2 Mac 2012

[WASPADA] Hendak Wajah Licin, Jadi Menggerutu

Johor Bahru - Seorang suri rumah mengakui terpaksa menanggung kesakitan apabila wajahnya bengkak dan menggerutu selepas menjalani rawatan laser di sebuah pusat kecantikan di Ulu Tiram, di sini, akhir tahun lalu.

Menurut Teng Ann Moi, 49, dua hari selepas menjalani rawatan kecantikan bagi menghilangkan jeragat wajahnya dengan kos sebanyak RM1,888, juru kecantikan berkenaan turut memberikannya sebotol cecair helium untuk digunakan setiap hari.

“Saya hanya menuruti apa yang diarahkan, apabila berasa perubahan menyakitkan, saya menghubungi juru kecantikan berkenaan, wanita itu berjanji datang ke rumah saya keesokan harinya untuk membuat rawatan susulan,” katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan hanya bertindak memecahkan gelembung di wajah Ann Moi menggunakan jarum dan memaklumkan ianya akan sembuh selain menganggap perubahan itu hanya bersifat sementara.

“Selepas 10 hari masih tidak sembuh, saya nekad bertemu pakar kulit profesional untuk mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati kesan laser berkenaan menembusi lapisan bawah kulit menyebabkan ianya membengkak,” katanya.

Ann Moi dinasihatkan mendapatkan rawatan seperti yang disyorkan pakar berkenaan selama tiga bulan dengan kos sebanyak RM23,000. Beliau bersetuju dengan cadangan itu asalkan wajahnya dapat dipulihkan.

“Saya nekad untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM23,000 kepada pemilik pusat kecantikan terhadap kerugian yang saya tanggung akibat rawatan mereka,” katanya.

Pada prosiding kelmarin, Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh berkata, jumlah tuntutan Ann Moi sebanyak RM23,000 hanya boleh difailkan melalui tuntutan di mahkamah sivil manakala pemilik pusat kecantikan bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM5,000.

Kedua-duanya bersetuju menyelesaikan kes berkenaan secara baik, Mohd Nasrim mengeluarkan perintah bahawa bayaran ganti rugi perlu dijelaskan dalam masa 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.

“Saya terima tawaran berkenaan kerana saya tidak mahu ‘turun naik’ mahkamah, saya berharap ianya menjadi pengajaran kepada semua wanita untuk berhari-hati ketika membuat rawatan kecantikan,” katanya kepada Sinar Harian selesai prosiding. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pengajaran pada kita org Islam, jngan le membazir duit. Sentiasa dlm wuduk, makan makanan halal & baik2, elak dari panas terik berlebihan, dll. Klu nak guna juga utk protection & kesegaran muka/wajah, guna produk yg murah2 aje. Bersederhana.

Duit lebih tu sedekahkan. InsyaAllah bercahaya & berseri2 muka. (oh ye, yg perempuan jgn lupa tutup aurat sempurna). Kpd Allah berserah.