dan pihaknya telah memutuskan untuk berhenti dari terus menyiasat kes ini.

2. Bilakah SPRM memulakan siasatannya dan sama ada ianya masih berjalan. Jika ia masih berjalan, kenapa SPRM tidak mampu menyelesaikan tugasnya setelah sekian lama melakukan penyiasatan.

3. Apakah peranan yang dimainkan oleh Peguam Negara dalam hubungan dengan pihak berkuasa Hong Kong dan mengenai kerajaan Malaysia, terutamanya SPRM.

Melainkan jika Nazri dapat memberi jawapan yang memuaskan, beliau harus digantung dan dirujuk kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen (keistimewaan-keistimewaan dan kuasa) untuk siasatan lanjut.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kita hanya dengar penjelasan Nazri tetapi kita belum mendapat penjelasan daripada SPRM sendiri dan juga keputusan siasatan ICAC. Yang kita tahu ICAC adalah badan pencegah rasuah yang berwibawa kerana tidak diganggu oleh kerajaan Hong Kong (bebas menyiasat dan mendakwa sendiri).

Di Malaysia apabila kerajaan campur tangan, dengan menjawab di parlimen seperti yang dilakukan Nazri maka ianya amat diragukan dan tidak boleh dipercayai langsung kerana ianya ada kaitan dengan hidup mati UMNO/BN. Berdasarkan jawapan kerajaan dalam beberapa isu yg lalu ianya mencurigakan.

Tanpa Nama berkata...


Jangan susah. Jangan gaduh-gaduh. Rakyat sudah set 'jawapan balas' untuk si nazri bahkan untuk UMNO dan BN pada PRU-13 nanti. Umumkan sahajalah bila nak mengundi. Okeh bro..?