7 Mei 2011

Chegubard Dicemburui, Ada Pemuka PKR Yang Tidak Senang Dengannya

Petaling Jaya: Badrul Hisham Shaharin yang kini menjadi tumpuan dalam PKR menegaskan beliau masih ahli parti dan menjadi ketua PKR cabang Rembau.

Bagaimanapun, bekas calon AMK itu tidak menafikan beliau tidak disenangi oleh beberapa ‘pemuka’ dalam PKR.

Menurutnya, beliau dituduh pengkhianat dan menyerang parti.

“Persoalannya apa pengkhianatan saya ? Adakah kerana bekerja tanpa henti tanpa menunggu arahan atau kerana saya tegas mendesak ketelusan dalam parti termasuk mendesak penyelesaian laporan penyelewengan ketika pemilihan menyebabkan saya dilihat khianat?” katanya dalam blognya hari ini.

Bekas calon PKR parlimen Rembau dalam pilihan raya umum 2008 itu mendakwa ada pemuka parti yang cuba menggagalkan program Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang beliau penyelarasnya.

Katanya, program SAMM berbentuk karnival pada Febuari lepas mahu dibatal oleh pemuka PKR dengan menemui pihak Majlis Kerajaan Tempatan supaya tidak dibantu atau dibatal lesen.

“Ada pula yang menjaja nama Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menemui penganjur yang bukan PKR supaya membatalkan program saya di sebelah utara Semenanjung.

“Ini berlaku berulang di beberapa tempat. Untuk rekod SAMM cuba bereksperimen dengan turun ke kawasan pilihan raya kecil sebagai NGO mendekati anak muda,

“Ketika sibuk di Tenang ada pula pemuka jahat yang cuba melagakan gandingan baik SAMM dan sebuah pertubuhan yang dinamakan ANAK (Anak Peneroka Felda Kebangsaan).

“Apa sebenarnya yang mereka mahukan?” katanya.

Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita tempatan semalam mengenai kemungkinan beliau meninggalkan PKR dan menyertai parti komponen Pakatan Rakyat.

Beliau menyifatkan portal itu silap memetik laporan kenyataan beliau di dalam blog miliknya. -FMT


Memang ada pihak PKR tak senangi saya, akui Chegubard

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat Badrul Hisham Shaharin, yang disebut-sebut akan keluar parti itu berkata, beliau masih ahli seumur PKR tetapi secara terbuka mengakui “memang tidak disenangi beberapa pemuka” dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

Meskipun mengakui beliau ahli seumur hidup PKR, beliau yang turut dikenali sebagai “Chegubard” tidak menjawab sama ada akan keluar PKR untuk menyertai komponen PR iaitu PAS atau DAP.

“Chegubard masih ketua cabang PKR Rembau, ahli seumur hidup PKR. Sejak menjadi ahli Keadilan 1999 saya tidak pernah memperlahankan gerak kerja saya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Malah tegas Badrul Hisham (gambar), ini bukan kali pertama isu keluar parti ditujah kepadanya dan mungkin ada yang seronok dan mengharap sangat jika meninggalkan PKR.

Katanya, mereka yang pro-BN sudah tentu kecewa dan “saya terus diserang kerana mulanya mereka mungkin seronok dengan berita Chegubard keluar parti, namun ternyata mereka makan hati apabila mendengar kononya keluar PKR tetapi masih bersama PR.”

The Malaysian Insider dalam laporan semalam menyebut Badrul Hisham yang hujung tahun lalu tewas pemilihan jawatan ketua Angkatan Muda PKR disebut-sebut kemungkinan akan keluar PKR, dan jikapun keluar akan menyertai DAP atau PAS.

Pemimpin-pemimpin sayap muda DAP dan PAS pula menjelaskan mereka tidak tahu-menahu mengenai desas-desus itu.

Pengerusi Pemuda DAP pusat Anthony Loke ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan belum ada sebarang perbincangan mengenai isu itu.

“Belum ada permohonan atau perbincangan. Saya tidak boleh komen selagi tiada pengumuman daripada Chegubard sendiri. Dan jika ada, perkara ini akan dibincangkan di peringkat pemimpin kanan Pakatan, perlu dibincangkan bersama,” kata beliau ketika dihubungi tengah hari ini, sebelum Chegubard mengeluarkan kenyataannya.

Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kayat juga memberitahu, perkara tersebut perlu dibincangkan bersama dan menerima ‘lampu hijau’ PKR jika benar Badrul Hisham mahu menyertai PAS atau DAP.

“Kita ada konsensus bahawa komponen Pakatan Rakyat tidak boleh menerima ahli yang keluar parti komponen... kita kena menjaga keharmonian dalam Pakatan,” katanya.”Bagaimanapun jika hendak terima (Chegubard atau mana-mana ahli PKR), perlu ada persetujuan PKR, dalam kes ini, jika Chegubard mahu masuk PAS,” katanya lagi.

Justeru kata beliau, setakat Dewan Pemuda PAS belum ada sebarang perbincangan mengenainya.

“Kalau peringkat atas (pusat) saya tidak pasti,” kata Suhaizan.

Dalam penjelasannya hari ini, Badrul Hisham menambah, ketika ramai meninggalkan parti semasa tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lebih satu dekad lalu, “saya melihat suasana kosong yang mendesak, maka saya telah melangkah sepenuh masa bersama perjuangan ini.”

“Saya dituduh pengkhianat dan menyerang parti. Persoalanya apa pengkhianatan saya? Adakah kerana bekerja tanpa henti tanpa menunggu arahan atau kerana saya tegas mendesak ketelusan dalam parti termasuk mendesak penyelesaian laporan penyelewengan ketika pemilihan menyebabkan saya dilihat kianat?” kata beliau lagi.

Badrul Hisham juga berkata, beliau tidak menafikan beliau berdepan dengan pelbagai masalah pascapemilihan selepas mendesak keadilan dan ketelusan.

“Tetapi saya pula dianggap musuh. Saya pertikaian laporan diselesaikan dengan langsung saya tak dipanggil menghadap mana-mana jawatankuasa,” katanya.

Namun katanya, beliau tetap bersabar kerana ada agenda besar menumbangkan BN dan mendesak perubahan dalam negara.

Badrul Hisham juga berkata, pergerakannya sentiasa mengundang cuak puak yang dengki, termasuk program Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berbentuk karnival yang diadakan Febuari lalu mahu dibatal oleh sesetengah pihak dalam PKR dengan menemui Majlis Kerajaan Tempatan untuk tujuan “kami tak dibantu atau dibatal lesen.”

“Ada pula yang menjaja nama Ketua Umum PKR menemui penganjur yang bukan PKR supaya membatalkan program saya di sebelah utara Semenanjung.

“Ini berlaku berulang di beberapa tempat. Untuk rekod SAMM cuba bereksperimen dengan turun ke kawasan PKR sebagai NGO mendekati anak muda,” katanya yang juga pengerusi SAMM.

Kata Badrul, jika beliau mahukan jawatan banyak cara yang boleh digunakan untuk memperolehinya, malah “saya pernah menolak tawaran pun.”

Badrul Hisham menolak pelantikannya sebagai penolong setiausaha agung selepas tewas pemilihan pusat tahun lalu.

“Selaku anak muda saya yakin tidak salah mengimpikan sebuah gerakan yang sempurna dan untuk itu saya terus dan akan terus mendesak dan mengasak untuk perubahan itu,” katanya lagi. -TMI


1 ulasan:

enqilab berkata...

ALBUM DARI keADILan CABANG MACHANG, di mana Dato' Saif Nasution adalah bekas YB & masih ahli.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=642014565883415&set=a.652091774875694.1073741834.100002246328436&type=1&theater