28 Sep 2011

Gambar-gambar Kejadian Letupan Empire Gallery Subang Jaya

Empat orang, termasuk dua pengawal keselamatan, cedera ringan dalam satu kejadian letupan di kompleks membeli-belah Empire Gallery, Subang Jaya jam 3.45 awal pagi tadi.

Letupan itu menyebabkan keseluruhan aras bawah kompleks membeli-belah itu mengalami kerosakan teruk, antaranya cermin pecah, dinding bangunan pecah dan lantai retak serta beberapa buah kereta didapati remuk, lapor malaysiakini.

Beberapa laluan jalan raya menghubungkan kompleks membeli-belah itu ditutup buat sementara waktu oleh pihak berkuasa.

Penghuni apartmen berhampiran dilihat berkumpul di luar perkarangan kompleks membeli-belah dan diarahkan anggota pihak berkuasa mengosongkan kediaman buat sementara waktu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan teruk beberapa premis, termasuk rangkaian cafe terkenal dengan bumbung dan kaca beberapa premis lain runtuh dan pecah.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Twitternya pagi ini berkata, beliau mendoakan penduduk di kawasan berhampiran selamat.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Osman berkata jentera bomba pertama sampai kira-kira jam 3.50 pagi.

Menurutnya, setelah sampai dilokasi, berlaku kebakaran di bahagian hadapan melibatkan saluran gas yang dipercayai berpunca dari letupan yang kuat.

"Kami menerima laporan daripada pengawal keselamatan bangunan, terdapat dua orang mangsa pengawal keselamatan berbangsa Nepal terperangkap di bahagian aras bawah (basement) mengalami cedera ringan.

"Manakala dua orang awam berjaya diselamatkan dan mengalami cedera ringan kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans," katanya.

Sementara itu, menurut Berita Harian Online, polis percaya letupan yang berlaku di pusat beli-belah di Empire Gallery di Subang Jaya, awal pagi tadi disyaki berpunca daripada kebocoran gas di bahagian bawah bangunan terbabit.

Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata setakat ini lebih 30 premis sebahagian besar kedai makan mengalami kerosakan akibat letupan yang berlaku kira-kira jam 3.40 pagi itu.Selain itu turut musnah dua kereta jenis Volkswagen Golf GTi dan Honda musnah dalam letupan itu.

Beliau berkata, letupan di bahagian bawah bangunan itu mengakibatkan cermin bangunan pecah membabitkan tiga kedai makan.

"Dua daripada mangsa adalah warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ manakala dua lagi rakyat tempatan.

"Semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan," katanya.











Sumber gambar- pelbagai. Terima kasih kepada pemilik-pemiliknya terutama, NST, TMI dll.

Tiada ulasan: