26 Sep 2011

Isu Krisis Air Air Selangor Sengaja Direka Untuk Burukkan Kerajaan Selangor

Dakwaan bahawa Selangor bakal berhadapan dengan krisis air menjelang tahun hadapan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan gabungan persatuan pengguna sengaja dibangkitkan semula untuk menonjolkan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di negeri ini tidak peka akan keperluan rakyat.

Demikian pandangan ahli parlimen Klang, Charles Santiago ketika diminta mengulas mengenai krisis air yang dikatakan bakal berlaku di Selangor apabila saiz margin antara bekalan dan penggunaan air semakin rapat dengan anggaran jumlah itu sudah mencapai tahap tiga hingga lima peratus sahaja bersamaan 200 juta liter sehari (jlh).

Menurut Charles, isu krisis air di Selangor dan sekitar kawasan Lembah Klang bukanlah isu baru, sebaliknya ia sengaja dibangkitkan oleh Syabas dan persatuan pengguna lain sejak dua hingga tahun lalu ekoran keengganan kerajaan negeri meluluskan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2.

Jelas Charles, cadangan pembinaan loji rawatan air itu boleh diteruskan sekiranya penstrukturan semula air dapat diselesaikan dan dipersetujui semua pihak.

Walaubagaimanapun katanya, semua usaha ini memerlukan persetujuan daripada kerajaan persekutuan dan melalui Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Peter Chin.

"Oleh kerana sekarang kita tiada perbincangan dengan kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau yang tidak mahu membuat keputusan untuk menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan selangor, maka ia menjadi isu yang sengaja dipanjangkan.

"Sebenarnya kerajaan Selangor telah menyatakan bahawa kerajaan negeri boleh menguruskan air di negeri ini dan juga sekiranya ia tidak mendatangkan masalah, kebenaran boleh diberikan kepada projek Langat 2 untuk diteruskan. Tetapi kerajaan persekutuan masih berdegil untuk memberi pengurusan air kepada kerajaan negeri dengan memberikan alasan yang tidak boleh diterima dan tidak masuk akal,"ujar beliau.

Syabas sebelum ini mendakwa isu krisis bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menjadi kenyataan apabila rizab harian penggunan air hanya mencukupi keperluan kira-kira 800,000 pengguna di kawasan Gombak.

Pengarah Eksekutif Perancangan Syabas, Sanusi Suleiman berkata, kadar rizab yang diunjurkan pihaknya ialah kira-kira 10 peratus untuk menangani keperluan waktu kecemasan.

Tambah Carles, Syabas juga dilihat menggunakan analisa tidak tepat berhubung pertumbuhan penduduk dan penggunaan air sebenar di Selangor sehingga timbulnya spekulasi yang mengatakan krisis air bakal berlaku menjelang tahun 2012.

Tegas beliau, kerajaan persekutuan mahupun Syabas sendiri tidak mahu mengeluarkan wang bagi mengurangkan penggunaan air tidak berhasil (non revenue water) dan membaiki paip air yang dipercayai boleh menangani isu krisis air untuk jangka masa panjang.

"Ini mereka tidak mahu buat. Tetapi sebaliknya apa yang mereka buat ialah mengatakan bahawa satu kajian telah dibuat dan mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor harus memberi kebenaran untuk meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

"Jika kita lihat pandangan mereka dengan mendalam, maka kita akan nampak pelbagai masalah dalam pandangan atau perspektif mereka. Mereka sengaja mengkritik kerajaan Selangor dengan mengatakan kita tidak bertanggungjawab dan tidak peka masalah rakyat,"katanya lagi.

Sementara itu, pemantauan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di tujuh empangan dan sungai-sungai utama di Selangor mendapati kedudukan paras air di semua muka sauk bagi keperluan loji pembersihan air adalah baik dan tidak membimbangkan.

Menurut LUAS, sumber air di Selangor masih dalam keadaan yang mencukupi dengan taburan hujan yang tinggi dicatatkan di banyak kawasan terutamanya kawasan tadahan air.

Secara purata, paras air di empangan pada tahun ini adalah meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Justeru menurut pihak LUAS, Syabas perlu melihat teknologi terkini untuk merawat sumber air dan menaiktaraf loji-loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji pembersihan air tersebut.

Jelasnya, sekiranya berlaku krisis air, ia disebabkan oleh kegagalan loji pembersihan air untuk sentiasa memastikan bekalan air bersih mencukupi. -tvsnews


1 ulasan:

ketuanancukong berkata...

selagi kroni umporno tak dikenyangkan selagi tu la mereka mencari lubuk makanan,,,teori mereka mudah,,,jual air pada org tengah,,dapat komisyen dan komisyen dilahap dan dihurung oleh pak gerombolan yang dapat sikit,,rakyat dikenanakn harga tinggi untuk menampung hantu-hantu gerombolan ini,,,kalo melawan dianggap anti melayu,,,mudah kan???
pak madey mamak kutyy mula merosakan ekonomi mesia dgn dasar menindas rakyat,,seprti dasar jual saham rakyat pada kroni yg sesen pun tak kuar duit,,,malah tumpang kemudahan rakyat,,,cilakalah umporno menipu melayu,,,