15 Mei 2011

Lagi Kes Polis Tembak Mati Remaja

Keluarga gesa siasatan bebas kematian remaja ditembak polis

Sivarasa menunjukkan salinan laporan polis dengan ditemani nenek Johari Abu Bakar, Jamilah (kiri) dan ibunya Salmah (tiga dari kanan). — Foto oleh Choo Choy May

PETALING JAYA, 15 Mei — Keluarga Johari Abu Bakar menggesa kerajaan mengadakan siasatan bebas berhubung kematian seorang remaja berusia 17 tahun itu, memandangkan polis memberi maklumat tidak konsisten berhubung kejadian dia ditembak kelmarin.

Keluarganya juga akan memfailkan petisyen di mahkamah esok, menuntut bedah siasat kedua dijalankan ke atas Johari ekoran tanda-tanda yang meragukan pada jenazahnya termasuk lenggan kanan patah.

Johari, seorang pekerja rencam, terbunuh dalam kejadian ditembak polis di belakang sebuah hotel murah di Cyber Valley Commercial Centre, Dengkil, kira-kira 10.30 malam kelmarin.



Laporan media semalam memetik Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata, Johari yang dikehendaki polis maut ditembak selepas merempuh kereta polis.

Suspek turut dikatakan melepaskan satu das tembakan sebaik menyedari kehadiran polis dalam kejadian pada pukul 10.15 malam.

Dia yang bersembunyi di sebuah hotel dilihat turun melalui pintu belakang sebelum memasuki kereta jenis Alphard.

Tindakannya cuba melawan anggota polis ketika dikepung membawa padah apabila dia ditembak mati.

Katanya, suspek diintip sepasukan polis sejak pukul 5.30 petang kelmarin dan mendapati kereta yang diletakkan di belakang hotel itu dilaporkan hilang dalam kes samun bersenjata api di Taman Megah, Kelana Jaya, 2 Mei lalu.

Laporan lain menyebut kereta itu dikatakan dicuri di Kelana Jaya 10 Mei lalu.

“Sebaik memasuki keretanya, dua kereta polis mengepung kereta suspek dari arah depan dan belakang.

“Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri ketika diminta keluar oleh polis apabila merempuh kereta polis. Malah, dia turut melepaskan tembakan,” katanya.

“Suspek maut di tempat kejadian. Hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan pistol jenis semi automatik. Polis turut menemui peluru dalam kereta berkenaan,” kata Tun Hisan.

Tun Hisan berkata, suspek menyewa dua bilik hotel sejak 9 Mei lalu dan polis percaya dia tidak bersendirian.

Bagaimanapun ibu Johari, Salmah Mohamed Shariff menegaskan bahawa anaknya bukan seorang penjenayah dan tidak pernah memiliki sebarang senjata.

“Dia seorang budak yang baik dan sentiasa menurut kata. Saya enggan percaya bahawa dia miliki senjata,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di balai polis Damansara di sini petang ini.

Salmah, seorang suri rumah ditemani oleh dua anak lelakinya, Abdul Razak yang bekerja sebagai 'pub bouncer' dan Mohamad Rosli, 20, iaitu pembantu dapur serta nenek mereka Jamilah Magar Saib, 56.

Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa, Adun Bukit Lanjan Elizabeth Wong dan Pesuruhjaya Suhakam James Nagayam juga menemani mereka ketika laporan polis dibuat.

Salmah mendakwa terdapat banyak percanggahan dalam persekitaran yang menyelubungi kematian Johari khususnya dalam keterangan diberikan kepada media dan kepadanya oleh seorang anggota polis bernama “Afendi”.

“Anggota polis itu memberitahu saya bahawa ada empat yang lain ketika kejadian dan mereka dipantau selama lima hari sebelum ditembak.

“Mereka mendakwa anak saya menembak ke arah mereka dan empat yang lain melepaskan diri ketika tembakan. Saya mendapati yang ini sukar untuk dipercayai,” katanya.

Malah katanya, Afendi juga mendakwa Johari melepaskan lapan das tembakan ke arah polis sebelum mereka membalas tembakan.

Ibu berusia 41 tahun ini dengan menitiskan air mata berkata, dia mengesyaki sesuatu berdasarkan keadaan mayat anaknya apabila dia dibenarkan menziarahinya di rumah mayat Hospital Serdang semalam.

Sivarasa, yang berada di rumah mayat bersama keluarga itu semalam berkata, tangan kanan Johari juga patah.

“Anda boleh lihat tangan kanannya patah, berbentuk V. Persoalannya ialah bagaimana dia boleh mematahkan tangan dia? Selepas atau sebelum tembakan?” katanya.

Beliau menambah, apabila Afendi, dari balai polis Dengkil ditanya mengenai tangannya, dia memberitahu bahawa tiada apa-apa masalah dengan tangannya.

“Keluarganya juga tidak gembira dengan hospital. Pertama, mereka hanya dibenar menziarahi jenazah Johari untuk beberapa saat.

“Kemudian, apabila bedah siasat lengkap, mereka tidak dimaklumkan oleh doktor yang bertugas, yang secara kebetulan, ahli patologi yang mengendalikan bedah siasat pertama ke atas A Kugan, yang kemudian dipertikaikan di mahkamah,” kata Sivarasa.

Kata beliau, sehingga kini tiada rekod jenayah ke atas Johari.

“Kami bukan menentang tahanan mengikut undang-undang, tetapi jika dia bersalah, dia seharusnya ditangkap dan dibicarakan di mahkamah dan bukannya ditembak mati,” kata Sivarasa.

“Saya hanya mahukan keadilan ke atas anak saya. Jika dia melakukan kesalahan, tangkap dan penjarakan dia, jangan tembak dia,” kata Salmah.

Salmah kali terakhir lihat anaknya seminggu lalu dan mendengar suaranya kelmarin, kemungkinan beberapa saat sebelum ditembak.

“Dia memanggil saya tetapi sebelum saya menjawab, talian terputus. Saya merasakan itu ketikanya dia ditembak mati,” katanya.

Jamilah berkata, kali terakhir dia bertemu Johari adalah dua hari lalu di rumahnya di Kayu Ara di sini.

Menurut laporan Kosmo, bapa Johari ditembak mati oleh polis dua tahun lalu kerana disyaki terlibat dalam kejadian penculikan dan beberapa jenayah lain di Selangor. -TMI


Dulu bapa, kini anak mati ditembak

ANGGOTA polis mengangkat mayat suspek yang mati ditembak di sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil semalam.


SEPANG - Seorang penjenayah berusia 20-an yang dipercayai terlibat dengan geng samun kenderaan mewah mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis berhampiran sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil di sini malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada pukul 10.15 malam selepas sepasukan polis dari cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan intipan di hotel tersebut sejak pukul 5.30 petang.

Hasil intipan tersebut, polis mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih yang dipercayai dicuri oleh suspek bersama rakan-rakannya diletakkan di belakang hotel tersebut.

Kosmo! Ahad difahamkan, dua tahun lalu bapa suspek juga mati selepas ditembak polis kerana disyaki terlibat dalam kes culik dan jenayah kekerasan di beberapa kawasan di Selangor.-kosmo


Tiada ulasan: