30 Nov 2011

Ucapan Pemimpin UMNO Sendiri Jadi Bukti UMNO Kini Sedang Nazak

Najib mahu Umno sedia hadapi PRU ‘luar biasa’

KUALA LUMPUR, 29 Nov ― Datuk Seri Najib Razak mahu Umno mengutamakan perpaduan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang presiden parti itu melihat sebagai “sesuatu yang luar biasa” bagi perikatan yang mengepalai kerajaan pusat.

Najib yang juga Perdana Menteri mengarahkan pemimpin-pemimpin kanan parti pada satu taklimat di sini agar tidak memandang mudah atau mengambil ringan pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu katanya, pemimpin-pemimpin parti seharusnya bertindak agak luar biasa kali ini.

“Beliau telah meminta pemimpin-pemimpin peringkat bahagian dan akar umbi agar bekerja luar biasa sebab pilihan raya ini adalah sesuatu yang luar biasa... banyak cabaran dan beliau mahu kami utamakan perpaduan,” kata Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata demikian pada sidang media bersama dua rakan sejawatannya Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal selepas taklimat presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa Najib juga telah mengarahkan pemimpin-pemimpin Umno agar menyelesaikan kesemua konflik dalaman bagi memastikan bahawa tiada sabotaj atau unsur menikam dari belakang apabila tibanya pilihan raya.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, mesej itu dikeluarkan di sebalik peringatan berkali-kali daripada Najib bahawa hanya calon-calon yang boleh menang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

“Konflik mesti diselesaikan bagi memastikan kejayaan kita sama ada kerusi peringkat kerusi ataupun parlimen,” kata beliau.

“Hanya ada satu pasukan iaitu Pasukan Umno,” kata Zahid.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, BN meletakkan sasaran untuk menawan balik empat negeri dikuasai Pakatan Rakyat sekarang iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. -TMI

Muhyiddin: PRU-13 tentukan jatuh bangun Melayu

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan anggota parti itu bahawa pilihan raya umum ke -13 adalah "ibu segala pilihan raya" yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu.

Bahkan beliau yang juga timbalan perdana menteri turut membangkitkan kebimbangan sama ada kuasa politik akan kekal pada parti itu atau terlepas ke tangan pihak lain.

"Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini.

"Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?

"Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketiga-tiga sayap parti bersatu dan bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

'Jangan main belakang'

"Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak.

"Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam ini.

Peringatan itu dilontarkan susulan wujudnya persepsi kuasa Melayu semakin goyah susulan kemerosotan sokongan Umno dalam pilihan raya umum lalu dan ekoran dakwaan "fitnah jahat" yang dilemparkan pada Umno.

Sementara itu, untuk mencapai kejayaan, Muhyiddin mengingatkan supaya tidak berlaku sabotaj dalam parti ekoran pemilihan calon pilihan raya.

"Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan 'mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan.

"Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati," katanya. -mk


Ulasan GB

Kenyataan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO di atas jelas membuktikan bahawa keadaan UMNO kini sedang kritikal, nazak yang amat sangat, yang jika dalam adegan Ahmad Nisfu, dalam keadaan "mintak nyawa".

Berlakon seperti 'wira-wira bangsa" sedangkan merekalah sebenarnya pengkhianat dan penjahanam bangsa selama ini.

Ucapan mereka itu sendiri memperakui bahawa UMNO kini diambang kehancuran. Gambaran jelas bahawa UMNO kini sukar malah, sudah tidak berupaya untuk diselamatkan.

Suasana huru-hara dan kelam-kabut kerana kapal UMNO sudah hampir karam. Juragan bertempik dan cuba menyalahkan orang lain.

Kemudian, sekalipun berselindung disebalik slogan 1Malaysia selama ini, perhimpunan UMNO kali ini membuktikan UMNO merupakan parti paling kuat rasismanya. Menjadikan perjuangan "kebangsaan" sebagai landasan "jihad" mereka.

Sedangkan Rasulullah saw telah bersabda:

“Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati kerana Assabiyah” (Hadith Riwayat Abu Daud).

Lalu sahabat bertanya:

"Apakah yang dikatakan assabiyah itu Ya Rasulullah?"

Baginda menjawab:

"Assabiyah itu ialah bahawa kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman"

Jelas kepada kita, Islam telah lama menguburkan fahaman kebangsaan tetapi UMNO masih lagi memikul bangkai assabiyah sebagai dasar perjuangan mereka.

Mereka akan tetap kalah dan pasti akan kalah lantarannya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Seorang bekas naib presiden umporno pernah mengatakan :

Only god can sink umno.

Apa cerita?

Tanpa Nama berkata...

Makna Luar Biasa tu,dah teruklah tu.Macam mana tak teruk,Kes RM 250 juta niaga lembu pun tak boleh selesai apatah lagi kes RM500 juta komisen kapal selam.