15 Sep 2011

Najib Kepada Mahathir: "I Help U, U Help Me"

Apa pula status Mahathir minta Najib lewatkan PRU, sindir Pakatan

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Pakatan Rakyat pula menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad agar kembali menyandang jawatan perdana menteri jika pemimpin veteran itu mahu mempertikaikan saranan mereka agar kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang berbincang menentukan tarikh pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum.

“Kalau apa yang kami katakan hendak disindir, maka kami cadangkan Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri dan kami persoalkan apa hak Dr Mahathir untuk menasihatkan agar Datuk Seri Najib melewatkan pilihan raya umum ke-13,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub kepada The Malaysian Insider.

Salahuddin berkata idea yang dilontarkan oleh mereka sebenarnya bertujuan menjaga kebaikan rakyat dan demi kepentingan negara.

“Malah perkara ini boleh dilakukan dan sedang diamalkan beberapa negara,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini dengan merujuk kepada amalan di Amerika Syarikat dan pendirian kerajaan campuran di Britain baru-baru ini.

“Apa salahnya kami beri pandangan ini?” soal beliau lagi.

Salahuddin berkata Pakatan Rakyat merasakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewajarnya mempertimbangkang perkara ini jika benar-benar mahu membawa pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini.

Itu sebab tegas beliau, pihaknya meminta agar pilihan raya umum tidak dipanggil selagi jawatankuasa pilihan khas Parlimen tidak selesai mengadakan mesyuaratnya untuk mengemukakan laporan.

“Jadi saya berpendirian bahawa itu pandangan Pakatan Rakyat... demi kebaikan negara dan rakyat.

“Jika pandangan ini tidak boleh diberikan apa status Dr Mahathir apabila beliau sendiri meminta agar Najib tangguh panggil pilihan raya?” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata penentuan tarikh pilihan raya umum di negara ini adalah “hak keistimewaan” kerajaan dan tiada pihak boleh mempertikaikannya.

Kata beliau, sebagai kerajaan yang memerintah, mereka juga mempunyai “keistimewaan” untuk membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya berkenaan.

“Dalam dunia ini tidak ada perbincangan berkenaan dengan tarikh pilihan raya. Itu adalah hak mutlak kerajaan... di mana negara-negara pun macam itu.

“Kalau dia (pembangkang) nak tentukan (tarikh pilihan raya), biar dia jadi kerajaan dulu ... tetapi lepas dia jadi kerajaan dia tidak akan bagi kita pun ...,” katanya selepas majlis penyerahan tiga unit model Saga “Electric Vehicle” (EV) dan lima unit “Range Extender Electric Vehicle” (REEV) oleh syarikat itu kepada kerajaan untuk dipandu uji di pejabat Perdana Menteri hari ini. -TMI


Dr M: Tarikh p'raya 'hak istimewa' k'jaan

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penentuan tarikh pilihan raya umum di negara ini adalah "hak keistimewaan" kerajaan dan
tiada pihak boleh mempertikaikannya.

Mantan perdana menteri itu berkata sebagai kerajaan yang memerintah, mereka juga mempunyai "keistimewaan" untuk membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada
pilihan raya berkenaan.

"Dalam dunia ini tidak ada perbincangan berkenaan dengan tarikh pilihan raya. Itu adalah hak mutlak kerajaan...di mana negara-negara pun macam itu.

"Kalau dia (pembangkang) nak tentukan (tarikh pilihan raya), biar dia jadi kerajaan dulu...tetapi lepas dia jadi kerajaan dia tidak akan bagi kita pun...," katanya.

Dr Mahathir yang juga penasihat Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tiga unit model Saga "Electric Vehicle" (EV) dan lima unit "Range Extender Electric Vehicle" (REEV) oleh syarikat itu kepada kerajaan untuk dipandu uji di pejabat Perdana Menteri d Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai desakan pembangkang yang didakwa mahu berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tarikh pilihan raya umum akan datang.

Mengenai tindakan pembangkang yang meletakkan beberapa syarat berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen, Dr Mahathir percaya kerajaan akan menerima cadangan mereka jika ia "waras" dan sesuai.

"Tetapi kerajaan mungkin ada pendapat yang berbeza," katanya.

Sebelum ini, Kabinet bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk membincangkan reformasi pilihan raya yang perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan dianggotai sembilan anggota Parlimen.

Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai lima anggota Parlimen daripada BN manakala wakil pembangkang terdiri tiga orang manakala seorang wakil rakyat Bebas.

Mengenai desas-desus bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Februari tahun depan, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: "Saya kenal (perdana menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) tetapi saya tak boleh baca hati dia." - Bernama


Ulasan GB

Tindakan Mahathir menyatakan penentuan tarikh pilihanraya itu hak prerogatif kerajaan menjelaskan kepada kita tentang dua perkara.

Pertama beliau masih menyangkakan beliau PM. Semasa beliau PM beliau mengambil pendekatan autokratik, mejadi penentu segala-galanya di dalam sistem pemerintahan sehinggakan kuasa para sultan pun dilucutkan untuk disandang oleh PM.

Kedua, beliau mengambil pendirian untuk menyokong kepimpinan Najib setelah beliau kini mendapat tempat untuk aktif semua. TDM dilantik secara rasmi sebagai Canselor pertama Program Pengajian Perubatan Universiti Perdana (PUGSOM) yang baru dilancarkan. Kita tidak tahu berapa puluh ribu habuan sebulan diberikan kepada TDM, sesuatu yang tidak diperolehi semasa Pak Lah menjadi PM.

TDM terkilan dan amat marah dengan Pak Lah yang telah menyisihkannya, malah TDM sampai bertindak keluar UMNO lantarannya. TDM berharap dahulu untuk terpilih Penasihat kerajaan semacam Lee Kuan Yew, atau setidak-tidaknya dapat bertanding sebagai ahli parlimen smeula setelah meletakkan jawatannya sebagai PM, tetapi kerana Pak Lah seorang politikus yang bebal dan tak dapat membaca minda TDM, tak memilih TDM sebaliknya memilih Bekas Setpol TDM, Johari Baharum untuk kerusi Kubang Pasu.

Akhirnya setpol lawan tuan semula di dalam pertanding Ketua Bahagian Kubang Pasu.

Kini, TDM persis telah diberikan ruang untuk aktif semula di bawah rejim Najib. Masa depan politik dan perniagaan anak-anaknya kembali pulih dan lebih terjamin di bawah Najib.

Jadi apa hairan jika Mahathir kini membodek Najib? Lagipun ia amat diperlukan oleh Najib di saat kritikal untuk mengumpulkan sokongan setelah dirinya diramalkan tersungkur lebih-lebih lagi dengan karenah isterinya, Rosmah itu? Ia bertepatan dengan kaedah yang lazim Najib gunakan: I HELP U, U HELP ME!

Itulah kisah yang sebenarnya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mana boleh paklah amik TDM untuk kerusi parlimen kubang pasu..sapa sanggup kalau bekas boss 22tahun berada bawah kuli jumpa diparlimen

Tanpa Nama berkata...

Gambar yang ditunjukkan ini,memang tepat dengan tajuknya.Gambar unta sarkas.