23 Mac 2012

Azalina Dikecam Tuduh Peserta Demo Orang Asing

96% penduduk Pengerang bantah loji penapisan'

Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pengerang hari ini menyangkal dakwaan Ahli Parlimen BN, Datuk Azalina Othman bahawa hanya 200 penduduk menghadiri perhimpunan Ahad lalu kerana membantah rancangan Petronas membina kilang petrokimia bagi projek pembangunan hab industri minyak dan gas penapis gas di pekan itu.

Jawatankuasa penduduk juga menyangkal dakwaan Azalina mereka yang menyertai bantahan itu semuanya orang asing. Tapak terbabit terletak dalam kawasan pilihan raya Azalina.

Menurut pengerusi jawatankuasa tersebut Kasran Abdullah, kajian mereka yang dijalankan November lepas di tujuh kampung terbabit, menunjukkan 96 peratus penduduk membantah projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia dan Penapisan Petronas (Rapid).

Katanya, jawatankuasa itu telah mengumpul lebih 1,600 tandatangan responden yang menentang projek itu dan senarai tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam bentuk memorandum.

Mereka yang menandatangani bantahan tersebut terdiri daripada kira-kira 1,000 orang Cina dan 600 orang Melayu.

"Tandatangan itu dikumpul hanya daripada ketua keluarga, bukan dari semua penduduk kampung dan ia tidak termasuk anak-anak mereka," kata Kasran, yang juga seorang ahli Umno, ketika dihubungi oleh Malaysiakini. -mk

Rakyat asing sertai demo Pengerang, dakwa Azalina

Anggota parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman hari ini mendakwa perhimpunan membantah pembinaan kilang petrokimia Petronas di tempatnya disertai rakyat negara asing.

Bekas menteri perlancongan itu berkata, setelah membawa laporan di Internet berhubung peristiwa itu, belia turun menyaksikan tetapi mendapati tiada rakyat tempatan terlibat.

Dalam perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat. Azalina berkata, perkara itu dapat dikesan melalui kereta yang menggunakan nombor pendaftaran negara asing.

Tanpa mahu menamakan negara itu, anggota parlimen BN itu berkata ia daripada negara jiran.

Pengerang, kawasan yang lesu di Johor, kelmarin dikejutkan dengan kehadiran 200 orang mengadakan bantahan terhadap rancangan membina kilang petrokimia bagi projek pembangunan hab industri minyak dan gas penapis gas di pekan itu.

Mereka bimbang bahawa loji penapisan berharga RM20 bilion itu akan mencemarkan alam sekitar.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan bahawa kerajaan BN bukan kerajaan yang kejam ... kerajaan negeri telah memberi jaminan bahawa pendapatan penduduk akan dijamin apabila mereka berpindah ke kawasan baru," kata Azalina.

Beliau juga membidas ketua PKR Johor Datuk Chua Jui Meng yang mendakwa bahawa projek itu adalah "kilang radioaktif".
-mk







2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tunjukkan bantahan yang sebenar dalam pilihan raya akan datang iaitu jangan undi lagi BN. Itu saja formulanya yang ampuh.

Tanpa Nama berkata...

sejuk la jugak boleh ada kenyataan dari kutua polis macam ni...hormat tuan la..