9 Apr 2012

Timbalan Pengarah SKMM Didakwa Subahat Rasuah Dengan Isteri

Shah Alam: Seorang timbalan pengarah Bahagian Kandungan dan Penguatkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan bersubahat dengan perbuatan rasuah isterinya dan seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta membabitkan nilai RM250,000 pada Mac lepas.

Noor Mohamed Khan Mohamed Mastan, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Dia didakwa bersubahat dengan isterinya Suraya Hani Ahmad Zaki dan Noorshidin Mohd Noor, yang didakwa menerima bagi diri mereka suapan wang tunai RM250,000 daripada ketua pegawai operasi Syarikat Siaga Informatics Sdn Bhd Mohd Shukri Othman sebagai upah kononnya telah membantu syarikat itu memperoleh surat penganugerahan bagi tender untuk mereka bentuk, melaksana, menguji dan pentauliahan makmal forensik digital di SKMM.

Noor Mohamed Khan didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Siaga Informatics di Suite 2-6, Level 6, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, kira-kira 10.25 pagi pada 14 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Noor Mohamed Khan juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan bersubahat dengan Suraya Hani dan Noorshidin yang didakwa cuba menipu Mohd Shukri dengan memperdayakan beliau bahawa mereka telah membantu Siaga Informatics sehingga berjaya memperoleh surat penganugerahan bagi tender yang sama sehingga mendorong Mohd Shukri menyerahkan kepada mereka wang tunai RM250,000 di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 107 dan Seksyen 511 kanun sama.

Hakim Asmadi membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Noorshidin, 40, dan Suraya Hani, 32, pengurus akaun sebuah syarikat swasta, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerima suapan itu.

Kedua-duanya, yang ditangkap pada 14 Mac lepas, juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan cuba menipu Mohd Shukri.

Hakim M.Bakri Abd Majid membenarkan Noorshidin dan Suraya Hani, yang sedang mengandung dua bulan, dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang serta seorang penjamin dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

M.Bakri juga memerintahkan supaya pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada SPRM Mahamad Sukri Abu Seman. - BERNAMA

Tiada ulasan: