18 Mac 2012

Ini Dia, 3 Orang Suspek Dalam Kes Bunuh Dirang Yang Disambung Reman 7 Hari Lagi

Johor Bahru: Mahkamah Majistret, di sini, semalam meluluskan permohonan lanjutan reman seminggu lagi terhadap tiga suspek utama kes bunuh dan bakar kanak-kanak berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, sehingga 23 Mac ini.

Gambar: SAMBUNG REMAN... tiga suspek utama kes pembunuhan Dirang di Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.

Pendaftar Mahkamah Rendah, Nuriza Mustaffa melanjutkan tempoh tahanan reman itu bermula semalam bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut, selain mengumpul bukti berhubung kes terbabit.

Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang wanita, berusia 30-an serta 40-an yang dikawal ketat anggota polis memakai baju lokap berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Majistret menaiki kenderaan polis jam 9.45 pagi bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.

Perkarangan mahkamah dipenuhi wakil media daripada pelbagai organisasi yang menunggu kehadiran mereka.

Mereka berjalan sambil menundukkan muka bagi mengelak wajah dirakam.

Ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata, dia sekeluarga mengharapkan siasatan dan hukuman dapat dijatuhi terhadap penjenayah yang melakukan perbuatan kejam terhadap anaknya.

“Dirang hanya anak kecil yang tak tahu apa-apa. Dia langsung tak bersalah. Perlakuan penjenayah terbabit sungguh tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat bagi membolehkan pihaknya mengumpul bahan bukti sebelum menyerahkan kertas pendakwaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Bapa kandung Dirang, warga negara Filipina yang ditahan sebelum ini, dijangka dihantar pulang ke negara asalnya, esok.

“Saya bersama anggota polis yang lain komited dan berjanji akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memberi keadilan sepatutnya kepada Dirang sekeluarga,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar, 12 Mac lalu.

Kematiannya disahkan melalui ujian deoxyribonucleic asid (DNA) yang dijalankan terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai 8 Mac lalu, yang sepadan dengan DNA Roselyn.

Ketiga-tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan polis pada hari Dirang dilaporkan hilang, manakala bapa kandung kanak-kanak berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan pada 8 Mac lalu.

Kelmarin, bapa kandung Dirang disahkan tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam itu. -HM

Tiga suspek kes bunuh Dirang positif ambil dadah

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret, di sini semalam membenarkan perintah tahanan reman terhadap tiga suspek yang dipercayai terbabit dengan pembunuhan Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, dilanjutkan sehingga Jumaat ini.

Tiga suspek termasuk seorang wanita yang berusia 30 hingga 40 tahun itu dibawa dengan van polis tiba di pekarangan mahkamah jam 9.45 pagi.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah, Nuriza Mustaffa selepas mendengar permohonan pihak polis.

Ketika tiba di mahkamah, semua suspek memakai baju lokap dengan seluar pendek paras lutut hanya menundukkan kepala bagi mengelak muka mereka dirakam jurugambar media yang menunggu di perkarangan mahkamah seawal jam 8 pagi.

Ketiga-tiga suspek disahkan positif dadah Methamphetamine dan syabu, selain dua daripadanya turut mempunyai rekod jenayah lampau kes penyalahgunaan dadah dan mencuri.

Pada mulanya ketiga-tiga suspek direman dua minggu bermula 2 Mac lalu di bawah Akta Dadah Berbahaya susulan siasatan membabitkan kehilangan Dirang selepas dilaporkan keluar membeli mi segera di kedai blok bawah Flet Sri Delima, yang ketika itu diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Bagaimanapun, selepas ujian DNA mendapati rangka manusia yang ditemui terbakar di sebuah tapak pembinaan terbengkalai, Nusa Damai yang pada 12 Mac lalu disahkan milik kanak-kanak malang terbabit, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata suspek akan dihadapkan ke mahkamah selepas kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya.


5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apasal masa kes altantuya ari tu 2 polis UTK tak dilayan macam ni.....?
siap boleh tutup muka... pakai baju biasa....cehh...
razak baginda pun elek jee..

Tanpa Nama berkata...

celaka sungguh,bunuh budak yg tak tau apa2.minta2 depa kena gantung sampai mati.tak dak hati perut lgsung.

Tanpa Nama berkata...

itu lah "adil" nya undang-undang m'sia....

Tanpa Nama berkata...

hantutantuya..dgn manusia boleh tutup
muka tp ingatlah dipadang masyar sgla
nya sekecil zarah akan diangkat dn di
hadap pd HAKIM ALLAH yg mengetahui sglanya.begitu juga hakim-hakim yg x
berlaku adil dan tersalah hukum akan
dHISAB DISANA

Tanpa Nama berkata...

jangan terlalu sensationalized suspek nih... belum tentu pun derang yang buat, macam kes nurin dulu, sian kawan tu, dah lah orang meniaga... kena tahan tu, dah dianggap dia yang culik dan bunuh budak tu, sian kawan tu malu...