19 Sep 2011

Lagi Kes Pelajar Mati Dihempap Tiang Gol

Klang: “Arwah sebelum ini minta dibelikan kasut bola baru, saya terkilan tak sempat memenuhi hasratnya,” kata Abdul Rahman Sarbaini, 41.

Anaknya, Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman (gambar kecil), 11, maut selepas cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Abdul Rahman berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jiran memberitahu anaknya kemalangan ketika bermain bola sepak di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di Kuarters Guru Kampung Jawa.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar dari kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.

“Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk mendapatkan rawatan namun dia gagal diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, kecuali meminta sepasang kasut bola baru daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya bersabar.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata, beliau masih belum menerima laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara.

“Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian, namun jika sudah menerima laporan, siasatan akan segera dilakukan,” katanya. -hm


Kronologi maut dihempap tiang

7 Mac 2000

KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di daerah ini mati selepas dihempap tiang gol yang diperbuat daripada besi sewaktu bermain di padang sekolahnya.

30 Januari 2008

SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun empat maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di tepi padang Sekolah Kebangsaan Taman Sri Wang (SKTSW) selepas waktu persekolahan sementara menunggu kedatangan bapanya.

4 November 2010

KEPALA BATAS: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Kepala Batas di sini, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat cedera parah selepas dihempap tiang gol di padang sekolahnya.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ini masalah attitude ... x heran kalau lepas ni bends yg sama berulang lg Dan lg Dan lg...

Tanpa Nama berkata...

Harap pihak Kementerian segera mengeluarkan pekeliling kpd semua sekolah agar mengharamkan penggunaan tiang gol boleh ubah (portable)di padang sekolah diseluruh negara. ampai bila kita nak melihat nyawa anak anak melayang akibat tragedi ini yg tiada kesudahan

Unknown berkata...

Semoga semua pihak menjadikan kejadian ini sebagai ikhtibar dan muhasabah diri