18 Ogo 2011

J/K Reformasi Pilihanraya Sekadar Helah Politik Najib & BN

Reformasi pilihan raya: Najib sekadar untuk menangguh?

Sekali lagi Perdana Menteri Najib Razak menampilkan dirinya sebagai pembawa perubahan apabila mengumumkan bahawa kerajaan akan meneliti dan mengkaji sistem pilihan raya dan sistem media yang sedia ada, selepas siri program transformasinya. Ia memberi persepsi seolah-olah Najib akur kepada suara rakyat.

Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat pula menganggap janji Najib akan berakhir sebagaimana program transformasinya yang lain - semakin lenyap apabila masa berlalu.

Najib pernah menjanjikan ruang media yang lebih bebas selepas menerajui tampuk kerajaan, malah melancarkan siri program transformasi untuk mewujudkan "suasana feel good". Tetapi, ruang media tidak terbuka luas, malah semakin sempit berbanding zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi. Program transformasinya pula dihalang oleh golongan sayap kanan, misalnya PERKASA - dan akhirnya lari dari rupa bentuk asalnya - mungkin juga kerana tekad politiknya yang tidak teguh.

Perhimpunan BERSIH 2.0 memperlihatkan ketidakpuasan rakyat. "Suasana feel good" yang cuba diwujudkan Najib ranap. Kini, sekali lagi Najib menampilkan diri untuk membawa perubahan, cuma, sejauh manakah keikhlasannya, dan lebih penting, apa niatnya?

Ketiga-tiga orang ahli parlimen Pakatan Rakyat, Tian Chua (Batu-PKR), Liew Chin Tong (Bukit Bendera-DAP) dan Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PAS) ketika ditemuramah MerdekaReview, menganggap BERSIH 2.0 memberi tekanan yang besar terhadap kerajaan Najib, dan beliau perlu menyajikan janji reformasinya sebagai reaksi terhadap ketidakpuasan rakyat.

Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat berkata, ini adalah kemenangan rakyat, kemenangan BERSIH 2.0 dan kemenangan Pakatan Rakyat. Naib Presiden PKR, Tian Chua turut berkata, ia adalah hasil tekanan yang tercetus daripada perhimpunan BERSIH 2.0. Tian Chua menambah, Najib mengalami tekanan sebelum dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0, dan beliau tidak menggunakan cara yang terlalu drastik untuk menindas perhimpunan ini. Ini menunjukkan bahawa Najib tidak berani, malah tidak bersyarat untuk menentang kuasa rakyat. Maka, Najib memilih cara diplomatik untuk menyedapkan hati rakyat.

Sengaja untuk menangguh?

Oleh sebab bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan institusi itu untuk melakukan kebanyakan tuntutan reformasi, misalnya penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih dan sebagainya, Tian Chua menganggap pengumuman penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sekadar untuk menangguhkan masa - sebagaimana yang dilakukannya ketika menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock. Kesudahannya bakal membuktikan, hasilnya jauh lebih kurang daripada apa yang dilaung-laungkan, kata Tian Chua.

Ketika ditanya kemungkinan Najib menyedari bahawa reformasi sistem pilihan raya adalah hasrat rakyat, maka dirinya perlu mengikut arus ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat, Tian Chua (gambar kiri) sebaliknya mempersoalkan, "Mengapa perlu Najib berbuat sedemikian? Beliau tak perlu buat sedemikian, itu periuk nasinya."

Tian Chua menjelaskan, kerajaan tetap boleh menjalankan reformasi sistem pilihan raya meskipun tanpa Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Tian Chua tetap menganggap bahawa Najib tidak berniat untuk melaksanakan agenda reformasi, yang bakal menjejaskan peluang kemenangan Barisan Nasional dalam PRU ke-13.

Dzulkefly Ahmad dan Liew Chin Tong meskipun mengalu-alukan respon positif Najib terhadap tuntutan BERSIH 2.0, namun meramalkan bahawa janji ini akan berdepan dengan rintangan dalam partinya ketika cuba dilaksanakan.

Umumkan tarikh PRU-ke13!

Dzulkefly Ahmad berkata, Najib tidak menampilkan apa-apa prestasi atau monumen politiknya sepanjang tiga tahun ini, meskipun beria-ia dengan program transformasinya - dan hanya "terkejut dari tidurnya" selepas ditekan BERSIH 2.0. Dzulkefly Ahmad menambah, seandainya Najib ingin meyakinkan rakyat bahawa dirnya memang ikhlas untuk melaksanakan perubahan, maka Najib harus memberitahu rakyat bila PRU ke-13 akan diadakan, selain menetapkan "jadual waktu" dan objektif pelaksanaan reformasi yang jelas.

Meskipun mengalu-alukan respon positif daripada Najib, Liew Chin Tong berkata penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sahaja tidak mencukupi, kerana negara kini memerlukan reformasi secara menyeluruh dari sistem demokrasinya, termasuk kebebasan media, pemilikan media, kebebasan perhimpunan, pendaftaran warga negara dan sebagainya - dan bukan hanya reformasi yang terbatas kepada bahagian-bahagian tertentu.

Beliau menambah, anggota Jawatankuasa Pilihan Parlimen belum diketahui setakat ini. Malah beliau berkata, seandainya ahli parlimen Pasir Mas merangkap Presiden PERKASA Ibrahim Ali tersenarai sebagai anggota jawatankuasa tersebut, maka usahlah berbicara mengenai reformasi.

Liew Chin Tong menganggap desakan BERSIH 2.0 dan tekanan dalam parti seperti Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang menyebabkan Najib terpaksa menampilkan imej pembawa perubahan. Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menunjukkan Najib bakal menghadapi halangan daripada golongan sayap kanan dalam UMNO.

Liew Chin Tong percaya bahawa Najib menyedari perubahan senario yang berlaku dalam kerangka yang lebih besar, malah faham bahawa pengawalan media tidak akan memberi kesan. Namun demikian, golongan kanan dalam UMNO mempunyai pemahaman yang berbeza dengannya dalam hal ini, yang menyebabkan usaha dirinya sentiasa tersekat dalam parti.

Tidak tegas, tidak mempunyai halatuju adalah masalah yang terbesar untuk Najib, sehingga agenda yang dikemukakannya itu sentiasa tidak "tulen" pada peringkat akhirnya, kata Liew Chin Tong. "Beliau tidak tahu untuk berada di posisi mana dalam politik demokrasi, di depan atau di belakang. Adalah bahaya untuk seseorang ketua yang tidak berhalatuju, lebih bahaya daripada membuat keputusan."

Dzulkefly Ahmad juga bersetuju dengan pandangan ini, "Najib ditentang partinya sendiri, partinya adalah musuh beliau, bukan Pakatan Rakyat atau rakyat. Dan Najib adalah musuh untuk dirinya, ini kerana beliau tidak bertulang belakang, beliau berdolak-dalik, gagal melakukan apa-apa!"

*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 16 Ogos 2011


Pakatan: JK khas berat sebelah, helah politik BN

Ahli parlimen Pakatan Rakyat hari membantah pembentukan jawatankuasa khas Parlimen untuk meminda undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini yang yang majoritinya dibarisi wakil rakyat daripada parti pemerintah.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jawatankuasa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu bertujuan sekadar untuk mengaburi mata rakyat.

Katanya, ini kerana penubuhan jawatankuasa itu untuk menambah baik proses pilihan raya, tidak dirunding bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat dan bersifat berat sebelah.

“Kalau dikatakan ada jawatankuasa khas yang ditubuh, itu hanyalah untuk mengaburi mata kita sebab ini tidak dibincangkan dengan pihak pembangkang di parlimen. Sistem ini juga berat sebelah,” katanya dalam tulisan di blognya.

Menurut Wan Azizah, penubuhan jawatankuasa itu juga membuktikan kerajaan BN mengakui wujud kepincangan pilihan raya.

Bagi ketua parlimen DAP Lim Kit Siang, perkara yang paling mengecewakan ialah keengganan BN untuk berunding dengan Pakatan Rakyat sebelum membuat keputusan tentang pembentukan jawatankuasa khas parlimen itu.

Helah dan taktik

Ini katanya, termasuk keanggotaan, bidang tugas, tempoh masa, peranan BERSIH 2.0 dan perkara-perkara berkaitan. Menurut Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur, pembentukan panel itu hanya helah dan taktik mengalih pandangan rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa tanpa sasaran tempoh dan jaminan penuh daripada Perdana Menteri, segala kajian dan keputusan panel parlimen itu akan sia-sia jika Parlimen dibubarkan lebih awal.

“Malah, jawatankuasa pemilih Parlimen itu akan terbubar secara automatik apabila Parlimen yang ada sekarang dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji BN yang selama ini jarang dikotakan, selain dipergunakan sebagai helah politik dan taktik mengalih pandangan rakyat daripada masalah yang dihadapi parti pemerintah.

Turut membidas pembentukan jawatankuasa dengan majoriti ahlinya daripada pihak kerajaan adalah naib presiden PKR, Fuziah Salleh.

Katanya, amalan bermain wayang ini sering menjadi pilihan kerajaan Umno-BN dalam memberi gambaran baik kepada dunia bahawa mereka dalam cerdik mentadbir sesebuah negara.

“Pengumuman itu hanyalah wayang, nak tunjuk pada satu dunia yang kononnya (Umno-BN) akan melaksanakannya tapi apa pula dengan kenyataan Nazri yang tidak menjamin pembersihan daftar pengundi sebelum pilihanraya?

Tidak bersungguh-sungguh

“Mereka juga tidak bersungguh-sungguh dan tidak memberikan komitmen dengan betul,” katanya.

EMengulas lanjut, Fuziah yang juga ahli parlimen Kuantan, sama sekali tidak bersetuju dengan pembahagian Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan Nazri Aziz semalam berikutan pembahagian kerusi yang tidak adil.

Menurut Fuziah, jawatankuasa yang dicadangkan itu jelas berat sebelah dimana ia dianggotai sembilan wakil - lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu Bebas.

Tambahnya lagi, ahli parlimen dari bebas tidak berhak mendapat pembahagian walaupun seorang, berdasarkan jumlah kesuluruhan ahli parlimen.

“Jika kita lihat pada peratus kerusi di Parlimen, ahli parlimen bebas yang memiliki 8 kerusi dari 222 kerusi keseluruhan tidak mewakili satu peratus dari lapan ahli jawatan kuasa,”

Tiada keseimbangan

“Kita boleh lihat ketidakseimbangan pembahagian jawatan kuasa ini kerana bebas tidak sampai 0.5 peratus pun untuk dilantik menjadi jawatankuasa. Satu wakil bebas dan hanya tiga wakil dari Pakatan tidak mengikut pembahagian,”

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata kabinet bersetuju supaya usul mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa itu dibentangkan dalam persidangan Parlimen Oktober ini.

Jemaah menteri juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat bagi membincang mengenai rangka kerja jawatankuasa itu yang akan diketuai oleh seorang menteri, katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Nazri berkata jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lalu mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu dalam usaha menambah baik proses pilihan raya di negara ini. -mk


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jika Pengerusinya seorang Menteri dan MP dari BN ada 4 orang jumlahnya sudah 5.Wakil pembangkang yang 3 campur seorang NGO bermakna 4 lawan 5.Sah ini JK Wayang.Sekiranya Najib jujur dan ikhlas,Pengerusi mesti seorang bekas Hakim,wakil BN 4,Wakil pembangkang 3 dan NGO 2 serta ada wakil SUHAKAM.Komposisi ini baru ada OMMMp dan boleh melakukan perubahan.

Khairi berkata...

JK Pilihan Khas Parlimen yang diumumkan PM Najib hanyalah “buying time” utk mereka. Teruskan usaha menyiarkan penyelewengan SPR ini kepada rakyat & dunia, biar semua orang tahu Kera jaan yang ada ini adalah Kera jaan yang dipilih secara menipu.Saya tidak yakin ianya akan membawa kebaikan kepada rakyat, ianya lebih kepada kepentingan UMNO demi meneruskan pemerentahan mereka yang penuh dengan penyelewengan dan penipuan. Kalau apa yang saya tulis ini tidak betul, saya mohon diberi peluang untuk team drp rakyat utk “audit” dokumen pemilih SPR serta pengkalan data pemilih SPR dengan segala akses. Pasukan ini sepatutnya hanya akan lapor rumusan ini kepada YDP Agong bukan PM Najib. Barulah ianya bebas dr orang politik. Rakyat mcm saya hanya mahu keadilan dalam pilihan raya dan pemimpin yang dilantik mesti amanah dan penuh integrity. Kalau anda pemimpin tidak mampu memenuhi criteria ini, sila letak jawatan kerana saya yakin ramai lagi yg sanggup berkhidmat untuk tanah air tercinta ini.