7 Jul 2011

Najib Perlu Kotakan Cakapnya. Bersih 2.0 Tetap Akan Diadakan Di Stadium Merdeka

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tetap mahukan mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka Sabtu ini walaupun ia ditolak oleh Kabinet atas alasan gabungan itu adalah haram.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, Bersih 2.0 menyifatkan tindakan Perdana Menteri dan Kabinet tidak membenarkan pihaknya menggunakan stadium itu sebagai alasan lapuk.

Bersih tetap mahupun rakyat berhimpun secara bebas dan aman bagi mendesak pelaksanaan pilihan raya bebas dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai jam 2 petang, kata kenyataan itu.

"Kami akan datang, kami akan (berhimpun secara) aman dan kami akan membina Malaysia yang lebih baik," tegasnya.

Jelasnya, Bersih 2.0 kecewa dengan cara perdana menteri dan Kabinetnya memungkiri janji untuk menyediakan sebuah stadium bagi mengadakan perhimpunan aman.

“Sebagai anggota masyarakat madani yang komited kepada prinsip-prinsip integriti, kami mahu patuh sepenuhnya kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perhimpunan kami di sebuah stadium untuk menyatakan tuntutan berkenaan pilihan raya bebas dan adil,” kata kenyataan itu lagi.

Menteri Penerangan, Komuniksasi dan Kebudayaan semalam berkata Kabinet menolak penggunaan Stadium Merdeka kerana Bersih adalah gabungan haram - dakwaan yang ditolak oleh penganjur yang menegaskan Bersih tidak perlu berdaftar dengan Perdaftar Pertubuhan.

Ini kerana gabungan itu hanya kerjasama 62 pertubuhan bukan kerajaan yang sah untuk mengadakan sebuah majlis bagi menuntut pilihanraya adil dan telus.

Kenyataan Bersih 2.0 menegaskan Perdana Menteri Najib Razak tidak harus berdolak dalih dalam tawaran kepada gabungan itu untuk menganjurkan perhimpunan aman berkenaan di sebuah stadium.

Malah, Najib perlu membuat dan mengambil tindakan-tindakan sewajarnya bagi perhimpunan itu diadakan secara aman di Stadium Merdeka pada Sabtu ini.

"Sama ada kerajaan mematuhi prinsip mereka atau tidak, kami rakyat Malaysia akan sentiasa mematuhi prinsip kami. Keazaman kami untuk melaksanakan hak untuk berhimpun secara aman bagi menuntut keadilan tidak akan goyah,"
tegasnya.

Kurang 24 jam selepas membuat tawaran untuk perhimpunan Bersih diadakan di stadium dan bukan dijalanan, Najib mula berdolak dalih apabila menegaskan Bersih adalah pertubuhan haram dan justeru itu, tidak boleh memohon permit untuk menganjurkan perhimpunanya Sabtu ini.

Najib berkata mana-mana pihak yang membuat permohonan untuk perhimpunan sedemikian harus berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Kenyataan itu mengejutkan lebih-lebih lagi setelah Najib sendiri menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan penganjur Bersih bagi membincangkan tawarannya itu.

Bagaimanapun Perdana Menteri menukar rentaknya dan menegaskan mana-mana pihak yang mahu menganjurkan perhimpunan sedemikian harus berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein mendakwa bahawa hakikat Yang DiPertuan Agong berjumpa rombongan Bersih semalam, tidak menjadikan gabungan itu sah dari segi undang-undang.

Kenyataan Hishamuddin yang juga Naib Presiden Umno itu dibidas oleh Pakatan Rakyat sebagai tidak menghormati institusi Istana Negara sendiri.

Rombongan Bersih sebelum ini memutuskan untuk membatalkan perarakan jalanan selepas di nasihati oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. -tvsnews