2 Jun 2011

Muktamar Dewan Muslimat - Lebih Ramai Muslimat Akan Diberi Peluang Sebagai Calon Pilihanraya

Muktamar Tahunan PAS: Lebih Ramai Calon Wanita Bakal Bertanding PRU-13

SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan lebih ramai calon wanita akan diberi peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu bergantung pada keputusan mesyuarat jawatankuasa pemilihan apabila tiba masanya nanti.

"Saya tidak boleh komen. Insya-Allah, muslimat akan diberi lebih banyak peluang tapi keputusan itu terletak pada parti," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Sebelum itu beliau yang juga Menteri Besar Kelantan merasmikan Muktamar Dewan Muslimat di Dewan Jubli Perak di sini, Khamis.

Seramai 622 perwakilan muslimat hadir pada muktamar kali ini yang turut akan memilih kepimpinan baru sayap parti itu.

Menurut Nik Abdul Aziz , pemilihan calon akan dinilai dari segi bakat, keaktifan dan penampilan diri yang boleh menarik perhatian pengundi untuk meilih mereka selain mampu berkhidmat kepada rakyat.

"Kalau dia (calon) tak ada bakat, macam mana orang nak undi dia. Jadi calon perlu memenuhi kriteria itu," jelasnya.

Pada PRU-12, kata beliau, PAS menurunkan tiga wanita sebagai calon tetapi seorang daripadanya menolak untuk bertanding.

Sementara itu, beliau menepis dakwaan Barisan Nasional (BN) yang mendakwa PAS sudah mengubah dasar parti itu dengan menurunkan calon wanita pada pilihan raya kecil DUN Tenang.

"Mereka kata dulu kita tak boleh turunkan calon wanita tapi sekarang boleh. Semua itu mengarut. Mereka terpaksa berbohong semata-mata ingin buat kacau.

"Kita tidak pernah halang muslimat untuk bertanding. Malah muslimat PAS sudah ada yang jadi calon pada 1959," jelasnya.

Beliau turut mengakui mempunyai calon pilihan pada pemilihan parti itu. Bagaimanapun beliau tidak mahu mendedahkan dengan lebih lanjut -mstar


Kekalahan PAS Dalam Beberapa Pilihan Raya Kecil Satu Pengajaran - Dewan Muslimat

SHAH ALAM: Kekalahan yang dialami PAS pada beberapa pilihan raya kecil dan pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini seharusnya memberi pengajaran kepada parti bahawa tiada jalan pintas untuk memenangi sesuatu perjuangan, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Salleh.

Beliau berkata kekalahan itu hendaklah menjadi iktibar termasuk kepada muslimat agar terus berjuang bersungguh-sungguh dan gigih dalam menerapkan agenda perjuangan PAS dalam kalangan pengundi.

"Mana mungkin pengundi yang tidak langsung mengenali dan memahami perjuangan PAS dapat semua dirayu dan diyakinkan dalam hanya lapan ke 10 hari berkempen?

"Kalaulah setakat beramai-ramai memenuhi markas-markas dan bilik-bilik gerakan PAS tetapi tidak pergi menemui para pengundi, hanya berbekalkan poster dan kibaran bendera, janganlah diimpikan kemenangan akan datang bergolek," katanya dalam ucap utama pada Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-51 di sini Khamis.

Muktamar itu dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nuridah menggesa perwakilan serta anggota Muslimat supaya melipat gandakan usaha untuk memenangi hati pengundi dalam menghadapi pilihan raya umum yang semakin hampir.

Beliau meminta perwakilan Muslimat agar menawan hati pengundi melalui penerangan dan dakwah yang beradab dan berhemah.

Katanya muslimat PAS perlu lebih cergas dan bijak mencari peluang untuk menjelaskan perubahan dan pembaikan yang dilakukan terhadap negeri-negeri di bawah pemerintahan pakatan PAS, DAP dan PKR.

"Kita memerlukan komitmen semua anggota PAS secara keseluruhan dan para muslimat merupakan komponen penting jemaah kita dalam menguruskan gerak kerja bagi mencapai kejayaan.

"Marilah kita praktikkan segala ilmu dan kepakaran pengurusan dan perjalanan pilihan raya yang telah kita jalani melalui kursus-kursus, bengkel-bengkel serta pengalaman yang dihadapi daripada semua 16 pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak yang lepas," katanya.

Nurida berkata adalah penting bagi semua anggota memberi tumpuan kepada matlamat bersama.

"Kecilkan segala salah faham yang menghalang pakatan dari bergerak maju dengan penuh kesepaduan," katanya.- BERNAMA



Tiada ulasan: