30 Nov 2011

RUU Perhimpunan Aman Bertentangan Perlembagaan, PAS Bawa Ke Mahkamah Minggu Ini

Kuala Lumpur: PAS memaklumkan tindakan untuk menghalang perlaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 di mahkamah akan dibuat selewat-lewatnya Jumaat ini.

Peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan pihaknya kini sedang giat menyiapkan dokumen berkaitan dan yakin ia boleh diselesaikan dalam minggu ini.

"Bagi membantah perlaksanaan RUU tersebut PAS akan mengemukakan bantahan perlaksanaan tersebut di mahkamah selewat-lewatnya Jumaat ini.

"Kita akan lawan habis-habisan agar perkara tersebut tidak menjadi undang-undang dan ditarik balik," jelasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily semasa menyertai perarakan Majlis Peguam Malaysia bagi membantah RUU tersebut di parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpendapat bantahan aman hari ini merupakan suatu yang bersejarah kerana ia dilakukan oleh para peguam sendiri.

"Melihat kepada bantahan hari ini ia merupakan satu sejarah kerana tentangan dilakukan oleh para pengamal undang-undang sendiri dan secara jelas menunjukkan peguam juga membantah RUU yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita berharap kerajaan mendengar dan mengambil serius tentangan yang dilakukan ini kerana hak rakyat perlu didengari serta diambil perhatian, jangan dianiayai hak rakyat yang telah diberikan oleh Perlembagaan," sambungnya lagi.

PAS antara yang tegas membantah tindakan kerajaan membentangkan RUU itu yang dianggap cubaan menyekat hak rakyat.

Pada sidang media sebelum ini juga, Mohamed Hanipa berkata, tindakan mahkamah itu adalah berasas kerana kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal RUU mengikut pandangan mereka sahaja.

"Kuasa kerajaan di bawah Perlembagaan Negara. Jadi kalau mereka melangkaui perlembagaan, kita berhak mengambil tindakan mahkamah," katanya.

Ini kerana katanya, ada perkara dalam RUU yang akan dibahaskan minggu hadapan itu melanggar perkara 10 (1) (b) iaitu hak untuk berhimpun.

"Begitu juga kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai himpunan, sedangkan kanak-kanak juga ialah rakyat. Contoh kalau ada sekolah dirobohkan dan kanak-kanak ini berhimpun, dalam rang undang-undang ini kata tak boleh tapi dalam perlembagaan boleh. Jadi rang undang-undang ini bercanggah dengan perlembagaan," jelas beliau. -HD



Tiada ulasan: