10 Sep 2012

Suami Mithali, Dia Berhenti Kerja Untuk Jaga Isteri Yang Koma

Dia amanah saya. Saya dahan dia, tempat dia bergantung,” kata Abil Fikri Ahmad, 43 yang sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya yang terlantar sejak tahun lalu.

Abil bersama isterinya Fauziah yang koma.- Foto ihsan blog Abil

Fauziah Muhamad, 38, diserang asma sehingga menyebabkan dia mengalami kerosakan pada saraf otaknya sejak Jun 2011.

Mungkin tidak semua lelaki yang bergelar suami di dunia ini sanggup melakukan pengorbanan yang dibuat oleh Abil.

Katanya, “saya pegang amanah.”

“Apa yang saya lafaz sewaktu ijab kabul dulu, saya cuba tunaikan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Dia juga menolak untuk menerima pujian yang diberi kepadanya atas alasan apa yang dilakukannya kerana berpegang kepada undang-undang perkahwinan.

Pasangan itu bernikah pada 13 Mac 2009 dan menerima ujian yang mengubah kehidupan mereka kira-kira dua tahun selepas bergelar suami isteri.

Cerita Abil, pada 22 Jun tahun lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, Fauziah mengalami asma sehingga mengalami kesukaran bernafas dan dalam perjalanan ke hospital, isterinya itu berhenti bernafas.

“Apabila jantung berhenti mengepam oksigen ke otak lebih 30 minit, 93 peratus otak tidak berfungsi.

“Setelah dirawat, doktor memberitahu bahawa selepas tiga hari isteri saya akan sedar, namun sehingga hari kelima, dia masih belum sedar,” katanya.

Bekas perunding kewangan dan speaker motivasi itu membuat keputusan berhenti kerja selepas berkhidmat 11 tahun itu sebaik dimaklumkan tentang keadaan isterinya itu.

“Selepas masuk hari kelima, dia (Fauziah) tidak sedarkan diri, doktor yang merawat menjalankan CT Scan dan diberitahu bahawa saraf otaknya mengalami kerosakan.

“Pada detik itu juga, saya terus mengambil keputusan untuk berhenti kerja tanpa teragak-agak,” katanya lagi.

Tambahnya, setelah dua bulan terlantar di hospital, Fauziah dibawa pulang ke Seremban sementara keluarga Abil menetap di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya mengapa tidak memilih tempat yang lebih dekat dengan keluarganya, Abil menjawab, “saya tidak mahu melibatkan ramai orang dalam menjaga dia.”

“Biarlah mereka buat kerja mereka. Saya sudah selesa menjaga dia,” katanya lagi.
Tiga bulan pertama menguruskan kehidupan baru cukup memberi tekanan terhadap emosi lelaki ini, namun setelah bergantung kepada al-Quran, Abil akui mampu menanganinya dengan lebih tenang.

Bertahan hanya dengan wang simpanan, sumbangan orang ramai, wang pencen isterinya dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuatkan dia berhati-hati dalam pengeluaran.

“Setiap bulan keperluan asas dia mencecah RM2,500 dan jika dia kurang sihat sama ada demam dan sebagainya, belanja bulanan mencecah RM3,500 hingga RM4,000.

“Dia tidak boleh menelan atau mengunyah, jadi saya perlu memberi makanan dalam bentuk cecair seperti bubur, bijirin dan susu melalui tiub saluran padanya,” kata Abil.

Berat badan Fauziah menyusut sejak terlantar daripada 70 kilogram (kg) kini hanya tinggal 30kg.

Menurut Abil, dia menerima ‘hadiah’ daripada ALLAH ini kerana tidak semua orang mendapat apa yang diterimanya.

Bercerita tentang kaedah rawatan yang dicadangkan oleh pihak pakar perubatan, Abil menjelaskan bahawa memang ada cadangan supaya Fauziah menjalani pembedahan, namun setakat ini tiada sebarang jaminan.

“Nak buat boleh, tetapi tiada sebarang jaminan. Saya boleh terima kaedah itu jika ada jaminan,” ujarnya.

Mengakui jauh di sudut hatinya berharap agar Fauziah kembali sihat seperti sebelumnya namun redha jika ALLAH mengambilnya.

“Saya memang berharap dia akan sembuh tetapi jika Tuhan mengambil dia, saya redha,” katanya.

Menurut Abil, jika berpeluang untuk bekerja semula, dia memilih kerjaya sebagai penceramah motivasi berbanding kerjaya lamanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghubungi Abil di talian 016-2634258.

Abil juga mengabadikan pengalamannya dalam bentul tulisan di blog peribadinya

-abil4fauziah/SH/HMO

Ulasan GB

Layak bergelar "Suami Mithali".

Ada juga suami yang kadang kala tidak menghiraukan penderitaan isteri yang terlantar sakit, malah ada yang sudah memasang cita-cita untuk berkahwin lain semasa isterinya di dalam keadaan demikian.

Berbeza dengan Abil, dia berkorban untuk menjaga isterinya, kerana dia mengikuti sabda Rasulullah saw :

"Takutlah kepada Allah tentang wanita (isterimu). Sebab dia engkau ambil (kahwin) dengan amanah daripada Allah."

"Dan bagi mereka (isteri) mempunyai hak atas kamu (suami) menduduki satu darjat di atas mereka, dan Allah adalah Maha bijiksana. Yakni suami menduduki tempat sebagai pemimpin kehidupan berumahtangga yang bertanggungjawab."

"Lelaki (Para suami) adalah pelindung dan pembela atas perempuan (isteri) berdasarkan apa-apa yang telah dilebihkan Allah bagi yang satu daripada yang lain. Dan berdasarkan apa-apa yang mereka nafkahkan dengan harta mereka."



KISAH TERBARUNYA DI

[BERGAMBAR] Kisah "Abil & Isteri" Sentuh Perasaan, Dapat Perhatian Ramai

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syabas saudara Abil...rasa kagum terbit dihati saya membaca kisah anda....semoga Allah memberkati dan mempermudahkan segala urusanmu dihari hari mendatang..

Tanpa Nama berkata...

tahniah saudara, semoga Allah mempermudahkan kehidupan seharian saudara bersama isteri, dan semoga Allah membalas pengorbanan saudara dengan sebaik-baik nya, Aaaminnn..

Abah berkata...

Sebak dan sebu ketika saya membaca berita ini.Tidak sedar air mata saya bergelinangan. Namun demikian "berat mata memandang, lebih berat lagi bahu memikul".

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Sdra kerana memberi tanggungjawab dan amanah ALLAH dengan sebaiknya.Semoga sdra dapat menerima dugaan ALLAH S.W.T dengan hati yang terbuka. Insyaalah Semoga Allah akan memberi keberkatan kepada Sdra. Amiin.....

afz berkata...

tahniah saudara abil di atas pengorbanan saudara..sama2 kita berpesan: memohon sedikit lagi keprihatinan saudara abil untuk menjaga aurat isteri yang tidak berdaya menjaganya sendiri.

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillahh...tak ramai suami macam nie di akhir zaman ini...semoga allah memberi ketabahan kepada kedua dua suami isteri ini...dan di murahkan rezeki..amin