20 Jun 2011

Kes Khalwat Salim Parlan: Mahkamah Tetapkan Perbicaraan 26 Julai

George Town - Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini menetapkan 26 Julai ini untuk perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Datuk Salim Parlan dan pasangannya, Nur Diayana Norslan.

Hakim Syarie Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan pihak pembelaan supaya mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, pembelaan yang diwakili Wan Faridulhadi Mohd Yusoff membuat permohonan itu sementara menunggu keputusan permohonon kebenaran poligami dan pengesahan nikah di Selatan Thailand yang difailkan anak guamnya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur minggu lepas.

Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz yang membantah permohonan itu berkata kes itu perlu diteruskan sementara menunggu keputusan permohonan berkenaan.

"Kita tidak tahu bila kes di Kuala Lumpur itu akan selesai. Ia mungkin mengambil masa yang lama... mungkin setahun atau dua tahun. Kita tidak tahu bila akan selesai," katanya.

Nik Bukhari kemudiannya menetapkan perbicaraan akan dijalankan sementara menunggu keputusan permohonon kebenaran poligami dan pengesahan nikah itu.

Bagaimanapun, jika permohonan itu diterima mahkamah, pihak pendakwaan boleh menarik balik atau membatalkan kes berkenaan.

Pada 19 April lepas, Salim, 51, dan Nur Diayana, 30 mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Batu Ferringhi.

Salim, yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Ferringhi, 16 April lepas, pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama. - Bernama

Laporan sebelum ini



1 ulasan:

Putra IJ80 berkata...

Chis! Muka x malu,

Tentu mengaku diri Islam,

Tapi buat perangai yg.bertentangan dgn Islam,

Berkedudukan tinggi dlm Kerajaan ,

tapi di mana nilai moral?

Ini kah contoh yg.baik pada anak anak?

Wana'uzubillahhiminzaliq.

June 20, 2011 5:47 PM