10 Sep 2011

Caj 6% Parabayar: Bantahan Rakyat Meningkat.

Reaksi rakyat kebanyakan sudah dijangkakan. Rata-ratanya melahirkan kekecewaan apabila kerajaan dan syarikat telekomunikasi (Telco) memutuskan untuk mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.

Malah pendapat itu turut dikongsi oleh agen tambah nilai prabayar dan pek permulaan kad SIM, Roslinda Samad yang menyifatkannya sebagai beban kepada pengguna.

"Kenaikan caj perkhidmatan enam peratus ini bagi tambah nilai bagi saya satu kadar yang tinggi, sebelum ini pun caj untuk seminit mencecah 30 sen, ditambah dengan caj enam peratus itu jelas sangat membebankan kepada pengguna, saya sebagai agen telekomunikasi sejujurnya rasa ini tidak wajar, bagi syarikat telekomunikasi itu sendiri caj yang dikenakan untuk masa berbual pun sudah menguntungkan,"katanya kepada Tv Selangor.

Syarikat telekomunikasi melalui satu kenyataan semalam memberitahu, kadar cukai perkhidmatan enam peratus itu bukan sesuatu yang baru.

Namun yang pasti, seramai 26.2 juta pelanggan talian telefon mudah alih prabayar di negara ini bakal menerima kesan akibat pertambahan kadar enam peratus setiap kali membeli kad tambah nilai.

Cukai perkhidmatan ini meliputi tiga syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara iaitu Celcom (Xpax) seramai 9 juta pelanggan, DiGi seramai 7.7 juta orang dan Maxis (Hotlink) 9.5 juta orang.

Dengan penguatkuasaan caj itu, seorang pelanggan yang membeli kad tambah nilai berjumlah RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen adalah cukai perkhidmatan.

Sementara itu menurut Rosmaharza Zainuddin, seorang pelajar di salah sebuah sekolah menengah di bandar ini, turut melahirkan rasa kesalnya di atas caj tambahan ini.

"Bagi saya perkara ini tidak seharusnya berlaku, saya yang masih belajar sedia maklum memerlukan banyak perbelanjaan untuk pelbagai keperluan,"katanya lagi.

Manakala bagi seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khairul Anwar Musa yang masih belum berpeluang menyambung pengajian berkata, walaupun pertambahan caj hanya enam peratus namun bagi pelajar dan mereka yang berpendapatan rendah, ia cukup membebankan.

Apatah lagi katanya, penggunaan telefon bimbit merupakan satu keperluan asas pada hari ini.

"Saya sejujurnya tidak setuju sekirannya kadar ini dinaikkan, keadaan ini agak membebankan,"katanya. -tvsnews

Cukai prabayar 6% untuk dana PRU-13 BN?

PETALING JAYA, 9 Sept: AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan kenaikan caj prabayar sebanyak enam peratus bukan sahaja membebankan rakyat malah ia adalah satu sumber kerajaan Barisan Nasional mengumpul dana bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor ketika ditemui pada satu sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat hari ini juga menjelaskan tindakan itu dilihat sebagai sikap tidak bertanggungjawab kerajaan terhadap rakyat dibawah yang dihimpit dengan masalah ekonomi yang semakin teruk.

"Tindakkan menaikkan caj prabayar sebanyak enam peratus ini bukan sahaja membebankan rakyat malah ia secara jelas adalah satu usaha kerajaan untuk mengumpul dana PRU13 nanti.

"Kita melihat kerajaan dibawah pimpinan Dato' Seri Najib Razak tidak pernah menyelami apa yang telah dialami oleh rakyat terutamanya tentang permasalahan ekonomi, rakyat terus dibebani setiap masa iaitu dari isu kenaikan harga minya dan juga barang keperluan dan sekarang caj enam peratus ini pula," katanya yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Gologan berpendapatan rendah terbeban

Dr Dzulkefly juga memberitahu bahawa kalau kita melihat angka enam peratus itu amat kecil tetapi fokus utama bukan kepada angka tersebut malah ia perlu dilihat pada satu sudut yang berbeza.

"Kerajaan mahupun telco akan mengatakan enam peratus adalah satu angka yang amat kecil tetapi jika kita meihat dari sudut penggunaan dan juga kekerapan ia akan menjadi satu angka yang amat besar.

"Kita tahu rata-rata pengguna prabayar adalah dari mereka yang berpandapatan rendah dan jika mereka terus dibebani oleh kenaikkan caj tersebut apa yang mereka dapat lakukan selain terpaksa mengeluar perbelanjaan yang lebih setiap bulan dan ia secara tidak langsung akan menimbulkan masalah kepada pendapatannya setiap bulan," sambungnya lagi.

Tambahnya lagi, kenaikkan caj tersebut juga merupakan sumber pendapatan baru kerajaan dalam mengatasi masalah kewangan negara.

"Ini adalah sumber pendapatan baru kerajaan dalam bentuk tunai, persoalannya teruk sangatkan masalah kewangan negara ini sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan kenaikan caj tersebut dengan cara tergesa-gesa.

"Kita tahu caj yang dikenakan itu adalah dalam bentuk tunai dan dibayar dahulu oleh pengguna, jadi berapakah jumlah sebenar yang diperolehi oleh kerajaan setiap hari mahupun setiap bulan dan kita nak kerajaan jelaskan berapa jumlah serta kemana wang tersebut dibelanjakan.

"Sekali lagi apa yang saya ingin nyatakan disini Najib sekali lagi gagal melaksanakan prinsip yang beliau bawa dalam konsep 1Malaysia yang mana Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kalau Najib betul-betul perihatin terhadap rakyat bukan cara sedemikian ia dilakukan, dalam keadaan sekarang rakyat tidak lagi boleh dibebani oleh kenaikan harga barang," tambahnya lagi.

Semalam syarikat telekomunikasi telah mengumumkan kenaikan caj sebanyak enam peratus berkuatkuasa 15 September nanti dengan alasan mengatakan cukai perkhidmatan merupakan cukai penggunaaan dan boleh dikenakan kepada pelanggan sebagaimana yang disediakan dalam perundangan cukai perkhidmatan dan ia termaktub di dalam Akta Cukai Perkhidmatan 1975. -HD




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam..Ada peniaga sudah mengenakan caj 6% kad prabayar kepada pelanggan.sebentar tadi sebuah kedai runcit telah mengenakan caj 6% itu pada seorang pekerja asing di sungai buloh,kota damansara.apa kes ni??

Tanpa Nama berkata...

'1,000 like kami terbeban dengan cukai baru kerajaan Malaysia!'
bole la joint group ni, baru 2 hari dah mencecah 2000 lbh ahli...marilah kita kongsi keperihatinan bersama.